Selepas melahirkan bayi, ibu dan ayah pastinya teringin untuk membawa si kecil melancong bersama anda bukan? Namun, tidak seperti anda, si bayi memerlukan perhatian dan penjagaan yang lebih ketika melancong baik di dalam mahupun di luar negara. Jadi kali ini kami kongsikan tips melancong bersama bayi yang mungkin boleh jadi rujukan anda.
Jadi pada usia berapa yang sesuai untuk bawa anak bagi perjalanan darat atau udara? Sebagai ibu ayah yang prihatin, anda perlu ketahui dahulu tips melancong bersama bayi dan waktu yang sesuai untuk membawa si manja berjalan keluar.
Menurut orang tua-tua dahulu selagi belum cukup 40 hari jangan bawa bayi keluar rumah. Sejauh manakah benarnya pendapat ini?
Isi Kandungan
Umur Berapa Bayi Baru Boleh Dibawa Keluar?
Empat puluh hari selepas dilahirkan adalah masa yang sangat penting untuk ibu mengawasi perkembangan bayi baru lahir.
Ini kerana si manja lebih berisiko mendapat penyakit berjangkit kerana sistem imun badan mereka masih rendah berbanding orang dewasa malah, mereka juga belum dapat menyesuaikan diri dengan suhu persekitaran. Bayi baru lahir amat sensitif dengan suhu, yang mana mereka mudah berasa sejuk atau dingin.
Sebenarnya tidak ada masalah jika anda ingin membawa bayi anda keluar. Tidak perlu menunggu sehingga bayi berusia 6 minggu 2 bulan terlebih dahulu. Ini kerana bayi amat digalakkan untuk terdedah kepada cahaya matahari.
Cahaya matahari mampu membekalkan vitamin D baik buat perkembangan tumbesaran mereka. Namun begitu, jangan biarkan mereka terdedah di bawah matahari terlalu lama. 15 hingga 30 minit sudah memadai.
Selain itu, ibu dan ayah juga perlu mempertimbangkan waktu tidur bayi sekiranya anda bercadang untuk bawa mereka keluar. Waktu tidur bayi penting untuk perkembangan otak dan tumbesaran tubuh mereka. Guna panduan ini untuk ketahui berapa lama anak perlu tidur setiap hari:
- Bayi baru lahir hingga tiga bulan memerlukan waktu tidur antara 14 hingga 17 jam sehari.
- Bayi usia empat hingga 11 bulan pula perlu tidur selama 12 hingga 16 jam sehari.
Pada Usia Berapa Selamat Bayi Naik Kereta
Anda boleh melakukan perjalanan darat menaiki kereta bersama bayi sejurus selepas bayi dilahirkan. Bagaimanapun, pertimbangkan perjalanan mengikut kesesuaian rutin bayi dan rancang perjalanan anda dengan lebih baik terutama bagi perjalanan jauh.
Tatkala bayi anda masih terlalu kecil, anda dinasihatkan untuk tidak membiarkan bayi anda berada di dalam car seat dengan terlalu lama.
Pastikan beberapa faktor keselamatan untuk bayi anda terjaga menerusi tips di bawah ini:
#1. Periksa tempat duduk keselamatan bayi
Perjalanan jauh atau dekat, pastikan anda meletakkan bayi anda di kerusi keselamatan mereka dan dipasang dengan betul.
#2. Duduk dekat dengan anak anda
Sebaiknya, duduk bersama anak anda di tempat duduk belakang kereta supaya anda lebih mudah menjaga keperluan mereka semasa perjalanan.
#3. Kerap berhenti
Untuk mengelakkan bayi meragam anda dan bayi anda harus keluar dari kereta setiap beberapa jam bagi merenggangkan badan. Untuk perjalanan jauh, cuba berehat setiap 2 hingga 3 jam pada waktu siang dan setiap 4 hingga 6 jam pada waktu malam untuk menukar lampin atau pakaian kotor serta memberi makan atau susu kepada bayi anda.
Anda tidak digalakkan untuk menyusukan bayi ketika dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.
#4. Simpan barang keperluan dekat dengan anda
Kemaskan satu beg keperluan bayi dan letak berhampiran dengan anda supaya mudah dicapai ketika anda memerlukannya. Pastikan lampin bayi, makanan, susu formua, baju dan lain-lain yang dirasakan penting diletakkan bersama dalam satu beg.
Pada Usia Berapa Selamat Bayi Naik Kapal Terbang
Bayi mestilah berumur sekurang-kurangnya 16 hari untuk melakukan perjalanan melalui udara. Bayi di bawah umur dua tahun mesti dipegang oleh orang dewasa semasa kapal terbang berlepas, mendarat serta apabila signal “Ketatkan Tali Pinggang Keledar” dihidupkan ketika dalam pesawat.
