Induksi laktasi atau menyusu tanpa hamil sering dirujuk sebagai menyusu anak angkat. Ia adalah satu proses di mana wanita tidak mengandung boleh merangsang laktasi dan menghasilkan susu ibu.
Memandangkan tidak semua wanita dikurniakan rezeki memiliki cahaya mata daripada rahim sendiri, sesetengahnya membuat keputusan untuk mengambil anak angkat dan berusaha menyusu seperti anak sendiri.
Dalam artikel ini kami kongsikan panduan tentang apa itu induksi laktasi (induced lactation), cara untuk adakan susu badan untuk anak angkat, ubat hormon susu badan dan hukum menyusukan anak angkat.
Menyusu Anak Angkat: Penyusuan Tanpa Hamil
Kenali Apa Itu Induksi Laktasi
Induksi laktasi atau induced lactation adalah kaedah merangsang pengeluaran susu ibu pada wanita yang tidak mengandung. Dengan kaedah ini, seorang ibu berpeluang menyusu anak angkat yang diambilnya dengan berjaya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyusuan eksklusif perlu dilakukan kepada bayi selama 6 bulan pertama dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun dengan diiringi makanan pelengkap.
Susu ibu adalah nutrisi terbaik untuk bayi. Pengeluaran susu ibu dicetuskan oleh interaksi tiga hormon semasa kehamilan iaitu estrogen, progesteron dan laktogen plasenta manusia yang dihasilkan oleh plasenta.
Sebab Perlu Penyusuan Induksi
Terdapat dua sebab induksi laktasi, iaitu membina ikatan yang kuat antara ibu dan bayi angkat dan memenuhi keperluan nutrisi yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan.
Prosedur Induced Lactation
Berikut adalah beberapa perkara yang patut anda jangka dan tahu sebelum bercadang untuk memulakan cetusan penyusuan susu ibu:
Fasa Pertama (Sebelum Menyusu)
- Berjumpa dengan Perunding Laktasi/Kaunselor Penyusuan untuk sesi kaunseling: Adalah lebih baik sekiranya anda dapat berjumpa dengan mereka ini seawal yang mungkin sebelum ketibaan bayi angkat anda. Kami amat menggalakkan anda untuk berjumpa sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum kelahiran bayi angkat anda. Ini untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan diri untuk proses cetusan penyusuan atau laktasi. Sekiranya bayi angkat telah dilahirkan, jangan bimbang; proses cetusan laktasi masih boleh dilakukan tetapi sekiranya datang berjumpa lebih awal, peratus kejayaan adalah lebih tinggi.
- Persediaan fizikal dan mental: Anda dan pasangan harus membuat persediaan dari segi fizikal iaitu anda harus bersedia untuk membeli pam payudara untuk memudahkan proses cetusan laktasi. Anda juga harus bersedia dari segi mental di mana anda harus mempunyai motivasi dan kekuatan semangat untuk menjayakan penyusuan susu ibu.
- Mengetahui tentang proses cetusan laktasi: Ibu-ibu yang berminat untuk penyusuan anak angkat selalunya akan melalui 3 fasa cetusan laktasi. Fasa pertama adalah penyediaan payudara untuk penyusuan dengan mengambil pil perancang. Pil perancang ini adalah untuk memastikan payudara ibu mengalami perubahan seperti ibu-ibu yang mengandung. Semasa ini juga ibu akan diberi ubat penambah susu yang perlu diambil setiap hari bersama pil perancang tersebut.
Fasa Kedua
Fasa kedua adalah fasa pemberhentian pil perancang dan meneruskan pengambilan pil penambah susu selepas berlaku perubahan payudara.
Fasa Ketiga
Pada fasa ketiga pula, ibu haruslah mengepam payudara untuk proses pengeluaran susu. Ketika ini susu mungkin belum kelihatan tetapi dengan kekerapan pengepaman dan stimulasi urutan payudara akan membantu penghasilan dan pengaliran susu ibu lebih cepat.
Fasa Terakhir
Fasa terakhir adalah pemberian susu ibu kepada bayi angkat samada secara penyusuan terus dari payudara atau penggunaan botol. Apabila susu mula dihasilkan, ibu-ibu boleh mengumpul dan menyimpan susu tersebut untuk diberi kepada bayi.
Ibu- ibu yang ingin menyusu anak angkat juga boleh menggunakan alat bantuan penyusuan seperti ‘Supplementary Nursing System’ untuk membantu dalam penghasilan susu melalui penghisapan bayi angkat secara terus pada payudara untuk meningkatkan penghasilan susu dan mengeratkan hubungan.
Ubat Hormon Susu Badan
Ada beberapa jenis ubat hormon susu badan yang biasa digunakan dalam induksi laktasi iaitu:
- Domperidone: Ini adalah ubat yang kerap digunakan dalam induksi laktasi. Domperidone berfungsi dengan meningkatkan tahap prolaktin dalam badan, bagi merangsang pengeluaran susu. Walaupun ia tidak dibenarkan untuk penggunaan induksi laktasi di sesetengah negara, ramai doktor masih menetapkannya di luar label dalam konteks ini.
