Batuk adalah refleks semula jadi yang membantu membersihkan saluran pernafasan daripada perengsa dan lendir. Batuk yang berterusan boleh menganggu aktiviti seharian anda. Justeru apa kata cuba beberapa cara hilangkan batuk tanpa perlu mengambil ubat.
Walaupun batuk adalah perkara biasa, batuk yang berterusan atau teruk boleh menunjukkan masalah kesihatan. Daripada bergantung semata-mata pada ubat-ubatan tanpa preskripsi, terdapat pelbagai ubat semula jadi yang boleh menjadi cara hilangkan batuk.
Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan tentang jenis-jenis batuk, cara hilangkan batuk dengan berkesan dan bila perlu jumpa doktor.
Isi Kandungan
Cara Hilangkan Batuk
Memahami Jenis-jenis Batuk
Sebelum mengetahui cara hilangkan batuk, adalah penting untuk memahami bahawa batuk boleh dikategorikan kepada pelbagai jenis.
Setiap jenis batuk mungkin mempunyai punca yang berbeza, dan pendekatan rawatan boleh berbeza-beza. Berikut beberapa jenis batuk sebagai panduan anda:
#1. Batuk Kering atau Menggelitik
- Punca: Faktor persekitaran, alahan atau jangkitan virus.
- Pemulihan: Madu dan teh herba boleh membantu.
#2. Batuk Berkahak
- Punca: Lendir berlebihan akibat jangkitan seperti selsema atau selesema.
- Pemulihan: Penghidratan, penyedutan wap, dan ubat ekspektoran mungkin bermanfaat.
#3. Batuk Croup
- Punca: Batuk croup biasanya terjadi pada kanak-kanak dan sering dikaitkan dengan jangkitan virus.
- Pemulihan: Pelembap, udara bersih dan kekal terhidrat boleh meredakan gejala.
#4. Batuk Kronik
- Punca: Bertahan lebih daripada lapan minggu, ia mungkin menunjukkan keadaan perubatan yang mendasari.
- Pemulihan: Berjumpa doktor adalah penting untuk diagnosis yang tepat dan rawatan sesuai.
Cara Hilangkan Batuk Dengan Mudah Di Rumah
Menurut perkongsian oleh seorang saintis, Dr Suri Roowi, ada beberapa sumber alami yang membantu mengatasi masalah batuk.
Berikut beberapa cara hilangkan batuk dengan mudah yang boleh anda cuba:
- Minum Air Serbuk Halia: Apabila halia dikeringkan dan dikisar jadi halia serbuk, bahan khasiat (gingerol) akan bertukar kepada shogaol. Shogaol adalah 2 kali lebih pedas berbanding gingerol. Bahan shogaol boleh bertindak sebagai ubat batuk.
- Makan Nanas: Nanas mengandungi enzim bromelain. Enzim ini bantu cairkan kahak dan kurangkan batuk.
- Minum Madu Asli: Madu asli sangat membantu masalah sakit tekak dan batuk. Terdapat kajian menunjukkan ia lebih berkesan berbanding ubat moden yang mengandungi dextromethorphan.
- Minum Yoghurt atau Madu Kelulut: Lactobacillus adalah bakteria baik yang boleh membantu sistem penghadaman dan masalah batuk. Bakteria baik ini banyak dalam yoghurt dan kajian terkini menunjukkan lactobacillus banyak juga dalam madu kelulut.
- Minum Air Limau Nipis bersama Madu: Limau nipis membantu merawat batuk dengan mengurangkan radang. Kulit limau nipis tinggi bahan berkhasiat (neohesperidin) berbanding jus. Caranya adalah dengan tambahkan madu asli pada kulit limau yang dihancurkan dan ditambahkan jus. Minum sedikit-sedikit sehingga sembuh. Limau nipis lebih berkesan berbanding kasturi untuk masalah batuk.
- Hidu Bawang Merah: Bawang Merah adalah antara sumber yang mudah didapati untuk bantu kurangkan batuk. Caranya adalah dengan memotong dan hidu bau bawang tersebut.
- Minum Air Kunyit: Kunyit secara semulajadinya mengandungi bahan kurkumin. Ia juga membantu kurangkan batuk terutamanya jenis batuk tanpa kahak. Caranya adalah ambil sedikit kunyit bersama madu, ditambah air dan diminum.
- Minum Air Kayu Manis: Rendam 1 atau 2 kayu manis dalam segelas air panas dan minum sedikit-sedikit. Kayu manis juga membantu masalah kencing manis.
Cara Hilangkan Batuk Pada Waktu Malam
Seorang pengguna Facebook, Leha Yusuf berkongsikan cara hilangkan batuk mengikut petua arwah ibunya.
