Resepi Kaki Ayam Penambah Rasa Dalam Makanan Anak Yang Kaya Dengan Kolagen Semula Jadi & Bagus Untuk Penghadaman!

Tahukah anda, kalau nak buat stok ayam sebagai penambah rasa makanan anak, kaki ayam antara bahagian yang kaya dengan nutrisi! Jom belajar resepi kaki ayam yang mudah sangat.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Ada ibu-ibu di sini yang pernah buat carian Google mengenai resepi kaki ayam? Jika ya, kami ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan kepada anda. Kepada ibu bapa yang lain, mungkin bila anda mendengar mengenai bahagian ayam ini, anda akan merasa geli sebab jarang orang makan bahagian ayam ini. Tak ramai yang sanggup cuba. Ada yang geli geleman tekak dibuatnya.

Umum diketahui bahawa tidak ramai sanggup makan kaki ayam ini. Ada yang mengganggap bahawa bahagian ini paling kotor dan paling leceh untuk dimasak. Kena buang kuku ayam dan sebagainya. Jadi, ramai ibu bapa yang membuang bahagian ayam ini daripada memasukkannya ke dalam masakan.

Sebenarnya kaki ayam antara bahagian yang kaya dengan nutrisi. Tidak semestinya anda makannya begitu sahaja, anda juga boleh jadikannya sebagai stok untuk menambah perisa makanan, lagi-lagi untuk bayi yang baru sahaja belajar makan!

Apa yang anda perlu tahu mengenai kaki ayam

Kaki ayam sebenarnya mempunyai banyak khasiat yang sangat baik untuk kesihatan baik kepada orang dewasa mahupun kepada anak yang masih kecil. Manakan tidak, ianya mempunyai vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan kita. Walaupun kecil tetapi ianya mempunyai manfaat besar!

Ia kaya dengan protein, lemak, karbohidrat, kalsium, vitamin A, folate dan phosphorus. Malah, ia juga tinggi dengan kolagen semulajadi. Kolagen ini bantu untuk mengurangkan sakit sendi dan lenguh, memulihkan kesihatan kulit serta membantu menguatkan tulang!

Ia mempunyai lemak yang tinggi tetapi kalau anda tidak berapa gemar dengan lemaknya, anda boleh sahaja buang kulit kaki ayam itu. Selain kaya dengan manfaat besar, kami turut kongsikan resepi kaki ayam untuk anak anda yang mesti cuba. Ibu pun boleh tumpang sekaki.

Faedah makan kaki ayam 

1. Memperbaiki kesihatan kulit

Manfaat kolagen sangat besar pada kulit. Bukan sahaja ia memperbaiki dan mengembalikan keremajaan kulit, malah ia turut menjadikan tulang anda sihat dan tidak mudah rapuh. Kajian juga menunjukkan kolagen membantu agar anda boleh kekal awet muda dan juga mengembalikan keanjalan kulit. Memang bermanfaat sangat bahagian ayam ini.

2. Memberikan khasiat protein yang baik untuk anak

Protein membantu pembesaran anak untuk menjadikan mereka tinggi dan kuat. Sebab itulah, anak anda digalakkan untuk makan makanan yang kaya dengan protein untuk membantu tumbesaran mereka. Makanan yang berasaskan bahagian ayam ini adalah makanan yang sangat tinggi dengan kandungan protein yang mampu memberikan protein kepada anak anda.

3. Meningkatkan sistem imunisasi badan

Sebenarnya, kaki ayam ini sangat sesuai diberikan kepada anak-anak yang sakit demam dan sebagainya kerana ia membantu kanak-kanak untuk menguatkan antibodi badan mereka. Ini kerana ia mengandungi amino asid yang berupaya untuk membantu dan meningkatkan sistem pertahanan badan anak anda.

4. Mempercepatkan penyembuhan luka

Apabila anda makan kaki ayam, ianya juga boleh membantu penyembuhan luka dengan cepat. Ini kerana terdapat kandungan protein, kolagen dan albumin iaitu protein yang dihasilkan oleh hati yang bukan sahaja membantu mempercepatkan penyembuhan luka.

Pada masa yang sama, ia juga membantu untuk mengatasi kerosakan sel. Dengan ini, ia membuktikan bahawa bahagian anggota badan ayam ini sangat baik dalam membantu anak anda dalam melawan jangkitan bakteria dan sebagainya.

5. Mengatasi masalah penghadaman

Anak anda mempunyai masalah penghadaman? Nah, berikan saja sup ini atau reneh kaki ayam dan jadikannya kuah pun boleh. Ia berupaya untuk menjadikan sistem penghadaman menjadi lebih sihat dan kuat kerana ia mempunyai banyak nutrisi penting.

Resepi Berasaskan Kaki Ayam

Sup kaki ayam (khas untuk anak)

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Bagi ibu-ibu yang sedang mengajar anak-anak makan buat kali pertama, kadang kala kita risau adakah makanan yang kita sediakan mempunyai rasa atau tidak. Umumnya ramai tahu bahawa anak kecil tidak digalakkan untuk mengambil gula atau garam. Namun begitu, perasa tambahan homemade dibenarkan, asalkan ia diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi tanpa apa-apa tambahan.

Anda boleh menggunakan kaki ayam sebagai stok dalam makanan anak. Barulah lebih sedap! Ini resepi yang amat mudah untuk anda cuba.

