Untuk bakal ibu yang pertama kali akan melahirkan anak tentu anda masih baru dengan topik ini. Pernafasan memainkan peranan penting dalam melahirkan anak nanti. Kenapa?
Pernafasan beritma semasa proses kelahiran dapat memaksimakan jumlah oksigen yang sedia digunakan oleh anda dan bayi. Teknik-teknik pernafasan juga boleh membantu anda menangani kontraksi.
Apabila anda berasa tertekan dan ketakutan, pernafasan anda akan menjadi lebih pendek dan deras. Bahu anda akan tertarik ke atas ke arah telinga dan, pada masa yang sama leher dan otot bahu anda berasa tertekan dan tegang. Jika anda terus panik, anda akan mula bernafas keterlaluan, menyedut udara ke dalam paru-paru dan menghembus nafas secara tercungap-cungap.
Pernafasan dalam keadaan panik mengurangkan jumlah oksigen yang diambil untuk badan anda dan bayi. Anda akan berasa pening dan hilang kawalan. Jari-jari rasa semut-semut dan mulut terasa kebas.
Semua ini adalah reaksi normal terhadap situasi yang penuh stres atau yang menakutkan. Ini adalah normal, tetapi badan anda tidak boleh berterusan begini tanpa menjadi letih. Semasa kelahiran, anda mesti menyimpan tenaga anda seberapa banyak yang boleh. Anda juga mahu membekalkan oksigen yang secukupnya kepada bayi anda untuk membantunya menghadapi stres semasa dilahirkan. Pernafasan beritma boleh membantu dalam perkara ini.
Corak pernafasan untuk kelahiran
Perhatikan bagaimana pernafasan anda mempunyai ritmanya sendiri. Anda akan sedar bahawa semasa menarik nafas anda berhenti seketika sebelum anda menghembus nafas keluar. Hembusan nafas keluar sama tempoh dan kedalamannya dengan tarikan nafas masuk. Anda berhenti seketika sebelum paru-paru anda menarik nafas masuk sekali lagi.
Kekalkan ritma pernafasan ini. Jangan biarkan tarikan nafas menjadi lebih panjang daripada hembusan. Dalam keadaan apa sekalipun, hembusan nafas sepatutnya lebih panjang daripada tarikan nafas.
Adalah normal apabila anda sedang mengalami kontraksi, anda akan bernafas dengan lebih pendek dan kerap. Ini tidak salah selagi pernafasan anda tidak menjadi lebih deras, dan bertukar menjadi pernafasan panik.
Teknik pernafasan mudah
Latihan teknik-teknik relaks semasa hamil dapat membantu anda menggunakannya dengan efektif semasa proses kelahiran. Cubalah teknik-teknik pernafasan berikut:
- Fikirkan perkataan “relaks”. Ia mempunyai dua suku kata, “re” dan “laks”. Cuba latihan ini. Semasa anda menarik nafas, fikirkan “re” dan semasa anda menghembus nafas, fikirkan “laks”. Jangan biarkan minda anda merayau; sebaliknya tumpukan kepada meyebut perkataan “relaks” berulang-ulang selaras dengan pernafasan anda. Semasa anda menghembus nafas, cuba lepaskan sebarang tekanan dalam badan anda. Fokus kepada otot yang anda tahu akan tegang apabila anda stres. Setiap kali anda menghembus nafas, ingatlah: “laaaks”. Fokuslah kepada hembusan nafas: tarikan nafas akan berlaku dengan sendirinya!
- Atau anda boleh cuba mengira apabila bernafas. Semasa anda menarik nafas, kira sehingga tiga atau empat dengan perlahan (atau sebarang nombor yang anda mahu) dan semasa anda menghembus nafas keluar, kira juga sebanyak tiga atau empat kali lagi. Anda akan dapati bahawa adalah lebih selesa mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.
- Cuba bernafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut anda. Hembus nafas melalui mulut dengan lembut. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut. Ramai wanita akan dapati bahawa membuat bunyian semasa menghembus nafas seperti “Oooooooh” atau “Aaaaaah” amat membantu mereka. Di antara kontraksi, minum sedikit air untuk mengelakkan mulut anda menjadi kering.
Sokongan semasa pernafasan
Adalah satu perkara yang sangat sukar untuk mengekalkan pernafasan beritma anda di samping relaks setiap kali anda mengalami kontraksi yang menyakitkan; anda berasa letih dan perlahiran itu seakan-akan tiada penghujungnya. Pada masa inilah ianya penting untuk mendapatkan sokongan rakan kelahiran anda. Rakan kelahiran anda dapat membantu mengekalkan kestabilan pernafasan anda dengan bernafas bersama anda.
Anda perlu memandang mata rakan kelahiran anda dan dia perlu memegang tangan anda atau meletakkan tangannya di atas bahu anda sambil bersandar dengan lembut. Anda boleh mengikut corak pernafasannya semasa dia menarik nafas melalui hidung dan menghembus nafas ke muka anda dengan lembut.
