Tempoh 40 minggu kehamilan bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mana-mana wanita mengandung. Selain kesihatan mental, kesihatan fizikal perlu sentiasa dijaga bagi memastikan kandungan dan ibu selamat, justeru banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuklah risiko menaiki kemudahan pengangkutan awam.
Tidak dinafikan, ramai wanita hamil yang gemar untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan LRT sebagai pengangkutan harian mereka.
Namun, adakah kemudahan pengangkutan awam di Malaysia selamat untuk digunakan oleh wanita yang sedang mengandung?
Jadi, apakah langkah-langkah keselamatan yang perlu dititikberatkan bagi mengurangkan risiko bahaya ketika menaikinya? Teruskan membaca perkongsian di bawah ini supaya anda khususnya ibu mengandung dapat lebih berhati-hati selepas ini.
Kemudahan Pengangkutan Awam Ketika Hamil
Pertama sekali, apakah maksud pengangkutan awam ini?
Pengangkutan awam adalah sistem bermotor seperti teksi, bas, dan kereta api yang boleh digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan. Masalah pengangkutan awam biasanya memiliki jumlah pengguna yang terlalu ramai terutama pada waktu puncak, kadang-kala perkhidmatannya tergendala, dan kekerapan laluannya juga tidak banyak dan kerap. Namun, kepentingan pengangkutan awam juga banyak contohnya lebih murah, cepat, dan boleh mengurangkan kepadatan kenderaan di atas jalan raya.
Berbalik kepada isu menaiki pengangkutan awam ketika hamil, ia sebenarnya satu cabaran dan tidak mudah untuk ibu. Ini kerana dalam tempoh ini, badan lebih mudah terasa lemah dan sensitif. Biasanya, wanita hamil cenderung untuk mudah terasa mual, pening kepala atau bahkan mungkin juga pengsan apabila melakukan perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
Gejala-gelaja itu akan menyebabkan wanita hamil lebih letih sepanjang perjalanan. Disebabkan itu jugalah rata-rata pengangkutan awam yang ada menyediakan tempat duduk khas untuk wanita yang sedang mengandung seperti di dalam MRT dan LRT. Keistimewaan ini perlu dihormati oleh semua pihak dan sebagai orang awam kita tidak boleh menggunakannya sesuka hati atau bahkan mempertikaikannya.
Namun, jika dilihat pada hari ini, masyarakat kita mula mengambil sikap prihatin apabila melihat ada wanita yang sedang hamil menaiki pengangkutan awam dengan memberikan tempat duduk kepada mereka.
Bagaimanapun, nasib juga tidak sentiasa menyebelahi wanita mengandung. Ada hari di mana anda terpaksa berdiri sepanjang perjalanan kerana keadaan tidak mengizinkan dan lain-lain. Ia sebenarnya agak merbahaya buat anda dan kandungan.
Contohnya jika bas brek secara mengejut atau kereta api bergerak secara mendadak dengan tiba-tiba. Wanita hamil berisiko untuk terjatuh dan seterusnya membahayakan bayi dan juga ibu. Jadi jika anda sedang mengandung dan berhasrat untuk menaiki pengangkutan awam, sila ikut tips ini:
#1. Jangan berdiam diri
Jika anda sedang berdiri di dalam bas atau kereta api contohnya, dan tiada siapa yang mempelawa anda untuk memberikan tempat duduk, sila suarakan kepada salah seorang daripada penumpang di situ dan minta tempat duduk daripadanya.
“Maaf awak, saya sedang mengandung. Boleh tak kalau saya nak duduk di sini?”
“Cik, kalau awak tak kisah, boleh ke berikan saya tempat duduk ini memandangkan saya sedang hamil 5 bulan”
Jangan lupa ucapkan terima kasih juga ya jika tempat duduk berjaya diperoleh!
Ingat, kadang-kala mungkin ada penumpang yang tidak perasan anda sedang mengandung. Antara faktornya adalah kerana perut anda masih kecil atau lain-lain. Jadi, anda bolehlah mengambil inisiatif dengan menyuarakan dulu hasrat anda itu dengan cara baik tanpa menimbulkan ketidaksenangan hati pada orang lain.
