Melahirkan bayi adalah pengalaman berharga bagi setiap ibu, namun ia sering hadir dengan perubahan tidak dijangka pada tubuh. Salah satu perubahan tubuh yang dialami oleh ramai ibu baru ialah rambut gugur selepas bersalin.
Walaupun masalah keguguran rambut menyebabkan anda tidak selesa dan bimbang, ia adalah fenomena biasa yang menjejaskan keyakinan ramai wanita selepas bersalin.
Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan lengkap tentang rambut gugur selepas bersalin, berapa lama masalah keguguran rambut terjadi, punca rambut gugur selepas bersalin dan rawatan yang boleh anda cuba di rumah.
Isi Kandungan
Rambut Gugur Selepas Bersalin
Apa Itu Keguguran Rambut Selepas Bersalin?
Rambut gugur selepas bersalin juga dikenali sebagai alopecia selepas bersalin atau telogen effluvium, adalah keguguran rambut berlebihan yang berlaku beberapa bulan selepas wanita melahirkan bayi.
Masalah keguguran rambut ini biasanya terjadi antara tiga hingga enam bulan selepas bersalin tetapi boleh berterusan sehingga setahun atau lebih dalam beberapa kes.
Walaupun rasa agak bimbang melihat gumpalan rambut gugur di lantai, adalah penting untuk memahami bahawa ia adalah normal dan boleh dirawat.
Punca Rambut Gugur Selepas Bersalin
Rambut gugur selepas bersalin adalah fenomena biasa yang dialami oleh ramai wanita. Terdapat beberapa punca yang menyebabkan rambut gugur selepas bersalin:
- Perubahan Hormon: Semasa mengandung, paras hormon terutamanya estrogen, meningkat dengan ketara. Estrogen yang tinggi merangsang pertumbuhan rambut, menyebabkan rambut menjadi lebih tebal dan berkilat. Bagaimanapun selepas bersalin, tahap hormon beransur-ansur kembali ke paras normal, yang boleh menyebabkan rambut memasuki fasa berehat dan gugur.
- Tekanan Fizikal dan Emosi: Proses bersalin dan menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas bersalin boleh menjadi menyebabkan tekanan. Kesannya, ia boleh membawa kepada ketidakseimbangan hormon dan masalah keguguran rambut.
- Kekurangan Nutrien: Semasa mengandung, tubuh wanita terdedah mengalami kekurangan nutrien terutamanya zat besi dan vitamin tertentu. Selepas bersalin terutamanya semasa menyusu, kekurangan zat ini boleh menyebabkan rambut lemah dan keguguran.
- Penurunan Estrogen: Selepas melahirkan anak, paras estrogen menurun secara drastik, menyebabkan perubahan dalam kitaran pertumbuhan rambut. Rambut yang pada asalnya tebal dan subur mungkin menjadi kering, rapuh dan gugur.
- Trauma Fizikal: Proses melahirkan anak, terutamanya jika melibatkan komplikasi atau pembedahan seperti pembedahan cesarean, boleh menyebabkan trauma fizikal kepada badan dan kulit kepala. Trauma ini boleh menjejaskan keseimbangan hormon dan menjadi punca rambut gugur selepas bersalin.
Jangka Masa Keguguran Rambut Pasca Bersalin
Biasanya, keguguran rambut pasca bersalin bermula dalam tempoh 2-4 bulan selepas proses melahirkan, ketika tahap estrogen dalam tubuh kembali ke tahap normal.
Proses ini boleh berterusan sehingga setahun setelah melahirkan, tetapi biasanya pertumbuhan rambut akan kembali normal dalam tempoh 6-12 bulan.
Adalah penting untuk diingat bahawa setiap wanita mempunyai pengalaman yang berbeza tentang keguguran rambut selepas bersalin, dengan sesetengahnya mengalami keguguran rambut lebih teruk atau mengambil masa lama untuk tumbuh semula.
