Bau anak yang baru lahir adalah paling wangi. Namun tahukah anda ia adalah disebabkan oleh vernix, iaitu salutan putih pada badan bayi semasa dilahirkan.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Bau anak disebabkan vernix, ibu tidak perlu mandi guna sabun
- Manfaat lapisan vernix terhadap bayi
- Melambatkan mandian pertama bayi baru lahir
Jadi janganlah cuci ia sejurus bayi dilahirkan, rugi! Dulu saya biarkan anak seharian tanpa mandi. Pada keesokannya barulah mandikan bayi dengan air suam kosong, tidak guna sabun, tidak gosok pun badan dia. Hanya siram sahaja.
Bau anak disebabkan vernix, ibu tidak perlu mandi guna sabun
Sayang bila vernix itu hilang cepat. Dahlah nak bau anak kena bersalin dulu. Takkanlah ibu nak beranak setiap tahu pula kan?
Jadi apakah itu vernix caseosa? sebutannya ialah (si-ko-sa).
Ia adalah lapisan pelindung pada kulit bayi yang kelihatan seperti keju berwarna putih. Salutan ini akan ada lebih tebal pada bayi pramatang berbanding bayi yang lahir cukup bulan.
Bagi mereka yang kekurangan ilmu akan memandangnya jijik dan mengatakan ia adalah air manis si ayah yang melekat pada badan anak. Ini adalah pemahaman yang paling salah dalam masyarakat kita.
Untuk memahami peranan vernix ini, hadamkan bagaimana cara kulit kita bertindak balas terhadap pendedahan air yang lama dan banyak. Bayangkan selepas anda berenang lama, kulit mesti akan ‘berkedut’ kan?
Ini sama seperti bayi, bayi berenang dalam air ketuban selama sembilan bulan. Dan apa yang melindungi kulit bayi daripada tercedera? Salutan vernix inilah.
Tanpa vernix, kulit bayi akan pecah atau berkedut di dalam rahim. Vernix caseosa turut berperanan memberikan kelembapan kepada kulit bayi anda selepas lahir.
Manfaat lapisan vernix terhadap bayi
#1. Mempunyai sifat antimikrob
Bayi yang baru lahir memiliki sistem imun yang rapuh. Selain dari bantuan penyusuan susu ibu yang mampu meningkatkan sistem imun bayi, vernix caseosa turut berperanan melindungi bayi baru lahir daripada sebarang jangkitan.
Hal ini kerana vernix adalah salutan yang mengandungi antioksidan, serta sifat anti-jangkitan dan anti-radang.
#2. Membantu mengawal suhu badan bayi
Semasa mengandung, badan ibu memainkan peranan penting dalam mengawal suhu badan bayi. Bayi perlukan masa bagi mengawal suhu badannya sendiri selepas dilahirkan.
Dengan melambatkan mandian pertama bayi anda selepas kelahiran, salutan vernix caseosa pada kulit bayi yang dibiar sebelum dicuci berupaya menstabilkan suhu badan mereka secara semula jadi.
#3. Membantu melembapkan kulit bayi
Vernix caseosa turut bertindak sebagai pelembap kepada kulit bayi daripada masalah kekeringan dan rekahan.
Melambatkan mandian pertama bayi baru lahir
Sekarang anda sudah tahu ada banyak manfaat vernix pada bayi selepas kelahiran. Ia bersebab. Ramai ibu negara barat tidak memandikan bayi mereka selepas beberapa hari atau sehingga seminggu selepas kelahiran.
Tapi bagi kita yang orang Asia, sudah memadai melambatkan mandian pertama bayi selepas tempoh 24 jam kelahiran bagi memperoleh manfaat vernix tersebut.
Beritahu doktor dan jururawat bahawa anda tidak mahu mereka memandikan bayi secepat mungkin dan jangan bersihkan salutan vernix pada badan bayi anda.
Cukuplah sekadar lap sahaja badan bayi dengan kain lembut bayi menghilangkan kesan darah dan cecair amniotik daripada bayi.
Ketika waktu ‘room in’ bersama bayi selepas lahir, urut lembut salutan vernix itu agar ia diserap dalam kulit bayi anda. Losyen percuma tu!
Justeru sudah jelas bukan bahawa bayi baru lahir sebenarnya tidak memerlukan sebarang sabun mandi ataupun syampu. Cukuplah ibu memandikan mereka menggunakan air suam kosong sahaja.
Sayanglah jika bau bayi ini cepat hilang, paling best tu boleh buat kita berasa lebih tenang dan bahagia!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Bau Bayi Baru Lahir Boleh Buat Ibu Lebih Gembira Dan Ketagih Macam Dadah
Baca juga: Bau Ibu Adalah Paling Harum Buat Bayi, Patutlah Si Manja Boleh Berhenti Menangis
Baca juga: Mulut Berbau, Mengadu Pening Kepala Antara Tanda Anak Kurang Minum Air Putih!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!