Sakit Kepala Ketika Hamil: Punca Kerap Sakit Kepala, Jenis Sakit Kepala & Cara Mengatasi

undefined

Sakit kepala ketika hamil dikaitkan dengan perubahan hormon, kekurangan gula dalam darah, kurang rehat yang menjejaskan aktiviti harian

Sakit kepala ketika hamil adalah salah satu masalah kesihatan yang sering dialami oleh kebanyakan ibu. Sama ada ringan atau teruk, ia boleh mengganggu kesejahteraan ibu dan rutin harian.
 
Kehamilan adalah tempoh yang penuh dengan perubahan fizikal dan hormon, dan perubahan ini sering menjadi antara faktor penyebab sakit kepala. Walau bagaimanapun, kebanyakan kes sakit kepala semasa hamil adalah tidak berbahaya.

Normalkah Sakit Kepala Ketika Hamil?

Buat ibu hamil yang sering mengalami sakit kepala, percayalah, anda tidak keseorangan. Kajian perubatan menunjukkan bahawa hampir 39% ibu mengandung dan ibu selepas bersalin pernah mengalami masalah ini.

Walaupun sakit kepala semasa hamil mungkin terasa berbeza daripada biasa, kebanyakan kes tidak membahayakan. Namun, puncanya boleh berbeza mengikut fasa kehamilan.

Sebagai contoh, sakit kepala pada trimester pertama selalunya berpunca daripada faktor tertentu yang mungkin berbeza daripada trimester kedua atau ketiga.

Bagaimanapun dalam beberapa situasi, sakit kepala ketika hamil boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lain semasa kehamilan, yang memerlukan perhatian lebih lanjut.

Jenis Sakit Kepala Semasa Hamil

Kebanyakan sakit kepala semasa hamil adalah jenis sakit kepala utama atau primary headache. Ini bermakna pengalaman sakit kepala yang berlaku di awal kehamilan biasanya terjadi tanpa sebarang sebab serius atau berkaitan dengan gangguan lain.

Sakit kepala ini bukan petanda kepada komplikasi atau masalah lain semasa kehamilan. Berikut jenis-jenis sakit kepala semasa hamil adalah:

1. Sakit Kepala Ketegangan (Tension Headache)

Sakit kepala jenis ini sering berpunca daripada tekanan, keletihan, atau postur yang tidak selesa. Ia biasanya dirasai sebagai rasa ketat atau tekanan di bahagian kepala.

2. Serangan Migrain (Migraine)

Sakit kepala migrain adalah jenis sakit kepala yang berulang dan sering disertai dengan gejala lain seperti loya, muntah, dan sensitiviti terhadap cahaya dan bunyi.

3. Sakit Kepala Kluster (Cluster Headache)

Sakit kepala semasa hamil ini lebih jarang berlaku tetapi boleh menjadi sangat menyakitkan. Biasanya, ia muncul dalam kumpulan serangan yang berlaku dalam tempoh masa yang sama sebelum reda.

Walau bagaimanapun, walaupun jenis sakit kepala ini adalah umum dan biasanya tidak membahayakan, ibu hamil tetap perlu berjaga-jaga dan berjumpa doktor jika mengalami simptom yang berbeza atau semakin teruk.

Dianggarkan sekitar 26% sakit kepala semasa hamil berpunca daripada tekanan.

Bagi ibu hamil yang mengalami sakit kepala kronik atau migrain, adalah penting untuk memaklumkan pada doktor, terutama jika anda mempunyai sejarah serangan migrain sebelum ini.

Menariknya, sesetengah wanita dengan sejarah migrain mungkin mendapati serangan tersebut berkurangan sepanjang kehamilan. Namun begitu, migrain juga boleh dikaitkan dengan risiko komplikasi tertentu, sama ada semasa kehamilan atau selepas kelahiran bayi.

Berbeza dengan sakit kepala utama, sakit kepala sekunder berlaku akibat komplikasi kehamilan, seperti tekanan darah tinggi yang memerlukan perhatian segera untuk mengelakkan risiko kepada ibu dan bayi.