#2. Jangan bawa barang terlalu banyak
Jika anda sudah tahu akan menggunakan pengangkutan awam seperti bas pada hari itu, cubalah elakkan diri daripada membawa barang yang terlalu banyak. Ini kerana jika anda tidak berjaya mendapat tempat duduk nanti, ia akan lebih membahayakan, menyukarkan dan memenatkan anda nanti.
Belakang badan anda tentunya akan terasa sakit dan kaki dan tangan anda juga boleh bengkak akibat berdiri terlalu lama sambil mengangkat barang yang banyak.
#3. Bawa air kosong
Ketika sedang hamil, anda dinasihatkan untuk sentiasa bawa bersama air kosong untuk diminum bagi memastikan badan anda kekal hidrat dan mengekalkan stamina yang kuat sepanjang masa, terutamanya apabila menaiki pengangkutan awam.
Ingat, tubuh anda memerlukan air yang banyak walaupun ketika sedang hamil. Jika badan anda tidak mendapat air yang mencukupi, anda akan lebih mudah untuk pengsan atau bahkan juga membahayakan kandungan.
#4. Bawa beg plastik tambahan
Menggunakan pengangkutan awam ketika hamil akan membuatkan anda lebih mudah terasa loya. Jadi, sentiasa bawa bersama dua atau tiga beg plastik sebagai persediaan sekiranya anda terasa mual dan ingin muntah.
Lebih baik berjaga-jaga dan bersedia dengan lebih awal, kan?
Adakah Selamat Menaiki Pengangkutan Awam Ketika Hamil?
Ada ibu yang merasakan bahawa menggunakan pengangkutan awam ketika sedang mengandung adalah kurang selamat.
Yang pasti, ia adalah satu cabaran terutamanya jika ia adalah pengangkutan utama mereka untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja.
Ada kajian menunjukkan bahawa kekerapan menggunakan pengangkutan awam ketika sedang hamil boleh memberi tekanan dan kesan buruk terhadap kesihatan ibu, terutama sekali jika mereka mempunyai masalah kesihatan lain pada masa yang sama.
Bagaimanapun, bukanlah bermaksud tindakan ibu menggunakan pengangkutan awam adalah berbahaya dan tidak selamat. Sebenarnya, mana-mana pengangkutan darat adalah selamat asalkan ibu berhati-hati dan mengikut langkah-langkah yang betul.
Namun, jika anda risau mengalami sebarang komplikasi berkaitan kehamilan seperti tekanan darah tinggi, diabetes, masalah plasenta ataupun sejarah kelahiran pramatang, jadi anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor dahulu sebelum memilih untuk menaiki mana-mana pengangkutan awam yang ada.
Langkah Keselamatan Ketika Menaiki Pengangkutan Awam
Bagi wanita hamil, anda perlu lebih berjaga-jaga sekiranya berhasrat untuk menaiki pengangkutan awam tidak kiralah untuk tempoh waktu yang singkat atau pun panjang.
Jadi, ikuti langkah-langkah ini bagi mengelakkan sebarang komplikasi dan risiko pada anda dan kandungan:
#1. Menaiki bas
- Tunggu sehingga bas betul-betul berhenti dahulu baru anda bergerak untuk naik atau turun bas
- Jika boleh, dapatkan tempat duduk di bahagian tengah supaya rasa lebih selamat dan lebih mudah untuk menyelamatkan diri jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka
- Jangan berdiri di dalam bas kerana bas akan kerap berhenti bagi menurunkan penumpang. Anda juga mudah ditolak jika berdiri di dalam bas. Minta tempat duduk dengan cara baik daripada salah seorang penumpang di situ bagi mengurangkan risiko terhadap anda dan bayi.
- Naik bas yang dilengkapi penyaman udara agar anda tidak terdedah kepada pencemaran bau, debu dan asap
- Jangan bawa barang yang terlalu banyak bagi mengurangkan masalah sakit pinggang, tangan dan kaki
#2. Menaiki kereta api seperti LRT, MRT, komuter dan lain-lain
- Beratur di tempat yang betul sebelum ingin menaiki kereta api bagi mengurangkan risiko anda ditolak
- Tunggu sehingga kereta api berhenti dahulu baru naik dan turun daripada kereta api
- Cari dan duduk di tempat duduk yang disediakan untuk wanita mengandung. Jika tiada, minta bantuan daripada salah seorang penumpang lain untuk memberikan tempat duduk kepada anda
- Elakkan berdiri untuk mengelakkan risiko anda ditolak terutama jika menaikinya pada waktu puncak
- Elak membawa barang terlalu banyak kerana perjalanan untuk ke stesen kereta api biasanya agak jauh. Ini bagi mengelakkan anda terasa penat yang melampau.
