Terjatuh bukanlah perkara yang main-main, ia cukup berbahaya kepada sesiapa pun lagi-lagi ibu hamil. Dan ketika hamil, insiden terjatuh adalah salah satu daripada beratus perkara yang mesti dielakkan. Dengan itu ibu-ibu perlu tahu apa patut dilakukan untuk elak jatuh ketika hamil.
Bukan kata ketika ibu bersenam atau melakukan kerja-kerja rumah saja insiden boleh terjadi, ketika turun tangga dan berjalan pun boleh terjatuh! Jadi, bagaimana hendak memastikan yang kebarangkalian untuk terjatuh dapat dikurangkan?
Berikut adalah 6 tip yang anda boleh praktikkan bagi memastikan keselamatan anda ketika hamil agar tak terjatuh:
Cara elak terjatuh ketika hamil
#1. Pastikan rumah tempat yang selamat
Ketika hamil, badan wanita akan jadi kurang seimbang kerana perubahan bentuk badan yang ketara. Memang kerap kita lihat wanita hamil seakan tidak stabil semasa berjalan atau berdiri, kan?
Walaupun bayi anda dilindungi dengan selamat dalam rahim, namun jika anda terjatuh dan terhentak, perut boleh menyebabkan komplikasi seperti bersalin awal.
Disebabkan itulah, pentingnya untuk memastikan rumah anda, tempat yang paling banyak anda habiskan masa itu selamat.
Apa yang dikatakan dengan selamat di sini ialah ia bebas dari wayar berselirat, lantai yang licin serta laci-laci yang terbuka. Pastikan pencahayaan dalam rumah cukup supaya anda tidak tersadung pada sesuatu yang anda tidak nampak.
#2. Peka dengan sekeliling
Terutamanya di tempat yang anda tak biasa pergi, sentiasa peka. Kadang-kadang kita tidak perasan dengan perbezaan tinggi lantai, atau terdapat lubang, atau semasa menaiki atau menuruni tangga.
Sentiasa pilih laluan yang lebih selamat. Pilih kawasan yang lebih lapang berbanding kawasan yang penuh dengan barang. Dan pilih untuk memegang pemegang jika ada.
#3. Kasut yang sesuai
Ha… kasut yang cantik dan sesuai bukan untuk berfesyen saja, tapi untuk kesihatan dan keselamatan kaki juga, ya!
Semasa hamil, pemilihan kasut sangat penting kerana badan akan menjadi lebih berat dan menerima lebih banyak tekanan. Malah, bagi sesetengah wanita hamil, kaki mereka akan mengembang lebih besar dari biasa dan menyebabkan lebih mudah rasa sakit atau tidak selesa.
Pilih kasut yang mempunyai ‘memory foam’ di mana ia lebih sesuai dengan pertambahan tekanan pada kaki. Anda juga digalakkan untuk memilih kasut yang mengikut lengkung kaki untuk mengurangkan rasa tidak selesa.
Elakkan memakai kasut tumit tinggi yang tidak ergonomik. Ia bukan sahaja menyebabkan kaki anda sakit malah menambah risiko anda terjatuh!
#4. Banyakkan senaman ringan
Ini mungkin kedengaran pelik. Apa kena mengena senaman ringan dan elak terjatuh?
Sebenarnya, ibu hamil harus ada stamina untuk membawa diri yang akan mengalami banyak perubahan. Senaman ringan akan membantu anda untuk kekal cergas walaupun hamil.
Senaman juga boleh melatih keseimbangan badan ibu hamil. Maklumlah ibu hamil jalan pun perlu membongkok kebelakang bagi mengimbangkan badan. Jadi mudah untuk tidak nampak apa di hadapan bukan?
#5. Kekal hidrasi
Semasa hamil, amat mudah untuk rasa pening kepala.
Kekal hidrasi (minum banyak air) adalah salah satu perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko pening kepala. Elakkan juga makanan yang boleh menyebabkan anda dehidrasi.
#6. Pakaian yang sesuai
Pakaian juga memainkan peranan yang penting. Ibu hamil mudah rasa panas, jadi elakkan pakaian yang terlalu ketat atau tebal.
Guna pakaian yang longgar serta berwarna cerah adalah pilihan yang baik.
Elakkan memakai pakaian seperti dress labuh dan seluar londeh hingga mencecah lantai. Kebanyakan ibu-ibu yang terjatuh adalah kerana terpijak kain sendiri.
Moga ibu-ibu semua dijauhkan daripada keadaan ini.
Nota: Jika terjatuh, dan berasa bayi kurang gerakan, segera ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor. Jangan berlengah lagi.
Sumber: Parents
Kredit gambar: Foto: First Cry Parenting, Mom Junction,
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: 10 Hacks Genius Untuk Ibu Mengandung Alami Kehamilan Lebih Mudah