Praktikkan ini semasa kehamilan. Pada mulanya, ia akan berasa pelik dan kedua-dua anda akan berasa kurang selesa. Walau bagaimanapun, bernafas cara bersama amat membantu semasa dalam pelahiran, terutama sekali apabila anda berasa anda tidak berdaya lagi.
Bernafas dan meneran
Semasa fasa kedua pelahiran, anda akan menolak bayi anda keluar. Ramai wanita yang menahan nafas dan meneran sepanjang mana yang boleh. Kaedah ini kini tidak digalakkan kerana tiada bukti yang menunjukkan bernafas dan meneran dalam cara ini berfaedah bagi anda dan bayi, dan ia juga mungkin meningkatkan risiko koyakan.
Pengajar kelahiran bebas iaitu Jennifer Hor, mencadangkan kaedah-kaedah berikut:
- Tarik nafas dalam-dalam apabila kontraksi bermula.
- Bernafas atau hembus nafas perlahan-lahan ketika anda meneran.
Kaedah ini dapat mengelak daripada tekak anda rosak dan memastikan anda mengekalkan corak pernafasan yang sihat, dan seterusnya anda dapat meneran dengan efektif.
Turuti naluri anda dan teran seberapa banyak kali setiap kontraksi sebanyak mana yang anda rasa baik. Anda mungkin dapati bahawa anda rasa hendak meneran sedikit tiga hingga lima kali bagi setiap kontraksi, dengan mengambil nafas beberapa kali di antaranya.
Bagaimana jika saya mengambil epidural?
Sekiranya anda telah diberikan suntikan epidura, anda digalakkan untuk menunggu sekurang-kurangnya satu jam mulai masa serviks anda terbuka sepenuhnya sebelum mula meneran, kecuali jika kepala bayi telah jelas kelihatan atau jika anda rasa keinginan yang kuat untuk meneran.
Jika anda masih tidak dapat merasa bila masanya untuk menolak, tariklah nafas apabila bidan atau doktor memberitahu anda bahawa kontraksi telah bermula. Semasa anda menghembus nafas keluar, fokuskan kepada kepala bayi anda di antara kaki anda dan teruslah meneran dan menolak.
Bernafas dan bukan meneran
Foto: Majalah Pa&Ma
Kadang-kala wanita akan terasa mahu meneran sebelum serviks mereka mengembang sepenuhnya. Dalam kes ini, doktor anda akan meminta supaya anda jangan meneran untuk memberikan masa kepada serviks anda untuk mengembang. Ini adalah perkara yang amat sukar!
Anda boleh membantu dengan berlutut dengan kaki dan tangan anda, punggung anda di arahkan ke atas dan pipi anda di atas lantai. Apabila kontraksi bermula, berikan empat nafas pendek, diikuti dengan empat lagi nafas pendek dan seterusnya.
Anda juga boleh berulang menyatakan dengan tegas frasa “Saya tidak mahu meneran” di dalam kepala anda sambil bernafas pantas. Antara kontraksi, bernafaslah dengan normal.
Cara memudahkan kelahiran
- Senaman: Senaman lantai pelvis dan senaman perut dapat mengurangkan tekanan. Turun ke posisi merangkak dan tegakkan belakang anda. Tarik nafas dan kemudian, apabila menghembus nafas, kemutkan otot lantai pelvis dan tarik pusat ke dalam dank e atas. Teruskan mengemut untuk selama kira-kira lima hingga 10 saat tanpa menahan nafas dan tanpa menggerakkan belakang anda. Relakskan otot-otot perlahan-lahan pada akhir senaman.
- Urutan: Urutan dapat melegakan otot-otot yang letih dan lenguh. Bongkokkan badan ke hadapan menghadap belakang kerusi atau baring mengiring. Minta suami anda mengurut bahagian bawah belakang dan otot-otot yang mengunjur sepanjang kedua-dua sisi tulang belakang anda perlahan-lahan. Untuk bantuan lanjut, anda boleh dapatkan khidmat tukang urut terlatih atau ahli fisioterapi.
- Postur yang baik: Jika anda mengalami kesakitan pada tulang tongkeng, elakkan dari duduk membongkok dan bengkokkan belakang anda sejauh yang anda rasa selesa. Cuba duduk di atas kusyen lembut yang berbentuk baji atau berbentuk cincin.
- Berenang: Sertai kelas akuanatal jika ada. Kelas seperti ini boleh membantu melegakan sakit belakang semasa hamil.
- Akupunktur: Adalah penting bagi anda mendapatkan pengamal akupunktur yang terlatih dan berpengalaman merawat wanita hamil.
- Bantal materniti: Tidur mengiring dengan bantal berbentuk baji diletakkan di bawah perut dapat membantu.
- Kehangatan dan air: Mandian hangat, tuaman panas atau pancuran air panas dapat melegakan ketidakselesaan.
- Tali pinggang sokongan: Tali pinggang ini dapat menampung berat bayi dan mengurangkan tekanan terhadap otot-otot perut dan belakang anda.
Selamat berjaya semua bakal ibu! Ingat pernafasan kena steady ya!
Sumber: Babycenter
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 8 Cara Semula Jadi Untuk Mudah Bersalin
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!