Banyak perkara yang sering buat ibu ayah rasa risau dalam penjagaan bayi yang baru lahir antaranya termasuklah cara potong kuku bayi yang betul. Jika salah langkah, nanti boleh menyebabkan kuku bayi luka dan pedih!
Dengan kuku yang terlalu kecil dan masih lembut, ia sangat menggerunkan para ibu ayah apabila memikirkan kuku si manja perlu dipotong bagi menjaga kebersihannya serta mengelakkan si kecil daripada tersilap mencakar diri sendiri.
Walaupun begitu, ibu ayah tidaklah perlu terlalu risau! Ada cara memotong kuku dengan selamat untuk si manja anda. Jom teruskan sahaja membaca artikel ini untuk mengetahuinya.
Adakah Saya Perlu Potong Kuku Bayi Baru Lahir
Kuku tangan bayi yang baru lahir tumbuh dengan cepat sehingga anda mungkin perlu memotongnya lebih daripada sekali, seminggu. Namun, kuku kaki bayi tumbuh dengan agak perlahan jadi anda tidak perlu memotongnya dengan kerap.
Memandangkan kuku bayi sangat lembut dan kecil, maka anda mungkin berasa sedikit gugup dan risau untuk memotongnya. Jika potong terlalu banyak, hujung jarinya mungkin akan berdarah dan seterusnya boleh menyebabkan jangkitan.
Secara umumnya, bayi tidak dapat mengawal pergerakan lengan atau kaki mereka untuk 6 minggu pertama. Jika anda melihat kuku bayi anda seakan sudah sedikit tajam, anda boleh pakaikan sarung tangan atau stoking bayi pada tangannya bagi mengelakkan si manja anda menggaru.
Walau bagaimanapun, jika anda perasan kuku bayi anda perlu dihaluskan atau dipotong, jadi sila potong kuku bayi anda menggunakan pemotong kuku khas bayi dengan berhati-hati.
Dapatkan bantuan daripada seseorang bagi memudahkan anda. Namun untuk lebih senang, anda boleh memotong kuku si kecil anda ketika dia sedang menyusu atau tidur.
Cara Potong Kuku Bayi Baru Lahir
Sesetengah bayi mungkin akan lahir dengan kuku yang panjang, kerana seperti bahagian badan bayi yang lain, ia telah membesar di dalam rahim ibu. Jadi, kuku mereka juga tidak terkecuali dalam proses tumbesaran itu.
Oleh sebab itu, ada bayi yang sudah perlu dipotong kuku mereka pada minggu pertama kelahiran! Ada juga yang perlu dipotong kukunya setiap dua hingga tiga hari selama tiga minggu sehinggalah kuku mereka mula mengeras dan berhenti memanjang dengan terlalu cepat.
Walaupun kuku si manja masih lembut dan kecil, ia masih cukup tajam untuk mereka mencakar muka sendiri tanpa sengaja. Jadi, teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui cara paling selamat untuk anda memotong kuku si manja.
#1. Gunakan pemotong kuku khas
Walaupun terdapat pemotong kuku bersaiz kecil yang sesuai digunakan untuk memotong kuku si manja, seeloknya anda menggunakan pemotong kuku khas bagi memotong kuku si kecil dengan lebih selamat.
Ada sesetengah pemotong kuku bayi yang mempunyai kanta pembesar bagi memudahkan tugas ibu dan ayah.
#2. Memotong kuku dengan cara yang betul
Sudah terang lagi bersuluh, anda perlulah memotong kuku si manja dengan cara yang betul. Tetapi, apakah cara itu?
- Ketika memotong kuku si manja, anda perlu memegang jari si manja dan menekan hujung jari mereka dengan lembut supaya ia akan menyebabkan kuku anak yang panjang lebih terdedah dan mudah untuk dipotong.
- Potong mengikut bentuk kuku yang sedang memanjang dengan berwaspada bahawa anda tidak memotong terlalu banyak kuku si manja sehingga terlukakan kulit jari mereka.
- Bagi kuku kaki pula, pastikan anda memotong dengan lurus dan tidak mengikut bentuk jari kaki anak. Kuku kaki si manja akan tumbuh dengan lebih lambat, jadi ia tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi.
Tips tambahan:
- Anda boleh memotong kuku si manja ketika mereka sedang tidur supaya si manja tidak banyak bergerak ketika kuku dipotong.
- Ia juga boleh menjadi tugas bagi ibu dan ayah. Seorang perlulah memegang si manja supaya pergerakan si kecil lebih terhad, manakala seorang lagi akan memotong kuku si manja.
- Anda boleh menyandarkan si manja pada badan anda sekiranya ini adalah posisi yang selesa bagi anda. Dakap si manja sambil memotong kuku mereka. Ini akan membuatkan si manja berada di dalam zon selamat dan selesa, maka mereka tidak akan terlalu banyak meragam.
Saya Dah Terlukakan Si Manja! Apa Perlu Saya Buat?
Walaupun anda akan rasa teramat bersalah kepada anak kerana telah melukakan mereka walaupun sedikit, ingatlah bahawa anda tidak sengaja. Janganlah terlalu serba-salah kerana ia hanyalah satu hal yang kecil dan boleh diselesaikan segera.
Sekiranya anda terpotong sedikit kulit jari si manja sehingga ia mengeluarkan darah, gunakan kapas yang lembut untuk menekan bahagian yang luka untuk memberikan sedikit tekanan supaya darah akan berhenti keluar.
Pastikan anda tidak menggunakan handiplast untuk menutup luka si manja. Ini kerana, jikalau pelekat tersebut mula longgar, terdapat kemungkinan ia akan masuk ke dalam mulut si manja dan menjadi punca si manja tercekik.
Yang paling penting, jangan terlalu risau atau panik ketika memotong kuku si manja! Ia bukanlah terlalu susah sekiranya anda sudah mengetahui cara yang betul.
Si manja anda pasti akan menghargai penjagaan rapi yang ibu dan ayah berikan pada mereka.
Perkara Yang Perlu Dielakkan
Jangan gigit kuku bayi menggunakan gigi anda kerana ia boleh merebakkan kuman dari mulut anda dan seterusnya membawa jangkitan kepada bayi.
Jika anda mengoyakkan kuku bayi anda walaupun sedikit, ia juga merbahaya kerana boleh mencederakan bayi anda.
Selain itu, anda tidak perlu membentukkan kuku bayi anda atau memotong bahagian tepi kuku. Tindakan ini boleh menyebabkan kuku tumbuh ke dalam dan berlakunya jangkitan.
Masalah Kuku Bayi
Adalah normal untuk bayi anda mendapat jangkitan kecil (dipanggil sebagai paronychia) di sekitar kuku tangan atau kuku kaki. Jangan risau, ia boleh hilang tanpa memerlukan rawatan pakar. Sapukan sahaja sedikit krim atau cecair antiseptik pada kuku bayi anda itu untuk menyembuhkannya.
Bagaimanapun, jangkitan ini kadangkala boleh merebak lebih jauh ke dalam kulit jari atau kaki, menyebabkan kawasan tersebut menjadi bengkak dan merah.
Jika keadaan ini berlaku pada bayi anda, sila bawanya berjumpa dengan doktor segera. Bayi anda mungkin memerlukan antibiotik untuk membantu membersihkan jangkitan.
Jika anda menggunakan krim untuk merawat jangkitan, sila pakaikan sarung tangan atau stoking pada bayi anda selepas itu. Ini bagi memastikan bayi anda tidak memasukkan tangan atau kakinya ke dalam mulut.
Semoga bermanfaat.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!