Beberapa minggu kebelakangan ini, ramai pasangan telah mendirikan rumah tangga. Ada yang membuat keputusan menamatkan zaman bujang dan ingin beraya bersama pasangan halal Aidilfitri tahun ini. Memandangkan ‘segalanya’ masih baru, apa kata anda ikuti beberapa tips berpuasa agar nanti tidak terbabas.
Tidak dinafikan aura pengantin baru masih kuat dalam diri suami isteri. Memang seronok dapat bangun sahur, berpuasa dan berbuka bersama dengan orang yang kita sayang.
Tips berpuasa bagi pasangan baru berkahwin
Disebabkan tahun ini adalah kali pertama anda menyambut Ramadhan bersama dengan suami, ada beberapa tips berpuasa yang boleh membuatkan jadual harian menjadi mudah dan menyeronokkan.
Selain sama-sama kumpul pahala, boleh juga mengeratkan hubungan dan mengenali pasangan dengan lebih lagi. Antara tips berpuasa buat pasangan baru berkahwin ialah:
#1. Bahagikan tugas menyiapkan juadah sahur dan berbuka
Memasak dan mengurus dapur tidak hanya tugas isteri sahaja. Suami juga perlu membantu kerana dalam rumah tangga perlu saling bekerjasama.
Justeru, sepanjang bulan Ramadhan ini sebaiknya anda bahagikan tugas agar tidak berasa terlalu penat. Misalnya isteri sudah masak hidangan, suami pula boleh tolong basuh pinggan mangkuk atau mengemas dapur.
Dalam penyediaan menu sahur atau berbuka pula, berbincanglah dengan pasangan dan pilih menu yang berkhasiat serta boleh dimasak cepat.
#2. Elakkan bermesraan ketika siang hari
Walaupun masih hangat sebagai pengantin baru dan terasa ingin ‘berkepit’ setiap masa, namun berpada-pada ketika di bulan puasa. Sebagai isteri, hindari menggoda suami dengan memakai pakaian seksi dan bermesraan sehingga boleh menyebabkan perkara membatalkan puasa.
Sibukkan diri masing-masing dengan melakukan kerja, mengemas rumah atau melakukan hobi. Setelah siap berbuka puasa atau solat tarawih, barulah boleh bermesra sepuas-puasnya.
#3. Saling mengingatkan untuk beribadah
Antara salah satu peranan pasangan hidup adalah sentiasa mengingatkan kita dalam melakukan kebaikan. Di bulan Ramadhan ini, banyak ibadah sunnah yang menjanjikan pahala berlipat ganda.
Jika sebelum ini anda berasa liat dan malas untuk menunaikan solat lima waktu, kini dijamin lebih bersemangat kerana ada pasangan yang menemani.
Bukan itu sahaja, cubalah untuk saling mengingatkan tentang ibadah wajib dan sunat. Sekiranya suami malas, pandailah memujuknya untuk lakukan bersama kerana boleh mengeratkan lagi hubungan.
#4. Aturkan jadual selepas sahur
Kebiasaannya, selepas sahur ramai berasa kenyang dan ingin menyambung hasrat untuk sambung tidur. Ketika hari cuti atau hari minggu, suami jangan terus naik semula ke katil dan baring-baring.
Keadaan ini amat berbahaya kerana perut berasa kenyang dan hormon testosteron lelaki sedang paras tertinggi. Mudah bertindak mengikut nafsu. Adalah lebih baik anda menyiapkan diri untuk ke masjid atau surau.
Jika ada kuliah subuh, tunggulah sehingga matahari naik pada paras dhuha. Setelah pulang ke rumah, elakkan berbual dengan pasangan di atas katil.
Jangan sesekali ada niat ingin membatalkan puasa dengan berbuka secara sengaja ‘terbabaskan diri.’ Isteri pula hendaklah sentiasa mengingatkan suami.
#5. Sepakat waktu untuk melakukan hubungan intim
Hubungan suami isteri adalah suatu kewajipan. Selama sebulan berpuasa, anda perlulah berbincang dengan pasangan waktu terbaik untuk bersama. Kami mencadangkan anda memilih waktu seperti setelah selesai solat tarawih ataupun sebelum sahur agar nanti tidaklah terburu-buru.
Elak melakukan hubungan seks pada lewat malam kerana rasa penat boleh menyebabkan anda sukar untuk bangun sahur. Setelah berhubungan intim, jangan lupa untuk segera mandi wajib agar segala amal ibadah yang dijalankan lebih afdal.
Kesimpulannya, suami isteri yang baru berkahwin hendaklah mengelakkan dari duduk berkepit dan bermesra secara berlebih-lebihan. Bimbang boleh menaikkan nafsu suami serta bersetubuh ketika siang hari.
Justeru sentiasa mendalami ilmu agama, ambil tahu beberapa tips berpuasa dan perkara-perkara yang boleh membuatkan puasa terbatal. Sekiranya ini berlaku dengan sengaja, suami perlu membebaskan seorang hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan kepada 60 orang miskin.
Sumber: Idn Times Jabar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Prosedur IVF Ketika Bulan Ramadhan, Adakah Ia Dibolehkan Atau Membatalkan Puasa?