Membesarkan anak pada zaman kini bukan lagi semudah seperti dahulu. Dalam dunia yang semakin moden dan pantas berubah, ibu bapa berdepan pelbagai cabaran baru daripada pengaruh teknologi, tekanan rakan sebaya, hinggalah kepada masalah sosial.
Budak Lelaki 11 Tahun Mengandungkan Sepupu 15 Tahun
Menurut laporan Sinar Harian, Polis Kelantan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun dipercayai atas dasar cinta bawah umur.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kes sumbang mahram di Kelantan sangat membimbangkan, apabila saban tahun kejadian rogol melibatkan bawah umur yang dilaporkan adalah kerana suka sama suka, bukannya paksaan.
“Tahun lepas sebanyak 252 kes direkodkan manakala tahun sebelumnya (2023) 206 kes. Tahun ini, dari Januari hingga Mac sudah meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, hasil siasatan pihak polis mendapati 98 peratus kes rogol di Kelantan berlaku kerana suka sama suka.
Telefon Penuh Video Dan Gambar Porno
Ujarnya, lebih membimbangkan apabila kes tersebut melibatkan mangsa di bawah umur serta terdapat trend kanak-kanak perempuan mencari lelaki.
Mohd Yusoff memberitahu, hasil pemeriksaan terhadap telefon milik kanak-kanak perempuan terbabit banyak menemukan video serta gambar-gambar porno.
“Hasil penemuan kami juga mendapati kanak-kanak perempuan ini sanggup merekod gambar atau video bogel mereka dan dikongsi kepada lelaki yang baru dikenali melalui media sosial.
“Masyarakat terutama ibu bapa, pihak sekolah diharap tidak cuba menyembunyikan kes rogol melibatkan sumbang mahram terutama kanak-kanak. Kena lapor pada kami,” katanya.
Masalah Sosial Yang Meningkat
Menurut beliau, pihak polis bukan hendak mendedahkan peningkatan kes rogol di Kelantan, tetapi ingin menekankan masalah sosial yang sedang berlaku di negeri ini.
Ujarnya, hasil kajian pihak polis mendapati bahawa faktor seperti konflik keluarga, hubungan cinta, pendedahan kepada video atau gambar lucah, kurangnya didikan agama, pengaruh rakan sebaya, serta penggunaan dadah antara punca utama berlakunya perbuatan terkutuk tersebut.
Beliau menambah, 30 peratus daripada kes rogol dan sumbang mahram disumbangkan oleh penggunaan dadah, berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan.
Memahami Akil Baligh Anak Lelaki
Akil baligh ialah peringkat di mana seseorang mencapai keupayaan pembiakan sepenuhnya dan membentuk ciri-ciri dewasa mengikut jantina mereka.
Bagi lelaki, akil baligh biasanya bermula antara umur 10 hingga 14 tahun, lazimnya bermula dengan pertumbuhan buah zakar (testis).
Namun begitu, tidak luar biasa jika akil baligh bermula seawal umur 9 tahun. Perubahan fizikal lain semasa akil baligh boleh berterusan sehingga umur 16 hingga 18 tahun.
Proses Akil Baligh Budak Lelaki
Semasa akil baligh, testis akan meningkatkan pengeluaran hormon testosteron.
Testosteron menyebabkan organ pembiakan menjadi matang, otot dan tulang membesar, rambut pada muka dan kemaluan mula tumbuh, dan suara menjadi lebih garau.
Hipotalamus dan kelenjar pituitari (yang terletak di dalam otak) akan mencetuskan proses akil baligh. Hipotalamus akan merembeskan hormon pelepas luteinizing (LHRH) yang akan merangsang kelenjar pituitari untuk merembeskan hormon luteinizing (LH) dan hormon perangsang folikel (FSH).
Hormon LH menyebabkan testis menghasilkan testosteron. Hormon FSH pula (bersama dengan testosteron) merangsang pengeluaran sperma oleh testis.
Testosteron bertanggungjawab untuk perkembangan ciri-ciri seks sekunder, iaitu ciri-ciri lelaki yang berkembang selain daripada organ pembiakan, seperti pertumbuhan bulu muka dan perubahan suara.
