Hamil kosong atau dipanggil sebagai blighted ovum adalah keadaan di mana embrio tidak dapat berkembang atau berhenti berkembang di dalam kantung. Ia juga dikenali sebagai kehamilan anembryonik dan penyebab hamil kosong ini masih tidak dapat diketahui dengan jelas¹.
Masalah ini mungkin disebabkan oleh berlakunya kelainan pada kromosom pada telur yang disenyawakan.
Penyebab hamil kosong yang terjadi pada sesetengah ibu
credit to sources
Hamil kosong biasanya berlaku ketika anda berada pada awal kehamilan, bahkan mungkin ada sesetengah ibu tidak menyedari diri mereka hamil. Walau bagaimanapun anda mungkin menyedari kehamilan awal disebabkan oleh haid datang lewat atau menggunakan alat ujian kehamilan.
Ujian kehamilan mungkin positif kerana embrio menghasilkan hormon kehamilan (human chorionic gonadotropin (HCG).
Menurut Miscarriage Association, penyebab hamil kosong adalah keadaan di mana berlakunya perkembangan awal janin seperti kerosakan kromosom. Manakala buku National Center for Biotechnology Information mengatakan penyebab umum masalah ini adalah faktor genetik².
Buku tersebut turut menyenaraikan beberapa penyebab hamil kosong yang lain iaitu:
- Penyebab hamil kosong disebabkan oleh hormon
- Jangkitan pada saluran reproduksi
- Pengambilan ubat dan vaksin
- Gangguan endokrin
- Fragmentasi DNA sperma (kerosakan DNA)
- Status gizi atau Body Mass Index (BMI) yang berkaitan dengan obesiti
- Pengambilan alkohol
Penyebab hamil kosong ini juga disebabkan oleh masalah berkaitan dengan genetik dari sperma atau sel telur kurang berkualiti. Selain itu ia terjadi kerana berlakunya ketidaknormalan pada sel sehingga berlakunya keguguran.
Dr Yvonne Butler Tobah dari Mayo Clinic menjelaskan tekanan yang dialami oleh ibu mengandung boleh mempengaruhi kehamilan secara keseluruhannya. Namun tiada bukti bahawa ia boleh menjadi penyebab hamil kosong dan keguguran.
Lebih kurang 10 hingga 20 peratus kehamilan berakhir dengan keguguran. Angka ini lebih tinggi kerana kebanyakan wanita tidak menyedari dirinya sedang mengandung. Justeru sekiranya anda berdepan tekanan, segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan secara lebih awal.
Gejala atau ciri-ciri hamil kosong
Perkembangan embrio yang gagal terjadi di dalam rahim berisiko menyebabkan masalah keguguran. Ada beberapa gejala atau ciri-ciri hamil kosong yang perlu anda waspada. Antaranya:
#1. Hamil kosong tetapi tiada pendarahan
Penyebab hamil kosong tetapi tidak berlaku sebarang pendarahan boleh menyebabkan kesukaran untuk anda mengesan masalah ini. Namun melakukan USG menjadi salah satu cara terbaik untuk membantu anda mengetahui keadaan kandungan secara terperinci dan mengesan sekiranya berlaku kehamilan kosong³.
Justeru ibu mengandung disaran untuk melakukan pemeriksaan USG kandungan secara rutin bagi memastikan kehamilan anda sihat ataupun sebaliknya.
#2. Tahap hCG yang lebih rendah
credit to sources
Apabila ibu melakukan ujian darah dan hasilnya menunjukkan tahap hormon hCG lebih rendah dari hormon kehamilan sekitar 6 hingga ke-8 minggu, ia berkemungkinan tanda-tanda hamil kosong.
#3. Kekejangan perut
Kekejangan perut sememangnya dirasai ketika anda berada pada awal kehamilan. Sekiranya disertai dengan rasa sakit yang melampau, adalah lebih baik anda melakukan pemeriksaan dengan doktor.
Kekejangan perut ketika mengandung juga mungkin tanda berlakunya komplikasi kehamilan seperti hamil luar rahim (ektopik).
#4. Hilang rasa sakit pada payudara
Biasanya gejala kehamilan boleh menyebabkan ibu rasa sakit atau kurang selesa pada bahagian payudara. Jika anda sudah tidak merasainya, ia boleh menjadi tanda-tanda hamil kosong kerana embrio sudah tidak lagi berkembang.
