Waktu tidur bayi terutama yang baru dilahirkan memang kadang kala membuatkan ibu bapa pening kepala. Waktu tidur bayi seperti ini biasanya akan lebih banyak pada waktu siang.
Apabila malam, mereka ibarat burung hantu yang amat segar matanya malah mengajak orang lain untuk bermain bersamanya. Jika itu boleh lagi diterima, tetapi jika bayi menangis, itu yang tidak senang duduk dibuatnya.
Sudah pasti tidur ibu dan bapa malah orang di rumah yang mana ibu baru melahirkan itu berpantang mungkin juga akan terganggu dengan kehadiran orang baharu yang masih belum seragam2 waktu tidurnya.
Di dalam artikel ini akan menceritakan tentang:
- Waktu tidur bayi baru lahir boleh diatur, tetapi perlu disiplin yang tinggi
- Bagaimana nak latih bayi baru lahir tidur malam
- Mengapa pentingya melatih bayi tidur malam sejak awal
Waktu tidur bayi biasanya berapa jam?

Jika kita mahu anak yang berdisiplin, kita mesti ajar anak-anak rutin dari usia masih bayi lagi supaya ini menjadi kebiasaan kepada mereka.
Secara amnya, bayi yang baru lahir tidur sebanyak kira-kira 8 hingga 9 jam pada waktu siang dan kira-kira 8 jam pada waktu malam.
Tetapi kerana mereka mempunyai perut kecil, mereka mesti bangun setiap beberapa jam untuk minum susu. Kebanyakan bayi tidak tidur sepanjang malam (6 hingga 8 jam) sehingga sekurang-kurangnya umur mereka tiga bulan. Tetapi ini boleh berbeza-beza pada bayi yang lain.
Sesetengah bayi tidak tidur sepanjang malam sehingga hampir 1 tahun. Dalam kebanyakan kes, bayi anda akan bangun dan bersedia untuk minum sekurang-kurangnya setiap 3 jam.
Perhatikan perubahan dalam corak tidur bayi anda. Jika bayi anda telah tidur secara konsisten1, dan tiba-tiba lebih kerap terjaga, mungkin terdapat masalah. Atau bayi anda mungkin mengalami percepatan pertumbuhan dan perlu makan lebih kerap.
Sesetengah gangguan tidur hanya disebabkan oleh perubahan dalam perkembangan atau kerana rangsangan yang berlebihan.
Waktu tidur bayi 0-3 bulan
Menangis adalah cara bayi berkomunikasi dengan anda. Dalam tiga bulan pertama, bayi yang baru lahir sering menangis kerana mereka memerlukan bantuan anda untuk minum susu, menukar lampin dan sebagainya supaya mereka boleh tidur semula dengan nyenyak.
Walaupun mereka nampaknya menghabiskan banyak masa untuk tidur (biasanya 12 hingga 16 jam dalam tempoh 24 jam), mereka tidak mempunyai waktu tidur tetap seperti kita yang sudah dewasa.
Tiga bulan pertama ini adalah masa yang penting untuk anda dan bayi anda mula belajar dan memahami antara satu sama lain.
Kadangkala bayi yang baru lahir menangis tanpa sebab yang jelas, walaupun anda telah membantu menenangkan mereka. Ini adalah perkara biasa. Selagi bayi anda membesar, berat badan bertambah dan gembira pada masa lain ia sebenarnya normal untuk mereka berjaga malam dan bayi tidur tidak menentu.
Tips bayi tidur malam dengan nyenyak

