Ramai ibu bapa yang kini memilih untuk sunat bayi lelaki mereka pada usia seawal dua bulan. Kata mereka lebih mudah dijaga berbanding ketika mereka sudah membesar.
Sejauh manakah kebenarannya? Adakah memang benar ia lebih mudah dijaga dan tidak banyak kerenah malah lebih cepat baik?
Memang lebih ramai ibu bapa kini yang memilih untuk sunat bayi lelaki mereka kerana menurut mereka sakit itu nanti tidaklah terlalu terasa jika mereka besar kerana deria rasa bayi masih belum benar-benar berfungsi.
Apa Itu Sunat & Mengapa Ibu Bapa Memilih Untuk Sunat Bayi Lelaki Pada Usia Awal
Sunat1 ialah pembedahan membuang kulup dari zakar bayi. Terdapat beberapa faedah berkhatan, termasuk risiko penyakit yang lebih rendah seperti jangkitan saluran kencing.
Lelaki dan lelaki yang lebih tua berkhatan juga. Pada usia apa pun, zakar yang berkhatan biasanya sembuh dalam masa seminggu.
Pandangan Agama Tentang Sunat Bayi
Menurut artikel yang dikongsikan di laman web Majlis Ulama ISMA, berkhatan dalam Islam itu ada dua waktu iaitu waktu wajib dan waktu sunat. Waktu wajib adalah apabila ketika usia anak lelaki sudah baligh dan waktu sunat adalah sebelumnya.
Pada masa sama, Ibnu Hajar mentarjihkan waktu yang paling baik untuk melakukan khatan pada bayi lelaki adalah hari ketujuh kelahiran dan tidak melambat-lambatkan sehingga waktu wajib kecuali terdapat keuzuran atau sebab lain.
Pendapat itu turut disokong oleh pengamal perubatan moden yang mana umur antara sehari hingga sebulan bagi bayi adalah yang terbaik untuk bersunat kerana ia dapat mengurangkan kesakitan bayi.
Kelebihan Melakukan Sunat Bayi Pada Usia Awal
Mereka berpendapat, komplikasi dalam kalangan bayi lebih rendah pada usia sebelum sebulan. Selain itu bayi juga tidak lasak seperti anak yang berusia enam atau tujuh tahun. Disebabkan itu khatan2 bayi lelaki pada usia mereka lebih awal menjadi pilihan terutama bagi ibu bapa masa kini.
Bayi berusia sebulan masih belum merasai kesakitan berbanding selepas umur itu. Selain itu, proses penyembuhan bagi bayi lebih cepat dan mengambil masa hanya kira-kira tiga hingga empat hari berbanding kanak-kanak yang lebih dewasa.
Teknik-Teknik Khatan Bayi Lelaki
#1. Teknik laser
Teknik laser adalah apabila kulit kulup akan dipotong dengan menggunakan alat pemotong kauteri atau diatermi.
Hujung alat ini dipanaskan sehingga 1000 darjah selsius dengan kuasa eletrik dan potongan dibuat dengan cara membakar kulit sambil mematikan salur darah. Luka perlu dijahit dengan teliti agar tidak berdarah dan kemas.
Jika dibandingkan dengan sunat clamp, memang sunat laser lebih cepat kering tetapi kering bukan bermakna luka sudah sembuh. Ada kes baru lepas sunat laser 2 minggu lukanya terbuka habis selepas mandi sungai walaupun luka sudah lama kering.
Kadar komplikasi pendarahan dan infeksi adalah rendah dibandingkan cara pisau dan gunting tetapi risiko lebih tinggi dibandingkan cara clamp. Luka jahitan perlu dicuci dengan antiseptik agar terhindar infeksi.
#2. Teknik clamp
Mungkin betul sunat clamp4 lebih lambat sembuh, sakit dua kali, mudah kena infeksi tapi semua tidak serius dan akhirnya sembuh selepas 1-2 minggu. Hasilnya parut lebih kosmetik dan paling penting mudah penjagaannya.
