Tempoh 6 bulan pertama selepas kelahiran, makanan terbaik buat bayi adalah susu ibu. Ini kerana ia membekalkan kesemua nutrisi berkhasiat seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin, air dan mineral. Bagi anda yang berdepan kekurangan susu badan, apa kata semak beberapa jenis sayur yang dikatakan sebagai milk booster terbaik ini!
Tidak dinafikan buat ibu pertama kali, anda tentu sahaja berasa kekok dan sukar menyusukan bayi dengan baik. Sesetengah wanita berdepan masalah biologi atau fizikal seperti ketidakseimbangan hormon, kecederaan payudara atau pembedahan sehingga menyebabkan bekalan susu menjadi kurang.
Baca juga: Cara Banyakkan Susu Badan Yang Mudah & Berkesan, No #5 Wajib Para Ibu Cuba!
Sayur-sayuran yang boleh diambil sebagai milk booster terbaik
Penggalak susu badan atau milk booster sebenarnya boleh diusahakan melalui pelbagai sumber seperti produk tenusu, protein, karbohidrat, malah ada juga ibu yang mengambil supplemen.
Untuk lebih selamat dan semula jadi, kami kongsikan beberapa jenis sayur penggalak susu ibu terbaik serta berkesan. Antaranya ialah:
#1. Jantung pisang
Jantung pisang sebenarnya kaya dengan kalsium, zat besi, mineral dan mineral yang baik diperlukan oleh tubuh. Anda boleh menyediakannya dengan cara rebus dan dimakan sebagai ulam, masak lemak ataupun diolah menjadi kerabu.
Ramai ibu mengakui bahawa pengambilan jantung pisang dalam menu harian berkesan meningkatkan penghasilan susu ibu. Bukan itu sahaja, ia turut membekalkan tenaga dan membantu membersihkan organ-organ dalam badan seperti jantung, hati serta buah pinggang.
#2. Lobak putih
Cara seterusnya yang paling mujarab bagi menambah susu badan ibu ialah dengan mengamalkan lobak putih. Ini kerana ia mengandungi alpha serta beta carotene yang sangat penting dalam penghasilan susu badan.
Selain itu sayur ini turut kaya dengan vitamin A yang diperlukan oleh tubuh badan. Disebabkan oleh lobak putih memiliki bau yang kurang sedap, ibu hendaklah kreatif dalam penyediaan masakan seperti tambah sedikit bawang, ikan bilis dan sayuran yang lain.
#3. Bayam hijau
Ketika proses melahirkan bayi, anda mungkin mengalami pendarahan yang agak banyak. Justeru ibu digalakkan untuk mengambil sayur bayam hijau ini kerana ia tinggi dengan kandungan zat besi, vitamin A, vitamin K dan asid folik.
Ramai sebenarnya tidak tahu bahawa asid folik juga sangat penting untuk para ibu menyusu. Ini kerana sayuran hijau berdaun gelap mengandungi phytoestrogen yang bagus untuk kesihatan tisu payudara dan laktasi.
#4. Lobak merah
Milk booster terbaik dan semula jadi yang seterusnya ialah lobak merah. Sayur ini dapat membantu melancarkan aliran susu pada salurannya. Kandungan bahan fitoestrogen dan vitamin A mampu membuatkan tubuh ibu menyusu tidak mudah letih.
Ia turut melindungi kesihatan mata dan tubuh bayi daripada sebarang masalah penyakit.
#5. Lada benggala (capsicum)
Untuk ibu menyusu yang amat menggemari makanan pedas, anda boleh mengambil lada benggala ketika melalui tempoh berpantang. Sayuran ini mengandungi air yang banyak dan mampu meningkatkan penghasilan susu ibu secara semula jadi.
Bukan itu sahaja, kandungan kalori yang rendah di dalamnya turut membantu mengurangkan berat badan ibu menyusu. Lada benggala ini kaya dengan vitamin A, C dan asid folik.
#6. Tomato
Buah tomato amat sesuai diambil oleh ibu menyusu kerana ia mampu mencegah tubuh supaya tidak mudah lesu atau berasa sakit. Sayur ini juga tinggi dengan serat dan turut membantu mengelakkan masalah sembelit.
Vitamin C, A dan asid folik didalamnya turut berupaya meningkatkan pengeluaran susu badan dengan mudah. Ibu menyusu digalakkan untuk mengambil buah tomato sudah dimasak menggunakan suhu rendah supaya nutrisinya tidak hilang.
#7. Kacang bendi
Kacang bendi merupakan salah satu jenis sayuran yang mengandungi sejuta manfaat untuk ibu sedang menyusu.
Lendir daripada sayuran ini memiliki glikoprotein dan exopolysacharrides yang berupaya menjaga kesihatan tubuh badan anda. Selain itu, kandungan vitamin A, B (B1, B2 dan B6), C dan kalsium yang tinggi dalam kacang bendi menjadikan sayur ini paling sesuai diamalkan sejak ibu mengandung lagi.
Sumber: Bumbumcak
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia