Apabila sebut sahaja tentang pantang selepas bersalin, ramai yang fikir bahawa pemakanan ibu sangat terhad. Ini tidak boleh makan, itu tidak boleh makan demi hendak menjaga kesihatan. Namun, kini sudah banyak snek untuk orang berpantang yang ibu-ibu boleh cuba. Tak adalah rasa kempunan dan selalu lapar sangat!
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Apakah nutrien makanan yang perlu ada dalam snek untuk orang berpantang?
- Pilihan snek untuk ibu dalam pantang yang sedap dan mengenyangkan
Budaya pantang moden tidaklah sama seperti waktu zaman dahulu. Kini, ada ibu-ibu yang memilih untuk tidak berpantang. Sebenarnya, boleh juga jika para ibu tidak mahu pantang mengikut cara zaman nenek moyang kita dahulu.
Apakah nutrien makanan yang perlu ada dalam snek untuk orang berpantang?
Yang penting, ibu selepas bersalin perlulah mendapatkan rehat yang secukupnya, minum air yang banyak sekurang-kurangnya 2 hingga 3 liter sehari, membuat pergerakan sedikit-sedikit mengikut kemampuan badan dan tentulah makan makanan yang berkhasiat!
Oleh itu, kami di theAsianParent ingin berkongsi 5 snek bagi ibu-ibu yang sedang dalam pantang supaya masih boleh menikmati makanan yang sedap dan berkhasiat, walaupun dalam proses penyembuhan.
Ibu yang baru bersalin pasti kehilangan banyak tenaga serta darah, tambahan pula dengan luka setelah bersalin.
Jadi, makanan yang perlu dimakan ketika ibu dalam tempoh berpantang perlulah seimbang dan penuh khasiat supaya si ibu boleh sembuh dengan cepat.
Antara nutrien makanan yang perlu diambil oleh para ibu termasuklah:
- Protein. Pengambilan protein dalam makanan boleh membantu ibu untuk menghasilkan susu badan yang berkualiti bagi si manja. Ia juga dapat menggalakkan pembaikian dan penumbuhan sel-sel baharu dalam badan ibu yang sedang sembuh.
- Karbohidrat kompleks. Karbohidrat memberi para ibu tenaga dan nutrien yang diperlukan dengan segera. Ibu-ibu boleh karbohidrat dalam makanan-makanan seperti bijirin serta roti-roti.
Pilihan snek untuk ibu dalam pantang yang sedap dan mengenyangkan
Apabila menjadi ibu baharu, terlalu banyak perkara yang hendak difikir. Kalau boleh, semua perkara hendak dimudahkan dan disegerakan. Sudahlah sakit bersalin tidak hilang lagi, banyak kerja pula yang harus dibuat selepas bersalin!
Jadi, idea snek yang bakal kami kongsikan ini bukan sahaja berkhasiat, malah mudah disediakan oleh para ibu. Sekejap sahaja sudah siap. Boleh dinikmati ketika si manja sedang nyenyak tidur.
- Epal dan mentega kacang
Bunyi campuran dua makanan ini mungkin agak pelik. Macam mana nak makan buah disapu dengan mentega kacang?
Namun, di negara-negara Barat, ini merupakan satu snek yang agak popular kerana rasanya yang lemak manis memang memikat selera. Pastikan anda menggunakan mentega kacang yang natural bagi mengelakkan kandungan gula berlebihan, ya!
- Biskut laktasi (Lactation cookies)
Bagi para ibu yang mempunyai susu badan yang sedikit, anda boleh mencuba kuih yang menggalakkan penyusuan. Kini, sudah terdapat banyak jenama tempatan yang mengeluarkan kuih atau biskut-biskut yang boleh menggalakkan susu badan untuk menjadi lebih banyak.
- Edamame
Gemarkan makanan Jepun? Maka anda pasti akan menikmati snek ini ketika dalam pantang. Sudahlah mudah untuk dimakan dan disediakan, tetapi sangat bagus untuk kesihatan pula tu. Edamame kaya dengan nutrien seperti protein, serat serta vitamin K.
- Kacang dan buahan kering (Trail mix)
Snek ini sering dimakan dan digemari oleh para pengembara kerana ia mudah dibawa dan disediakan. Bagi ibu yang bakal berada dalam pantang kelak, anda boleh sediakan snek ini awal dan simpan berdekatan anda.
Senang hendak menikmatinya nanti! Tambahkan serpihan kelapa panggang, taburan serbuk teh hijau atau chilli flakes bagi menambah perasa snek ini.
- Greek yogurt dan granola
Greek yogurt kaya dengan protein yang tinggi dan kandungan kalori yang rendah, dan kandungan gulanya tidaklah terlalu tinggi.
Ia juga mengandungi probiotik yang boleh menyihatkan dan melancarkan pergerakan usus ibu. Tambahkan sedikit granola, dan anda boleh nikmati ini sebagai menu sarapan yang mengecurkan liur.
Mudah, sedap dan berkhasiatkan snek-snek yang telah kami kongsi? Kami harap ibu-ibu yang sedang dalam pantang sekarang akan mencuba idea snek ini. Berpantang tidak bermaknan tidak boleh nikmati makanan sedap-sedap!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 9 Jenis Sup Untuk Ibu Berpantang Mudah & Penuh Khasiat, Bantu Banyakkan Susu Ibu
Baca juga: 5 Menu Pantang Yang Sedap Ikut Resepi Bonda Rozita, Bantu Buang Angin & Kuruskan Badan!