Resepi ini dikreditkan kepadai Puan Lia daripada blognya perkongsiankehidupan.blogspot yang membuat Chicken Bone Broth khas untuk bayi. Sedapnya! Selain daripada buat broth, anda juga boleh jadikan kaki ayam sebagai stok

Bahan-bahan:

  • Kaki ayam (boleh guna rangka ayam/tulang ayam, tapi mak-mak cakap bahagian kaki lebih afdhal)
  • Saderi (celery)
  • Lobak
  • Tomato
  • Lemon
  • Unsalted butter
  • Halia
  • Sup bunjut
  • 3 sekawan (kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga)
  • Bawang holland
  • Bawang putih

Cara-cara masak:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan
  1. Tumiskan unsalted butter, bawang holland, bawang putih, halia & 3 sekawan sehingga naik bau. Masukkan segelas air dan kacau.
  2. Masukkan kaki ayam, saderi, lobak, tomato dan kacau sehingga mendidih.
  3. Bila dah mendidih, masukkan 1-2 gelas air, sup bunjut dan jus perahan lemon. Jus perahan lemon ni adalah weak acid bertindak sebagai pengurai zat-zat dari tulang & meresap ke dalam sup.
  4. Reneh sup selama 3-4 jam di atas dapur biasa dengan api yang sederhana kecil.
  5. Bila sudah masak, tapis dan ambil supnya sahaja. Isi-isi dalam sup boleh diasingkan.
  6. Sejukkan dulu dalam chiller nanti baru frozenkan. Boleh simpan dalam bekas ice cube supaya senang bila setiap kali nak guna. Ambil 2 atau 3 cube sahaja untuk campurkan dalam bubur atau makanan anak.

Kerabu kaki ayam ala Thai

Bahan-bahan:

  • 500 gram kaki ayam (potong hujung jari dan cuci bersih)
  • 1 paket kecil suhun (rendam dan celur)
  • 3 biji tomato (hiris)
  • 2 labu bawang besar (hiris)
  • 2 batang serai (hiris nipis)
  • 6 ke 7 biji cili padi
  • 1/2 biji lobak merah
  • 1 pokok daun ketumbar
  • 1 sudu besar Maggi secukup rasa
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 2 sudu besar gula merah
  • 1 sudu besar jus limau nipis
  • 1 sudu teh serbuk lada putih ajishio

Cara-cara masak:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan
  1. Potong semua hujung jari kaki ayam dan buangkan kulit pada bahagian bawah tapak kaki, rendam dan cuci dengan tepung gandum serta limau. Bilas bersih dan toskan.
  2. Didihkan air, tambah serai, halia dan bawang putih. Bila dah mendidih masukkan kaki ayam masak selama 10 minit.
  3. Selepas 10 minit angkat semuanya dan rendam di dalam air yang berisi ketulan ais.
  4. Rendam selama 30 minit kemudian toskan dan simpan dalam peti sejuk lebih kurang 1 jam utk keraskan sedikit tekstur kulitnya. Jadi bila proses buang tulang ia tidak akan hancur.
  5. Selepas itu bolehlah dibuang tulang dari kaki ayam satu persatu. Sehingga selesai.
  6. Dalam satu bekas masukkan semua bahan yang dihiris nipis.
  7. Masukkan sos ikan, Maggi cukup rasa, gula merah dan lada sulah ajishio serta jus limau gaul semua hingga sebati.
  8. Masukkan suhun dan daun ketumbar. Gaul semua hingga sekata. Seimbangkan rasa masam, masin dan manis yang sesuai dengan selera sendiri.
  9. Akhir sekali masukkan kaki ayam yang sudah dipotong kecil-kecil (jika mahu). Ikut citarasa masing2-masing. Siap dan sedia untuk dihidang.

Gulai kaki ayam

  • 1 kilogram kaki ayam
  • 2 labu bawang besar *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 1 inci halia *
  • 5 tangkai lada kering (rendam sehingga lembut) *
  • 1 labu bawang besar (hiris)
  • 4 sekawan (bunga lawang, bunga cengkih, pelaga dan kulit kayu manis)
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 4 sudu besar rempah kari
  • Air secukupnya 
  • 1 keping asam keping
  • Gula melaka
  • secukup rasa garam dan Ajinomoto (jika mahu)
  • 1 kotak kecil santan
  • Bendi (opsyenal)

Cara-cara masak:

  1. Kisar bahan tanda *.
  2. Panaskan minyak, tumis bawang hiris dan 4 sekawan sehingga garing.
  3. Masukkan bahan kisar, tumis sampai garing.
  4. Tambah rempah kari dan kacau rata. Masukkan secawan air, dan kacau sampai garing. tTambah 1 cawan air lagi. Ulang sehingga 3 kali.
  5. Bila rempah sudah garing dan pecah minyak, tambah kaki ayam dan 1 cawan air. Kacau dan tutup periuk. Biar sehingga empuk.
  6. Bila kaki ayam dah empuk, perasakan dengan asam keping, gula melaka, garam dan Ajinomoto (jika mahu). Kacau dan tambah santan. Jika terlalu pekat, boleh tambah air.
  7. Bila dah mendidih, masukkan bendi. Kacau dan bila semua dah masak sekata, tutup api. Hidangkan dengan lempeng kosong. Siap!

Jadi apa tunggu lagi, jom masak menggunakan resepi ini. Selamat mencuba!

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Penulis

Nina Osman