Ibu ayah mana yang tidak teruja apabila melihat perkembangan anak petah bercakap tanpa pelat walaupun usia baru setahun jagung.
Ramai yang tidak tahu bahawa waktu makan mungkin nampak singkat, tetapi sebenarnya ia adalah kesempatan berharga untuk anak-anak belajar bahasa dan pelbagai kemahiran sosial.
Anak Petah Bercakap Tanpa Pelat Seawal 18 Bulan
Perkongsian seorang ibu, Rabiatul Aini menerusi video dimuat naik di Tiktok telah mencairkan hati warganet dengan telatah anaknya, Amaar Muhriz yang baru sahaja berusia 2 tahun 4 bulan tetapi dilihat bijak dalam berkata-kata.
Di dalam video berkenaan, memaparkan Aamar Muhriz makan dengan cukup berselera malah menghabiskan makanan sambil mulutnya pula tak lekang memuji masakan ibunya.
Bukan setakat itu sahaja, dia juga tidak lupa mempelawa ibu makan bersama.
Kongsinya, dia hanya menjalankan rutin harian seperti biasa ketika mengandungkan Amaar Muhriz. Dengan izin Allah, Amaar sudah boleh bercakap seawal 18 bulan.
Tips Untuk Tarik Selera Makan Anak
Saya bukanlah terlalu pandai dalam hal ini, tetapi saya cuba kongsikan apa yang saya lakukan pada Amaar sekiranya ada masa yang beliau tidak mahu makan. Amaar juga pernah kurang selera makan selama 2 bulan.
1. Jaga Waktu Makan
Perkara pertama yang saya buat untuk tarik semula selera anak adalah saya menjaga waktu makan seperti waktu sarapan, makan tengahari dan juga makan malam.
Tidak mengapa sekiranya anak masih menolak makanan pada hari pertama, esok masih ada. Kita cuba setiap hari sehingga kita boleh trigger rasa lapar anak pada waktu yang betul.
Lama-kelamaan anak tahu pada waktu bila beliau akan makan. Konsep ini sebenarnya sama seperti kita memasuki asrama.
Mungkin pada permulaan, kita agak terkejut dengan rutin asrama yang makan sehingga 5 kali sehari.
Setelah beberapa bulan, kita juga boleh sesuaikan diri dengan jadual pemakanan asrama dan sentiasa lapar. Begitu juga dengan anak kita.
2. Mulakan Dengan Kuantiti Yang Kecil
Meletakkan makanan anak dengan kuantiti yang banyak sebenarnya menambahkan tekanan pada anak kita.
Tidak mengapa sekiranya hari ini anak kita makan dengan kuantiti yang sangat sikit tetapi habis, itu adalah satu pencapaian yang besar bagi mereka dan mereka tidak rasa stress pada waktu makan.
Kita boleh menambahkan kuantiti makanan mereka hari demi hari. Kuncinya hanya sabar dan enjoy dalam setiap progress anak.
3. Disiplinkan Anak Pada Waktu Makan
Saya juga selalu menekankan tidak boleh melihat televisyen atau bermain telefon ketika waktu makan.
Terlampau banyak kesan buruk sekiranya anak tidak fokus pada waktu makan seperti anak perkembangan anak menjadi perlahan kerana tiada interaksi antara ibu bapa dan anak.
Anak juga mudah mengamuk dan menjadi cepat marah apabila kita menghentikan aktiviti anak terhadap gajet.
Waktu makan adalah waktu yang sangat baik untuk mengembangkan lagi kebolehan koordinasi motor kasar dan halus.
Jadi sangat penting sekiranya anak perlu fokus pada waktu makan.
Hai Assalamualaikum semua 😊. Ramai tanya resipi bawang.. sebenarnya tak de resipi pun.. bawang tu ibu selalu letak hujung2 time masak lauk 😂🫶🏻😊😊 bawang tu lah yg amaar makan. Hehe sayang semua! Bismillahi masya Allah. Hadza min fadhli rabbi 🤍✨
♬ original sound – RA
Bagaimana Amaar Boleh Suka Makan Semua Sayuran Terutamanya Bawang?
Pendedahan awal terhadap anak-anak kita sangat penting lagi-lagi dari segi pemakanan. Begitu juga dengan Amaar Muhriz, saya dedahkan rasa sayur seawal dari umur 6 bulan.
Kini usianya menjelang 2 tahun 4 bulan, dia sudah biasa dengan rasa sayur seperti lobak, broccoli, timun, tomato dan juga bawang.
Saya juga galakkan Amaar untuk menerokai pelbagai jenis sayur-sayuran mengikut kehendak dia sendiri begitu juga dengan bawang.
Makanan kegemaran Amaar yang wajib bagi saya ada setiap hari adalah bawang, lobak dan anggur.
Berikan Pandangan Tentang ‘No Sugar No Salt’ Dalam Makanan Bayi
‘No sugar no salt rule’ bagi saya sangat penting lagi-lagi di fasa anak baru belajar makan. Saya turut amalkannya sehingga Amaar berusia 2 tahun.
Kini makanan Amaar sudah ada gula dan garam tapi dalam kadar yang sangat sedikit. Seperti yang kita tahu, jika kita masak lauk harian kita hanya meletakkan sedikit sahaja garam dan gula.
Begitu juga dengan makanan Amaar sekarang.
Sebenarnya ‘no sugar no salt’ ni sangat penting bagi menjaga kesihatan dalaman bayi lagi-lagi yang berusia 6 bulan – 1 tahun.
Perkara yang paling kita takuti adalah risiko buah pinggang bayi terbeban sekiranya kita terlalu awal memberi garam dan gula pada bayi berusia 6 bulan – 1 tahun.
