Apabila anak disahkan mengalami gangguan spektrum autisme, adalah normal untuk bertanya apakah punca autisme.
Buat masa ini, kita tidak mengetahui punca tepat autisme, tetapi kajian mendapati autisme berlaku disebabkan gabungan faktor perkembangan, genetik, dan persekitaran. Namun, apa yang kita tahu dengan jelas adalah apa yang bukan punca autisme.
Jumlah kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang disahkan autisme meningkat kepada 1,681 kes pada tahun 2023 berbanding 183 pada 10 tahun lalu.
Isi Kandungan
Punca Autisme Pada Anak
1. Punca Autisme Disebabkan Genetik
Keluarga yang mempunyai seorang anak autisme mempunyai peluang lebih tinggi untuk mempunyai anak lain yang juga menghidap autisme.
Risiko anak lain turut mengalami autisme mempunyai anak lain yang terjejas dianggarkan sekitar 1 dalam 5. Ahli keluarga seseorang yang mengalami autisme juga cenderung mempunyai kadar sifat autistik yang lebih tinggi.
Kajian anak kembar menunjukkan bahawa apabila satu kembar seiras (monozigot) menghidap autisme, terdapat peluang yang sangat tinggi bahawa kembar yang lain juga akan terjejas (77% dalam satu kajian besar). Bagi kembar tidak seiras (dizigot), yang mempunyai perbezaan genetik, peluangnya jauh lebih rendah.
2. Ibu Bapa Yang Berusia
Terdapat semakin banyak bukti bahawa bapa dan ibu yang lebih berusia (melebihi 45 tahun) mempunyai peluang lebih tinggi untuk mempunyai anak dengan autisme.
Secara amnya, ibu bapa yang lebih tua lebih cenderung mempunyai anak yang mengalami gangguan perkembangan dan gangguan lain.
Walaupun puncanya berkemungkinan besar adalah genetik, ibu yang lebih tua juga berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran.
3. Masalah Kehamilan Dan Kelahiran
Kehamilan dan, pada tahap yang lebih rendah, awal kelahiran kelihatan menjadi tempoh penting apabila perkembangan otak boleh terjejas. Jangkitan bakteria atau virus pada ibu semasa kehamilan didapati sedikit meningkatkan peluang autisme, namun ini hanya merupakan faktor kecil.
Faktor lain pada ibu yang boleh dikaitkan dengan autisme pada anak termasuk kekurangan asid folik, diabetes gestasi, dan penggunaan antidepresan tertentu semasa kehamilan, tetapi tiada bukti kukuh bagi kaitan ini. Sebaliknya, pengambilan vitamin pranatal nampaknya mengurangkan risiko autisme pada anak.
4. Punca Persekitaran
Dalam dekad yang lalu, terdapat peningkatan kajian mengenai aspek persekitaran kita yang mungkin menyumbang kepada autisme. Walau bagaimanapun, meskipun terdapat banyak kajian, tiada satu faktor persekitaran yang pasti menjadi penyebab autisme.
5. Kekurangan Vitamin D Ketika Hamil
Penyelidik juga mendapati kekurangan nutrisi seperti asid folik, vitamin D, dan asid lemak mungkin juga berperanan dalam peningkatan risiko untuk mengembangkan risiko autisme.
Namun lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkannya. Vitamin D bermanfaat untuk mengawal jumlah kalsium dan fosfat di dalam tubuh.
Kalsium dan fosfat merupakan mineral penting yang diperlukan oleh janin untuk membentuk pertumbuhan tulang dan gigi. Kekurangan vitamin D saat hamil dapat meningkatkan risiko terjadinya penyakit lemah tulang atau rickets pada janin.
Apakah Yang Tidak Menyebabkan Autisme?
1. Didikan Dan Salah Ibu Bapa
Terdapat satu tempoh suram dalam sejarah dari tahun 1950-an hingga 1970-an apabila autisme dipercayai sebagai gangguan psikologi, dan ibu bapa yang tidak prihatin, terutamanya ibu, dipersalahkan.
Nasib baik, ia telah dibuktikan salah oleh sains, dan autisme kini diakui sebagai gangguan perkembangan otak yang mempunyai kaitan genetik.
Tiada apa yang anda katakan atau lakukan sebagai ibu bapa boleh menyebabkan anak autisme, jadi jangan dengar sesiapa yang mengatakan sebaliknya.
