Ketika anda batuk dan selsema, biasanya anda akan membeli ubat batuk di farmasi sahaja untuk memberikan kelegaan. Namun, apabila sedang mengandung, anda tidak tahu sama ada ubat batuk untuk ibu mengandung selamat atau tidak. Jadi apakah ubat batuk untuk ibu mengandung yang sesuai dan selamat diambil?
Ini kerana, tidak semua ubat batuk itu selamat untuk anda dan bayi, jadi pemilihan ubat baru yang tepat dan betul adalah sangat penting.Walaupun ubat boleh melegakan simptom kesakitan, pasti anda tak mahu ia memberikan kesan kepada bayi dalam kandungan, Jika tersalah langkah, anda mungkin perlu menanggung akibatnya.
Jadi, apa kata anda teruskan membaca artikel ini bagi mendengar ulasan pakar mengenai ubat batuk untuk ibu mengandung.
Isi Kandungan
Bahayakah Ubat Batuk Untuk Ibu Mengandung?
Menurut Sistem Kesihatan Universiti Michigan dan kebanyakan pakar sakit puan, adalah lebih baik untuk ibu hamil elakkan mengambil semua ubat-ubatan semasa 12 minggu pertama kandungan. Ini kerana ia adalah masa yang kritikal untuk perkembangan organ penting janin anda.
Ramai doktor juga menyarankan agar anda berhati-hati mengambil sebarangan ubat selepas 28 minggu kehamilan.
Petua Hilangkan Batuk Semasa Hamil
Jika anda sakit dan tidak sihat semasa sedang mengandung, apa yang anda perlu lakukan adalah mendapatkan rehat yang secukupnya, minum banyak air dan kumur air garamjika anda batuk dan sakit tekak.
Namun jika sakit anda semakin teruk, anda boleh cuba cara-cara di bawah ini:
- mandi air panas
- letakkan muka anda dalam air panas dalam mangkuk
- minum minuman teh herba
- makan sup ayam
- campurkan madu, halia dan lemon dalam air panas
- gunakan pek sejuk atau suam pada dada
Ubat Yang Selamat Dimakan Semasa Mengandung
Jika anda rasa perlu juga mengambil ubat seperti ubat batuk, ubat cair kahak, ubat selsema dan lain-lain, pastikan anda mendapatkan dahulu nasihat daripada doktor sebelum mengambilnya.
Ia sangat penting bagi memastikan ubat yang anda ambil itu adalah sesuai dengan keadaan anda yang sedang berbadan dua dan tidak merisikokan bayi dalam kandungan serta kesihatan.
Antara beberapa jenis ubat-ubatan yang telah dikategorikan sebagai selamat selepas usia kandungan mencecah 12 minggu adalah:
- Minyak angin untuk dada, dahi dan bawah hidung
- Ubat batuk atau ubat hisap
- Ubat demam atau Panadol
- Ubat tahan sakit atau muntah
Apabila anda ingin mengambil ubat semasa sedang hamil, sebaiknya anda ingat beberapa perkara ini:
- Ambil dos yang disyorkan doktor sahaja dan jangan sesekali ambil lebih daripada yang sepatutnya. Baca label dan semak dengan dengan doktor atau ahli farmasi untuk mengesahkan maklumat dos yang diperlukan.
- Tanya doktor anda mengenai berapa lama ubat itu selamat untuk dimakan. Sesetengah ubat tidak selamat untuk diambil dalam tempoh jangka masa yang panjang semasa sedang mengandung.
- Jangan sesekali berhenti makan ubat yang telah diberikan doktor tanpa berbincang dulu dengan doktor anda. Dapatkan dahulu nasihat daripada mereka demi kesihatan anda dan bayi dalam kandungan!
Ubat Yang Tidak Selamat Diambil Ketika Hamil
Perlu anda tahu, tidak semua ubat selamat untuk diambil ketika anda sedang hamil. Secara amnya, anda perlu elakkan ubat yang menggabungkan bahan yang boleh mengubati beberapa simptom dalam satu masa.