Batuk pada waktu malam boleh mengganggu tidur dan keselesaan anda. Untuk mengatasi batuk pada waktu malam, berikut adalah beberapa cara yang boleh anda cuba:
- Asam Jawa: Rasa masam asam jawaboleh melegakan tekak. Caranya, ambik beberapa biji asam jawa mengikut kesesuaian. Pastikan buang biji asam jawa terlebih dahulu. Campurkan asam jawa yang sudah dibuang biji tadi ke dalam segelas air suam. Kacau sehingga campuran asam jawa menjadi sebati.
- Makan Madu: Dari zaman dahulu kala lagi, minum madu diakui baik untuk gatal tekak dan batuk-batuk. Caranya, ambil satu sudu madu dan makan begitu sahaja.
- Air Suam Bersama Madu: Bagi yang tidak boleh makan madu begitu sahaja, anda boleh tambahkan madu dalam air suam. Madu yang dicampur dengan air panas atau suam, teh dan jus lemon sesuai untuk batuk kering serta tidak berhenti-henti.
- Lemon: Air lemon sangat sesuai untuk orang yang mengalami batuk kering. Caranya, potong dan perah separuh lemon ke dalam air suam. Tambah sesudu madu jika perlu. Campurkan semuanya dan kacau hingga sebati. Minum dan nikmatilah kelegaan tekak gatal dan berkahak.
- Kumur Air Garam: Cara hilangkan batuk ini adalah dengan menambahkan sedikit garam ke dalam air suam, agak-agak dalam setengah sudu besar. Kacau hingga sebati. Kumur mulut hingga ke dalam tekak, tapi jangan sampai tertelan. Ia dapat melegakan kerengsaan dalam tekak.
- Limau Nipis: Ambil sebiji atau lebih limau nipis yang segar. Potong dua. Perahkan dalam air suam dan minum.
- Kicap Dengan Limau Nipis: Ambil sebiji limau nipis yang segar. Potong dua. Ambil juga sesudu kicap. Perahkan sebiji limau nipis tadi ke atas kicap. Campurkan, gaul dan minum.
- Kunyit: Bagi yang mengalami batuk kering, boleh makan makanan yang berasaskan kunyit. Yang sesuai ialah masak singgang atau masak lemak cili padi. Tidak perlu banyak-banyak, asalkan ada rasa.
- Minum Air Suam: Tidak perlu tambah apa-apa. Banyakkan minum air suam untuk kelegaan yang cepat. Biasanya kita batuk kerana kurang air dalam badan. Minum lebih banyak air untuk mengelakkan penghasilan kahak.
- Bawang Putih Bersama Madu: Cara nak hilangkan batuk yang seterusnya adalah ambil 3 hingga 4 ulas bawang putih. Kemudian kupas atau cincang halus. Campurkan dengan secawan madu. Simpan dan biarkan selama 3 jam sebelum dimakan
- Wap Air Panas: Batuk berkahak juga mampu dilegakan melalui wap daripada air panas. Anda boleh mandi air panas dan bernafas di dalam bilik air yang mempunyai wap tersebut. Cara lain adalah dengan bernafas daripada wap yang dihasilkan daripada air panas. Anda boleh cuba letakkan air panas di dalam mangkuk, dan bernafas dengan udara wap yang dihasilkan daripada air panas tersebut dan tutup kepala menggunakan tuala supaya wap tersebut tidak bebas keluar dan diserap serta dihirup sepenuhnya.
Cara Hilangkan Batuk Berkahak
Batuk berkahak biasanya disebabkan oleh lendir atau kahak yang terkumpul di saluran pernafasan. Untuk merawat batuk kahak, berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil:
- Teh Herba: Teh herba seperti teh halia, teh pudina, atau teh chamomile boleh membantu melegakan batuk dan melembutkan lendir. Tambah madu untuk memberi kesan yang lebih menenangkan pada tekak.
- Penggunaan Halia: Halia mempunyai sifat anti-radang dan boleh membantu melonggarkan lendir. Anda boleh menambah halia ke dalam teh atau membuat airhalia hangat.
- Timun: Timun mengandungi air yang tinggi dan boleh membantu melembutkan lendir. Potong timun dan tambah sedikit garam untuk meningkatkan kesan.
- Minyak Kelapa: Minum satu sudu minyak kelapa setiap hari boleh membantu melegakan batuk kahak. Minyak kelapa mempunyai sifat antimikrob yang boleh membantu melawan jangkitan.
Cara Hilangkan Batuk Budak
#1. Melakukan Urutan
Ahli akupuntur berlesen dan ahli herba Robin Green menyarankan ibu bapa mengurut cara Tuina hilangkan batuk pada kanak-kanak. Cara mengurut ini lain dari biasa kerana ia sangat lembut dan hanya mengenakan tekanan pada kawasan tertentu untuk merangsang keupayaan tubuh badan untuk “menyembuhkan diri.”
Berikut cara hilangkan batuk budak melalui urutan:
- Cubit lembut kawasan di bawah tulang kipas (shoulder blade) dengan menggunakan sedikit tekanan untuk merangsang fungsi paru-paru dan dada.
