Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis warna najis bayi dan melaluinya anda dapat mengetahui tahap kesihatan dan perkembangan si manja anda. Malah, warna najis bayi yang minum susu ibu juga adalah berbeza dengan warna najis bayi minum susu formula.
Sebagai ibu ayah yang baru pertama kali, pasti akan tertanya-tanya apakah jenis tahi bayi dan warna najis yang normal dan sebaliknya.
Warna najis dan jenis tahi bayi normal
Jenis tahi bayi dan warna najis boleh berubah mengikut diet penyusuan, terutamanya pada tahun pertama kelahiran bayi.
Walaupun mempunyai pelbagai warna dan jenis tahi bayi, ibu dan ayah tidak perlu risau terutamanya jika bayi sihat, menyusu dengan baik, aktif dan membuang air kencing yang mencukupi.
Najis bayi yang normal bergantung kepada pemakanan mereka. Untuk bayi yang minum susu ibu si manja akan lebih kerap membuang air besar (tetapi berbeza dari beberapa kali sehari hingga sekali dalam tujuh hari), najis selalunya berwarna oren kekuningan, lembik, cair dan kurang berbau.
Manakala untuk bayi yang minum susu formula. mereka biasanya kurang membuang air besar ( satu atau dua kali sehari), warna najis bayi minum susu formula biasanya coklat kekuningan atau coklat, lebih pejal dan berbau lebih kuat berbanding bayi yang minum susu ibu.
Jenis tahi bayi
#1. Najis meconium
Bagi bayi yang baru lahir mereka seharusnya membuang air besar atau berak untuk pertama kali dalam tempoh 48 jam selepas tempoh kelahiran.
Warna najis hitam-kehijauan, melekit dan kelihatan seperti tar. Jenis tahi bayi ini dipanggil meconium dan ia mengandungi cecair amniotik, sel kulit, mukus dan bahan lain yang bayi cerna semasa berada di dalam rahim ibu.
#2. Najis peralihan
Apabila bayi mula minum susu ibu dan dicernakan, meconium akan diganti kepada najis yang berwarna hijau gelap atau coklat, melekit tapi beransur-ansur menjadi lembik.
Jenis tahi bayi peralihan ini biasanya terjadi sekitar 2 hingga lima hari selepas tempoh kelahiran bayi.
#3. Najis bayi menyusu susu ibu
Warna najis bayi normal yang menyusu badan lazimnya berbiji-biji seakan biji sawi, lembek dan berwarna seakan mustard cair, sedikit kehijauan atau coklat.
Bayi yang menyusu susu ibu biasanya membuang air besar sekitar tiga kali sehari atau berbeza mengikut bayi. Ia terjadi sekitar lima hari selepas kelahiran yang merupakan petanda si manja telah menyusu dengan baik.
#4. Najis bayi susu formula
Warna najis bayi minum susu formula biasanya menjadi kuning atau warna sawa matang dengan sedikit kehijauan.
Jenis tahi bayi adalah sedikit pejal berbanding dengan bayi menyusu badan,tetapi tidak pejal daripada mentega kacang.
Bayi yang minum susu formula kurang membuang air besar, saiz najis agak besar dan agak berbau berbanding dengan bayi yang minum susu ibu. Jenis tahi bayi ini biasanya terjadi sekitar dua minggu pertama selepas kelahiran.
#5. Najis bayi makan makanan pejal
Apabila bayi mula makan makanan pejal, warna najis mereka mungkin mempunyai pelbagai warna dan tekstur. Warna najis bayi biasanya warna coklat gelap atau warna najis coklat-kuning.
Jenis tahi bayi juga agak pejal atau lembek, mengandungi sedikit serpihan makanan bergantung kepada apa makanan yang dimakan oleh bayi dan najis mereka biasanya agak berbau.
Warna Najis & Tahap Kesihatan
#1. Najis Warna Putih
Jenis warna najis bayi putih adalah tidak normal dan ia mungkin petanda bahawa hati bayi anda tidak menghasilkan hempedu yang cukup untuk proses penghadaman. Ia adalah satu masalah yang serius dan harus dirujuk kepada doktor dengan segera.
Hempedu akan membuatkan jenis warna najis coklat secara semulajadi. Kekurangan hempedu ini mungkin disebabkan oleh penyakit seperti hepatitis.
Kadang kala, ia berpunca daripada sekatan oleh batu karang atau ketumbuhan pada saluran hempedu.
#2. Najis Warna Kelabu Keputihan
Jenis warna najis bayi kelabu dan seakan-akan bercampur kapur juga mungkin petanda bahawa bayi mengalami masalah hempedu.