2. Vaksin Tidak Menyebabkan Autisme
Puluhan kajian saintifik membuktikan bahawa vaksin bukanlah punca autisme. Kebimbangan timbul dahulu berkaitan dua isu iaitu merkuri dan Vaksin MMR (Campak, Beguk, dan Rubela).
Pada tahun 2014, satu meta-analisis yang menggabungkan hasil 10 kajian melibatkan lebih daripada 1.2 juta kanak-kanak mendapati tiada kaitan antara vaksin dan autisme.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Agensi Ubat-ubatan Eropah, Akademi Pediatrik Amerika, dan kumpulan kesihatan antarabangsa lain juga membuat kesimpulan bahawa tiada kaitan.
Faktor Risiko Autisme
ASD tidak disebabkan oleh satu faktor sahaja. Pelbagai faktor yang berbeza telah dikenal pasti yang mungkin meningkatkan kebarangkalian seorang kanak-kanak untuk mengalami ASD, termasuk faktor persekitaran, biologi, dan genetik.
Walaupun kita masih kurang mengetahui tentang punca khusus, bukti yang ada menunjukkan bahawa faktor-faktor berikut mungkin meningkatkan risiko kanak-kanak untuk mengembangkan ASD:
- Mempunyai adik-beradik dengan ASD
- Mempunyai keadaan genetik atau kromosom tertentu, seperti sindrom X rapuh atau sklerosis tuberosa
- Mengalami komplikasi semasa kelahiran
- Dilahirkan oleh ibu bapa yang lebih berusia
Cara Mengesan Anak Autisme
Autisme boleh dikesan seawal usia beberapa bulan hingga ke peringkat dewasa, selagi perkembangan minda anak dapat diperhatikan dan dinilai secara teliti.
Ada juga kes di mana bayi membesar secara normal pada awalnya, tetapi pada satu tahap, perkembangannya menjadi perlahan atau bayi tersebut kehilangan kemahiran yang sebelum ini telah dikuasai.
Berikut adalah tanda amaran atau ‘red flag’ bagi autisme yang harus diketahui oleh ibu bapa. Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda ini, segera rujuk kepada pakar perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
- Lewat bercakap
- Mengelak dari menatap mata semasa berkomunikasi dan lebih suka bersendiri
- Suka mengulang perkataan atau ayat yang sama
- Memberikan jawapan yang tidak berkaitan dengan soalan yang ditanya
- Tidak memberi respons ketika namanya dipanggil pada usia 12 bulan
- Tidak menunjukkan minat (dengan menunjuk ke arah sesuatu objek) pada usia 14 bulan
- Tidak berminat bermain olok-olok pada usia 18 bulan
- Kesukaran memahami perasaan orang lain atau menzahirkan perasaan sendiri
- Mudah marah apabila berlaku perubahan dalam persekitaran
- Terlalu obses dengan sesuatu perkara
- Memberikan reaksi yang tidak sesuai terhadap rangsangan tertentu
- Melakukan perbuatan berulang seperti mengepakkan tangan, mengoncang badan, atau berpusing-pusing
Jika autisme dapat dikesan lebih awal, langkah proaktif boleh diambil untuk mengurangkan kesan negatif terhadap kanak-kanak tersebut.
Ciri-Ciri Autisme Pada Anak
Ciri-ciri autisme boleh berbeza antara setiap individu, namun secara umum, terdapat beberapa ciri utama yang sering diperhatikan pada kanak-kanak yang mengalami autisme. Berikut adalah antara ciri-ciri tersebut:
1. Masalah Komunikasi
- Lambat bercakap atau langsung tidak bercakap
- Mengulang perkataan atau frasa tertentu (echolalia)
- Sukar memulakan atau meneruskan perbualan
- Memberikan jawapan yang tidak sesuai dengan soalan atau konteks.
2. Kesukaran Berinteraksi Sosial
- Tidak suka atau mengelak dari menatap mata.
- Sukar memahami isyarat sosial, seperti ekspresi wajah atau nada suara.
- Kurang atau tiada minat untuk berkongsi minat dengan orang lain.
- Gemar bermain sendiri dan tidak menunjukkan minat untuk berkawan atau berinteraksi.
3. Perkembangan Pergerakan Berulang (Repetitive Behavior)
- Sering melakukan gerakan berulang seperti mengepakkan tangan, mengayunkan badan, atau berpusing-pusing
- Suka objek tertentu, seperti bermain dengan satu mainan sahaja.
