Menjadi ibu kepada anak kecil banyak cabarannya. Antaranya termasuklah ketika mahu tidurkan mereka. Kali ini kami kongsikan zikir tidurkan anak yang mungkin boleh bantu ibu ayah yang ada anak susah tidur.
Memang ada bayi jenis tidur siang dan berjaga malam. Kita rasa macam dah beri segalanya, tetapi masih juga susah untuk tidurkan mereka. Ada yang ajak ibu ayah bermain dan tidak kurang juga meragam hinggalah ke subuh hari.
Tentu sekali agak memenatkan kerana waktu malam sepatutnya ibu ayah dapat melepaskan penat seharian bekerja ataupun menguruskan rumah tangga.
Isi Kandungan
Zikir tidurkan anak dapat menenangkan si manja dan bantu tidur lebih lena
Zikir adalah satu amalan yang disyariatkan dalam Islam. Perintah supaya melaksanakan zikir ditemui dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadis Nabi s.a.w.
Ia adalah satu amalan yang disuruh supaya diperbanyakkan tanpa ada halangan dan keterikatan dengan syarat-syarat tertentu untuk diamalkan sebagaimana ibadah-ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Ia adalah rahsia dan penghubung secara langsung antara hamba dengan Tuhannya. Setiap mukmin yang mengingati Allah pasti akan diingati olehNya.
Ternyata bahawa amalan zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai ma`rifat terhadapNya.
Tulisan ini akan menyentuh tentang beberapa persoalan zikir khususnya mengenai peranannya dalam menyucikan hati dan membina sakhsiah muslim.
Zikir tidurkan anak yang boleh ibu ayah amalkan setiap hari
Bila bab tidurkan anak, jika salah gayanya memang boleh buat bergaduh. Kadang kala kita yang tidak mengantuk pun terus jadi mengantuk bila tiba masa untuk tidurkan anak. Sebab itulah ramai mendapati jika suami tidurkan anak, dia yang akan lena dahulu. Sedar-sedar tengok anak gembira bermain sendirian.
Selain mengalunkan muzik, zikir tidurkan anak juga sebenarnya salah satu cara yang boleh ibu ayah gunakan supaya si manja dapat tidur dengan nyenyak dan lebih lena.
Malah, ia salah satu dari cara yang sangat digalakkan dalam Islam. Hal ini kerana, beberapa jenis zikir bayi dapat membuatkan anak anda menjadi lebih tenang. Ia sekaligus memudahkan anak untuk tidur pada waktu malam terutamanya.
Ada beberapa jenis zikir yang sangat bagus untuk anak anda tidur dan sangat bagus diamalkan. Ia termasuklah:
1. Zikir tidurkan anak: La ilaha illallah
Ini antara zikir bayi yang seringkali kita alunkan dalam kehidupan seharian dan atau sewaktu ada masa terluang. Namun begitu, zikir ini juga sangat bagus untuk dijadikan sebagai zikir untuk bayi tidur.
Ia bukan sahaja ringkas dan mudah untuk diamalkan, tetapi ia juga dapat memberikan ketenangan untuk si manja.
La Ilaha illallah
La Ilaha illallah
La Ilaha illallah
Muhammadur rasulullah
Ya zaljalali wal ikram
Ya zaljalali wal ikram
Ya zaljalali wal ikram
Amitna ‘ala dinil islam
(ulang semula dari atas sehingga anak anda tertidur)
Maksudnya:
Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W pesuruh Allah. Wahai Tuhan yang mempunyai sifat Keagungan dan sifat Pemurah, matikanlah kami dalam agama Islam”
2. Zikir munajat
Ini juga antara salah satu zikir untuk bayi tidur yang sangat bagus dan sering diamalkan oleh ibu bapa di luar sana ketika menidurkan anak kecil.
Hasbi rabbi Jallallah
Mafi qalbi ghairullah
Nur muhammad sallallah
Lailahaillallah
Maksudnya:
Cukuplah Allah Yang Maha Agung sebagai Tuhanku, Tiada di dalam hatiku melainkan Allah dan nur (cahaya) Muhammad SAW. Tiada Tuhan melainkan Allah.
Bila anak sering diperdengarkan bacaan zikir tidur ni akan terhafal secara tak langsung. Subhanallah, sambil mengalunkan zikir tidurkan bayi, kita turut mendapat pahala.
3. Zikir penerang hati
Hasbunallah wani’mal wakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Hasbunallah wani’mal wakil
Ni’mal maula wani’man nasir
Maksudnya:
Cukuplah Allah sebagai penolong
Dan sebaik-baik pelindung
Cukuplah Allah sebagai penolong
Dan sebaik-baik pelindung
4. Zikir Fatimah sebelum tidur
Zikir untuk bayi juga boleh dialunkan zikir fatimah sebelum tidur. Si manja anda pastinya akan berasa lebih tenang dan mudah melelapkan mata.
Subhanallah (33 Kali)
Alhamdulillah (33 kali)
Lailahaillallah, (33 kali)
Allahuakbar (33 kali)
La ilaha illallahu wahdahu la sharika lahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli shay in qadir
Maksudnya:
Maha Suci Allah,
Segala puji itu hanya untuk Allah,
Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah,
Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya adalah semua kerajaan dan puji-pujian dan Allah adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu)
Zikir Fatimah merupakan himpunan zikir yang diajar Rasulullah SAW kepada puterinya Saidatina Fatimah Az-Zahra RA. Antara kelebihan zikir Fatimah sebelum tidur atau diamalkan selalu adalah dapat memberi kekuatan pada diri dalam menyelesaikan urusan sepertimana tersebut dalam hadis di bawah.
Dari ‘Ali bin Abi Thalib RA ketika menceritakan kisah Fatimah RA binti Muhammad SAW.
Suatu hari, Fatimah RA mendatangi Nabi SAW untuk meminta diberi pembantu (hamba). Rasulullah SAW berkata kepada anaknya, Fatimah RA,
أَلاَ أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ
“Mahukah kamu berdua jika aku tunjukkan kepada sesuatu yang lebih baik daripada seorang pembantu? Jika kamu berdua hendak tidur, ucapkanlah takbir 33 kali, tasbih 33 kali, dan tahmid 33 kali. Maka ini adalah lebih baik daripada seorang pembantu.”
5. Zikir bismillahillazi
Meskipun ringkas, ia menjadi zikir tidur yang mudah untuk diingati ramai. Ketika mengalunkan zikir anak tidur ini, ibu ayah disaran perlahan dan lembutkan suara agar anak segera melelapkan mata.
“Bismillahilazi La Yadurru Maasmihi Shaiun Fil Ardi Wa La Fis Samaaie, Wahuwas Samiul Alim”.
Maksudnya:
Dengan nama Allah yang bersama-Nya, sesuatu itu tidak berbahaya di bumi dan di langit
Koleksi zikir bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi adalah ayat yang berasal dari hadis Nabi Muhammad SAW. Dalam hadis riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi disebutkan,
“Siapa pun yang membaca (zikir),
بِسْمِ اللهِ الَّذِىْ لَايَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْئٌ فِى الْاَرِضِ وَلَا فِى السَّمَآءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
tiga (3) kali, maka tidak akan ditimpa kemudharatan hingga pagi dan sesiapa yang membacanya pada waktu pagi sebanyak 3 (tiga) kali, maka tidak akan ditimpa kemudharatan hingga petang.” (Riwayat Abu Dawud)
Sebenarnya, tidak hanya orang dewasa sahaja berasa tenang dan suka apabila mendengar koleksi zikir. Anak kecil pun sama.
Justeru alunkan atau pasang selalu zikir kanak kanak di rumah untuk memberikan suasana yang lebih menenangkan.
Petua yang boleh ibu ayah amalkan agar bayi cepat lena
Selain mengalunkan zikir baby tidur, anda hendaklah memastikan tempat, keadaan, suasana, susu bayi, pakaian bayi dan juga keadaan ibu bayi diambil peduli. Sebenarnya, faktor-faktor berikut mempengaruhi cara tidur bayi dan kualiti tidur bayi. Ia termasuklah:
- Susukan bayi dengan tenang, kenyang dan selesa. Jika tidak kenyang, bayi takkan mudah tidur dan tidur nyenyak.
- Sendawakan bayi dan pastikan angin dari badan bayi keluar untuk elakkan kembung perut, sedu dan sebagainya. Kembung perut akan membuatkan bayi meragam dan tidak dapat tidur pada waktu malam.
- Dodoikan bayi anda tidur dengan menepuk perlahan-lahan badan mereka. Tanpa dodoi bayi, lebih sukar untuk bayi tidur kerana mata mereka mungkin belum masanya untuk terlelap.
- Bedung bayi untuk bayi lebih tidur lena dan nyenyak. Bagi mengelakkan bayi meragam, bedung bayi dapat menetapkan posisi bayi yang selesa dan sesuai untuk terus tidur dengan baik.
- Pastikan pengudaraan dan cahaya yang sesuai dan menenangkan.
- Ibu harus elakkan minum kafein jika menyusu bayi kerana bayi juga turut terkesan dengan kesan minuman kafein tersebut.
- Tidur dengan bayi dan pastikan ada orang bersamanya untuk memudahkan dia tidur lena.
- Pastikan pakaian bayi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk untuknya. Begitu juga dengan suasana bilik anda dan bayi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 3 Tip Bagi Anak Senang Tidur Awal Setiap Malam Untuk Elak Penyakit
Baca juga: Cara Mudah Melatih Bayi Tidur Sendiri Bermula Usia 1 Bulan, #3 Ramai Ibu Tidak Tahu!
Baca juga: Tabiat Tidur Buruk Anak Berpunca Dari Ibu Bapa. Ini Apa Yang Anda Boleh Lakukan