Kanak-kanak gempal, batang zakar pendek atau tenggelam lebih sesuai disunat cara clamp. Jika disunat cara laser juga, kebarangkalian kulit melekat balik dan tertutup atau ‘secondary phimosis’ adalah sangat tinggi.
Penjagaan sunat clamp jauh lebih mudah. Bukan bermakna tidak perlu cuci atau sapu ubat antiseptik. Mudah sebab clamp tiada luka yang terbuka macam laser. Masa cuci dan sapu ubat kanak-kanak tidak rasa sakit atau ngilu. Mudah jaga bagi yang penakut.
Disebabkan kulit dikapit clamp dan tiada luka terbuka kanak-kanak boleh mandi dan boleh memakai seluar longgar.
Ini bermakna clamp lebih sesuai untuk kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam atau masih memakai lampin.
Seorang ibu yang berkongsi mengenai pengalamannya yang memilih untuk sunat bayi lelaki yang berusia dua bulan dengan Pakar Bedah, Dr Zulkarnain Hasan3. Menurut ibu ini, dia memilih teknik laser untuk sunat bayi lelaki nya yang berusia 2 bulan.
Prosedur Sebelum, Semasa & Selepas Bersunat
Sebelum bersunat
Kata ibu ini, beliau tidak pernah mempunyai pengalaman dan bayi berkenaan adalah anak lelaki pertamanya. Debaran memang terasa cuma pada malam sebelum bersunat, beliau pastikan bayi lelakinya:
- Cukup tidur
- Sebelum sampai di klinik/hospital pastikan tukar diaper anak.
- Pastikan sudah rancang lokasi dan tukar diaper yang lebih selesa da praktikal di rumah sebab proses menukar diaper pasti lama selepas sunat untuk proses cuci dan letak ubat.
- Selesaikan kerja rumah yang tertunggak supaya dapat fokus pada pengurusan anak sekurang-kurangnya untuk 2-3 hari pertama.
- Kemas beg anak dengan kelengkapan:
- Spray air (untuk bersihkan anak sebelum proses sunat)
- Diaper saiz besar sedikit daripada biasa – 3 keping
- Kain bedung yang selesa
- Baju tambahan (berbutang depan)
- Puting tiruan – untuk tenangkan anak
Semasa bersunat
- Pastikan anak betul-betul kenyang sebelum masuk ke bilik rawatan, pastikan dia selesa.
- Periksa diaper anak supaya betul-betul bersih.
- Proses semasa bersunat:
- Baju anak perlu dibuka sepenuhnya sebelum proses sunat
- Jururawat membedung bahagian tangan anak untuk limitkan pergerakan.
- Bahagian kemaluan akan dibersihkan lagi seterusnya doktor mencucuk ubat bius anak di 2 bahagian. (Anaknya mula menangis kuat semasa ini)
- Walaupun baru umur 2 bulan setengah, tapi agak kuat anak wanita ini menendang nak minta dilepaskan kaki dan tangannya. Katanya mungkin jika lebih besar lagi mencabar nak limitkan pergerakan anak.
- Wanita ini berpesan, yang penting mak ayah jangan menangis atau stress, nanti anak pun turut stress dan risau menganggu kerja doktor.
- Selesai proses bersunat katanya proses menjahit mungkin sebanyak 6 jahitan. Masa yang diambil untuk semuanya kira-kira 15 hingga 20 minit.
- Akhir sekali, kawasan yang disunat disapu ubat dan dibalut menggunakan gauze lembut utk mengurangkan pergerakan.
Selepas bersunat
Hari pertama
- Anaknya tidur nyenyak sepanjang keluar hospital seterusnya sambung tidur di rumah mungkin penat sangat menangis tadi.
- Jururawat ada maklumkan yang balutan kena tunggu 24 jam baru boleh buka.