#5. Gejala mual dan muntah hilang
Seiring dengan pertambahan usia kandungan, biasanya ibu akan berdepan morning sickness seperti mual dan muntah disebabkan oleh perubahan hormon dalam badan. Namun jika kehamilan kosong, anda mungkin menyedari ia mula berkurang, bahkan terus menghilang secara tiba-tiba.
Tips untuk menghindari kesalahan diagnosis hamil kosong
Sebahagian besar kes keguguran dikenal pasti melalui beberapa gejala. Namun apabila berkaitan dengan hamil kosong, hanya sedikit sahaja risiko wanita berdepan kesalahan ketika didiagnosis.
Mereka yang salah didiagnosis mengenai masalah kehamilan kosong ini biasanya disebabkan oleh terlalu awal melakukan pemeriksaan kehamilan iaitu usia kandungan lapan minggu.
Pada mulanya janin yang berkembang dapat dilihat melalui imbasan transvaginal sekitar 5 hingga 6 minggu kehamilan dan ultrasound perut selewat-lewatnya 6 hingga 7 minggu.
Sekiranya hasil pemeriksaan ini menunjukkan berlaku ketidaknormalan pada janin seperti tidak berkembang atau tiada degupan jantung, anda berkemungkinan hamil kosong.
Berikut petua bagi mengelakkan salah diagnosis hamil kosong4:
- Tunggu sehingga kehamilan memasuki minggu ke-11 atau 12 untuk melakukan imbasan. (Jika anda mengalami tanda-tanda komplikasi seperti rasa sakit pada perut atau jangkitan, ultrasound perlu dilakukan lebih awal)
- Jangan cemas dengan tahap hCG. Ia sebenarnya boleh meningkat walaupun dengan kantung kosong
- Elakkan terlalu banyak membaca mengenai Gejala Kehamilan. Ada kalanya bahan bacaan dalam talian yang mengatakan seseorang yang hilang gejala kehamilan menjadi petanda masalah besar terhadap janin atau keguguran. Ia tidak semestinya benar sehinggalah disahkan oleh pakar
- Dapatkan pendapat yang kedua. Pastikan anda tidak hanya mempercayai pada seorang doktor sahaja mengenai keadaan kehamilan. Dapatkan doktor dari klinik berlainan jika anda berasa tidak yakin dengan pemeriksaan yang dilakukan bagi memastikan tidak tersalah didiagnosis sebagai hamil kosong.
Risiko hamil kosong terhadap kesihatan wanita
credit to sources
Hamil dengan kantung kosong boleh memberikan kesan seperti berikut:
#1. Berisiko mengalami keguguran
Pada trimester pertama, hampir 50 peratus kes kehamilan kosong berupaya menyebabkan keguguran secara spontan. Ia biasanya dimulai dengan gejala ringan seperti rasa sakit pada bahagian perut sehinggalah keluarnya pendarahan5.
Walaupun ini adalah reaksi normal dari badan, anda masih perlu melalui rawatan pasca keguguran berlaku agar tiada komplikasi lebih lanjut.
#2. Ibu berupaya terkena jangkitan
Keguguran yang berlaku secara spontan mengakibatkan pendarahan teruk sehingga memicu terjadinya jangkitan pada kawasan rahim dan vagina. Keadaan ini boleh bertambah serius sekiranya pembersihan tidak dilakukan dengan baik.
Bagi ibu yang tidak berjumpa doktor untuk rawatan lanjut, jangkitan pada saluran kencing boleh mengganggu aktiviti seharian.
#3. Sisa tertinggal dalam rahim
Kehamilan kosong tanpa rawatan perubatan boleh meninggalkan kotoran dalam rahim. Keadaan ini adalah sangat berbahaya kerana boleh mencetuskan gejala seperti demam, gumpalan darah, vagina berbau dan sakit di bawah perut yang kuat.
Risiko untuk jangka masa panjang pula boleh menganggu kesihatan organ reproduksi, kitaran haid sehingga menjejaskan peluang untuk hamil yang seterusnya.
Diagnosis dan pengobatan hamil kosong
Kebanyakan wanita yang mengalami kehamilan kosong akan menganggap diri mereka sedang mengandung sehinggalah tanda-tanda hamil kosong muncul.
Dalam hal ini ujian kehamilan biasa tidak mampu untuk mengesahkan anda mengalami hamil kosong. Justeru doktor akan memilih menggunakan ultrasound bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat.
Disebabkan oleh masalah ini kerap berakhir dengan keguguran spontan sekitar lapan hingga 13 minggu kehamilan, kadar hormon kehamilan dalam tubuh masih tetap tinggi sehinggalah beberapa waktu janin berhenti berkembang6.
