Tiada siapa yang mahukan perceraian. Namun, jika ia terjadi tatkala anak kita masih kecil, antara persoalan yang sering bermain di fikiran ibu ayah adalah: hak penjagaan anak akan diberikan kepada siapa selepas bercerai?
Ada yang merasakan ibu adalah penjaga tunggal lagi mutlak yang akan diberi tanggungjawab untuk menjaga anak selepas ibu ayah berpisah. Tapi, itu bukanlah satu pemikiran yang betul.
Hak penjagaan anak kecil, hadhanah
Kredit: Freepik
Hak penjagaan anak kecil juga dikenali sebagai hadhanah. Kalau ibu ayah nak tahu, hukum penjagaan anak diperolehi melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr ketika seorang wanita datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, puting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku.”
Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya:
“Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah.”
Maka, hadis riwayat Abu Daud ini telah dijadikan dasar kepada pemberian hak penjagaan anak kepada ibu jika berlakunya perceraian.
Baca juga: Bukan Mudah Teruskan Hidup Sebagai Ibu Tunggal, Percayalah Anda Insan Hebat Pilihan Allah
Adakah hak ibu untuk menjaga anak satu hak yang mutlak dan kekal?
Kredit: Unsplash
Jawapannya adalah tidak sama sekali! Di negara kita, hak jagaan anak selepas bercerai akan ditetapkan oleh Mahkamah Syariah. Si ibu yang diberikan keistimewaan untuk menjaga anak PERLU memenuhi syarat berikut:
- seorang Islam
- sempurna akal
- mampu memberi jagaan dan kasih sayang pada anak
- berkelakuan baik dari segi akhlak islamiah
- mampu menyediakan tempat tinggal yang selamat
Perkara lain yang boleh menyebabkan si ibu hilang hak penjagaan anak
Ada beberapa perkara lain yang boleh membuatkan pihak mahkamah menggugurkan kelayakan ibu untuk menjaga anaknya.
- jika si ibu berkahwin lain dengan seseorang yang tiada pertalian darah dengan anaknya dan jika hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan si anak
- jika si ibu itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
- jika si ibu berpindah ke tempat lain dengan tujuan untuk menjauhkan anak daripada ayahnya
- jika si ibu itu murtad
- jika si ibu mengabaikan atau menganiaya anaknya
Jika si ibu dinilai oleh Mahkamah Syariah sebagai tidak layak untuk menjadi penjaga anak-anak kerana tidak memenuhi syarat, maka hak penjagaan anak akan jatuh kepada orang tertentu.
Selain ibu, siapa yang layak jaga dan berhak terhadap anak?
Kredit: Pexels
Susunan senarai penjaga yang akan diberi kuasa untuk memelihara anak yang ibu ayahnya telah bercerai adalah seperti berikut:
- ibu
- nenek sebelah ibu dan ke atas
- bapa
- nenek sebelah bapa dan ke atas
- kakak atau adik perempuan seibu sebapa
- kakak atau adik perempuan seibu
- kakak atau adik perempuan sebapa
- anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa
- anak perempuan daripada kakak atau adik seibu
- anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa
- mak saudara sebelah ibu
- mak saudara sebelah bapa
- waris lelaki yang boleh menjadi warisnya
Seperti yang anda lihat dalam senarai di atas, bapa, secara amnya, berada di kedudukan ketiga dalam penentuan hak jagaan anak selepas bercerai.
Bolehkah anak menentukan dengan siapa dia mahu tinggal?
Kredit: Freepik
Ya, keputusan anak akan diambil kira oleh pihak mahkamah ketika menentukan siapa yang akan menjaga anak selepas perceraian.
Tetapi, anak tersebut bukanlah anak kecil. Dia perlulah seorang yang telah baligh atau mumayyiz (dapat membezakan antara baik dan buruk, antara benar dan salah serta sudah mampu menjaga kebajikan diri sendiri).
Walaupun begitu, keputusan akhir masih di bawah ketentuan pihak mahkamah. Jika anda hendak tahu lagi, undang-undang yang berkaitan tentang hak penjagaan anak bergantung kepada enakmen negeri masing-masing.
Jika anda sedang mengalami permasalahan tentang hak jagaan anak selepas bercerai, teruslah mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak peguam di tempat anda bagi mendapatkan bantuan atau kepastian.
Yang pastinya, hak penentuan untuk menjaga anak akan ditimbangtara secara telus oleh mahkamah dan ianya demi kesejahteraan anak-anak.
Sumber: Mufti WP, Berita Utusan, Khidmat guaman syarie, Kincolaw
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 8 Tips Untuk Memberitahu Anak-Anak Anda Bahawa Anda Akan Bercerai
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!