Perkembangan seksual berlaku dalam urutan tertentu seperti berikut:
-
Pembesaran skrotum dan testis
-
Pemanjangan zakar (sekitar umur 11½ hingga 13 tahun)
-
Pembesaran vesikel mani dan kelenjar prostat
-
Pertumbuhan bulu kemaluan
-
Pertumbuhan bulu di muka dan bawah lengan (sekitar 2 tahun selepas bulu kemaluan mula tumbuh)
-
Ejakulasi menjadi mungkin (biasanya semasa pertengahan remaja, sekitar umur 12½ hingga 14 tahun)
Kesuburan biasanya belum tercapai sepenuhnya sehingga ke peringkat remaja yang lebih lewat. Pembesaran payudara sementara (dipanggil ginekomastia) pada sebelah atau kedua-dua belah boleh berlaku dalam kalangan remaja lelaki dan biasanya akan hilang dalam masa setahun.
Telefon Bimbit Punca Masalah Sosial
Kemajuan teknologi komunikasi telah membawa banyak manfaat dalam kehidupan seharian. Namun begitu, kemudahan ini juga membuka ruang kepada pelbagai cabaran sosial yang membimbangkan, terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
1. Pendedahan Kandungan Tidak Sihat
Media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai bentuk kandungan- ada yang bersifat mendidik, tetapi tidak kurang juga yang bersifat lucah dan tidak sesuai untuk tontonan remaja.
Tanpa pemantauan ibu bapa, anak-anak perempuan boleh terdedah kepada video, gambar atau mesej berunsur seksual, yang boleh merangsang rasa ingin tahu dan membawa kepada ketagihan kandungan seksual secara senyap.
2. Risiko Terjebak Dalam Pergaulan Bebas
Ramai remaja perempuan yang mudah terpengaruh dengan budaya kebebasan di media sosial, termasuk cara berpakaian, gaya hidup, dan cara berinteraksi dengan rakan lelaki.
Tanpa panduan dan pengawasan daripada ibu bapa, mereka mungkin terjerumus dalam pergaulan bebas, yang membawa kepada hubungan intim sebelum berkahwin dan risiko kehamilan luar nikah.
Perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada maruah diri, tetapi juga masa depan pendidikan dan kehidupan sosial mereka.
3. Penyalahgunaan Aplikasi Chat dan Media Sosial
Aplikasi seperti WhatsApp, Instagram, dan Telegram sering disalahgunakan untuk berbalas mesej berunsur seksual secara peribadi (sexting), berkongsi gambar tidak senonoh, dan membina hubungan cinta secara maya yang tidak sihat.
Sesetengah gadis remaja juga menjadi mangsa grooming, iaitu proses di mana individu dewasa memanipulasi emosi mangsa untuk tujuan seksual.
Cadangan Ibu Bapa
-
Tetapkan had masa penggunaan telefon bimbit, khususnya pada waktu malam.
-
Gunakan aplikasi kawalan ibu bapa untuk menapis kandungan yang tidak sesuai.
-
Bina hubungan yang terbuka dengan anak-anak agar mereka berasa selamat untuk berkongsi masalah.
-
Berikan pendidikan seksual yang betul dari sudut agama dan nilai moral agar anak perempuan tahu menjaga diri dan batas pergaulan.
-
Pantau rakan dalam talian dan aktiviti di media sosial tanpa bersikap terlalu mengongkong, sebaliknya bertindak sebagai pembimbing yang bijak.
Kes budak 11 tahun mengandung sepupunya berusia 15 tahun ini wajib menjadi peringatan kepada semua ibu bapa tentang pentingnya pendidikan awal, pengawasan, dan komunikasi dalam membentuk tingkah laku anak-anak.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan sokongan dan sumber yang diperlukan untuk membantu keluarga dalam mendidik generasi muda.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: 4000 remaja bawah umur hamil anak luar nikah setiap tahun! Apa kita boleh buat?
Baca juga: Akibat Perkahwinan Bawah Umur, Doktor Dedah Realiti Menyedihkan Dalam Bilik Bersalin
Baca juga: Kahwin Dengan Budak Bawah Umur Dikira Sebagai Kes Rogol! – Menteri Sabah
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!