Punca Sakit Kepala Ketika Hamil Mengikut Trimester

Sakit kepala semasa hamil boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang kehamilan, tetapi puncanya mungkin berbeza mengikut trimester.

Berikut adalah penjelasan lebih terperinci tentang faktor penyebab sakit kepala berdasarkan setiap fasa kehamilan:

Trimester pertama (1-12 minggu)

Pada peringkat awal kehamilan, perubahan hormon dan fizikal yang berlaku dengan cepat sering menjadi punca utama sakit kepala. Antara sebabnya ialah:

1. Perubahan Hormon Drastik

Hormon seperti progesteron meningkat dengan ketara, yang boleh menyebabkan perubahan pada saluran darah dan tekanan darah, sekali gus mencetuskan sakit kepala.

2. Kekurangan Gula Dalam Darah

Punca sakit kepala ketika hamil seterusnya adalah kekurangan gula dalam darah.

Ibu hamil sering mengalami turun naik paras gula dalam darah kerana keperluan tubuh yang berubah, menyebabkan rasa pening dan sakit kepala.

3. Dehidrasi

Tidak cukup minum air atau kehilangan cecair akibat muntah-muntah (alahan mengandung) boleh menyebabkan sakit kepala.

4. Keletihan dan Tekanan

Tubuh yang menyesuaikan diri dengan kehamilan sering merasa letih, dan tekanan fizikal atau emosi boleh menyebabkan sakit kepala ketegangan.

5. Kurang Tidur

Punca sakit kepala ketika hamil yang lain adalah kurang tidur. Tidur yang terganggu pada awal kehamilan juga menjadi salah satu faktor.

Punca sakit kepala pada trimester pertama yang lain adalah: 

  • Dehidrasi
  • Pening dan muntah-muntah
  • Tekanan atau stres
  • Kurang tidur
  • Pengambilan kafein yang berlebihan atau menghentikannya secara tiba-tiba
  • Diet yang tidak seimbang
  • Paras gula dalam darah yang rendah
  • Kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Sensitiviti terhadap cahaya
  • Perubahan pada penglihatan

Selain itu, jenis makanan tertentu juga boleh mencetuskan sakit kepala semasa hamil. Menariknya, makanan yang menjadi pencetus ini mungkin berubah sepanjang tempoh kehamilan.

Berikut adalah beberapa jenis makanan yang dikaitkan dengan sakit kepala:

  • Produk tenusu
  • Coklat
  • Keju
  • Makanan yang mengandungi yis
  • Buah Tomato

Trimester Kedua (13-27 minggu)

Pada trimester kedua, sakit kepala biasanya lebih kurang berbanding trimester pertama, tetapi ia masih boleh berlaku disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Postur Badan Yang Berubah

Perut yang semakin membesar boleh menyebabkan postur badan berubah, memberi tekanan pada otot leher dan bahu, yang akhirnya menyebabkan sakit kepala.

2. Tekanan Darah Tinggi

Punca sakit kepala ketika hamil trimester kedua dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.

Peningkatan tekanan darah yang tidak normal pada trimester ini boleh mencetuskan sakit kepala dan memerlukan perhatian perubatan segera, kerana ia boleh menjadi tanda awal preeklampsia.

3. Alergi atau Sinusitis

Perubahan hormon boleh menyebabkan pembengkakan saluran hidung, mengakibatkan sakit kepala sinus bagi sesetengah ibu hamil.

4. Kurang Nutrisi

Kekurangan zat besi atau magnesium juga boleh menjadi punca.

Trimester Ketiga (28-40 minggu)

Pada trimester terakhir, sakit kepala sering dikaitkan dengan tekanan fizikal dan komplikasi kehamilan tertentu. Sebab-sebabnya termasuk:

1. Tekanan Fizikal

Berat badan tambahan dan tekanan pada badan boleh menyebabkan keletihan dan sakit kepala ketegangan.

2. Gangguan Tidur

Kesukaran tidur akibat saiz perut yang besar dan ketidakselesaan boleh mencetuskan sakit kepala.

3. Preeklampsia

Salah satu punca utama sakit kepala pada trimester ketiga ialah preeklampsia, yang ditandai dengan tekanan darah tinggi dan pembengkakan badan.

