Proses tungku bersalin merupakan amalan tradisional yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya selepas seseorang wanita melahirkan anak. Ia dilakukan semasa tempoh berpantang bagi membantu pemulihan tubuh badan wanita.
Apa Itu Bertungku?
Bertungku adalah satu kaedah terapi haba menggunakan batu atau besi yang dipanaskan, kemudian dibalut dengan kain dan digunakan untuk mengurut atau menekan bahagian tertentu tubuh, terutamanya di perut dan pinggang. Kadang-kadang, tungku juga diisi dengan ramuan herba seperti daun mengkudu, serai wangi, dan halia untuk menambah kesan penyembuhan.
Adakah Bertungku Selamat?
Secara amnya, bertungku adalah selamat jika dilakukan dengan cara yang betul. Namun, beberapa perkara perlu diberi perhatian:
-
Jangan bertungku pada luka pembedahan atau luka yang belum sembuh
-
Elakkan haba yang terlalu panas kerana boleh menyebabkan melecur
-
Jika berasa tidak selesa atau sakit, hentikan serta-merta
Kenapa Bertungku Penting Selepas Bersalin?
Selepas bersalin, tubuh wanita mengalami banyak perubahan fizikal dan hormon. Bertungku dipercayai membantu tubuh untuk kembali pulih dengan lebih cepat dan mengurangkan ketidakselesaan. Berikut adalah beberapa manfaat bertungku:
1.Mengurangkan Sakit Dan Sengal
tungku bersalin berfungsi untuk melegakan sakit dan sengal-sengal otot selepas proses melahirkan yang memenatkan. Ia membantu melegakan ketegangan pada bahagian pinggang, punggung dan abdomen.
2.Meningkatkan Peredaran Darah
Apabila tungku yang dipanaskan digunakan pada bahagian tubuh tertentu, ia dapat merangsang peredaran darah dengan lebih lancar. Ini membantu tubuh menyerap lebih banyak oksigen dan nutrien untuk pemulihan yang lebih cepat.
3.Mengecutkan Rahim
Proses bertungku turut membantu mempercepatkan pengecutan rahim selepas kelahiran. Ini amat penting untuk mengembalikan tubuh kepada keadaan sebelum mengandung.
4.Membuang Angin Dalam Badan
Amalan bertungku membantu mengeluarkan angin dalam badan yang sering terjadi selepas bersalin. Angin yang terkumpul dalam badan boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kembung perut.
5.Mencegah Pembengkakan
Tungku bersalin juga membantu mengurangkan pembengkakan pada bahagian tubuh tertentu yang mungkin terjadi selepas proses bersalin, terutamanya pada bahagian kaki dan perut.
6.Meningkatkan Kecantikan Kulit
Selain daripada kesan kesihatan dalaman, bertungku juga dapat membantu kulit ibu menjadi lebih halus dan berseri. Pemanasan daripada tungku merangsang peredaran darah di lapisan kulit, memberi manfaat kecantikan pada kulit.
Jenis-Jenis Tungku
Untuk mendapatkan manfaat bertungku yang optimum, pemilihan batu yang sesuai sangat penting. Berikut adalah beberapa jenis batu atau tungku yang boleh digunakan untuk amalan bertungku selepas bersalin:
1. Tungku Besi
Tungku besi adalah salah satu pilihan yang biasa digunakan. Ia boleh didapati dalam bentuk bulat atau lonjong. Namun, tungku besi bulat agak sukar digunakan terutama pada bahagian perut, kerana bentuknya tidak begitu sesuai.
Oleh itu, tungku besi lonjong lebih disukai kerana ia lebih mudah untuk digunakan pada kawasan perut, memberikan keselesaan lebih kepada ibu.
2. Tungku Batu
Bertungku menggunakan batu sungai adalah pilihan yang popular. Kelebihan tungku batu ini adalah ia lebih lembut dan kurang menyakitkan apabila digunakan dengan cara yang betul.
Batu ini dapat memberikan rasa tenang dan tidak terlalu keras pada tubuh, menjadikannya sesuai untuk ibu yang baru bersalin.
3. Tungku Herba
Tungku herba menggunakan pasir sungai atau batu kecil yang dikeringkan supaya lebih tahan lama. Tungku jenis ini tidak hanya memberikan kehangatan, tetapi juga dimasukkan dengan pelbagai jenis herba seperti jintan hitam, halba, serai wangi, dan banyak lagi.
Herba-herba ini memberikan tambahan manfaat, seperti membantu mengurangkan angin dalam badan dan meningkatkan kesihatan kulit ibu.