Jenis najis ini sama seakan najis berwarna putih. Ia juga perlu dirujuk kepada doktor dengan segera. Sebaliknya jika najis warna kelabu gelap, ia mungkin terhasil daripada diet pemakanan dan adalah normal.
#3. Najis Warna Merah
Kehadiran darah merah di dalam najis bayi anda mungkin petanda bahawa bayi mengalami alergik makanan contohnya seperti alergik terhadap produk tenusu. Selain itu ia juga mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria dan perlu mendapat rawatan doktor dengan segera.
Tetapi lihat juga pemakanannya sebelum itu, kerana jika bayi makan buah naga berwarna merah, ada kemungkinan air kencing dan najisnya sedikit merah.
#4. Najis Warna Hijau Limau
Warna najis bayi hijau biasanya disebabkan oleh gangguan pencernaan. Salah satu puncanya adalah ketidakseimbangan dalam foremilk dan hindmilk.
Foremilk ialah susu pertama yang bayi anda dapat apabila mereka mula menyusu, dan mengandungi protein yang tinggi.
Selepas beberapa minit, bayi anda mengaktifkan susu belakang (hindmilk) yang mempunyai lebih banyak protein bersama dengan lebih banyak lemak dan Vitamin A dan E.
Oleh kerana foremilk mengandungi kurang lemak, bayi anda mungkin lebih lapar dan menyusu dengan lebih kerap jika tidak melekap selama 10 hingga 15 minit penuh. Masalah ini boleh dibaiki dengan memberikan bayi minum pada payudara yang sama dia minum pada sebelumnya.
Selain itu, warna najis bayi hijau ini juga mungkin disebabkan oleh terdapat virus/ bakteria di dalam perut bayi. Jika ini berlaku, najis bayi juga akan jadi berbuih atau berlendir.
Perut bayi juga kadangkala sensitif terhadap pemakanan ibu (selalunya produk tenusu). Menyingkirkan diet tertentu dari menu anda mungkin membantu mengatasi masalah ini.
#5. Najis Warna Hitam
Selepas melepasi tempoh najis meconium (najis pertama bayi sejurus kelahiran), jika najis bayi berwarna hitam ia mungkin disebabkan oleh perut/usus bayi anda yang terluka. Lihat najis dibawah lampu yang terang dan sekiranya najis berwarna hitam dan bukannya najis warna hijau pekat segeralah rujuk kepada doktor.
Tetapi sekiranya anda menyusukan bayi dan puting anda melecet dan berdarah, ia mungkin akan menyebabkan najis bayi terdapat bintik hitam kecil dan ia adalah normal. Ia adalah hasil daripada bayi mencerna sedikit darah anda dan tidak berbahaya.
Cara Memastikan Najis Bayi Normal
#1. Kekerapan
Bayi minum susu ibu cenderung untuk membuang air besar dengan lebih kerap pada hari-hari awal selepas kelahiran, tetapi bayi yang disusukan juga boleh mengalami najis yang jarang. Jika bayi yang baru lahir tidak mengalami kesukaran semasa membuang air besar, tidak menyakitkan, dan najis mereka lembut ia adalah bagus dan normal.
#2. Jumlah
Jumlah najis yang keluar juga berubah secara meluas. Biasanya bayi yang baru lahir kerap membuang air besar dan akan berkurang seiring pertambahan usia mereka. Untuk bayi yang baru lahir, jumlah najis biasanya dikaitkan secara langsung dengan jumlah susu ibu atau formula yang diambil oleh bayi.
Apabila semakin meningkat usia bayi akan mula membuang sekali atau dua kali dalam sehari. Jika bayi membesar dengan baik, perut tidak menonjol, tidak mempunyai masalah untuk makan, dan berkembang secara normal, maka semuanya baik-baik saja.
Walau bagaimanapun, terdapat gangguan yang jarang berlaku yang boleh mengurangkan atau bahkan menghalang laluan normal najis. Jika selepas kelahiran pengeluaran najis pertama bayi yang sangat lambat boleh menunjukkan beberapa masalah perubatan. Sekiranya ini berlaku, pastikan anda bertanya kepada doktor bayi anda mengenainya.
#3. Warna
Sekiranya najis bayi anda bukan warna merah, putih atau hitam ianya adalah normal. Najis bayi berwarna merah mungkin menandakan bahawa bayi anda mengalami alahan terhadap protien susu, masalah pendarahan pada dubur atau bayi mengalami buasir.
Najis berwarna putih atau najis kelihatan berkapur, menunjukkan bayi mengalami masalah pada hati dan tidak menghasilkan hempedu yang mencukupi untuk proses penghadaman.
Manakala najis warna hitam selepas tempoh najis meconium, menunjukkan darah yang lebih tua, seperti pendarahan dari esofagus atau bahkan darah yang ditelan dari puting ibu yang melecet semasa proses penyusuan.
