Melihat anak kerap demam boleh membuatkan ibu ayah risau, apatah lagi jika ia berlaku berulang kali. Ada masa, baru sahaja si kecil sembuh, selang seminggu dua demam datang lagi.
Situasi ini pastinya membuatkan ibu ayah berasa buntu, letih, dan kadangkala menyalahkan diri sendiri. Namun adakah anak kerap demam itu normal? Dan bilakah ia menjadi petanda kepada sesuatu yang lebih serius?
Apa Itu Demam?
Demam adalah adalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap jangkitan atau keradangan. Ia terjadi apabila suhu badan meningkat melebihi 37.5°C. Demam membantu tubuh melawan virus atau bakteria dengan mencipta persekitaran yang sukar untuk patogen hidup.
Biasanya, demam berlaku bersama simptom lain seperti:
-
Batuk atau selesema
-
Sakit tekak
-
Cirit-birit atau muntah
-
Badan lesu
-
Hilang selera makan
Namun, bila demam berlaku terlalu kerap seperti setiap bulan atau lebih daripada 10 kali setahun, ia mula menimbulkan tanda tanya.
Adakah Normal Anak Kerap Demam?
Sebenarnya, anak-anak kecil (terutama bawah 5 tahun) lebih mudah dijangkiti penyakit kerana sistem imun mereka masih dalam proses “belajar”.
Menurut pakar, anak yang berumur 1-3 tahun boleh mengalami antara 8 hingga 12 episod demam dalam setahun, terutamanya jika mereka dihantar ke taska atau pusat jagaan kanak-kanak.
Jadi jika si manja anda mengalami demam sebulan sekali, itu masih dalam lingkungan normal, selagi tidak ada komplikasi lain.
Tapi jika demamnya:
-
Terlalu kerap (contoh: dua kali dalam sebulan selama berbulan-bulan)
-
Disertai dengan gejala berat seperti susah bernafas, ruam yang merebak cepat, muntah berterusan atau sawan
-
Tidak sembuh walaupun selepas 5-7 hari
-
Menyebabkan berat badan anak turun atau perkembangan terbantut
Maka inilah masanya untuk anda ambil tindakan lebih serius.
Kenapa Anak Kerap Demam Dan Batuk?
Berikut beberapa sebab kenapa anak kerap demam dan batuk:
1. Sistem Imun Anak Belum Kuat
Badan anak kecil masih belajar melawan virus dan bakteria. Bila terdedah kepada kuman baru, badan bertindak balas dengan demam dan batuk. Ini normal, tapi kalau terlalu kerap, ia boleh mengganggu tumbesaran dan pembelajaran mereka.
2. Persekitaran Tidak Bersih
Habuk, asap rokok, bulu haiwan, dan persekitaran dalam rumah boleh sebabkan anak batuk atau demam. Walaupun rumah nampak bersih, partikel halus yang tak nampak mata kasar tetap boleh ganggu sistem pernafasan anak.
3. Jangkitan Taska atau Tadika
Di tempat yang ramai kanak-kanak, jangkitan mudah merebak. Anak senang dijangkiti virus melalui mainan, tangan, atau bersin dari rakan-rakan. Tak hairanlah kalau anak selalu selesema dan batuk selepas masuk taska.
4. Alergi
Ada anak batuk bukan sebab jangkitan, tapi kerana alahan sama ada pada habuk, makanan tertentu, atau cuaca. Batuknya selalunya kering dan berpanjangan, tanpa demam. Kadang-kadang, kita ingat batuk biasa, tapi sebenarnya alergi.
5. Jangkitan Virus Seperti Influenza atau RSV
Virus seperti influenza dan RSV mudah menyerang kanak-kanak dan boleh datang berkali-kali. Setiap kali kena, anak akan demam, batuk dan hidung berair. Ada juga yang alami batuk menyalak seperti croup.
6. Kekurangan Zat Besi (Anemia)
Bila anak kurang zat besi, sistem imun jadi lemah. Mereka lebih mudah jatuh sakit. Tanda-tanda lain termasuk pucat, cepat penat dan kurang selera makan. Anak yang sangat memilih makanan lebih berisiko.
7. Masalah Asma atau Paru-Paru
Jika anak batuk setiap malam, terutama lepas main atau waktu sejuk, mungkin itu tanda asma. Asma menyebabkan saluran pernafasan sempit dan mudah tercetus bila ada habuk atau pencetus lain. Ini perlu rawatan jangka panjang.
Cara Atasi Anak Kerap Demam Tanpa Ubat
Berikut beberapa cara atasi anak kerap demam atau sakit tanpa perlu bergantung pada ubat:
1. Perkuatkan Sistem Imun Anak
Anak yang mempunyai sistem imun yang kuat lebih jarang jatuh sakit. Pastikan mereka mendapat pemakanan seimbang yang kaya dengan buah, sayur, bijirin penuh dan protein. Nutrien penting seperti vitamin C, D, zinc dan zat besi membantu tubuh melawan jangkitan.
