Ketika disahkan hamil, ramai pasangan rata-ratanya pasti berasa gembira dan teruja kerana orang baru bakal hadir di dalam hidup mereka tidak lama lagi. Namun, sepanjang tempoh 9 bulan itu juga, emosi ibu mengandung pastinya akan berubah-ubah kerana terdapat pelbagai dugaan yang perlu dilalui.
Daripada tanda tanda mengandung minggu pertama seperti mengalami morning sickness, sehingga ke tanda pregnant lain seperti sakit pinggang, kenaikan berat badan, pantang-larang mengenai pengambilan makanan dan bermacam-macam lagi, ia menyebabkan sesetengah ibu hamil mula rasa bosan dengan kehamilan.
Namun, adakah emosi ibu mengandung dan perasaan tersebut normal malah biasa dihadapi oleh bakal ibu? Adakah ia perlu dibimbangkan dan boleh menjejaskan kandungan? Baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut mengenainya.
Isi Kandungan
Saya Rasa Bosan dengan Kehamilan. Adakah Sesuatu Tidak Kena Dengan Saya?
Jangan risau, tidak ada apa-apa yang tidak kena pada anda. Sebenarnya, normal untuk ibu mengandung berasa bosan dengan kehamilan, lebih-lebih lagi di trimester ketiga. Perkara yang anda anggap menarik dan baharu semasa beberapa minggu pertama kehamilan boleh jadi agak membosankan apabila sudah menjelang bulan keenam atau bulan ketujuh anda.
Duduk berehat secara mengiring di atas katil atau berulang-alik ke tandas sebanyak 20 kali sehari bukan lagi perkara yang dirasakan sukar. Sebaliknya, masalah lain seperti buasir dan pedih ulu hati yang perlu dilalui ibu di trimester terakhir membuatkan ibu mengandung menjadi bosan dan penat.
Selain itu, emosi ibu mengandung ketika hamil juga memenatkan. Perubahan mood pastinya sering berlaku apabila memikirkan kerisauan untuk bersalin dan seterusnya mengenangkan masa depan selepas kelahiran bayi. Itu semua boleh menjejaskan kehamilan mereka.
Apabila ia berlaku, sesetengah bakal ibu bimbang bahawa mereka akan kelihatan tidak bersyukur jika mereka dilihat tidak menikmati setiap detik kehamilan mereka.
Walau bagaimanapun, membesarkan bayi adalah kerja yang sangat sukar. Oleh itu, jangan risau tentang meluahkan ketidakselesaan, kebosanan, atau apa sahaja yang anda rasa. Kemungkinan ada seorang lagi bakal ibu di luar sana yang mempunyai perasaan yang sama!
Apakah yang Boleh Saya Lakukan untuk Berasa Gembira tentang Kehamilan Saya?
Emosi ibu mengandung perlu dijaga. Elak berasa bosan secara berterusan dengan melakukan sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian daripada emosi anda itu. Cuba gunakan idea-idea ini jika anda mula terasa bosan dengan kehamilan bagi membantu anda.
#1. Luangkan masa dengan rakan anda
Keluar makan tengah hari dengan rakan anda, atau nikmati perbualan melalui telefon atau panggilan video seperti skype, zoom dan lain-lain. Elakkan berbual mengenai topik kehamilan dan cuba cari topik lain yang menarik untuk anda bualkan.
#2. Terlibat dengan projek
Tarikh bersalin hampir dekat? Maka anda boleh mula sediakan makanan boleh beku untuk minggu pertama selepas bayi anda dilahirkan. Atau anda juga boleh mengosongkan laci dapur anda, meletakkan foto ke dalam album atau menyusun almari pakaian anda.
Banyak yang boleh anda lakukan di sekitar rumah yang tidak akan membebankan anda secara fizikal.
#3. Manjakan diri
Tak perlu pergi ke rumah urut atau spa. Panggil sahaja tukang urut atau ahli terapi yang terlatih dalam menguruskan wanita hamil. Sebagai alternatif, anda boleh melakukan pedicure atau rawatan muka, atau membuat salon sendiri di rumah bagi memanjakan diri.