- Memandangkan anak tak boleh mandi, beliau cuma lap-lap sahaja badan anak dengan kain lembab dan hanya guna spray air semasa proses menukar diaper.
- Jangan usik kawasan balutan dan jangan meniarapkan bayi semasa ini. Perlu sangat hati-hati semasa mengangkat bayi.
- Untuk memastikan anaknya tidur nyenyak dan risau anak menahan sakit malam-malam, beliau beri ubat demam/tahan sakit (paracetamol) pada anak seperti yang dibekalkan.
- Beliau juga kerap tukar diaper anak dan pastikan diaper kering sebelum anak tidur lama waktu malam.
- Untuk sendawakan bayi, beliau guna teknik meniarapkan di paha dan pastikan tekanan lebih di perut dan dada anak.
Hari kedua
- Anaknya tidur malam seperti biasa
- Benda pertama yang beliau buat bila anak bangun tidur ialah tukar diaper dan periksa balutan sebab risau balutan dah terbuka dan ganggu kawasan jahitan.
- Selepas 24 jam daripada waktu anak selesai berkhatan barulah boleh buka balutan.
- Jururawat ada kata kalau tak berani nak buka balutan sendiri boleh buat di hospital.
- Perlu basahkan dengan air dahulu pelekat baru tarik pelekat sebab gamnya agak kuat.
- Dah buka semua, barulah mandikan anak guna air suam yang mengalir di sinki yang bersih.
- Lepas dah lap bersih, pakaikan ubat sapu yang dibekalkan hospital seterusnya pakai baju macam biasa.
- Beliau pakaikan baju yang jenis jumper suit berbutang depan, supaya kurang tekanan di bahagian bawah dan mudah nak periksa diaper anak.
- Periksa diaper anak setiap 2 jam.
- Disebabkan anak dah mula bergolek, perlu perhatian lebih sebab dia agak stress bila tak boleh meniarap.
Hari ketiga
- Anak tidur seperti biasa, waktu ini beliau betul-betul rasa yang khatankan anak masa bayi tak adalah ngeri seperti bayangannya.
- Kerap periksa diaper anak seperti biasa.
- Hari ini beliau dah mula nampak ada benang yang sudah mula tertanggal dan kawasan jahitan pun ada yang mula kering dan tak merah sangat.
- Waktu ini beliau dah mula berani meniarapkan bayi menggunakan bantal menyusu (nursing pillow) dan pastikan tekanan lebih di lutut dan siku anak, bukan di kawasan kemaluan.
Hari keempat dan seterusnya dah mula mudah, sebab kawasan jahitan dah mula kering dan benang tertanggal dengan sendiri. Anaknya dah mula bergolek-golek dan meniarap semasa hari kelima. Temujanji dengan doktor semasa hari ketujuh, syukur sangat tak ada komplikasi semasa berkhatan.
Cara Penjagaan Sunat Bayi Lelaki Agar Elak Jangkitan dan Mudah Baik
Ini antara beberapa cara penjagaan khatan bayi lelaki yang ibu dan ayah boleh cuba:
- Pastikan luka anak sentiasa kering
- Kerap tukar lampin, jika lampin basah pastikan anda tukar. Jangan biarkan lampin basah.
- Sapukan ubat antiseptik yang diberikan klinik setiap kali anda menukar lampin anak
- Mungkin boleh pilih saiz lampin yang lebih besar ketika dia baru bersunat
- Jangan tiarapkan bayi anda
- Beri anak makan ubat tahan sakit (paracetamol) yang diberikan klinik
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bila sebaiknya sunat pada anak laki-laki dilakukan?
Baca juga: Apakah Hukum Sunat Bayi Perempuan Menurut Islam & Bila Paling Sesuai Ia Dilakukan?
Baca juga: Doktor Terpotong Zakar Budak 3 Tahun, Ini 2 Kaedah Selamat Untuk Sunat Bayi Lelaki
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!