Ibu dan ayah bagaimanapun harus sedar tentang beberapa masalah kesihatan dan keselamatan yang boleh berlaku terhadap bayi apabila melakukan perjalanan melalui udara.
Menurut Elizabeth Berger M.D., kebanyakan pakar pediatrik percaya bahawa bayi berusia 4-6 minggu sudah boleh melakukan perjalanan menerusi kapal terbang. Walau bagaimanapun, ini hanya terpakai kepada bayi yang sihat dan telah mendapat kebenaran daripada doktor.
Bayi pramatang serta mereka yang mengalami masalah pernafasan atau kesihatan lain, mungkin tidak digalakkan dan sebaiknya hanya melakukan perjalanan darat sahaja. Di samping itu, doktor juga mungkin menyarankan tempoh rehat yang panjang untuk ibu yang mengalami masalah semasa kelahiran atau C-section.
Sentiasa dapatkan dahulu pandangan daripada pakar pediatrik bayi anda apabila anda merancang untuk pergi ke destinasi lain melalui pengangkutan udara. Minta juga tips melancong bersama bayi daripada pakar supaya anak anda lebih terjaga dan percutian anda lebih lancar dan selamat.
Ada beberapa perkara yang harus ibu ayah harus tahu sebelum bawa bayi naik kapal terbang, ia termasuklah:
- Toleransi terhadap tekanan udara – telinga bayi mungkin akan rasa tidak selesa akibat tekanan udara. Jadi pastikan anda berikan sesuatu kepada bayi untuk mereka menghisap bagi menstabilkan tekanan udara dalam telinga
- Meragam – bayi anda mungkin akan meragam kerana tidak selesa. Jadi ibu ayah perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk membawa kelengkapan bayi yang lengkap ke dalam kapal. Mungkin boleh bawa mainan kegemaran mereka dan sebagainya juga
Bagaimana Sistem Imun Mereka?
Bayi baru lahir sangat berisiko dengan penyakit berjangkit kerana sistem imun badan mereka yang masih rendah. Untuk pengetahuan ibu dan ayah, sistem imun ialah rangkaian sel dan protein yang mempertahankan tubuh daripada jangkitan.
Jika bakteria, virus atau bahan asing lain memasuki badan, sel darah putih mengenal pasti dan menghasilkan antibodi dan tindak balas lain terhadap jangkitan.
Sistem imun bayi tidak matang semasa mereka dilahirkan. Ia berkembang sepanjang hayat kerana mereka terdedah kepada kuman berbeza yang boleh menyebabkan penyakit.
Menurut Pakar Pediatrik Hospital Pantai Laguna Merbok, Dr Senthil Kumaran berkata imunisasi ialah daya tahan jangkitan terhadap bakteria atau virus tertentu, manakala vaksin ialah bahan atau ubat yang terdiri daripada virus yang sudah mati atau sudah dilemahkan atau sebahagian daripada bakteria mahupun toksin daripada bakteria tersebut yang sudah dilemahkan.
Tujuan diberikan vaksin supaya sistem imun atau daya tahan jangkitan akan membina antibodi terhadap jangkitan kuman tersebut.
#1. Sistem imun bayi baru lahir
Antibodi dihantar dari ibu kepada bayi melalui plasenta semasa trimester ketiga iaitu 3 bulan terakhir kehamilan. Ini memberi bayi perlindungan apabila mereka dilahirkan. Jenis dan jumlah antibodi yang dihantar kepada bayi bergantung pada tahap imuniti ibu sendiri.
Selepas kelahiran, lebih banyak antibodi disalurkan kepada bayi dalam kolostrum dan susu ibu. Tetapi sistem imun bayi masih tidak sekuat orang dewasa.
Bayi pramatang lebih berisiko dijangkiti kerana sistem imun mereka lebih tidak matang dan mereka tidak mempunyai banyak antibodi yang dihantar kepada mereka daripada ibu.
Bayi menghasilkan antibodi mereka sendiri setiap kali mereka terdedah kepada virus atau kuman, tetapi imuniti ini mengambil masa untuk berkembang sepenuhnya.
Tips Keselamatan Penting Sebelum Bawa Bayi Baru Lahir Keluar
Berikut adalah tips keselamatan yang ibu dan ayah perlu tahu sebelum bawa anak-anak keluar rumah:
#1. Lihat keadaan cuaca
Perhatikan keadaan cuaca terlebih dahalu jika anda merancang untuk membawa bayi anda berjalan di taman.
