Jika sebelum ini, fenomena banjir sering terjadi kepada mereka yang tinggal di bahagian Pantai Timur. Namun bagi tahun 2021, ramai tidak menyangka banjir besar berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur. Pihak anggota penyelamat antara yang paling sibuk memindahkan mangsa-mangsa ke tempat selamat termasuklah warga emas, ibu hamil dan bayi perempuan comel.
Peningkatan paras air yang begitu cepat telah menenggelamkan banyak kenderaan dan kediaman di kawasan ini sehingga ada yang terpaksa menunggu bantuan di atas bumbung rumah.
Abang polis selamatkan bayi comel di tingkat atas rumah
Menurut laporan oleh Sinar Harian, seorang anggota penyelamat tidak menyangka dia menemui seorang bayi comel dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini.
Sarjan Awang Abdullah Sani Awang Alehan, 42, dari pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta berkata, dia bersama tiga anggota yang lain sedang menaiki bot. Kemudian menemui keluarga bayi berkenaan terkandas di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat.
Jelasnya, bayi comel perempuan berusia empat bulan itu bersama ibu ayahnya dan seorang lagi kanak-kanak telah diselamatkan. Mereka tidak dapat keluar apabila tingkat bawah rumah berkenaan dinaiki air sehingga paras pinggang.
”Pada petang itu saya memandu bot bersama tiga lagi anggota. Dua daripada kami terpaksa memanjat sengkup rumah berkenaan sebelum membawa mereka keluar melalui tingkap. Manakala saya bersama seorang lagi anggota menyambut mangsa menaiki bot untuk dihantar ke tempat yang selamat.” katanya ketika dihubungi.
Semalam tular gambar Awang Abdullah Sani memegang seorang bayi comel perempuan memakai topi dan pakaian serba merah jambu. Media sosial Facebook dan Instagram Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga berkongsi posting ini.
Rata-rata netizen melahirkan rasa syukur dan terharu melihatkan usaha para anggota penyelamat.
Manakala Penolong Jurulatih Jasmani Pusat Latihan PGA Hulu Kinta yang berkhidmat hampir 21 tahun berkata, operasi bantuan tersebut disifatkan amat bermakna bagi pasukannya kerana mereka dapat membantu ramai mangsa terjejas banjir meskipun masing-masing kepenatan.
”Sejak dari Ahad yang lalu kami sibuk dengan kerja-kerja menyelamat. Kami sanggup tidak tidur demi menyelamatkan mangsa banjir. Saya hanya sempat tidur dua jam pada hari ketiga, malah gambar yang menjadi tular itupun saya ketahui melalui orang lain,” jelas Awang Abdullah Sani.
Bayi comel keletihan dan tertidur ketika banjir
Tidak hanya anggota penyelamat sahaja, ada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil bersama-sama menghulurkan bantuan bagi memindahkan mangsa-mangsa banjir.
Pelakon dan pelawak Malaysia, Harith Iskandar bersama isterinya menubuhkan pasukan kebajikan iaitu ‘The Hope Branch’. Mereka telah membeli beberapa buah bot sebaik sahaja mendapati kawasan Kg Baru Hi Comm dipenuhi dengan air.
Difahamkan dia bersama pasukan penyelamat menuju ke sebuah rumah atas kedai, di mana terdapat seorang ibu dan bayi perempuan terperangkap di tingkat atas kedia selama dua malam.
Dalam video yang dikongsi jelas memaparkan bayi comel itu berjaya diselamatkan oleh Harith dan pasukannya. Lebih melucukan, dia kelihatan sedang nyenyak tidur ketika pasukan penyelamat mendukungnya untuk dibawa ke dalam bot.
Netizen sangat terharu melihat kesungguhan pasangan suami isteri dan pasukannya berusaha menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap seramai mungkin. Malah, ramai juga yang memuji bayi kecil berkenaan sungguh comel dan tembam.
Kongsi Harith di Instagram miliknya:
Bayi bersama seorang ibu telah terperangkap di tingkat atas sebuah rumah kedai selama dua malam. Apabila kami mendengar Kg Baru Hi-Comm masih berada dalam air, @thehopebranch.my dengan pantas membeli bot, menggerakkan pasukan sukarelawan yang hebat dan bergegas ke sana.
Pada waktu itu, keadaan adalah sangat sukar- gelap gelita, air naik sehingga 10 kaki di beberapa tempat, kereta dan van sudah ditenggelami air.
Seorang pemilik kedai tempatan memandu bot kami menuju ke rumah di mana ibu dan bayi ini terperangkap. Kami berjaya menyelamatkan mereka. Anda boleh melihat mata bayi sudah bengkak, tetapi dia sangat baik dan tenang.
Sumber: Sinar Harian, @harithiskander
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tips Penting Untuk Ibu Hamil & Ibu Ayah Baharu Hadapi Banjir, Elak Persiapan Last Minute!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!