Setelah disahkan kantung kandungan anda kosong, langkah selanjutnya yang dilakukan oleh doktor adalah pengobatan seperti:
- Menunggu sehingga tanda-tanda keguguran muncul secara semulajadi. Setelah menyedari janin dalam kandungan tidak berkembang, doktor mungkin memberikan masa satu atau dua minggu lagi untuk melihat keberadaan janin dalam kantung rahim
- Pengambilan ubat-ubatan. Antara ubat yang membantu memudahkan proses keguguran ialah Misoprostol (Cytotec). Anda mungkin mengalami rasa sakit atau kekejangan pada bahagian perut
- Prosedur Dilation and Curettage (D&C). Ia adalah cara membuka serviks dan mengangkat kantung kehamilan yang kosong dari dalam rahim.
Persiapan untuk hamil lagi
Kehamilan kosong biasanya terjadi satu kali pada wanita dan sangat jarang jika wanita mengalami lebih dari sekali.
Dalam sesetengah kes, ia mungkin berulang lagi. Kebanyakan doktor menyarankan anda dan pasangan untuk menunggu satu hingga tiga kitaran haid sebelum merancang untuk kehamilan seterusnya.
Justeru ada beberapa persiapan yang perlu dilakukan iaitu:
#1. Persiapan mental
Adalah normal untuk anda berasa risau dan tidak yakin untuk melalui kehamilan buat kali yang seterusnya. Kehilangan janin dalam kandungan semenangnya memberikan kesan yang hebat terhadap mental dan emosi.
1 dari 5 wanita mengalami kesihatan mental seperti kegelisahan dan kemurungan selepas keguguran. Sekiranya anda bergelut dengan perasaan negatif, luahkanlah pada pasangan, ahli keluarga atau doktor untuk dapatkan sokongan7.
#2. Persiapan fizikal
Kajian yang dilakukan oleh National Institute of Health melibatkan 1,000 orang wanita mendapati bahawa 70 peratus mereka berjaya mengandung dalam masa tiga bulan keguguran berbanding dengan 51 peratus wanita mengandung tanpa keguguran.
Lebih banyak maklumat diperlukan, namun kajian menunjukkan bahawa anda dan pasangan tidak perlu menunggu lama untuk memiliki cahaya mata setelah keguguran.
Apa yang penting, pastikan tubuh anda benar-benar sihat untuk mencuba hamil lagi.
- Tips untuk penjagaan badan
Sebenarnya ramai tidak menyedari dan mengambil tahu akan pentingnya penjagaan diri selepas mengalami keguguran. Dalam proses pemulihan badan, tempoh berpantang keguguran adalah sama seperti orang bersalin iaitu 44 hari.
Namun disebabkan ramai ibu bekerja pada hari ini memperoleh cuti rehat dari pihak hospital 14 hari, ambillah peluang ini untuk berpantang dengan betul. Kurangkan pergerakan yang terlalu aktif dan mengangkat berat terutamanya dalam tempoh sebulan selepas keguguran.
Anda juga dinasihatkan untuk memakai bengkung, berurut, bertungku dan sebagainya bagi mengembalikan semula kesegaran tubuh.
Selepas mengalami keguguran, adalah penting untuk memastikan tubuh memperoleh makanan yang tinggi dengan zat besi atau supplemen zat besi bagi mengatasi kehilangan darah yang telah terjadi.
Pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan atau supplemen selepas hamil kosong.
- Makanan berpantang wajib atau tidak
Tiada makanan berpantang yang wajib dan khusus selepas keguguran. Apa yang pasti, tubuh ibu memerlukan protein mencukupi untuk menghasilkan sel-sel darah baru seperti ikan, ayam, kekacang dan daging lembu.
Selain itu pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium adalah sangat digalakkan seperti produk tenusu, soya, ikan salmon, sardin dan buah-buahan kering.
Ibu juga hendaklah memastikan dalam pinggan makanan harian turut mengandungi sayur dan buah berwarna hijau, merah dan oren agar tubuh memperoleh vitamin dan mineral untuk membantu proses pemulihan tubuh.
Walau bagaimanapun ada beberapa makanan yang anda perlu elakkan selepas keguguran8:
#1. Makanan rendah serat seperti mee segera dan pretzel boleh memberikan kesan buruk terhadap tahap gula dalam badan dengan cepat.