#2. Elakkan dari terdedah dengan cahaya matahari terlalu lama
Bayi baru lahir tidak sesuai untuk terdedah dengan cahaya matahari terlalu lama. Sinaran matahari dan sinaran UV boleh menyebabkan masalah kulit terbakar kepada kulit bayi baru lahir yang nipis.
Jangan biarkan anak anda terdedah dengan cahaya matahari terlalu lama apabila berada di luar. Digalakkan untuk memakaikan bayi anda krim pelindung matahari, topi ataupun baju berlengan panjang.
Anda juga boleh pastikan bayi duduk dalam stroller yang dilindung dengan penutup sebaik mungkin. Pastikan juga anda memilih masa yang sesuai untuk keluar dan elak waktu matahari terpacar terik.
#3. Elakkan sentuhan
Pada zaman pandemik Covid-19 sekarang ini sebagai ibu elakkan sentuhan bayi anda dengan orang asing, jaga jarak sekurangnya 2 meter ketika membawa mereka keluar.
Ibu, anda perlu berhati-hati dengan orang asing kerana kita tidak tahu tentang kesihatan seseorang. Risiko bayi anda dijangkiti adalah sangat tinggi.
#4. Beri pakaian yang sesuai
Pastikan anda memakaikan bayi pakaian yang sesuai berdasarkan tempat yang ingin dituju. Sebagai contoh, jika mahu pergi ke mall pakaikan pakaian yang tidak terlalu nipis dan pastikan pakai itu selesa dipakai untuk bayi anda.
#5. Pilih tempat yang sesuai
Elakkan bawa bayi anda ke tempat yang terlalu ramai orang. Pastikan anda sentiasa membasuh tangan selepas menyentuh permukaan ataupun barang sebelum memegang si manja anda.
Bawa bersama hand sanitizer setiap masa semasa anda berada di luar. Rajin mencuci tangan dengan sabun sebagai langkah keselamatan.
Cara Elak Bayi Dari Ancaman Covid-19 Jika Bawa Keluar
Berikut merupakan tips melancong penting apabila bersama bayi dan perkara yang boleh ibu dan ayah boleh lakukan untuk melindungi bayi anda:
#1. Hadkan pendedahan luar
Ada masa kita perlu membawa bayi keluar bersiar-siar. Sebelum merancang untuk ke satu tempat pastikan keadaan persekitaran yang tidak terlalu ramai orang.
Sebagai ibu dan ayah, pastikan tiada sentuhan bayi anda dengan orang yang tidak dikenali. Bayi mudah mendapat jangkitan oleh sebab itu, sebagai ibu anda perlu memastikan keselamatan bayi anda baik dan terkawal.
#2. Periksa kesihatan
Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan bayi anda dalam keadaan sihat sebelum dibawa keluar. Sentiasa periksa suhu bayi anda. Dapatkan rawatan segera sekiranya demam yang berpanjangan dan suhu badan melebihi 38.5 darjah celcius.
Segera dapatkan doktor jika panas di bahagian dahi, belakang badan dan perut. Berpeluh lebih daripada hari biasa. Pipi kelihatan kemerahan.
#3. Ikuti perkembangan vaksin
Ibu dan ayah perlu memastikan anak-anak disuntik dengan vaksin mengikut jadual suntikan imunisasi bayi yang terkini. Vaksin amat penting dalam melindungi nyawa mereka lagi-lagi semasa pandemik ini.
Jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda tidak sihat selepas membawa mereka keluar seperti berikut, segera bawa mereka berjumpa doktor:
- Susah untuk bernafas
- Kulit atau bibir kebiruan
- Dehidraasi
- Demam berpanjangan
- Kelesuan
Selain itu, elakkan mereka berdekatan dengan kawasan merokok ataupun tempat yang terlalu panas mahupun kotor.
Semoga bermanfaat.
- Pregnancy Birth and Baby (n.d). How your baby’s immune system develops. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/how-your-babys-immune-system-develops
- Sinar Harian (Jan 1, 2020). Vaksin dan kanak-kanak, wajib atau tidak?. https://www.sinarharian.com.my/article/64209/BERITA/Nasional/Vaksin-dan-kanak-kanak-wajib-atau-tidak
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Lawat Bayi Baru Lahir Ketika Pandemik, Ini Pantang Larang Penting
Baca juga: Ibu Ayah Jangan Larang Jika Bayi Ada Tabiat Menghisap Jari, Banyak Manfaatnya Untuk Mereka!
Baca juga: Senarai Vaksin Bayi Yang WAJIB & Tambahan, Ibu Ayah Perlu Ambil Tahu!