- Metoclopramide: Ubat ini juga digunakan untuk merangsang pengeluaran susu dengan cara yang serupa dengan domperidone. Walau bagaimanapun, seperti domperidone, metoclopramide juga mempunyai potensi kesan sampingan yang mesti dipertimbangkan.
- Oxytocin: Oxytocin boleh diberikan dalam bentuk semburan hidung untuk merangsang pengeluaran susu. Ia digunakan untuk meningkatkan pengeluaran susu semasa penyusuan.
- Estrogen dan Progesteron: Hormon ini boleh digunakan dalam kombinasi dengan hormon lain untuk meniru perubahan hormon yang berlaku semasa kehamilan. Walau bagaimanapun, penggunaannya selalunya kurang kerap kerana kesan sampingan yang lebih besar.
Cara Untuk Adakan Susu Badan Untuk Anak Angkat
Induksi laktasi untuk menyusukan anak angkat adalah satu proses yang memerlukan komitmen, kesabaran dan sokongan yang kuat. Berikut adalah langkah umum yang boleh anda ambil untuk cuba merangsang pengeluaran susu:
1. Berunding dengan Pakar Kesihatan
Langkah pertama yang penting ialah berunding dengan doktor atau perunding laktasi yang berpengalaman. Mereka boleh membantu menilai kesihatan anda dan memberikan panduan yang disesuaikan dengan keperluan individu anda.
2. Pastikan Tubuh Sihat
Mengamalkan gaya hidup sihat termasuk pengambilan pemakanan seimbang, rehat yang mencukupi, dan mengurangkan tekanan boleh membantu menyediakan badan anda untuk proses induksi laktasi.
3. Hormon
Penggunaan hormon tertentu seperti prolaktin dan oksitosin boleh merangsang pengeluaran susu. Doktor anda mungkin menetapkan ubat tertentu seperti domperidone atau metoclopramide yang boleh membantu meningkatkan tahap hormon ini dalam badan anda.
4. Urutan Payudara
Urutan ringan payudara yang kerap boleh membantu merangsang kelenjar susu dan meningkatkan aliran darah ke kawasan tersebut, yang seterusnya dapat membantu meningkatkan pengeluaran susu.
5. Mengepam Susu
Penggunaan pam payudara secara tetap boleh membantu meniru tindakan menyusukan bayi dan merangsang pengeluaran susu. Mengepam perlu dilakukan setiap beberapa jam untuk meniru corak penyusuan bayi.
6. Kekerapan Penyusuan
Usahakan untuk kerap menyusu atausentuhan kulit ke kulit untuk merangsang pengeluaran susu. Walaupun hanya sedikit susu yang boleh dihasilkan pada mulanya, penyusuan yang kerap boleh membantu merangsang pengeluaran lebih banyak susu.
7. Penjagaan Diri
Pastikan anda menjaga kesihatan mental dan emosi semasa proses ini. Mengurus anak angkat sambil cuba merangsang pengeluaran susu boleh menjadi pengalaman yang mencabar emosi.
Jangan teragak-agak untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga, rakan atau kumpulan sokongan ibu bapa.
8. Sabar
Proses menyusu tanpa hamil boleh mengambil masa, dan keputusan boleh berbeza-beza dari satu individu ke individu yang lain. Adalah penting untuk bersabar dan memahami bahawa hasilnya mungkin tidak secepat yang anda harapkan.
Cabaran Menyusu Tanpa Hamil
Antara cabaran yang mungkin dihadapi bagi ibu menyusu anak angkat ialah:
- Kekurangan sokongan daripada orang sekeliling
- Kesuntukan dan kekangan masa untuk mengepam
- Motivasi diri yang tidak konsisten
- Ilmu penyusuan yang tidak mencukupi
- Penolakan penyusuan di payudara oleh bayi angkat yang sudah berumur lebih dari 1 bulan
Hukum Menyusukan Anak Angkat
Menurut laman JAKIM, Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian.
Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya.
Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak seperti berikut:
- Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan dan yang mengenyangkan
- Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah. Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
- Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
- Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Syafi’e dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak.
- Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
Kesimpulannya, induksi laktasi atau menyusu anak angkat adalah proses yang kompleks dan bervariasi. Keberhasilannya amat tergantung pada faktor-faktor individu.
Meskipun demikian bagi banyak wanita, induksi laktasi adalah cara untuk merasakan pengalaman menyusui yang mendalam dan membangun hubungan yang kuat dengan anak angkat mereka.
Meskipun tidak semua usaha dalam induksi laktasi berakhir dengan kejayaan, proses ini tetap menjadi bukti kesungguhan dan komitmen seorang ibu untuk memberikan yang terbaik buat anaknya.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: Sesi Tanya Pakar: Penyebab Rasa Sakit Ketika Menyusu (Direct-Breastfeed Atau Mengepam Susu)
Baca juga: Penyusuan Susu Ibu: Polisi Penyusuan, Langkah Menyusu Kali Pertama & Fahami Tentang Laktasi
Baca juga: 4 Bulan Cuba Hasilkan Susu Tanpa Hamil, Wanita Kecewa Bila Ibu Kandung Tak Jadi Beri Bayi Lepas Bersalin
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!