Ibu mana yang tidak terasa hati apabila si manja yang dikandung selama 9 bulan dan kemudian dilahirkan dengan penuh susah-payah dikatakan, “Anak puan peliklah,” oleh orang luar. Apatah lagi apabila orang luar tersebut sepatutnya menjadi orang yang dipercayai.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Anak bermasalah dianggap pelik oleh pihak tadika
- 1001 perkara ibu dan ayah perlu tahu tentang kelewatan bertutur dalam diri anak
- Ibu dan ayah boleh gunakan cara ini untuk bendung kelewatan bertutur si manja
Baru dua hari si manja dihantar ke tadika, pusat tadika sudah menyuruh si ibu mengambil pulang anaknya dengan alasan anak wanita tersebut pelik dan tidak normal kerana si kecil tersebut lambat bertutur.
Anak bermasalah dianggap pelik oleh pihak tadika
Ibu tersebut telah berkongsi kisahnya bersama Dr. Redza Zainol yang kemudian berkongsi kisah ibu tersebut di Facebook yang mana hantaran tersebut telah menerima beratus-ratus perkongsian kini.
Menurut kisah si ibu, kanak-kanak yang berusia tiga tahun itu dihantar ke tadika demi memberi pendedahan dan peluang bergaul agar kanak-kanak itu dapat belajar membuat rakan dan bermain bersama kawan-kawan sebaya.
Namun, pada ketika itu, si manja ibu berkenaan masih tidak boleh bertutur dan ibunya juga telah menjelaskan kepada pihak tadika tentang kondisi anak yang masih tidak bercakap langsung. Pihak tadik juga sudah bersetuju untuk menerima anak kecil tersebut.
“Dalam hati, ada sekelumit rasa risau nak lepaskan anak ke tadika tapi niatnya cuma nak beri peluang pada anak untuk bergaul dengan kanak-kanak lain.” Kongsi Dr Redza dalam hantaran Facebooknya, sepertimana yang telah diceritakan oleh ibu berkenaan.
Tanpa disangka, selepas dua hari si manja hadir ke tadika, ibu tersebut menerima satu pesanan mesej bahawa anaknya sukar hendak dikawal. Si kecil tersebut tidak pandai mendengar arahan, tidak boleh fokus dan hanya mampu merengek.
Di hujung mesej tersebut terdapat ayat yang mengusik hati si ibu,
“Puan ambil balik anak puan. Anak puan peliklah. Tak normal.”
Tidakkah kecil hati si ibu apabila anaknya dikatakan sebegitu? Hampir menangis si ibu apabila menceritakan kisahnya.
Walau berkecil hati, ibu tersebut mulai sedar bahawa dia perlu memberi sepenuh tumpuan kepada anaknya. Maka, ibu tersebut memilih untuk berhenti kerja. Ibu dan ayah kepada anak kecil ini terlalu sibuk dengan pelbagai kerja hingga tidak sedar bahawa si manja memerlukan bantuan.
Menurut Dr Redza, ini bukanlah kali pertama beliau mendengar cerita-cerita sebegini. Rata-ratanya, ibu yang bekerjalah yang akan datang dan bercerita lalu menyalahkan diri sendiri atas perkembangan si manja.
Menurutnya lagi, ibu bapa anggap sahajalah ini ujian dan cubalah sepenuh usaha untuk memastikan perkembangan si manja kembali normal.
1001 perkara ibu dan ayah perlu tahu tentang kelewatan bertutur dalam diri anak
Seperti yang kita ketahui, si manja pasti akan mengalami perkembangan mengikut peringkat umur. Jika si manja anda mula berguling dan meniarap sendiri pada usia 6 bulan, itu adalah perkembangan normal.
Namun, jika si kecil mula menginjak usia 12 ke 15 bulan dan masih tidak boleh menyebut perkataan-perkataan mudah seperti “Ibu” atau “Papa” maka si manja mungkin mengalami kelewatan bertutur.
Terdapat beberapa simptom yang ibu dan ayah perlu beri perhatian sekiranya anda mengesyaki si manja mengalami kelewatan bertutur:
- Tidak boleh menyebut perkataan mudah seperti “Ibu”, “Papa”
- Tidak memahami perkataan-perkataan mudah (Contoh: jangan, bukan, susu) pada usia 18 bulan
- Tidak menggunakan ayat-ayat pendek ketika menginjak usia 3 tahun
- Tidak mampu bercerita ketika berusia 4 hingga ke 5 tahun
Sekiranya si manja anda mengalami simptom-simptom ini, ada beberapa faktor mengapa ini boleh terjadi.
- Kehilangan deria pendengaran (pekak)
- Perkembangan yang perlahan
- Masalah pembelajaran
- Tidak meluangkan masa bersama orang-orang dewasa
- Autism
- Elective mutism (kanak-kanak memang tidak mahu berbual)
Sekiranya persekitaran rumah juga menggunakan dua ke tiga bahasa berlainan, si manja juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk bertutur kerana otaknya perlu bekerja dua kali ganda lebih kuat untuk memahami apa yang dibualkan.
Jadi, sekiranya anda khuatir si manja mengalami kelewatan bertutur, apakah yang boleh anda lakukan untuk merawat atau membendung permasalahan ini?
Ibu dan ayah boleh gunakan cara ini untuk bendung kelewatan bertutur si manja
Selain dari menghantar anak ke terapi pertuturan, ibu dan ayah boleh juga berusaha menggunakan cara tersendiri untuk merawat masalah pertuturan si manja dengan sentiasa mempraktikkan beberapa cara mudah ini.
- Fokus dalam berkomunikasi. Sentiasalah berbual, menyanyi atau gunakan apa sahaja kaedah berkomunikasi bersama si manja anda asalkan dia dapat mendengar pertuturan anda. Anda juga boleh menggalakkan penggunaan gerakan tangan dan bunyi-bunyian.
- Membaca kepada si manja. Kita sering lihat ibu bapa di Barat membacakan buku kepada anak mereka, dan ia sebenarnya sangat bagus untuk perkembangan anak! Kenalkan anak kepada pembacaan sejak bayi, dan belikanlah buku-buku yang bersesuaian dengan usianya.
- Menggunakan situasi harian. Sekiranya anda sering membawa si manja kemana sahaja, anda boleh berkomunikasi dengan anak dengan menggunakan situasi harian seperti menamakan sayur-sayur ketika anda dan anak di pasar, atau bercerita kepada anak apa yang anda lakukan hari ini di rumah.
Cara terbaik untuk membendung masalah pertuturan anak ialah dengan mengenal pasti permasalahannya dari awal. Semakin awal ibu ayah sedarkan masalah bertutur anak, semakin mudah untuk meminimakan impak negatif kelewatan bertutur anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Bermain Dengan Anak Speech Delay, Ini 10 Aktiviti Wajib Perlu Buat!
Baca juga: Baru Belajar Bercakap, Ini Topik Yang Boleh Berbual Dengan Bayi
Baca juga: Speech Delay Bukan Terus Hantar Playschool, Kaji Dulu Keadaan Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!