4. Stres Emosi

Kebimbangan tentang kelahiran bayi atau tekanan emosi lain juga boleh menyebabkan sakit kepala.

5. Penurunan Paras Gula Darah

Sama seperti trimester pertama, makan tidak teratur atau jarak makan yang terlalu lama boleh menyebabkan sakit kepala.

Tekanan Darah Tinggi Dan Sakit Kepala

Sakit kepala ketika trimester kedua dan ketiga kehamilan mungkin menjadi petanda anda mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Keadaan ini biasanya mula berlaku selepas minggu ke-20 kehamilan dan perlu diberi perhatian serius.

Tekanan darah tinggi ketika hamil boleh menyebabkan komplikasi yang berbahaya jika tidak dikawal, seperti preeklampsia atau risiko kelahiran bayi pramatang.

Oleh itu, jika anda mengalami sakit kepala yang kerap disertai dengan gejala lain seperti penglihatan kabur, bengkak pada tangan atau kaki, atau peningkatan berat badan yang mendadak, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Risiko Tekanan Darah Tinggi 

Masalah tekanan darah tinggi semasa kehamilan bukan sahaja memberi impak kepada ibu, tetapi juga boleh membahayakan bayi yang dikandung.

Berikut adalah beberapa risiko yang mungkin berlaku jika tekanan darah tinggi tidak dikawal dengan baik:

1. Angin Ahmar atau Strok

Tekanan darah tinggi boleh meningkatkan risiko saluran darah pecah atau tersumbat, yang mengakibatkan angin ahmar atau strok pada ibu.

2. Preeklampsia

Ini adalah keadaan serius yang berkaitan dengan tekanan darah tinggi dan ditandai dengan pembengkakan, protein dalam air kencing, dan peningkatan risiko komplikasi kehamilan.

3. Eklampsia

Ini adalah tahap yang lebih serius daripada preeklampsia, di mana kekejangan dan sawan berlaku pada wanita yang mengalami preeklampsia.

4. Kurang Pengaliran Oksigen kepada Bayi

Tekanan darah tinggi boleh mengganggu aliran darah ke plasenta, mengakibatkan bekalan oksigen yang tidak mencukupi kepada bayi.

5. Kelahiran Bayi Pramatang

Risiko kelahiran bayi sebelum usia kandungan 37 minggu meningkat jika ibu mengalami tekanan darah tinggi.

6. Gangguan Plasenta

Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan plasenta terpisah daripada dinding rahim lebih awal daripada yang sepatutnya, mengganggu penyediaan nutrisi dan oksigen kepada bayi.

7. Bayi Lahir dengan Berat Rendah

Tekanan darah tinggi yang tidak dikawal boleh menyebabkan bayi lahir dengan berat kurang daripada 2.5 kilogram, yang boleh menjejaskan kesihatan mereka selepas kelahiran.

Oleh itu, penting bagi ibu hamil yang mengalami tanda-tanda tekanan darah tinggi untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan berkala agar risiko ini dapat dikurangkan.

Cara Merawat Sakit Kepala Sepanjang Tempoh Mengandung

Sakit kepala adalah masalah yang sering dialami oleh ibu hamil, tetapi ia boleh dikurangkan dengan langkah-langkah yang tepat dan penjagaan yang baik.

Berikut adalah beberapa cara merawat sakit kepala semasa hamil:

1. Minum Air Secukupnya

Dehidrasi adalah salah satu punca utama sakit kepala semasa kehamilan. Oleh itu, pastikan anda sentiasa minum air yang cukup setiap hari.

Disarankan untuk minum sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas air sehari untuk memastikan tubuh kekal terhidrat.

2. Dapatkan Rehat

Cara merawat sakit kepala ketika hamil adalah mendapatkan rehat.

Keletihan adalah penyumbang kepada peningkatan risiko sakit kepala. Pastikan anda mendapatkan rehat yang secukupnya dan tidur yang berkualiti.

Cuba tidur selama 7 hingga 9 jam setiap malam dan berehat seketika jika berasa letih pada siang hari.