Selain itu, no sugar no salt boleh mengelakkan bayi terlalu cerewet memilih makanan, atau erti kata lain “picky eater”.
Bagi saya, ‘no sugar no salt’ membantu anak-anak kita menggunakan deria rasa mereka dengan lebih baik, mereka dapat merasa manisnya buah dan sayuran.
Anak-anak kita juga tidak kekok untuk mencuba sesuatu makanan yang baru dalam lingkungan usia mereka.
Pengalaman Dari Usia Berapa Anak Mula Bertutur
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, ketika Amaar usia 1 tahun, dia sudah ada beberapa perkataan yang bermakna seperti ‘ball’, nak, dan susu.
Setelah usia Amaar 1 tahun 6 bulan, Amaar sudah memiliki lebih 50 patah perkataan yang boleh disebut.
Daripada itu, saya mengajar Amaar untuk membina ayat seperti “nak air”, “nak susu” dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit saya bantu Amaar dalam aspek membina ayat untuk percakapan harian sehingga anak petah bercakap.
Bermula dengan 2 perkataan dalam satu ayat, menjadi 3 perkataan dan seterusnya kini usianya 2tahun, Amaar sudah boleh membina ayat lebih dari 5 perkataan.
Saya selalu membiasakan diri saya untuk bercakap dan bersembang dengan Amaar seperti seorang kawan tanpa bahasa pelat.
Sejak saya mengandungkan Amaar lagi saya selalu berborak dengan Amaar.
Meluah perasaan dengan Amaar walaupun ketika itu Amaar hanya boleh membalas perbualan saya dengan menendang perut saya dari dalam.
Bagaimana Cara Ibu Ayah Ajar Tentang Adab & Pertuturan
Bagi saya sebagai seorang ibu, menunjukkan perkara yang baik lebih mudah untuk anak kita contohi dalam pelbagai aspek seperti pertuturan dan adab.
Anak berusia 2 tahun, otak mereka seperti span yang gebu, mudah untuk menyerap apa sahaja yang mereka lihat dan dengar.
Bagaimana cara kita bercakap, cara kita berunding, tingkah-laku kita sepanjang hari semua diperhati oleh anak kita.
Jika Amaar ada melakukan apa-apa kesalahan, saya lebih gemar untuk ayah Amaar sendiri yang menegur secara baik tetapi masih tegas. Susuk tubuh seorang ayah adalah idola dan hero dimata anak-anak kita.
Kajian juga ada mengatakan, anak lebih cenderung mendengar nasihat daripada seorang ayah. Sama seperti waktu kita masih kecil, hanya mendengar ayah berdehem kita sudah rasa takut dan gementar dengan kesalahan yang kita lakukan.
Kesimpulannya, ibu dan ayah ada peranan masing-masing dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
Tips Dan Nasihat Buat Ibu Yang Lain
Pemakanan dan pertuturan adalah perkara yang berkait rapat. Anak yang bagus dalam aspek pemakanan lebih cenderung untuk mudah bercakap.
Hal ini kerana, oral motor seperti bibir, lidah pipi dan rahang akan terlibat sewaktu anak kita makan dan minum.
Pergerakan seperti mengunyah dan menggit dikait rapat dengan perkembangan pertuturan menjadikan anak petah bercakap..
Pada zaman sekarang, ramai nutritionist yang selalu berkongsi tips di laman sosial seperti Amalina Mohd Daud, Noriza Dahalan dan ramai lagi.
Sebagai seorang ibu saya sarankan untuk sentiasa mencari ilmu pemakanan anak-anak.
Untuk mendidik anak supaya suka makan dan tidak memilih makanan bukanlah dihasilkan dalam masa yang singkat.
Saya sendiri ambil masa hampir dua tahun untuk Amaar boleh makan sendiri dan tidak memilih makanan.
Teruskan sabar dan sentiasa enjoy dalam fasa membesarkan anak. Usaha tidak mengkhianati hasil dengan izin Allah.
Jika ibu ayah menghadapi masalah speech delay dalam kalangan anak mereka, saya yakin sebagai seorang ibu pasti ibu-ibu diluar sana sudah berusaha sehabis baik untuk anak-anak mereka.
Saya juga tahu tiada seorang pun ibu dan ayah yang mahu anak mereka mempunyai masalah dalam pertuturan.
Saya cuma mampu doakan semoga ibu-ibu diluar sana terus kuat mendidik anak, terus tabah, sabar dan bangga dalam setiap milestone anak.
Ingat, setiap anak perkembangan mereka lain-lain. Raikan anak kita tanpa membuat perbandingan dengan anak orang lain.
Tahniah kepada ibu bapa yang sentiasa alert dengan perkembangan anak, yang sentiasa rajin merujuk pakar jika ada apa-apa masalah kepada anak.
Semua ibu dan bapa sudah melakukan yang terbaik dalam membesarkan anak-anak. Jangan sesekali merasa kita adalah ibu bapa yang gagal.
Kita adalah contoh yang terdekat untuk anak kita. Teruskan jadi ibu bapa yang kuat, sabar dan rajin. Hadza min fadhli Rabbi
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Nak Anak Selalu Bertanya & ‘Ringan’ Mulut? Ibu Ini Kongsi Petuanya Untuk Anak Cepat Bercakap Yang Pasti Menjadi!
Baca juga: Rasa Anak Lambat Bercakap Walaupun Dah Masuk 2 Tahun? Ibu Ayah, Ini Panduan Untuk Bantu Anda!
Baca juga: Anak Tidak Mahu Berkawan & Bermain Dengan Kanak-Kanak Lain, Patutkah Ibu Risau?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!