Sebagai ibu bapa, tiada yang lebih merisaukan selain melihat anak kita kerap jatuh sakit. Baru saja sembuh dari demam, tiba-tiba batuk pula menyerang. Kemudian, selesema tak habis-habis. Persoalannya, kenapa anak kerap jatuh sakit?
Dan yang lebih penting, bagaimana ibu ayah boleh membantu mereka supaya lebih kuat dan sihat?
Kenapa Anak Kerap Jatuh Sakit?
Berikut beberapa sebab kenapa anak kerap jatuh sakit:
1. Sistem Imun Belum Matang
Anak kecil, terutamanya bayi dan kanak-kanak bawah 5 tahun, masih dalam proses membina sistem imun mereka. Ini bermakna tubuh mereka belum cukup kuat untuk melawan pelbagai jenis virus dan bakteria yang wujud di sekeliling mereka.
Setiap kali mereka jatuh sakit, sebenarnya tubuh mereka sedang belajar menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit tersebut. Walaupun ini sebahagian daripada proses pembesaran, ia boleh membuatkan mereka lebih kerap sakit.
2. Persekitaran Kurang Bersih
Anak kerap jatuh sakit dikaitkan dengan persekitaran kurang bersih.
Anak-anak yang suka bermain di tempat awam atau pusat jagaan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada kuman. Mainan yang dikongsi, batuk atau bersin tanpa menutup mulut, dan sentuhan dengan permukaan yang tercemar, semua ini menyumbang kepada penyebaran penyakit.
Di samping itu, anak kecil masih belum faham tentang kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan betul, jadi mereka mudah membawa kuman ke mulut atau hidung.
3. Pemakanan Tidak Seimbang
Nutrisi yang lengkap dan seimbang adalah asas kepada sistem imun yang kuat. Kekurangan nutrisi seperti vitamin C, D, dan zat besi boleh melemahkan sistem imun anak.
Jika mereka terlalu banyak makan makanan ringan, makanan segera, atau kurang sayur dan buah, mereka lebih berisiko untuk jatuh sakit. Nutrisi yang mencukupi membantu tubuh menghasilkan sel imun yang berfungsi dengan baik.
4. Kurang Tidur
Anak kerap jatuh sakit juga berpunca daripada kurang tidur. Tidur yang cukup sangat penting untuk sistem imun yang kuat. Anak yang kurang tidur lebih mudah dijangkiti penyakit kerana tubuh mereka tidak mendapat masa yang cukup untuk memulihkan diri dan menghasilkan sel imun.
Tidur yang mencukupi juga membantu keseimbangan hormon dan memastikan tenaga mereka kekal optimum.
5. Stress dan Keletihan
Jangan sangka anak kecil tak boleh stress. Perubahan persekitaran seperti mula masuk tadika, perpindahan rumah, atau kehadiran adik baru boleh menyebabkan tekanan emosi. Tekanan ini boleh melemahkan sistem imun mereka. Anak yang letih juga lebih mudah sakit kerana tubuh mereka tidak cukup rehat.
Pada Usia Berapa Anak Mudah Jatuh Sakit?
Kanak-kanak berusia bawah 7 tahun masih mempunyai sistem imun yang belum matang. Anak kecil terutamanya yang mula bersekolah atau dihantar ke pusat jagaan harian akan terdedah kepada persekitaran dan patogen (kuman) baharu yang mereka belum pernah alami sebelum ini.
Di sekolah atau pusat jagaan harian, kanak-kanak mudah menyebarkan kuman kerana mereka masih belum belajar cara menutup mulut ketika batuk atau bersin.
Selain itu, saluran pernafasan bahagian atas mereka juga belum berkembang sepenuhnya sehingga mereka mencapai usia persekolahan.
Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada jangkitan virus dan bakteria. Kanak-kanak kecil juga cenderung memasukkan tangan ke dalam mulut, menyebabkan kuman yang mereka sentuh di permukaan mudah masuk ke dalam tubuh.
Oleh sebab faktor-faktor ini, kanak-kanak mungkin kerap mengalami penyakit. Namun, perkara ini juga membantu mereka membina imuniti semula jadi terhadap penyakit tersebut.
Kekerapan Anak Jatuh Sakit
Adalah perkara biasa bagi kanak-kanak kecil, termasuk bayi dan kanak-kanak prasekolah, untuk mengalami 8 hingga 12 kali selsema, jangkitan pernafasan, atau gangguan perut dalam setahun.
Kanak-kanak usia sekolah dan pra-remaja secara purata mengalami 5 hingga 6 kali penyakit setahun, manakala remaja dan orang dewasa biasanya mengalami 2 hingga 3 kali selsema atau penyakit dalam tempoh setahun.
Tanda Anak Mudah Jatuh Sakit
Berikut tanda tanda anak mudah jatuh sakit:
-
Sering demam dalam tempoh yang dekat
-
Batuk dan selesema berulang kali
-
Letih dan kurang aktif
-
Kurang selera makan
-
Mudah menangis atau meragam
-
Berat badan susah naik atau menurun
Cara Mengatasi Anak Mudah Jatuh Sakit
Antara cara mengatasi anak kerap jatuh sakit adalah dengan:
1. Pastikan Pemakanan Berkhasiat
Bagi mengatasi anak kerap jatuh sakit, ibu ayah hendalah memastikan pemakanan sihat buat si manja.