#3. Menaiki kapal terbang
- Kebanyakan syarikat penerbangan membenarkan wanita hamil melakukan perjalanan sebelum usia kandungan mencecah 9 bulan. Perjalanan pada bulan kesembilan biasanya dibenarkan jika terdapat kebenaran daripada doktor anda.
- Kebanyakan kapal terbang memiliki lorong sempit dan bilik mandi yang lebih kecil, yang mana secara tidak langsung menjadikannya lebih mencabar untuk wanita mengandung berjalan dan lebih tidak selesa apabila menggunakan tandas. Kerana potensi berlakunya gegaran dalam pesawat, pastikan anda berpegang pada bahagian belakang tempat duduk semasa berjalan di dalam pesawat.
- Anda digalakkan untuk memilih tempat duduk di bahagian tepi (luar) yang membolehkan anda bangun dengan lebih mudah untuk ke tandas atau hanya untuk meregangkan kaki dan belakang badan anda.
#4. Feri atau pengangkutan laut lain
- Biasanya, wanilta hamil dibenarkan untuk menaiki feri selagi kehamilan belum mencecah usia 32 minggu, bagaimanapun ia mungkin berbeza-beza mengikut syarikat dan tempat
- Wanita yang hamil lebih 28 minggu dan ingin menaiki feri biasanya perlu menunjukkan surat perubatan atas tujuan keselamatan
- Elak menaiki bot yang berkelajuan pantas kerana air laut yang sentiasa berombak akan membuatkan bot terhentak dan seterusnya boleh merisikokan kandungan anda
- Sentiasa pakai jaket keselamatan meskipun anda mungkin rasa kurang selesa
- Bawa bersama beg plastik sebagai persediaan sekiranya anda ingin muntah dan mual sepanjang perjalanan
#5. Teksi, Grab atau Uber
- Ini merupakan pengangkutan awam paling selamat dan selesa untuk wanita hamil
- Sila pakai tali pinggang keledar meskipun anda hanya duduk di bahagian belakang bagi mengurangkan risiko anda terhantuk sekiranya berlaku pelanggaran
- Sentiasa update lokasi terkini anda kepada orang terdekat (mungkin anda boleh bagi live location kepada suami, atau adik beradik anda)
Memastikan Keselesaan Ibu Hamil Ketika Naik Pengangkutan Awam
Kelebihan ibu hamil menaiki pengangkutan awam tetap ada walaupun sedikit berisiko. Antaranya anda tidak perlu letih memandu, dan juga mungkin boleh sampai ke destinasi dengan lebih cepat.
Jadi, apabila anda ingin menaiki pengangkutan awam ketika sedang berbadan dua, pastikan juga diri anda selesa sepanjang perjalanan contohnya dengan:
- Memakai pakaian yang sesuai termasuklah tidak terlalu ketat, pendek dan panas
- Elak naik pengangkutan awam ketika waktu puncak
- Naik pengangkutan awam di tempat yang anda sudah biasa
- Sampai awal ke stesen bas atau kereta api agar peluang anda lebih cerah untuk mendapatkan tempat duduk
- Bawa bersama kipas tangan bagi mengelakkan anda rasa panas melampau
- Jika anda tidak tahan sejuk, bawa bersama selimut kecil atau selendang untuk dipakai di dalam bas, kereta api, kapal terbang dan lain-lain
- Jangan bawa banyak barang
- Gunakan beg galas yang ringan
- Sentiasa bawa ubat penting bersama anda
- Bawa bersama air mineral dan snek ringan untuk memastikan tubuh anda sentiasa bertenaga
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ini Kongsi Tips Memandu Sendirian Jarak Jauh Bersama 2 Anak-Anak Kecilnya, Hebat Betul!
Baca juga: Beri Peluang Anak Explore & Bebas, Ibu Ini Kongsi 7 Tips Beriadah Di Taman Ketika Hujung Minggu
Baca juga: 10 tip balik raya naik kereta ketika mengandung, no #6 paling penting kena buat!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!