Ada peminat sayur kailan disini? Kalau ada di antara bakal-bakal ibu semua yang kurang berminat untuk makan sayur kalian, mungkin artikel kami kali ini akan membantu anda untuk mengubah fikiran anda! Bagi yang sudah berminat dengan sayur kailan, tahukah anda sebenarnya manfaat kailan sangat besar lebih-lebih lagi pada wanita hamil.
Ramai pakar mengesyorkan agar wanita memakan sayur kailan ketika hamil. Anda mesti tidak tahukan apakah sebabnya? Kami akan kongsikan kepada anda manfaat kailan yang sangat berfaedah untuk wanita hamil di luar sana.
Sebelum itu, jom kita berkenalan dengan sayur kailan.
Nutrisi dalam sayur kailan
Sayur kailan ini ada peminatnya tersendiri. Ramai yang tidak menggemarinya kerana rasanya sedikit pahit. Ya betul! Sayur kailan kalau tidak kena gaya masaknya memang boleh jadi susah nak makan. Jadi, kena sabar sedikit bila telan rasa pahit itu. Ia nampak sahaja seperti sayuran sawi tetapi ianya berbeza sedikit. Nampak sama tapi tak serupa.
Walaupun mempunyai ciri yang pahit tetapi sayur kailan mempunyai banyak khasiat dan nutrien penting yang diperlukan oleh badan. Antaranya ialah vitamin A, vitamin C, vitamin K, ditambah pula dengan kalsium, folat dan mangan. Bukan itu sahaja tau! Ada lagi. Antara nutrien lain ialah vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, vitamin B5, vitamin B6, vitamin E. Malah diserikan lagi dengan kolin, betaine, besi, magnesium, fosforus, kalium, zink, tembaga, dan selenium.
Jangan main-main dengan kailan. Nampak biasa sahaja tetapi kandungannya zat dan nutrisinya sangat menarik dan bermanfaat untuk tubuh badan kita. Tanpa buang masa lagi, mari kita baca dengan lebih lanjut manfaat kailan untuk ibu-ibu yang hamil!
Manfaat kailan untuk ibu hamil
Dalam banyak-banyak sayur, sayur kailan sangat disyorkan untuk ibu-ibu hamil. Sebenarnya makan kailan dengan kerap mampu memberi manfaat kepada ibu. Antaranya ialah:
#1 Membantu pertumbuhan janin
Sayur kailan mengandungi khasiat seperti kalsium dan zink yang baik untuk pertumbuhan dan perkembangan janin. Kandungan kalsium dalam sayur kailan juga turut membantu perkembangan dan menguatkan tulang janin dalam rahim. Pemakanan sayur kailan secara berterusan juga dikatakan dapat memberi jaminan untuk mengurangkan risiko kecacatan janin dan menjamin janin agar kekal sihat.
#2 Memperkuat sistem imunisasi ibu
Jangan tak tahu bahawa kailan adalah sangat tinggi dengan kandungan vitamin C tau. Manfaat vitamin C pada badan adalah sangat baik yang mana ia membantu menguatkan sistem imunisasi badan dan menjadikan badan dapat melawan serangan daripada virus dan penyakit.
Daya tahan wanita sewaktu hamil semestinya tidak sebaik wanita yang tidak hamil. Lantas, menyebabkan si ibu mudah terdedah kepada penyakit. Jadi, ambillah sayur kailan untuk menolong membina sistem imunisasi badan anda.
#3 Menggalakkan pengeluaran susu
Sayur kailan amat baik dan digalakkan pemakanannya sewaktu hamil kerana ia mampu untuk membantu ibu menghasilkan susu yang banyak. Ini sudah tentu bermanfaat kepada ibu untuk menyusukan anak selepas lahir. Jika anda ingin menaikkan dan meningkatkan pengeluaran susu badan, sayur kailan adalah merupakan alternatif terbaik dan selamat bagi membantu pengeluaran susu badan anda.
#4 Menghalang sembelit
Sembelit dan wanita umpama berpisah tiada. Ini kerana ia merupakan keadaan yang biasa bagi wanita hamil untuk sembelit. Wanita hamil kerap mengalami sembelit disebabkan perubahan hormon. Sebab itulah, wanita hamil dinasihatkan untuk makan sayur kailan kerana ia membantu mengurangkan sembelit untuk wanita hamil. Sayur kailan tinggi dengan kandungan serat yang membantu melancarkan sembelit. Dengan pengambilan secara berterusan, bolehlah ibu-ibu menarik nafas lega kerana ia membantu anda melawan sembelit.
#5 Membantu menguat dan menyihatkan tulang ibu
Bukan sahaja kailan baik untuk pembentukan janin dalam rahim ibu, malah si ibu juga boleh mendapat manfaat apabila makan kailan kerana kandungan kalsiumnya. Kailan mengandungi kalsium yang dapat menyihatkan dan menguatkan tulang ibu.
Maklumlah apabila berbadan dua ini, sekaligus badan akan turut naik. Sebab itulah, adalah amat penting untuk anda mempunyai tulang yang kuat. Jika anda amalkan memakan kailan dan menjadikannya sebagai salah satu hidangan harian anda, tulang anda kekal kuat dan sihat.
#6 Baik untuk perkembangan sistem saraf
Asid folik juga turut terkandung dalam sayur kailan. Mengapa asid folik ini penting untuk ibu hamil? Ini kerana sepanjang kehamilan anda, asid folik membantu dalam menambahkan sel darah dan untuk menyokong perkembangan bayi anda. Untuk bayi pula, asid folik dan folat sangat membantu dalam perkembangan otak bayi dan saraf bayi.
Bukan sahaja boleh membantu ibu, malah ianya juga baik untuk tumbesaran bayi.
Jadi, apa tunggu lagi! Jom cuba masak kailan hari ini dan dapatkan manfaat kailan sebanyak mungkin. Selamat mencuba.
Sumber: Drhealthbenefits
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Elakkan Makan 5 Jenis Sayur-Sayuran Ini Secara BERLEBIHAN, Ia Bahaya Untuk Anda!