Cara Bertungku Selepas Bersalin
Bertungku selepas bersalin bukan sahaja amalan tradisional yang berkesan, malah ia juga memberi ketenangan dan pemulihan untuk ibu yang baru melahirkan.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana cara tungku bersalin yang betul, berikut adalah langkah-langkah mudah untuk melakukannya:
1.Panaskan Batu Tungku
Langkah pertama, pastikan batu tungku dipanaskan terlebih dahulu. Biasanya, ia perlu dipanaskan selama kira-kira 30 minit. Pemanasan batu tungku ini sangat penting untuk memberikan kesan yang optimum kepada tubuh ibu.
2.Balut Batu Tungku Dengan Kain, Daun Mengkudu
Setelah batu tungku panas, balutnya dengan beberapa lapisan kain. Di antara lapisan kain, anda perlu letakkan daun mengkudu. Kenapa daun mengkudu? Daun ini terkenal dengan bau wangi yang terhasil apabila dipanaskan, memberikan rasa tenang dan relaks semasa proses bertungku.
Selain daun mengkudu, anda juga boleh memilih daun sirih, daun kunyit hitam, pandan, lengkuas, atau serai wangi – semua bahan ini memberikan manfaat tambahan untuk kesihatan tubuh ibu!
3.Pastikan Balutan Rapi
Untuk memastikan batu tungku tidak terbuka semasa digunakan, ikatkan balutan dengan kemas pada bahagian hujungnya. Ini penting supaya batu tungku tetap selamat dan tidak terburai semasa proses bertungku.
4.Waktu Bertungku
Bagi ibu yang bersalin secara normal, anda boleh memulakan amalan bertungku seawal hari ke-3 selepas melahirkan anak dan boleh meneruskannya sehingga hari ke-44 berpantang. Jika ingin, anda boleh teruskan bertungku walaupun selepas tempoh berpantang.
Untuk ibu yang melahirkan melalui pembedahan caesarean, sabarlah sedikit. Tunggu sehingga luka pembedahan sembuh sepenuhnya sebelum memulakan rawatan bertungku.
Bahagian Perlu Bertungku Selepas Bersalin
Bertungku selepas bersalin bukan sahaja membantu pemulihan tubuh, tetapi juga memberi manfaat kepada ibu yang ingin mengembalikan bentuk badan seperti sebelum mengandung.
Namun, ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui semasa bertungku untuk memastikan ia dilakukan dengan selamat dan berkesan.
1. Peranakan
Peranakan yang membesar semasa mengandung perlu dipulihkan selepas bersalin. Untuk ini, pastikan batu tungku digerakkan dari bawah perut ke atas, mengikut arah jam. Jangan meletakkan batu tungku pada pusat atau perut.
2. Kawasan Dada, Ketiak
Bertungku di sekitar dada dan ketiak membantu melancarkan aliran darah dan memastikan susu ibu keluar dengan lancar. Setelah itu, bertungku di ulu hati untuk mengatasi angin, dan kemudian ke bahagian belikat untuk melegakan ketegangan.
3. Leher, Kepala
Untuk memulihkan aliran darah ke leher dan kepala, letakkan batu tungku seperti bantal di bawah leher. Ini membantu melegakan ketegangan dan memperbaiki peredaran darah.
4. Bawah Pinggang
Jangan lupa bertungku pada betis, paha, punggung, pinggang, dan kaki! Ini membantu mengurangkan keletihan dan mengembalikan tenaga. Pastikan setiap bahagian tidak melebihi 20 minit.
5. Tapak Kaki
Jika menggunakan batu tungku bulat atau bujur, anda boleh menggerakkan kaki ke hadapan dan belakang di atas batu tungku. Biarkan ia sehingga sejuk, memberi keselesaan selepas seharian berjalan.
Harus diingat, tungku bersalin memang baik tetapi elakkan bertungku lebih dari 30 minit pada setiap bahagian tubuh untuk mengelakkan saluran darah mengecut. Bertungku bukan hanya untuk ibu selepas bersalin, sesiapa sahaja boleh mengamalkan untuk kesihatan tubuh yang lebih baik!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Amalan Tungku Bayi Perlu Dibuat Dengan Cara Betul, Barulah Si Manja Tak Meragam
Baca juga: Cara Bertungku Dengan Betul, Wajib Pada 4 Bahagian Badan Ini Barulah Kempis
Baca juga: Kenali Lima Makanan Penyebab Kembung Di Kalangan Bayi, Jangan Salah Beri!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!