Rawatan Rambut Gugur Teruk Selepas Bersalin
Rawatan rambut gugur selepas bersalin yang teruk bergantung kepada faktor individu. Berikut adalah beberapa cara boleh anda ambil untuk mengurangkan keguguran rambut dan merangsang pertumbuhan semula:
- Pemakanan Seimbang: Pastikan pemakanan kaya nutrien penting seperti zat besi, protein, vitamin (terutamanya vitamin A, C, dan E), dan mineral seperti selenium dan zink. Makanan seperti daging tanpa lemak, ikan, telur, kacang, sayur-sayuran hijau, beri, bijirin penuh dan produk tenusu akan membantu menyokong kesihatan rambut.
- Suplemen Tambahan: Terdapat suplemen untuk rambut yang boleh anda cuba seperti Biotin, asid folik, vitamin B kompleks, dan omega-3. Ia adalah nutrien yang disyorkan untuk meningkatkan kesihatan rambut. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk berbincang dengan doktor sebelum memulakan apa-apa suplemen, terutamanya jika anda sedang menyusu.
- Produk Penjagaan Rambut: Pilih produk penjagaan rambut yang lembut dan bebas daripada bahan kimia. Syampu dan perapi yang mengandungi bahan semula jadi seperti aloe vera, minyak argan, atau rosemary boleh membantu menyihatkan kulit kepala dan mengurangkan keguguran rambut.
- Elakkan Pemanas Rambut: Elakkan penggunaan pemanas rambut secara berlebihan seperti pengering rambut dan pengeriting rambut. Elakkan mengikat rambut dengan ketat kerana ia boleh merosakkan akar rambut.
- Urut Kulit Kepala: Urut perlahan-lahan kulit kepala dengan minyak rambut atau serum yang mengandungi bahan-bahan seperti minyak kelapa atau minyak zaitun. Urutan ini membantu meningkatkan peredaran darah ke folikel rambut dan merangsang pertumbuhan rambut.
- Pantau Tahap Hormon: Jika rambut gugur teruk selepas bersalin yang berterusan, berjumpa dengan doktor untuk memeriksa tahap hormon. Terdapat rawatan hormon yang boleh membantu mengimbanginya dan mengurangkan keguguran rambut.
- Rawatan Profesional: Jika rambut gugur teruk dan tidak semakin baik, pertimbangkan untuk mendapatkan rawatan profesional daripada pakar dermatologi atau pakar rambut. Rawatan seperti terapi laser, terapi pertumbuhan rambut atau penggunaan produk yang mengandungi minoxidil mungkin diperlukan untuk merangsang pertumbuhan semula rambut.
Vitamin Untuk Rambut Gugur Selepas Bersalin
Umumnya kekurangan makanan berzat juga menyebabkan masalah keguguran rambut. Selain daripada faktor umur,genetik dan hormon pengambilan makanan tambahan juga penting untuk pertumbuhan rambut.
Berikut merupakan antara vitamin yang penting untuk rambut gugur:
#1. Vitamin A
Vitamin A diperlukan oleh badan untuk pertumbuhan sel baru. Vitamin A juga membantu kelenjar kulit mengeluarkan sebum. Sebum berfungsi untuk melembabkan kulit kepala dan membantu untuk menjaga rambut sihat. Oleh itu, kekurangan vitamin A boleh menyebabkan keguguran rambut.
Nota: Vitamin A boleh didapati dalam produk haiwan seperti susu, telur dan yogurt. Minyak ikan merupakan sumber yang mengandungi vitamin A yang amat baik.
#2. Vitamin B
Pemakanan yang kaya dengan vitamin B akan membantu meningkatkan pertumbuhan rambut. Bukan itu sahaja, ia juga membantu mengurangkan tekanan emosi.
Nota: Vitamin B boleh didapati dari bijirin, badam, daging, ikan, makanan laut dan sayur-sayuran hijau gelap.
#3. Vitamin H (Biotin)
Vitamin H merupakan sebahagian daripada keluarga B kompleks yang merawat masalah rambut gugur. Selain itu, ia berupaya untuk mencegah uban dan membantu mencerna lemak dan karbohidrat.
