Pantang bersalin merujuk kepada amalan tradisional yang diamalkan oleh ibu selepas melahirkan bayi. Ia bertujuan untuk memulihkan kembali kesihatan, memastikan ibu mendapatkan rehat yang cukup dan memberikan sokongan emosi serta fizikal. Namun apakah kesan tidak berpantang selepas bersalin?
Amalan pantang bersalin berbeza mengikut budaya dan tradisi tempatan. Namun ada juga ibu mengamalkan pantang moden disebabkan oleh mereka tidak mempunyai masa serta pembantu bagi menguruskan diri dan bayi.
Dalam artikel ini kami kongsikan panduan lengkap kesan tidak berpantang selepas bersalin, apa itu pantang selepas bersalin, kenapa perlu pantang selepas bersalin dan tempoh berpantang selepas bersalin.
Isi Kandungan
Kesan Tidak Berpantang Selepas Bersalin
Apa Itu Pantang Selepas Bersalin
Pantang selepas bersalin merujuk kepada satu set amalan dan batasan yang diamalkan oleh ibu selepas melahirkan bayi. Amalan ini biasanya berbeza-beza mengikut budaya dan tradisi tempatan, tetapi ia melibatkan beberapa aspek utama yang sering dianggap penting untuk membolehkan ibu pulih secara fizikal, emosi dan sosial selepas proses kelahiran.
Keputusan untuk berpantang ataupun tidak sebenarnya bergantung pada keperluan individu. Berikut beberapa kesan tidak berpantang selepas bersalin yang perlu para ibu tahu:
#1. Rahim Jatuh / Prolapse
Prolapse rahim adalah satu situasi di mana rahim seseorang wanita akan jatuh kebawah dan berkemungkinan terkeluar dari saluran faraj. Ini berpunca dari otot atau ligamen yang sepatutnya memegang rahim pada kedudukan asal menjadi lemah selepas bersalin.
Pada peringkat awal, rahim hanya akan jatuh sedikit dari kedudukan asal namun ada juga kes dimana rahim terkeluar dari tempat asal melalui saluran faraj.
#2. Sakit Pinggang Dan Rasa Tidak Selesa Di Kawasan Intim
Berpunca dari masalah rahim terkeluar atau prolapse, kesan tidak berpantang selepas bersalin juga membuatkan seseorang wanita berasa tidak selesa terutamanya di kawasan intim.
Anda mungkin merasakan seperti ada sesuatu yang keluar dari faraj. Malah rasa sakit di bahagian pinggang berpunca daripada rahim yang jatuh, menarik otot dan urat di bahagian pinggang.
#3. Gangguan Kesihatan
Selain itu kesan tidak berpantang selepas bersalin juga boleh menyebabkan kawasan intim dijangkiti kuman. Ia juga menjadi punca masalah keputihan dan pengeluaran lendir yang banyak akibat tidak berpantang dengan betul.
Selalunya ini berpunca dari kes prolapse. Jadi kepada semua kaum wanita di luar sana, biarpun anda rasa berpantang ini rumit dan melecehkan kerana terpaksa pakai bengkung, menjaga pemakanan, memakan jamu dan sebagainya…anda tetap juga perlu melakukannya untuk kebaikan anda sendiri. Kesihatan dalaman tetap perlu diutamakan. Jadi rajin-rajinlah berpantang selepas bersalin ya.
#4. Gangguan Kencing
Ramai juga ibu mengatakan kesan tidak berpantang selepas bersalin menyebabkan masalah kekenduran rahim atau prolapse berdepan dengan masalah pembuangan air kecil. Antara beberapa simptom masalah gangguan kencing adalah kerap membuang air kecil, sakit ketika membuang air dan tidak dapat mengawal pembuangan air kecil.
Contohnya bila anda terbatuk atau ketawa, air kecil boleh mengalir keluar dengan sendirinya..
#5. Gangguan Hubungan Seksual
Jika seseorang wanita tidak berpantang akan mengakibatkan otot faraj menjadi lemah dan longgar. Ini pastinya akan menjejaskan hubungan suami isteri. Ini juga menjadi antara punca ramai suami dan isteri mengadu kurang berasa nikmat ketika bersama terutamanya selepas isteri bersalin dan tidak berpantang.
Kenapa Perlu Pantang Selepas Bersalin
Dalam masyarakat Melayu, pantang bersalin adalah perkara yang amat diutamakan kerana ia dianggap dapat memulihkan tubuh badan ibu setelah melahirkan bayi seperti sebelum hamil.
Berikut beberapa sebab mengapa pantang selepas bersalin perlu diikuti:
1. Pemulihan Fizikal
Proses bersalin merupakan satu pengalaman yang memenatkan dan mengakibatkan kecederaan pada tubuh wanita. Berpantang selepas bersalin memberi peluang kepada ibu untuk berehat sepenuhnya dan membolehkan badan pulih secara fizikal. Ini membantu mengurangkan risiko komplikasi selepas bersalin dan mempercepatkan proses pemulihan.
2. Melancarkan Proses Penyusuan
Amalan berpantang selepas bersalin selalunya menggalakkan penghasilan susu yang mencukupi dan kualiti susu yang baik. Makanan berpantang yang sihat serta tinggi nutrisi dapat menggalakkan penghasilan susu ibu, membantu bayi memperoleh nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan sihat.