#4. Berhubung dengan pasangan anda
Nikmati beberapa tarikh romantis bersama sangat penting agar anda dan pasangan dan menumpukan perhatian kepada satu sama lain. Anda boleh melakukan percutian yang menenangkan atau keluar untuk menjamu selera bersama pasangan. Malah, menghabiskan masa di rumah juga boleh memberikan pengalaman yang berharga.
#5. Buat senaman ringan
Senaman ringan bagus untuk anda dan bayi kerana ia akan memberikan anda lebih banyak tenaga, dan membantu anda untuk tidur dengan lebih lena. Pergi berenang secara santai di kolam renang tempat tinggal anda, bersiar-siar untuk menghirup udara segar, atau cuba yoga kehamilan ataupun Pilates.
#6. ‘Larikan diri ke dunia lain’
Membaca novel atau menonton beberapa filem boleh membawa anda pergi ke tempat atau masa yang berbeza. Bermain permainan pada telefon, konsol atau tablet anda ialah satu lagi cara yang bagus untuk melupakan dunia di sekeliling anda buat seketika.
Perlukah Saya Bimbang tentang Rasa Bosan dengan Kehamilan Saya?
Dalam kebanyakan kes, kebosanan ketika kehamilan tidak perlu dibimbangkan. Tetapi jika anda berasa tidak semangat sepanjang masa dan tiada apa yang menarik minat anda, ia boleh menjadi gejala kemurungan.
Minta nasihat daripada doktor anda jika anda mengalami mana-mana gejala yang berikut:
- kesedihan yang berterusan
- perasaan yang tidak menggembirakan
- keinginan untuk pergi dari kehidupan
- kesukaran menyiapkan tugasan harian
Kira-kira satu daripada 10 bakal ibu mengalami kemurungan semasa hamil. Kemurungan yang tidak dirawat tidak baik untuk anda atau bayi anda, jadi penting untuk mendapatkan bantuan.
Mujurlah, kebanyakan kes kemurungan berkaitan kehamilan boleh dirawat. Kadangkala, hanya bercakap tentang perasaan anda dengan seseorang atau meluangkan masa untuk berehat boleh membuatkan anda berasa lebih baik. Jika ini tidak membantu, anda mungkin boleh mendapatkan kaunseling atau mencari ubat yang berkesan untuk anda di bawah pantauan doktor.
Doktor anda akan membantu anda membuat pilihan mengenai rawatan terbaik untuk anda dan bayi. Lebih cepat anda mendapatkan bantuan, lebih cepat anda boleh kembali menikmati kehamilan anda.
Ibu Mengandung Terdedah Ancaman Preggophiles
Tidak cukup perlu menahan gejala-gejala kehamilan yang boleh membuatkan ibu mengandung letih sehingga terasa bosan dengan kehamilan, kini ibu hamil juga perlu berhati-hati dengan kewujudan insan tidak bertanggungjawab, ‘preggophiles’ yang menjadikan wanita mengandung sebagai sasaran.
Contohnya dalam kes yang berlaku pada September 2020 lalu, Berita Harian melaporkan bahawa seorang wanita berusia 27 tahun didakwa dicabul di bahagian pinggul kirinya pada jam 8 pagi ketika sedang membuka pintu grill hadapan rumahnya yang terletak di Taman Pusing Utama, Batu Gajah.
Menggosok Tangan Pinggul Wanita Hamil
Lelaki itu dikatakan menghampiri wanita hamil itu dengan senyap sebelum menutup mulut serta mencengkam pergelangan tangan wanita itu.
Wanita itu ditolak masuk ke rumah sehingga terbaring mengiring, dan tanpa melengahkan masa lelaki berkenaan sempat meraba pinggul kiri mangsa dengan tangannya.
Wanita hamil itu dikatakan merayu supaya dilepaskan dan lelaki itu melepaskan wanita tersebut selepas dia menegaskan yang dia sedang sarat mengandung.
Sebelum lelaki itu beredar, dia sempat bertanya beberapa soalan berkaitan suami wanita itu dan dengan siapa dia tinggal di rumahnya itu, namun wanita itu kekal membisu. Sedih, memikirkan emosi ibu mengandung ini.
Jiran Sendiri Dalangya
Lelaki itu kemudiannya beredar selepas jiran sebelah keluar. Hasil siasatan mendapati hanya sebuah rumah saja yang berpenghuni di kawasan rumah wanita itu.
