Dukung sambil berjalan mundar-mandir adalah salah satu cara menenangkan anak menangis yang sangat popular di kalangan ibu dan ayah. Biasanya, kita tidak sempat tanya mengapa ini berlaku dan akan ikut saja seperti ibu bapa lain.
Tetapi kini sains boleh memberi penjelasan kepada kita, sebab mengapa cara menenangkan anak menangis ini amat berkesan.
Mengapa bayi menangis
Bayi yang baru lahir biasanya menghabiskan masa selama 2 hingga 3 jam sehari menangis. Walaupun kadang kala anak menangis lama merisaukan ibu ayah, tetapi tangisan bayi adalah satu-satunya cara untuk mereka berkomunikasi dengan anda.
Berikut merupakan antara beberapa sebab si manja anda menangis :
1. Bayi terlalu lapar atau terlalu kenyang
Lapar merupakan salah satu faktor yang selalu menyebabkan anak sering menangis. Pada 3 bulan pertama usia, mereka biasanya sangat kerap menyusu iaitu setiap 1 hingga 3 jam (minum susu sebanyak 2-3 auns setiap sesi) dan menyusu kira-kira 8 ke 12 kali sehari. Seiring dengan peningkatan usia, kekerapan menyusu bayi akan berkurangan. Apabila bayi mula lapar, mereka akan merengek, membuat tangisan pendek dan nada rendah yang turun naik. Antara tanda bayi lapar adalah seperti berikut :
– Bayi meletakkan tangan kearah mulut
– Memusingkan kepala kearah payudara atau botol susu
– Menggenggam tangan menjadi penumbuk
– Menghisap bibir
– Membuka mulut
Bayi yang terlalu kenyang juga akan meragam. Ini kerana apabila minum susu terlalu banyak akan menyebabkan bayi tidak selesa dan kembung perut. Berikut adalah tanda-tanda bayi kenyang dan berhenti menyusukan si manja apabila:
– Bayi tutup mulut
– Bayi paling muka dari payudara atau botol susu
– Bayi mengendurkan tangan mereka
– Bayi mula tertidur
Setiap kali selepas memberi bayi susu, jangan lupa untuk sendawakan bayi. Ia untuk membantu penghadaman dan mengelakkan perut bayi dari kekembungan.
2. Letih
Keletihan juga merupakan punca kenapa anak menangis. Bayi yang baru lahir memerlukan waktu tidur kira-kira 17 jam setiap hari. Ini menyebabkan mereka mudah letih sekiranya tidak mendapat waktu tidur yang secukupnya. Sewaktu tidur, otak dan tubuh bayi akan berkembang dengan pesat.
Jadi sekiranya ibu dan ayah merasa si manja anda tidak cukup rehat, cuba bantu untuk tidurkan mereka dengan mendodoikan bayi, balut bayi dengan bedung atau menepuk bayi.
3. Lampin kotor
Sekiranya anak menangis, cuba periksa lampin mereka. Bayi mungkin hendak memberitahu ibu dan ayah, sudah masanya untuk menukar lampin mereka. Lampin yang basah dan kotor boleh membuatkan bayi tidak selesa.
Selain itu, kulit bayi yang agak sensitif mungkin akan gatal-gatal, naik ruam atau melecet sekiranya terdedah kepada lampin yang basah dan kotor untuk tempoh yang lama. Biasanya lampin bayi harus ditukar setiap 2 ke 3 jam sekali untuk bayi yang baru lahir.
4. Cuaca atau suhu
Sekiranya bayi merasa terlalu sejuk atau panas, ia juga boleh menyebabkan anak tantrum atau anak menangis. Pakaikan bayi dengan pakaian yang bersesuaian mengikut keadaan cuaca atau suhu. Sekiranya menghadiri kenduri atau melakukan aktiviti di kawasan yang terbuka dan panas, pakaikan bayi dengan pakaian yang nipis dan ringkas. Pakaian yang diperbuat daripada kapas dan menyerap peluh sangat digalakkan.
5. Kesakitan atau ketidakselesaan
Kadangkala anak tantrum disebabkan oleh mereka mendapat jangkitan, iritasi atau mereka sedang tidak sihat. Sekiranya bayi sedang dalam fasa tumbuh gigi, selsema, batuk, demam, jangkitan pada telinga atau terkena ruam lampin ini boleh menyebabkan bayi tidak selesa dan merengek.
6. Inginkan perhatian
Bayi juga akan menangis sekiranya mereka mahukan perhatian dari ibu dan ayah. Mereka juga mencari anda untuk mengajak anda bermain. Mereka mudah berasa cemas atau takut sekiranya berjauhan atau tidak nampak kelibat ibu dan ayah. Selain itu, mereka mencari ibu dan ayah untuk memberitahu mereka lapar, lampin mereka basah dan sebagainya.
7. Alahan
Bagi ibu yang menyusu bayi, mereka mungkin boleh menyebabkan bayi mengalami alahan melalui pemakanannya. Jadi periksa pemakanan anda dan singkirkan diet atau makanan tertentu yang boleh menyebabkan bayi mengalami alahan. Si manja anda mungkin alah atau sensitif terhadap susu lembu, kacang, gandum atau makanan lain.