3. Amalkan Teknik Pengurusan Stres

Tekanan dan kebimbangan boleh memburukkan sakit kepala. Untuk mengurangkan stres:

  • Amalkan meditasi atau latihan pernafasan
  • Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki atau yoga untuk ibu hamil
  • Luangkan masa untuk berehat dan melakukan aktiviti yang anda nikmati.

4. Kurangkan Pengambilan Kafein

Pengambilan kafein ketika hamil yang berlebihan boleh menyebabkan sakit kepala atau memburukkan keadaan migrain. Kurangkan minuman berkafein seperti kopi, teh, dan minuman tenaga.

5. Amalkan Pemakanan Sihat dan Seimbang

Cara merawat sakit kepala semasa hamil seterusnya menjaga pemakanan sihat dan seimbang.

Diet yang tidak seimbang juga boleh menjadi punca sakit kepala. Pastikan anda mengambil pemakanan yang kaya dengan nutrisi penting seperti:

  • Zat besi, magnesium, dan vitamin B kompleks.
  • Elakkan makanan yang menjadi pencetus sakit kepala seperti coklat, keju, dan makanan yang mengandungi yis.

6. Buat Senaman Ringan

Aktiviti fizikal yang ringan seperti berjalan kaki, berenang, atau yoga boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan memperbaiki aliran darah, sekaligus mengurangkan sakit kepala.

Pastikan anda berjumpa dengan doktor sebelum memulakan rutin senaman baru semasa kehamilan.

7. Urutan Dan Terapi

Urutan lembut pada kawasan leher, bahu, dan kepala boleh membantu melegakan ketegangan yang menyebabkan sakit kepala.

Terapi seperti akupunktur juga boleh dipertimbangkan tetapi pastikan anda berunding dengan doktor terlebih dahulu sebelum mencuba rawatan ini.

8. Elakkan Faktor Pencetus Sakit Kepala

Cara merawat sakit kepala ketika hamil seterusnya mengelakkan beberapa perkara seperti:

  • Cahaya yang terlalu terang
  • Bau yang kuat atau asap
  • Aktiviti yang memenatkan atau tekanan berlebihan

9. Gunakan Kaedah Sejuk Atau Panas

Sapukan kain lembap yang sejuk atau panas pada dahi atau kawasan kepala yang berdenyut. Ini boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan mengurangkan sakit kepala.

Bila Perlu Jumpa Doktor

Ibu hamil disarankan untuk berjumpa doktor jika mengalami sakit kepala yang tidak biasa atau simptom lain yang mengganggu.

Berikut tanda ibu perlu jumpa doktor dengan segera:

  • Sakit kepala menjadi lebih teruk
  • Sakit kepala berlarutan selama beberapa hari
  • Sakit kepala berserta gejala lain seperti penglihatan kabur, pening yang teruk, bengkak pada tangan atau kaki, atau sakit perut yang tidak biasa.

Sakit kepala yang disertai dengan tekanan darah tinggi atau tanda-tanda preeklampsia juga perlu segera diperiksa oleh doktor. Ini kerana preeklampsia boleh membahayakan ibu dan bayi jika tidak ditangani dengan cepat.

Jika anda mempunyai sejarah migrain yang kronik atau mengalami serangan migrain yang kerap semasa mengandung, berjumpalah doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan yang sesuai. Ini penting untuk mengelakkan komplikasi yang mungkin timbul.

Berjumpa doktor juga perlu jika sakit kepala mengganggu aktiviti harian dan langkah-langkah rawatan di rumah seperti minum air yang mencukupi, rehat, atau senaman tidak memberikan kelegaan.

Sentiasa utamakan kesihatan anda dan bayi dengan mendapatkan nasihat dan rawatan doktor jika berasa tidak selesa atau mempunyai kebimbangan tentang sakit kepala ketika hamil yang dialami.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Selalu Sakit Punggung Ketika Hamil? Ini 11 Cara Atasi Sakit Punggung Yang Anda Patut Cuba

Baca juga:  Kajian: Ibu Yang Stress Ketika Hamil Punca Bayi Kurang Berat Badan

Baca juga:  14 Benda Lucu Yang Semua Wanita Buat Bila Excited Tahu Diri Hamil

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!