Tidur yang cukup, pengambilan air mencukupi serta pengambilan makanan tinggi vitamin C seperti oren dan jambu batu juga penting untuk kekuatan imun anak.
2. Jaga Kebersihan Diri Dan Persekitaran
Amalan kebersihan harian sangat penting untuk cegah jangkitan. Ajarkan anak cuci tangan dengan sabun sebelum makan, selepas ke tandas, dan selepas bermain. Pastikan juga bilik tidur, pakaian, dan mainan mereka sentiasa bersih dan bebas debu supaya bakteria atau alergen tidak menjejaskan kesihatan mereka.
3. Pendedahan Cahaya Matahari
Aktiviti fizikal bantu menguatkan jantung, paru-paru dan sistem imun anak. Ajak mereka main di taman, berbasikal, atau sekadar berjalan di luar waktu pagi untuk dapat cahaya matahari. Cahaya matahari pagi bantu tubuh hasilkan vitamin D yang penting untuk pertahanan badan.
4. Amalkan Grounding (Berkaki Ayam Atas Tanah)
Grounding atau ‘earthing’ ialah amalan berjalan berkaki ayam di atas tanah, rumput, atau pasir untuk menyerap tenaga semula jadi dari bumi. Kajian menunjukkan ia boleh membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan kualiti tidur, dua perkara penting untuk sistem imun.
Biarkan anak bermain di luar, berkaki ayam di halaman atau di pantai dengan selamat. Ini juga bantu si manja rasa lebih tenang dan gembira.
5. Kurangkan Pengambilan Gula Dan Makanan Berproses
Gula dan makanan diproses boleh lemahkan imun anak jika diambil berlebihan. Gantikan jajan dan minuman manis dengan buah segar dan air kosong. Ini bantu kawal keradangan dalam tubuh dan pastikan sistem imun anak tidak terganggu.
6. Berikan Probiotik Untuk Usus
Kesihatan usus sangat berkait dengan imuniti. Berikan anak makanan yang mengandungi probiotik seperti yogurt tanpa gula, kefir, atau minuman probiotik. Bakteria baik dalam usus membantu tubuh lawan penyakit dari dalam.
7. Pastikan Anak Tidur Dan Rehat Dengan Cukup
Tidur yang cukup dan berkualiti penting untuk tubuh anak ‘recharge’. Anak kecil perlukan tidur 10–13 jam sehari, bergantung kepada umur. Elakkan penggunaan skrin sejam sebelum tidur dan wujudkan rutin malam yang tenang untuk membantu mereka tidur lebih lena.
8. Elakkan Tempat Sesak Dan Tertutup
Tempat sesak seperti pusat membeli-belah, taman permainan indoor atau majlis ramai orang cenderung jadi tempat penyebaran virus dan bakteria. Jika perlu keluar, pastikan anak memakai pelitup muka (jika sesuai), dan elakkan membawa anak ke kawasan tertutup yang padat terutama ketika musim penyakit berjangkit seperti selesema atau influenza.
9. Jauhkan Anak Dari Individu Tidak Sihat
Jika ada ahli keluarga, pengasuh atau sesiapa sahaja yang sedang demam, batuk atau selesema, cuba elakkan anak daripada terlalu dekat atau berinteraksi rapat.
Walaupun niat ingin bermain atau memeluk, risiko jangkitan boleh meningkat. Kanak-kanak kecil mempunyai sistem imun yang masih berkembang dan mudah dijangkiti walaupun melalui sentuhan ringan atau batuk di udara.
10. Rawatan Semula Jadi
Kadang-kadang, rawatan semula jadi lebih lembut dan sesuai untuk anak kecil. Madu boleh melegakan batuk (hanya untuk anak 1 tahun ke atas), air suam campur lemon bagus untuk tekak, dan bawang putih boleh digunakan dalam masakan kerana sifat antibakterianya. Urutan menggunakan minyak kelapa juga bantu panaskan badan anak yang demam.
Bila Perlu Ke Hospital Jika Anak Demam?
Jangan teragak-agak untuk ke klinik jika:
-
Suhu anak lebih dari 39°C
-
Demam lebih dari 3 hari
-
Anak kelihatan sangat lesu atau tidak aktif
-
Mengalami sawan atau bernafas laju
-
Ada ruam yang tidak hilang bila ditekan
-
Berat badan merosot atau tidak membesar seperti sepatutnya
Kadangkala, ujian darah atau air kencing mungkin diperlukan untuk mengetahui punca sebenar.
Kesimpulannya, anak kerap demam dan batuk adalah perkara biasa bagi mereka yang sedang membesar. Ibu ayah perlulah mempraktikkan amalan kebersihan diri dan menguatkan sistem imun melalui pemakanan atau aktiviti fizikal.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Elak Anak Mudah Jatuh Sakit, Ini 10 Cara Tingkatkan Imun Si Manja Agar Kekal Sihat & Aktif
Baca juga: Tabiat Dan Gaya Hidup Yang Boleh Melemahkan Sistem Imun Anak
Baca juga: Tanda-Tanda Sistem Imun Anak Lemah Dan Cara Mengatasinya
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!