3. Sokongan Emosi
Berpantang selepas bersalin juga memberikan sokongan emosi yang penting kepada ibu baru. Ia memberi ruang kepada ibu menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan selepas memilik anak dan menangani tekanan, kebimbangan atau kemurungan yang mungkin timbul.
5. Perlindungan Terhadap Jangkitan
Tempoh pemulihan selepas bersalin turut hadir dengan risiko jangkitan atau penyakit. Amalan pantang bersalin dapat menggalakkan kebersihan diri dan persekitaran serta mengelakkan aktiviti yang boleh membawa risiko jangkitan penyakit.
Berapa Hari Sepatutnya Berpantang Selepas Bersalin?
Tempoh Berpantang Selepas Bersalin
Dalam kebanyakan tradisi Melayu, tempoh berpantang selepas bersalin ialah 40 hari. Tempoh ini sering dirujuk sebagai “pantang 40 hari.”
Dalam tempoh ini, ibu biasanya diarahkan untuk mengamalkan amalan dan sekatan tertentu bertujuan memulihkan kesihatan mereka selepas bersalin.
Antara amalan berpantang 40 hari yang biasa dilakukan adalah:
- Rehat Yang Mencukupi: Ibu dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang mencukupi, termasuk tidur yang berkualiti dan mengelakkan aktiviti yang memenatkan.
- Pemakanan Baik: Terdapat sekatan ke atas makanan tertentu seperti makanan sejuk dan pedas, dan penekanan kepada makanan yang dianggap baik untuk pemulihan badan selepas bersalin.
- Rawatan Haba: Penggunaan rawatan haba seperti mandian herba atau urutan badan adalah amalan biasa dalam pantang selepas bersalin.
- Penyusuan Susu Ibu: Sokongan dan bantuan dalam penyusuan bayi juga penting ketika pantang 40 hari orang Melayu.
- Sokongan Keluarga dan Komuniti: Ibu-ibu sering diberikan sokongan yang kuat daripada ahli keluarga dan masyarakat sepanjang tempoh berpantang ini, termasuklah dalam urusan harian dan penjagaan bayi.
Cara Berpantang Selepas Bersalin
Berikut adalah beberapa panduan amalan am yang biasa diamalkan dalam berpantang selepas bersalin:
1. Dapatkan Rehat Yang Cukup
- Tidur: Pastikan ibu mendapat tidur yang cukup. Tidur adalah penting untuk pemulihan fizikal dan kesihatan mental.
- Elakkan kerja berat: Ibu perlu mengelak daripada melakukan kerja rumah yang berat seperti mengangkat barang berat atau mengemas rumah secara berlebihan.
2. Makanan Berpantang
- Makanan Berkhasiat: Amalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Perhatian khusus diberikan kepada makanan yang membantu dalam pemulihan badan dan pengeluaran susu ibu.
- Mengelakkan Makanan Tertentu: Elakkan makanan sejuk, makanan pedas, dan makanan yang dianggap sejuk atau menenangkan.
3. Rawatan Haba
- Mandian Air Herba: Mandian herba dengan rempah ratus tertentu dipercayai dapat membantu badan pulih selepas bersalin.
- Urut Badan: Urut badan menggunakan minyak tertentu boleh membantu dalam mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan peredaran darah.
4. Penjagaan Diri Ketika Berpantang
- Menjaga Kebersihan Diri: Sentiasa menjaga kebersihan diri terutama bahagian yang terlibat semasa proses bersalin.
- Pantau Keadaan Kesihatan: Pantau tanda kesihatan seperti suhu badan, bengkak atau keputihan yang tidak normal.
5. Bayi Menyusu
Penyusuan susu ibu: Beri perhatian yang secukupnya kepada penyusuan. Amalkan cara yang betul untuk menyusukan bayi anda.
6. Sokongan Emosi dan Sosial
- Sokongan Keluarga: Dapatkan sokongan dan bantuan daripada pakar keluarga, terutamanya rakan kongsi dan ibu bapa.
- Bercakap dengan Ahli Keluarga: Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau keperluan khas, berbincang dengan ahli keluarga atau rakan yang dipercayai.
Kesimpulannya, walaupun ada beberapa ibu memilih untuk tidak mengamalkan pantang selepas bersalin atas sebab-sebab tertentu seperti keperluan pekerjaan atau keinginan untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup moden, penting untuk diingatkan bahawa amalan ini membawa nilai budaya, sosial, dan kesihatan yang besar.
Keseimbangan antara tradisi dan kemajuan moden adalah kunci untuk memastikan pemulihan yang baik selepas bersalin, serta memelihara hubungan dengan warisan budaya yang berharga
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Menyusu Minum Kopi: Kesan Kafein Terhadap Penyusuan Dan Berapa Banyak Boleh Minum
Baca juga: Menyusu Tanpa Mengandung (Induced Lactation): Cara Hasilkan Susu Badan Dan Tips Buat Ibu
Baca juga: Penyakit G6PD Pada Anak: Kenali Apa Itu G6PD, Punca Penyakit G6PD & Pantang Larang G6PD