Cara menenangkan anak menangis
Apabila ibu benar-benar pasti bahawa perut bayi telah kenyang, lampin kering dan tidak ada ruam lampin, mendapat tidur dan rehat yang cukup serta tidak demam, batuk atau selsema tetapi anak sering menangis dan tantrum ibu dan ayah boleh cuba lakukan tips di bawah untuk meredakan tangisan bayi :
– Bedung bayi
Bayi yang baru lahir biasanya suka dibedung. Ini kerana apabila dibedung, bayi akan merasa seolah-olah berada dalam rahim ibu, selesa dan menenangkan. Ramai ibu dan ayah mendapati membedung bayi dapat membantu bayi untuk lebih cepat tenang dan tidur lebih lama.
– Berikan puting
Bayi biasanya menenangkan diri dengan cara hisapan seperti menghisap ibu jari, penumbuk mereka atau jarinya. Walaupun hisapan kosong ini tidak mengenyangkan perut mereka tetapi ia sangat membantu menenangkan saraf. Selain itu, cuba berikan bayi pacifier atau puting sekiranya bayi menangis, tetapi sebelum itu pastikan perut mereka betul-betul kenyang sebelum memberikan mereka puting.
– Mandikan bayi
Jika si manja anda suka mandi, anda boleh jadikan ia rutin untuk menenangkannya sekiranya anak menangis. Isikan bekas mandi bayi dengan air suam dan sambil memandikan bayi ibu boleh bermain-main bersama bayi dengan mainan yang bersesuaian.
– Urutan
Mengurut bayi juga mampu menenangkan bayi menangis. Gunakan losyen yang lembut pada kulit bayi atau minyak urut yang bersesuaian sekiranya perlu. Lakukan urutan yang lembut disekitar kaki dan tangan bayi. Pada bahagian perut anda boleh gunakan minyak telon bayi untuk mengatasi masalah kembong pada bayi, disamping dapat memberikan keselesaan pada bayi.
– Pasang ‘White Noise’
Bayi yang baru lahir sukakan bunyian white noise yang seakan bunyi berdesir berirama yang mengingatkan mereka kepada bunyian yang seakan sama semasa di dalam rahim ibu. Anda boleh cuba memasang penyedut habuk/vakum, pengering rambut atau kipas angin. Selain itu, boleh juga membeli mesin bunyi white noise atau membuat bunyi shhh shhh kepada bayi.
– Gunakan buaian atau rocking chair
Sekiranya perlu, ibu dan ayah boleh cuba menenangkan tangisan bayi dengan meletakkan mereka di dalam buaian atau rocking chair. Hayun buaian bayi secara lembut sambil menepuk-nepuk bayi, menyanyi atau berzikir agar bayi kembali tenang.
– Gunakan baby sling atau front carrier
Menggunakan front baby carrier juga mungkin dapat membantu mengatasi masalah anak menangis lama. Ini kerana pengunaan front baby carrier dapat membuatkan bayi merasa tenang apabila berada sangat dekat dengan ibu atau ayah, mendengar detak jantung dan dapat melihat muka ibu ayah.
– Bermain bersama
Bayi nangis mungkin kerana mereka bosan. Jadi ibu dan ayah bolehlah cuba bermain bersama bayi seperti menunjukkan dan mengoncangkan rattle, membaling dan menyambut bola, bermain bersama patung beruang ataupun membaca buku cerita yang mempunyai lampu dan bunyi-bunyian yang menarik perhatian bayi.
– Pergi ke luar
Sama seperti orang dewasa, menghadap pemandangan dan ruangan yang sama untuk tempoh yang lama mungkin boleh menyebabkan bayi tidak selesa, tepu dan bosan dan seterusnya menyebabkan anak menangis. Jadi cuba untuk membawa bayi bersiar-siar di luar rumah, taman atau bawa bayi pergi ke ruangan lain seperti ruang tamu. Cahaya, udara, bau, suhu dan pemandangan yang baru mampu menaikkan mood bayi serta ibu dan ayah.
Jangan panik bila anak menangis
Ibu dan ayah kadangkala mudah panik apabila anak sering menangis atau anak nangis lama. Ia juga adalah normal sekiranya kita merasa stress dan tertekan apabila menghadapi masalah ini. Ibu dan ayah tidak perlu rasa kecewa atau merasakan mereka ibu ayah yang gagal sekiranya tidak dapat memujuk bayi untuk tempoh yang singkat. Ini kerana bayi kadangkala sedang menghadapi masa yang sukar dan menangis merupakan cara untuk bayi berkomunikasi dengan anda.
Apabila berhadapan dengan situasi ini, ibu dan ayah seharusnya bertenang supaya bayi yang sedang menangis juga akan mudah ditangani dan kembali bertenang. Sekiranya anda berhadapan dengan bayi menangis dan cuba menenangkan diri, anda boleh mencuba tips dibawah ini:
– Mengambil nafas yang dalam dan perlahan-lahan.
– Letakkan bayi di tempat tidur atau tempat bayi sering bermain untuk membolehkan anda untuk berehat atau bertenang.
– Pasang aromaterapi atau bunyi-bunyian yang mampu membantu anda untuk merasa tenang.
– Cuba untuk dapatkan tidur dan rehat yang mencukupi.
– Dapatkan bantuan daripada pasangan, ahli keluarga, rakan atau pengasuh untuk menjaga bayi anda sebentar sementara anda menenangkan diri/berehat.
– Periksa keadaan bayi sekiranya terdapat apa-apa masalah yang membuatkan bayi nangis atau tantrum.
– Sekiranya anda telah memenuhi semua keperluan asas bayi dan bayi masih kerap menangis, pertimbangkan untuk membawa bayi berjumpa doktor.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!