Jadi bagaimana cara untuk mengajar supaya bayi baru lahir untuk tidur pada waktu malam supaya ibunya boleh bekerja selepas habis pantang?
Bagaimana untuk anda pastikan yang bayi anda tidak buat perangai pada waktu malam jadi anda pun tidak kelam kabut di awaktu pagi kerana tidak cukup tidur.
Kami kongsikan tips ini yang mungkin akan membantu ibu ayah di luar sana dalam melatih tidur bayi mereka.
#1. Bayi perlu tahu gelap=malam, cerah=siang
Bila bayi baru dilahirkan, dia tahu perbezaannya cerah dan gelap. Yang ini dia faham. Jangan sangka bayi yang baru lahir tidak boleh diajar dan dilatih. Sebenarnya baby yang baru lahir itu lebih cerdik dari apa anda sangka dan boleh belajar dengan cepat.
Pertama sekali, bayi mesti belajar gelap itu waktu malam, cerah itu waktu siang sebelum dia boleh dilatih apakah rutin waktu malam dan apakah rutin waktu siang.
Jangan kelirukan bayi, maka janganlah buka lampu cerah-cerah pada waktu malam, nanti dia pun tak tau itu waktu malam. Janganlah duduk dalam bilik gelap pada waktu siang, nanti dia keliru pula ini waktu siang ke waktu malam.
Pada waktu siang, pastikan sentiasa cerah. Bila waktu malam, pastikan bilik digelapkan segelap-gelap yang boleh. Jangan beri stimulasi pada waktu malam. Jangan buat bising. Jangan bercakap-cakap. Jangan gelak ketawa. Diam saja.
Bila bayi bangun pada waktu malam meminta susu, jangan buka lampu cerah-cerah, bilik mesti gelap tetapi ada sedikit saja lampu samar-samar cukup untuk kita melihat dalam gelap. Berikan penyusuan bayi tanpa memberi bayi stimulasi.
Maknanya, janganlah bersembang dengan baby, janganlah bernyanyi-nyanyi, jangan pandang mata baby supaya tiada stimulasi melalui eye-contact.
#2. Pastikan nap bayi pada 1 hingga 4 petang
Pastikan nap time baby pada waktu siang hanyalah di antara pukul 1 hingga 4 petang. Jangan bagi waktu tidur siang berlanjutan sehingga 6-7 petang.
Jangan bawa baby keluar pada waktu nap time tengah hari sebab nanti terlalu penat dan nak tidur petang-petang dan kemudian tak boleh tidur malam. Kita sebagai ibubapa kena disiplin dulu barulah baby boleh disiplin.
Ini penting kerana bayi memerlukan keadaan yang dia biasa untuk membuatkan waktu tidurnya berjadual. Tetapi jika anda mahu bayi anda selesa tidur dalam keadaan apa pun, anda perlu tahan sedikit jika buat permulaan mereka tidak biasa dan agak susah untuk tidurkan mereka.
#3. Mandikan dengan air suam

Ramai bayi suka tidur dengan nyenyak selepas mandi air suam sebab badan mereka rasa segar selepas mandi dan perubahan suhu badan dari bila keluar dari air suam tiba-tiba ke udara yang lebih sejuk menyebabkan cepat mengantuk dan boleh tidur dengan nyenyak.
Maka rutin kami ialah selalu beri anak-anak mandi air suam pada pukul 6.30 petang, selepas itu menyusu, kemudian tutup lampu dan tidurkan baby pada pukul 8 malam, setiap malam.
Air itu perlulah suam dan tidak terlalu panas kerana air yang panas akan membuatkan kulit bayi anda melecur. Pastikan anda periksa suhu air terlebih dulu untuk elakkan air panas yang akan membuatkan kulit bayi kering.
Selepas mandi boleh juga sapukan lotion pada kulit anak untuk elakkan kekeringan dan sebagainya.
#4. Pastikan anak aktif
Jika anak anda masih bayi, bermainlah dengan mereka sepuasnya. Ini akan membuatkan mereka aktif dan penat pada waktu malam sekaligus akan membuatkan mereka tidur dengan nyenyak.
Jika anak anda sudah besar, pukul 5 petang, pastikan anak-anak keluar bermain di taman atau di luar atau berenang dan buat aktiviti kecergasan lain.
Senaman biasa-biasa pada waktu petang boleh membantu bayi atau anak anda tidur malam dengan lebih nyenyak sebab perlu merehatkan badan yang penat selain dari membina badan yang sihat dan kuat.
#5. Elak junk food
Bila baby sudah 6 bulan dan boleh mula makan, pastikan anda jangan bagi jajan atau junk food atau menambahkan gula dalam makanan petang supaya tidak menjadi hyperaktif pada waktu malam.
Mengapa penting untuk melatih bayi tidur sejak awal? Selain susu ibu, tidur yang cukup juga menjadi 'makanan' untuk bayi anda membesar dengan sempurna. Jadi penting untuk bayi mendapat tidur yang cukup terutama sekali di waktu malam.
Ya, tak dinafikan memang pada 3 bulan pertama bayi tidak akan tidur terus sepanjang malam, mereka akan bangun setiap 2-4 jam untuk menyusu. Namun bukan bermaksud mereka akan terus berjaga. Pastikan mereka tidur semula sebaik kenyang menyusu.
Pada usia 3 bulan pertama memang bayi digalakkan tidur bersama ibu, bagi mengikat lagi kemesraan ibu dan bayi serta mudah untuk si ibu menyusukan bayi.
Namun selepas usia itu, melatih mereka untuk tidur di baby cot adalah pilihan tepat. Lebih cepat anda melatih mereka tidur sendiri lebih cepat anda mendapat semula tidur anda yang cukup!
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kematian Bayi Ini Ajar Betapa Pentingnya Posisi Tidur Bayi & Keselamatan Tempat Tidur Anak!
Baca juga: 2 Jenis Zikir Tidurkan Anak Yang Boleh Boleh Diamalkan Untuk Bayi Tidur Lena, Kurang Meragam
Baca juga: Mudah Rupanya Nak Bagi Bayi Tidur Lena, Ibu, Cuba Ikut 8 Tips Ini!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!