Nota: Vitamin H boleh didapati dari susu, yis dan kuning telur.
#4. Vitamin C
Vitamin C membantu proses detoksiflkasi selain diperlukan oleh badan vitamin C juga memberi kolegen yang menguatkan struktur rambut terutama bagi rambut mudah bercabang.
Nota: Vitamin C boleh didapati dari strawberi, lada, jambu dan buat sitrus.
#5. Vitamin E
Vitamin E ialah antioksida yang boleh membantu pertumbuhan rambut. Biji bunga matahari, badam, bayam dan alpukat adalah sumber vitamin E yang baik.
#6. Vitamin D
Vitamin D membantu mencipta folikel baru, iaitu liang kecil di kulit kepala. Selain itu, ia juga membantu pertumbuhan rambut. Vitamin D boleh didapati melalui pendedahan cahaya matahari atau dengan makanan tertentu seperti ikan berlemak, minyak ikan kod dan beberapa jenis cendawan.
Cara Mengatasi Rambut Gugur Selepas Bersalin
Malangnya, ia adalah mustahil untuk menghentikan keguguran rambut selepas bersalin. Tetapi, ini tidak bermakna anda tidak boleh melakukan apa-apa untuk mengelakkan rambut anda gugur dengan lebih teruk.
Rawatan terbaik dalam keadaan ini adalah dengan meningkatkan penjagaan rambut dan mengambil vitamin untuk menguatkan tubuh badan. Selain itu, ibu boleh cuba lakukan beberapa perkara ini:
- Jangan sikat rambut ketika ia masih basah
- Jangan gunakan alat pengering rambut dan alat pengeriting rambut buat sementara waktu (ia merosakkan lagi rambut)
- Elak daripada mewarnakan atau mengeritingkan rambut yang menggunakan bahan kimia
- Gunakan mask rawatan rambut khas untuk masalah rambut gugur. Produk rambut yang kaya dengan bahan-bahan seperti minyak bundock, vitamin A dan minyak vitamin E juga boleh membantu rambut menjadi lebih sihat
- Elakkan jenis syampu perapi yang intensif, sebaliknya boleh cuba menggunakan perapi dihujung rambut sahaja berbanding menyapu di seluruh kepala kerana ia boleh menyebabkan rambut jadi ‘berat’ nampak lebih nipis
- Memotong rambut pendek juga boleh mengelakkan rambut terus gugur dan juga lebih mudah diuruskan
- Menggunakan shampoo untuk rambut gugur yang bagus
Selain itu, ibu juga harus mengikuti pemakanan yang sihat yang mengandungi banyak protein, kalsium, buah-buahan, dan sayur-sayuran kerana makanan adalah sumber utama vitamin dan nutrien.
Ibu-ibu yang mengalami masalah keguguran rambut yang berlanjutan atau sangat serius, perlu berjumpa dengan pakar untuk mengetahui puncanya dan cara untuk menangani masalah ini.
Biasanya, pakar akan menyarankan rawatan urut dan mesoterapi.
Kesimpulannya, rambut gugur selepas bersalin adalah keadaan biasa dan sementara yang dialami oleh ramai wanita. Memahami punca asas, pilihan rawatan dan cara mengatasi keguguran rambut boleh membantu ibu baru menghadapi fasa yang mencabar ini dengan baik.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
- mfine.(2021, August 13). Hair Fall After Delivery: Causes And Treatment. www.mfine.co/article/hair-fall-after-delivery/
Baca juga: Mandian Herba Penting Untuk Segarkan Badan & Hilangkan ‘Bau’ Selepas Bersalin
Baca juga: Bila Isteri Stres Selepas Bersalin, Mereka Hanya Perlukan Suami Bukannya Orang Lain!
Baca juga: Nak rambut cepat panjang, hitam berkilat? Cuba 9 cara ini pasti nampak kelainannya!