Menurut siasatan polis, lelaki itu dipercayai sudah lama mengekori wanita hamil berkenaan dan turut menyewa rumah di kawasan yang sama dengan wanita itu.
Wanita hamil itu telah dibawa ke Hospital Batu Gajah, dan hasil pemeriksaan mengesahkan kandungannya selamat walau bagaimanapun terdapat kesan lebam di bahagian pergelangan tangan.
Susulan itu, suspek berusia 34 tahun yang sudah berkahwin ditahan pada 4.40 petang di Batu Gajah.
Apakah itu ‘Preggophiles’?
‘Preggophiles’ merupakan terma untuk lelaki yang terangsang dengan wanita hamil. Mereka akan terangsang dengan perut wanita hamil yang dipanggil ‘baby bump’. Bagi mereka ‘baby bump’ dan susuk tubuh yang dirasakan seksi.
Lebih menakutkan, kajian analitik menunjukkan carian mengenai kandungan video lucah berkaitan ibu hamil telah meningkat sebanyak 20% sejak tahun 2014. Ini menjadi mimpi ngeri buat semua ibu hamil di luar sana.
Di Amerika, carian pornografi yang melibatkan wanita hamil juga dikatakan cukup popular. Malah di lama sosial Reddit juga terdapat banyak kiriman gambar lucah wanita hamil yang dikongsi. Mereka juga membincangkan perihal nafsu pelik mereka ini tanpa segan silu.
Inilah sebab ibu hamil perlu lebih berjaga-jaga apabila berkongsi gambar hamil. Lebih-lebih lagi yang membuat penggambaran sebelum bersalin tanpa seurat benang. Tolonglah elakkan jika tak mahu gambar anda menjadi mangsa rakusan kelompok ‘Preggophiles’ ini.
Punca Lelaki Terangsang dengan Wanita Hamil
Menurut pakar terapi seks di Amerika, Michael Aaron, nafsu pelik yang dialami lelaki ini mungkin berpunca daripada proses turun temurun.
Ada kemungkinan ia berkaitan dengan pengalaman yang dialami lelaki itu sejak dari kecil lagi. Ada sesuatu yang membuat dia berasa teruja dan ghairah dengan wanita hamil.
Ia juga mungkin disebabkan hormon testosteron yang berlebihan dalam badan. Hormon ini dapat mempengaruhi fikiran kelompok lelaki ini untuk berfikir wanita hamil lebih cantik dan seksi berbanding wanita biasa. Menakutkan bukan?
Apa-apa pun, wanita hamil atau tidak anda sememangnya perlu berhati-hati dalam apa pun yang anda lakukan. Sesungguhnya dunia ini bukanlah terdiri daripada orang-orang yang normal sahaja. Orang mental yang mempunyai keinginan aneh dan pelik ini ada di mana-mana sahaja.
Jadi hati-hati bila berkongsi sesuatu di laman sosial, dan kalau boleh sentiasalah berteman tidak kira ke mana saja. Dalam masa yang sama jangan terlalu memikirkan, emosi ibu mengandung tidak menentu jadi relaks dan sentiasa berdoa untuk dilindungi sepanjang kehamilan.
- Berita Harian (Sept 29, 2020). Wanita hamil lapan bulan dicabul dalam rumah. www.bharian.com.my/berita/kes/2020/09/736655/wanita-hamil-lapan-bulan-dicabul-dalam-rumah
- Baby Center (n.d). Bored with being pregnant. www.babycentre.co.uk/a1013445/bored-with-being-pregnant
- Baby Center (Oct 20, 2021). Tired of being pregnant? You’re not alone. www.babycenter.com/pregnancy/your-life/pregnancy-blahs-bored-with-pregnancy_218
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Mental & Emosi Isteri Tidak Tertekan Jika Suami Peka Akan Keperluan Dalam Rumah Tangga
Baca juga: Pendarahan Semasa Hamil Mungkin Petanda Kurang Baik, Ini Yang Ibu Perlu Peka
Baca juga: Malu Perut Penuh Stretch Mark Ketika Hamil? Ini Cara Hilangkan Stretch Mark Dengan Berkesan!