#4. Tekstur
Bayi yang minum susu ibu najis meraka biasanya lebih lembik berbanding bayi yang minum susu formula. Apabila bayi mencapai usia 6 bulan dan mula makan, najis mereka akan menjadi lebih pejal dan kadangkala terdapat serpihan kecil makanan yang dimakan.
Sekiranya najis bayi terlalu cair, berbuih atau berlendir ini mungkin disebabakan oleh bayi mengalami masalah jangkitan, alergik atau makanan tidak dihadam dengan baik.
Manakala jika najis bayi terlalu kering dan berbiji-biji seperti najis arnab/kambing ini mungkin petanda bayi anda terkena sembelit.
#5. Bau
Bayi yang baru lahir biasanya najis mereka kurang berbau. Begitu juga dengan bayi yang minum susu ibu najis mereka kurang berbau berbanding dengan bayi yang minum susu formula. Apabila bayi mula makan makanan pejal najis mereka akan mula berbau lagi kuat seakan-akan najis orang dewasa.
Namun dalam sesetengah kes, najis yang sangat berbau busuk mungkin merupakan petunjuk penyerapan nutrien yang tidak mencukupi. Tetapi jika bayi membesar dengan baik dan warna najis dan konsistensi atau tekstur najis bayi adalah normal, maka ini mungkin normal.
Bila Patut Risau
Jika anda melihat najis bayi anda seperti ini sila bawa mereka berjumpa dengan doktor:
#1. Najis Berair
Pada awal kelahiran adalah normal sekirannya najis bayi anda agak cair. Apa yang tidak normal ialah apabila ia keluar hijau atau kuning terang. Ia mungkin petanda bayi anda mengalami cirit birit dan harus dirawat dengan segera. Sekiranya cirit-birit tidak dirawat, ia boleh menyebabkan bayi mengalami dehidrasi dan boleh membahayakan kesihatan bayi.
#2. Najis Warna Merah
Jika bayi tidak makan sebarang makanan yang berwarna merah tetapi masih menghasilkan najis yang berwarna merah atau terdapat sedikit kehadiran darah dalam najis bayi, ia mungkin disebabkan oleh bayi mengalami alergik terhadap produk tenusu atau pendarahan rektum.
#3. Lendir Dalam Najis
Jika najis bayi mengandungi lendir dan ada jaluran yang berwarna kehijauan, ia mungkin disebabkan oleh jangkitan atau bayi anda alah terhadap sesuatu makanan.
#4. Najis Warna Putih atau Najis Warna Kelabu Keputihan
Ia petanda bahawa hati bayi tidak menghasilkan hempedu yang cukup untuk proses pencernaan.
#5. Najis Berbuih
Jika najis bayi kelihatan berbuih, ini menunjukkan bayi mengalami gangguan pencernaan kerana tidak mendapat bekalan hindmilk yang mencukupi. Susu yang yang keluar semasa awal proses menyusu (foremilk) mengandungi kalori yang rendah, manakala hindmilk susu yang akhir keluar mengandungi lebih banyak nutrisi yang diperlukan oleh bayi.
#6. Bau Najis Sangat Busuk
Jika bayi hanya minum susu ibu yang masih belum makan makanan pejal berbau sangat busuk, ia mungkin disebabkan oleh bayi mengalami jangkitan.
#7. Najis Yang Sangat Cair
Jika najis bayi terlalu cair dan merembes keluar dari lampin, ia mungkin disebabkan oleh bayi mengalami alergik, jangkitan usus, cirit-birit ataupun mengalami jangkitan rotavirus.
#8. Muka Bayi Meneran Dengan Sukar
Jika bayi kelihatan agak sukar semasa proses membuang air besar atau bayi menangis, bayi anda mungkin mengalami sembelit atau mengalami masalah kolik.
#9. Najis Kelihatan Seperti Batu Kerikil
Jika najis bayi sangat kering, kelihatan seperti batu kerikil atau najis arnab/kambing ia mungkin menunjukkan bahawa bayi anda mengalami masalah sembelit.
Sekiranya tidak dirawat najis bayi juga mungkin akan mengandungi sedikit darah kerana dubur/rektum bayi yang terluka semasa proses membuang air besar. Menyusu dengan kerap atau tingkatkan pengambilan cecair mungkin boleh membantu mengatasi masalah ini.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kenali Warna Najis Bayi Dari Umur 0 Hingga 6 Bulan, Ia Beri Gambaran Tahap Kesihatan Si Manja
Baca juga: Najis Bayi – Apa Yang Normal & Apa Yang Tidak Normal?
Baca juga: Warna Najis Bayi Berlendir Kuning, Adakah Ia Normal Atau Perlukah Ibu Risau?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!