- Tarik otot yang dicubit ke atas dengan ibu jari dan dengan perlahan-lahan tarik ke bawah seperti menguli dua biji doh yang kecil.
- Teruskan urutan ini selama 30 saat – 2 minit sehingga kulit kelihatan sedikit kemerahan atau apabila anak rasa lebih tenang.
#2. Madu Dan Lemon
Air madu dan lemon suam boleh mengurangkan kahak yang melekit. Cuma tambah 2 sudu madu dalam air suam sudah mencukupi.
Jika ingin mencampurkan madu dengan teh, pilihlah teh herba yang tidak mempunyai kafein seperti teh halia, raspberi, ataupun teh pudina yang selamat untuk kanak-kanak.
Tetapi jangan lupa ya, madu tidak boleh diberi kepada bayi di bawah 12 bulan.
Sama seperti cara mengurut Tuina, acupressure telinga juga boleh merangsangkan penyembuhan dan menjadi cara hilangkan batuk.
Menurut Perubatan Tradisional Cina (TCM), tekanan lembut yang digunakan pada bahagian bawah dan luar telinga luar boleh melegakan batuk dan tanda-tanda asma. Ibu-ibu berani nak cuba? Kalau anda takut, dapatkan pandangan pakar dulu ya!
#4. Berhenti Beri Produk Tenusu Pada Anak
Menurut perubatan Cina tradisional, produk tenusu seperti susu, yogurt, keju akan menambahkan kahak dan mukus. Jadi jika ibu bapa ingin mengurangkan kahak anak, berhenti memberi produk tenusu kepada anak sementara waktu.
Tetapi ibu bapa perlu mempertimbangkan anak kecil yang masih menyusu atau bergantung kepada susu formula untuk membesar – jangan berhenti beri susu kepada mereka. Mengurangkan pemberian susu juga boleh menghalang anak dari demam panas yang terlalu tinggi.
#5. Beri Anak Pir Cina
Sekiranya anak batuk kering, ibu bapa boleh cuba beri anak makan separuh ataupun sebiji pir cina yang telah dikukus sebelum tidur. Ibu bapa juga boleh tambahkan sedikit serbuk kayu manis dan madu, kata doktor holistik Karen S. Lee.
Pir cina dikenali sebagai buah yang kaya dengan vitamin C dan K dan boleh menyembuhkan batuk dengan cepat.
#6. Guna Minyak Pati Untuk Menghilangkan Batuk
Ibu-ibu yang sudahpun tahu kebaikan EO (essential oil) tentu boleh membuktikan keberkesanannya dan menjadi salah satu cara hilangkan batuk.
Apabila digunakan dengan disfusser wap yang dihidu, ia boleh melegakan hidung tersumbat, dada serta batuk anak.
Tetapi sebelum mula menggunakan EO, rujuk dengan doktor dulu jenis minyak yang sesuai untuk anak. Ibu bapa perlu berhati-hati kerana sesetengah EO belum diluluskan selamat untuk kanak-kanak.
Selepas mendapat pengesahan dari doktor atau otai-otai oiler mums yang sudah bertahun-tahun menggunakannya, anda bolehlah buat campuran EO sendiri dengan minyak pengantaraan seperti minyak kelapa dara ataupun minyak zaitun.
Ia boleh digunakan untuk mengurut anak, di letak dalam difusser ataupun sebagai mandian stim.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Walaupun ubat-ubatan semula jadi dan perubahan gaya hidup boleh berkesan untuk ramai orang, terdapat situasi di mana perhatian perubatan diperlukan.
Segera berjumpa doktor jika:
- Batuk anda berterusan selama lebih daripada tiga minggu.
- Anda mengalami sakit dada atau kesukaran bernafas.
- Batuk disertai dengan demam yang berterusan.
- Terdapat darah dalam kahak.
- Anda mempunyai sejarah masalah pernafasan seperti asma atau penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).
Kesimpulannya, menggabungkan ubat semulajadi dan mengamalkan gaya hidup sihat boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan dan mencegah batuk.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengetahui bila nasihat perubatan profesional diperlukan untuk penilaian menyeluruh dan diagnosis yang betul. Dengan mengambil pendekatan holistik terhadap kesihatan pernafasan, anda boleh meningkatkan kesejahteraan keseluruhan dan meminimumkan kesan batuk dalam kehidupan harian.
Semoga artikel ini bermanfaat!
Healthline, WebMD, Dr Suri, Leha Yusuf
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Hilangkan Batuk Budak, Ibu Ayah Bawa Anak Keluar, Dedahkan Cahaya Matahari & Tanah
Baca juga: Resepi Ikan Singgang Versi Baby, Bagus Untuk Meredakan Demam & Batuk Si Manja
Baca juga: Anak Batuk Malam? Ini 11 Sebab Kenapa Bayi Selalu Batuk & Bila Patut Jumpa Doktor