Bagi pasangan yang belum dikurniakan rezeki anak, berhadapan dengan ‘mulut orang’ serta pertanyaan menjurus kepada zuriat kadangkala boleh mengguris hati. Jadi bagaimana untuk ubah mindset anda dalam mengharungi situasi seperti berikut?
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Selalu rasa hilang semangat sebelum ubah mindset
- Reda dan ikhlas, ubah mindset anda
- Bina silaturrahim dengan orang sekeliling
- Ada makcik doakan lahir kembar tiga
Setiap pasangan berumah tangga, mempunyai keinginan menimang cahaya mata kerana anak bukan hanya menceriakan suasana bahkan, penguat kasih sayang antara suami dan isteri.
Selalu rasa hilang semangat sebelum ubah mindset
Seperti dikongsikan pada hantaran Facebook Raihana Kadir yang juga seorang kepada anak kembar tiga, dia sendiri berdepan pelbagai pengalaman sewaktu TTC (Try To Conceive) atau wanita cuba untuk hamil/mengandung selama 5 tahun. Ikuti kisah ibu ini cara mengubah set minda ke arah yang positif.
“Kita akan down jika kita menunggu rezeki yang kita idam-idamkan tak muncul-muncul. Kita akan rasa kecewa jika benda yang kita mahu tak dapat-dapat.”
”Macam dalam situasi berTTC, kita akan rasa down tiap kali kita datang period atau tiap kali kita test UPT dan selalu negatif. Siapa selalu rasa perasaan itu? Bagi saya, itu pengalaman biasa”.
“Tipulah kalau saya kata saya tak pernah lalui. Dulu mula-mula kahwin, boleh dikatakan hari-hari menangis apabila mengetahui ada kenalan hamil atau mereka muat naik di media sosial.”
”Setiap hujung minggu menangis dan biasanya apabila balik ke kampung dan setiap hujung bulan menangis apabila period datang atau UPT negatif”.
“Bila teringat balik, rasa seperti kanak-kanak pun ada, sampai suami pun tak tahu nak cakap apa. ‘Dah la tu Yang, abang dah tak tahu nak cakap apa dah’. Yelah, asyik menangis saja, mana tak suami yang tension“.
Reda dan ikhlas, ubah mindset anda
“Tapi bila sudah lama lebih setahun, saya kurang menangis seperti sudah boleh terima keadaan, namun masih belum reda sepenuhnya. Perlu reda dengan ikhlas, bukan reda tapi dalam hati sedih dan sumpah seranah”.
“Dulu, kalau ada kenduri, rasa malas nak pergi sebab tak nak dapat soalan cepumas seperti; bila nak ada isi?, belum mengandung lagi?, eh, kan dah lama kahwin, belum ada anak lagi? Kadangkala nak menjerit saja dan jawapannya pun kita tak tahu”.
Macam mana kita nak jawab soalan tersebut. Apabila tiba masa waktu balik kampung pun, kita rasa tak mahu balik sebab tak nak tengok isteri-isteri yang perutnya membesar bawa bayi dalam tu, sayu rasa hati. Agak lama saya berperasaan begitu, tetapi bila saya betul-betul reda dengan takdir, saya ubah mindset saya.
Bina silaturrahim dengan orang sekeliling
“Apabila ada kenduri, saya pergi dan balik kampung pun, sudah tidak ada rasa apa-apa. Saya bina silaturrahim bersama keluarga dan kenalan. Bila orang tanya, saya akan jawab dengan tenang, belum lagi, doakan saya ya (sambil tersenyum). Bila kita jawab begitu, pasti orang yang tanya tersebut akan jawab, insya-Allah ada rezeki anak lepas ni”.
“Apa yang kita perlukan adalah doa orang sekeliling sebab kita tidak tahu doa siapa yang termakbul. Jadi kenapa kita mahu jauhkan diri daripada orang sekeliling sedangkan dia boleh mendoakan kita. Saya mohon siapa yang berTTC jadikan rutin minta orang sekeliling doakan kita. Biar ramai yang doakan kita, insya-Allah segalanya dipermudahkan”.
Ada makcik doakan lahir kembar tiga
Menerusi hantaran yang lain, Raihana memberitahu, dia tidak pernah berdoa untuk mendapatkan anak kembar lebih-lebih lagi kembar tiga, setakat teruja apabila melihat orang lain dikurniakan rezeki anak kembar.
“Tapi saya mula teringat ada yang mendoakan saya mendapat kembar tiga semasa berada di Mekah menunaikan ibadah haji. Apabila dapat tahu mengandung kembar 3, tiba-tiba saya teringat makcik yang mendoakan saya itu. Muka tak ingat tapi kata-katanya saya ingat sampai sekarang”.
“Semasa menunggu menunaikan solat zuhur, makcik-makcik di sebelah saya menegur. Mereka bertanya datang dengan siapa, dari mana, duduk tingkat berapa dan macam-macam lagi. Mereka teruja bila ada jemaah muda menunaikan haji, alhamdulillah rezeki saya dan suami. Soalan popular selalu saya dapat adalah, anak dah berapa?”
“Dengan tenang sambil tersenyum saya menjawab, ‘belum lagi cik, acik doakan saya ya’. Jawapan yang selalu saya ulang bila dapat soalan serupa”.
“Terus salah seorang makcik disitu menjawab ‘acik doakan kau balik malaysia lepas ni, terus dapat kembar 3’. Terkedu kejap ‘ala cik, jangan la 3’ dalam hati saya bolehkah mengandung 3 orang. Lepas kejadian itu, saya meneruskan kehidupan seperti orang biasa dan alhamdulillah, doa makcik tersebut dimakbulkan oleh Allah“.
Hantaran tersebut dikongsikan oleh ibu itu pada Mei 2019 dan ketiga-tiga anak kembarnya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan kini membesar dengan sihat. Kami mendoakan semoga dikurniakan kebahagiaan kepada keluarga ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Baru Usia 4 Bulan, Ibu Tak Sedar Mengandung Lagi, Dapat Baby Kembar Pulak Tu!
Baca juga: Wanita Hamil Kembar 4, Lahirkan Dua Bayi Lebih Awal, Dua Lagi Masih Dalam Kandungan