Bermakna, jika anda selsema dan demam, pastikan anda ambil dua ubat yang berbeza, satu untuk mengubati selsema, dan satu lagi adalah untuk mengubati demam yang menjangkiti anda.
Dengan kata mudah, pastikan anda pilih satu ubat untuk setiap satu simptom yang anda hadapi dalam waktu tersebut.
Ketika sedang mengandung, pakar menyarankan anda untuk elak mengambil ubat-ubat ini kecuali jika dibenarkan oleh doktor anda:
- Aspirin (Bayer)
- Ibuprofen (Advil, Motrin)
- Naproxen (Aleve, Naprosyn)
- Codeine
- Bactrim
Bila Anda Perlu Risau?
Walaupun kebanyakan gejala batuk tidak memberi masalah kepada bayi dalam kandungan, namun anda tetap perlu berhati-hati terutama jika batuk tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih.
Ini kerana, komplikasi akibat batuk boleh meningkatkan risiko bayi lahir pra-matang dan kecacatan kelahiran pada bayi. Pastikan anda segera berjumpa dengan doktor jika mengalami sebarang simptom-simptom di bawah ini:
- terasa pening
- mengalami kesukaran bernafas
- sering sakit dada
- ada pendarahan pada vagina
- keliru
- kerap muntah dengan teruk
- demam panas yang tak berkurang
- bayi dalam kandungan anda kurang bergerak dan aktif
Walaupun ubat batuk ibu mengandung tidak berbahaya, anda tetap perlu berhati-hati sebelum mengambil apa-apa ubat ya.
Selamatkah Ubat Selsema Untuk Ibu Mengandung?
Memandangkan sistem imun anda tidak begitu kuat semasa anda hamil, selesema boleh melanda anda dengan lebih teruk. Jadi jika anda selsema dengan teruk selama berhari-hari, bolehkah ubat selsema untuk ibu mengandung diambil?
Sebilangan doktor mengatakan penting untuk ibu hamil mengambil Tamiflu bagi mengurangkan simptom dan tempoh (mungkin ambil dalam masa lima hari dari permulaan simptom). Tamiflu dianggap selamat untuk orang hamil, dan risiko untuk mengelakkannya jauh lebih besar daripada mengambil ubat-ubatan.
Adakah Ubat Demam Selamat Diambil Ibu Hamil?
Jika anda demam, cara yang terbaik dan lebih selamat untuk mengubatinya adalah melalui remedi berbanding ubat. Anda hanya perlu mendapatkan rehat dengan cukup dan minum banyak air kosong terutamanya air suam di antara 8 hingga 12 cawan sehari bagi menurunkan suhu anda itu.
Bagaimanapun, menurut doktor, hampir kesemua ubat yang dijual di farmasi untuk gejala demam biasa adalah selamat untuk diambil oleh wanita mengandung.
Namun begitu diingatkan lagi sekali, ubat yang merawat pelbagai gejala dalam satu masa seperti selsema, batuk dan demam sekaligus adalah tidak disarankan.
Apa-apa pun, sentiasa minta nasihat doktor sebelum anda ingin mengambil sebarang jenis ubat. Cara yang mudah dan selamat untuk anda adalah dengan mengamalkan rawatan semula jadi dari rumah dan hanya mengambil ubat jika anda betul-betul memerlukannya, mengikut saranan doktor.
- Parents. (May 17, 2022). Which Medications Are Safe During Pregnancy? www.parents.com/pregnancy/my-body/is-it-safe/which-medications-are-safe-during-pregnancy/
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Boleh Tak Makan Ubat Selsema Untuk Ibu Mengandung? Asyik Tak Sihat Saja Sejak Hamil Ini!
Baca juga: Bahayanya demam panas pada awal kehamilan yang ibu perlu tahu
Baca juga: 5 Situasi Yang Membolehkan Ibu Hamil Ambil Antibiotik, Jangan Makan Ubat Sebarangan Ya!