Berikan anak makanan yang seimbang dengan cukup protein, vitamin, dan mineral. Buah-buahan seperti oren, kiwi, dan sayuran hijau gelap kaya dengan vitamin C yang baik untuk imuniti. Pastikan mereka mendapat cukup zat besi dari sumber seperti daging, ayam, dan bayam, serta vitamin D dari susu atau pendedahan cahaya matahari.
2. Galakkan Aktiviti Fizikal
Aktiviti fizikal membantu menguatkan tubuh anak dan meningkatkan ketahanan badan. Berlari, berbasikal, menari, atau bermain di taman membantu melancarkan peredaran darah dan memperbaiki fungsi paru-paru dan jantung.
3. Pastikan Cukup Tidur
Tetapkan rutin tidur yang konsisten. Anak bawah 5 tahun perlukan sekurang-kurangnya 10-12 jam tidur sehari. Pastikan mereka tidur awal dan bangun pada waktu yang sama setiap hari.
4. Jaga Kebersihan
Cara mengatasi anak kerap jatuh sakit adalah dengan menjaga kebersihan. Ajarkan anak tentang cara mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun, terutama sebelum makan dan selepas bermain. Bersihkan mainan mereka secara berkala dan pastikan rumah sentiasa dalam keadaan bersih.
5. Berikan Suplemen Jika Perlu
Jika anak susah makan atau sering sakit, rujuk doktor tentang keperluan suplemen seperti vitamin C, D, atau probiotik. Suplemen boleh membantu melengkapkan kekurangan nutrisi.
Makanan Yang Menguatkan Imun Anak
Berikut adalah beberapa jenis makanan menguatkan sistem imun anak agar tidak mudah jatuh sakit:
1. Buah-buahan Citrus (Oren, Lemon, Limau, Kiwi)
Buah-buahan citrus kaya dengan vitamin C, yang berperanan penting dalam meningkatkan pengeluaran sel darah putih. Sel darah putih bertanggungjawab dalam melawan jangkitan dan memastikan tubuh anak lebih tahan terhadap serangan virus dan bakteria. Selain itu, vitamin C juga membantu mempercepatkan pemulihan sekiranya anak mengalami demam atau selesema.
2. Yogurt & Makanan Probiotik
Yogurt mengandungi probiotik, iaitu bakteria baik yang membantu menjaga kesihatan sistem pencernaan. Kajian menunjukkan bahawa sistem imun berkait rapat dengan kesihatan usus. Dengan mengamalkan makanan probiotik seperti yogurt, tempe, dan kefir, anak akan mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lebih kuat untuk melawan penyakit.
3. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran seperti bayam, brokoli, dan sawi kaya dengan vitamin A, C, dan E serta serat yang penting untuk kesihatan tubuh. Vitamin A terutamanya membantu menjaga kesihatan kulit dan membran mukosa yang menjadi benteng pertama dalam melawan kuman.
4. Makanan Tinggi Zink (Daging, Kacang, Kekacang)
Zink adalah mineral yang berperanan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan sistem imun. Makanan seperti daging merah tanpa lemak, ayam, ikan, kekacang, dan biji labu kaya dengan zink yang membantu meningkatkan keupayaan tubuh melawan jangkitan dan mempercepatkan penyembuhan luka.
5. Ikan Berlemak (Salmon, Tuna, Sarden)
Ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 seperti salmon dan tuna membantu mengurangkan keradangan dalam tubuh serta menguatkan sel imun. Omega-3 juga baik untuk perkembangan otak dan kesihatan jantung anak.
6. Telur
Telur merupakan sumber protein berkualiti tinggi yang mengandungi pelbagai nutrien penting seperti vitamin D, B6, dan B12. Vitamin D khususnya memainkan peranan dalam meningkatkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan virus dan bakteria.
7. Kekacang & Biji-bijian (Almond, Walnut, Chia Seed)
Kekacang mengandungi vitamin E dan antioksidan yang membantu meningkatkan sistem imun. Vitamin E berperanan melindungi sel-sel tubuh daripada serangan radikal bebas yang boleh melemahkan daya tahan badan.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Berikut beberapa keadaan yang memerlukan anda bawa anak berjumpa doktor dengan segera:
-
Demam berterusan lebih 3 hari
-
Sesak nafas atau batuk berlarutan
-
Kehilangan selera makan yang teruk
-
Terlalu letih atau kurang responsif
-
Muntah atau cirit-birit yang berpanjangan
Kesimpulannya, menjaga anak kerap jatuh sakit adalah agak mencabar. Namun dengan penjagaan yang baik, ibu ayah boleh membantu si manja membesar dengan sihat dan kuat. Jangan lupa, kasih sayang dan perhatian kita juga memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan mereka.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Selain Makan Ubat, Doktor Ini Kongsikan 5 Cara Elak Anak Kerap Selesema!
Baca juga: 11 Jenis Makanan Untuk Paru Paru Kuat, Sesuai Untuk Anak Yang Selalu Batuk Berkahak
Baca juga: Anak Demam Panas (High Fever): Punca Demam, Gejala Dan Petua Hilangkan Demam Panas
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!