- Menunjukkan ketertarikan yang berlebihan kepada rutinitas dan sukar menerima perubahan dalam rutin.
4. Kepekaan Terhadap Rangsangan Sensori
- Sangat sensitif atau kurang sensitif terhadap bunyi, cahaya, tekstur, atau sentuhan
- Boleh menjadi marah atau tidak selesa apabila berada dalam persekitaran yang terlalu bising atau terang.
- Suka menyentuh, mencium, atau melihat objek dari jarak dekat untuk merangsang deria mereka.
5. Masalah Emosi Dan Perasaan
- Sukar mengenal pasti atau memahami perasaan diri sendiri atau orang lain
- Kurang empati dan tidak menunjukkan reaksi emosi yang sesuai dengan situasi.
6. Rutin Yang Sama Atau Pola Tingkah Laku
- Suka melakukan sesuatu dengan cara yang sama setiap hari dan boleh menjadi marah atau cemas apabila terdapat perubahan.
- Menunjukkan kebiasaan yang berulang-ulang dalam aktiviti harian, seperti menyusun mainan dalam corak tertentu.
Adakah Anak Autisme Boleh Sembuh?
Autisme tidak boleh sembuh sepenuhnya kerana ia merupakan gangguan perkembangan neurologi yang mempengaruhi cara otak berfungsi dan berkembang.
Walaupun autisme adalah keadaan seumur hidup, terdapat banyak kaedah intervensi yang boleh membantu kanak-kanak autisme meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi, dan tingkah laku mereka.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu difahami tentang sokongan dan intervensi bagi kanak-kanak autisme:
1. Terapi Awal dan Intervensi
Terapi awal adalah sangat penting kerana ia dapat membantu anak autisme mencapai potensi terbaik mereka. Terapi seperti terapi pertuturan, terapi tingkah laku (ABA), dan terapi pekerjaan dapat memberi impak besar dalam perkembangan kemahiran kanak-kanak tersebut.
Makin awal terapi diberikan, makin besar peluang anak untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran yang penting.
2. Peningkatan Kemahiran Sosial dan Komunikasi
Kanak-kanak autisme boleh belajar untuk berinteraksi dengan lebih baik melalui latihan yang konsisten dan bimbingan.
Walaupun mereka mungkin tidak ‘sembuh’ sepenuhnya, ramai kanak-kanak autisme yang mendapat intervensi awal mampu belajar kemahiran sosial dan komunikasi sehingga boleh berdikari atau menjalani kehidupan yang lebih normal.
3. Pengurusan Tingkah Laku dan Sokongan Pendidikan
Sokongan di sekolah dan rumah sangat membantu. Program pendidikan khas dan guru yang terlatih dalam pengurusan autisme dapat membantu kanak-kanak ini untuk mencapai prestasi yang lebih baik dan mengurus tingkah laku mereka di persekitaran yang berbeza.
4. Perkembangan Berterusan
Ramai anak autisme menunjukkan peningkatan yang ketara dengan terapi dan pendidikan yang berterusan. Sesetengah daripada mereka boleh berdikari dan menjalani kehidupan yang produktif.
Walaupun mereka mungkin masih memiliki beberapa ciri autisme, mereka dapat menyesuaikan diri dan mengatasi banyak cabaran.
5. Sokongan Emosi dan Pemahaman Keluarga
Sokongan keluarga dan masyarakat sangat penting dalam membina keyakinan diri dan kesejahteraan emosi kanak-kanak autisme. Dengan sokongan yang positif, mereka dapat mencapai kemajuan dan menjadi lebih selesa dalam persekitaran mereka.
Secara keseluruhannya, walaupun tiada rawatan yang boleh “menyembuhkan” autisme, dengan sokongan, terapi, dan pendidikan yang tepat, ramai individu autisme boleh menjalani kehidupan yang berkualiti tinggi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: 60 Ciri Ciri Autism/ Tanda Autism, Ibu Sila Perhati Jika Ada Kelainan Dalam Perkembangan Anak
Baca juga: Ini Sebab-Sebab Mengapa Autisme Berisiko Terjadi Pada Anak Anda, Ibu Lihat Tandanya!
Baca juga: Punca Autisme Mungkin Disebabkan Barang Rumah Ini!