#2. Makanan ringan dan daging mentah
#3. Makanan tinggi lemak
Cara mencegah kehamilan kosong
Sebahagian besar kes, kehamilan kosong tidak dapat dicegah. Namun pemeriksaan rutin dengan doktor mengikut jadual sepanjang kehamilan adalah cara terbaik untuk memantau keadaan ibu dan janin.
Beberapa ujian dapat dilakukan untuk mengetahui sekiranya terdapat faktor yang meningkatkan risiko terjadinya hamil kosong iaitu analisis sperma, ujian hormon perangsang folikel atau anti-mullerian dan pemeriksaan genetik pra-implantasi (PGT) bagi memeriksa genetik embrio sebelum terjadinya implantasi ke dalam rahim.
Bagi lelaki, adalah penting untuk menjaga kualiti sperma dengan mengambil makanan sihat, hindari rokok, ubat-ubatan dan alkohol.
Manakala bakal ibu hendaklah perbaiki sel telur dengan mengambil asid folik 3 bulan sebelum merancang kehamilan9. Selain itu kurangkan minuman berkafein, sentiasa menjaga berat badan supaya kekal ideal dan kurangkan makanan tinggi lemak.
Hamil 1-36 minggu apa yang dirasakan
Setiap perjalanan kehamilan adalah berbeza bagi setiap ibu. Ada kalanya ada berdepan pengalaman menyeronokkan dan ada juga meletihkan.
Justeru adalah penting untuk anda peka terhadap tanda-tanda kehamilan mengikut minggu agar dapat menjangka perkara yang seterusnya10.
Minggu 1 hingga 4
Ketika ini untuk mengetahui tarikh bersalin yang tepat adalah sukar memandangkan perut belum membesar setelah munculnya tanda-tanda awal kehamilan seperti muntah, pening kepala dan hilang selera makan.
Biasanya permulaan kehamilan dikira dari hari pertama tempoh haid terakhir anda. Pada ketika ini kandungan anda hanyalah sel-sel yang berkembang bagi membentuk embrio.
Minggu 5 hingga 8
Pada minggu ini, anda mungkin merasai tanda kehamilan seperti rasa sakit pada payudara, mual dan membuang air kecil lebih kerap.
Embrio juga mula membentuk menjadi organ, tulang, otot, otak dan jantung. Ketika ini juga tali pusat terbentuk dan saiz kandungan lebih kecil daripada sebiji kacang.
Minggu 9 hingga 12
Menjelang akhir trimester pertama, ibu berasa payudara dan perut lebih besar sedikit. Anda tidak bertambah gemuk, namun janin mula semakin membesar secara perlahan-lahan. Ada kalanya anda dilanda rasa muram dan emosi lebih sensitif.
Seterusnya janin akan membentuk kuku kaki dan gigi. Bahagian tubuhnya akan sedikit panjang serta mempunyai pergerakan meskipun ibu tidak dapat merasainya.
Minggu 13 hingga 16
Ketika inilah bermulanya keseronokan menjadi ibu mengandung. Hal ini kerana tanda-tanda kehamilan seperti letih dan loya sudah mula menghilang. Selain itu bahagian perut anda mula berkembang serta kehamilan kelihatan lebih jelas.
Untuk dapatkan tidur yang lebih berkualiti, mulakan belajar tidur secara mengiring dan senaman ringan supaya peredaran darah lebih baik
Minggu 17 hingga 20
Badan anda kini sedang mengalami proses kehamilan. Jangan risau sekiranya anda mendapati berat badan bertambah. Anda juga dapat merasai pergerakan bayi yang halus serta kesakitan seperti sakit belakang, pening, pedih ulu hati, sembelit, kekejangan pada bahagian kaki.
Ketika ini juga anda dapat mengetahui jantina bayi sama ada lelaki atau perempuan melalui pemeriksaan ultrabunyi.
Minggu 21 hingga 25
Pada minggu ini berat badan anda akan sedikit bertambah. Ini bermakna anda tidak boleh melakukan aktiviti seperti goyang dan menari yang kuat.
Namun tidak bermakna langsung tidak boleh bersenam. Bincang dengan pakar kesihatan terlebih dahulu untuk kekal aktif sepanjang kehamilan.
Minggu 26 hingga 30
Pada peringkat ini ibu mungkin merasakan sakit pada tulang rusuk senak dan sedikit pedih ulu hati. Bukan itu sahaja masalah normal yang dihadapi kebanyakan ibu adalah kekejangan kaki, bengkak pergelangan kaki, sesak nafas dan pergerakan menjadi sedikit terbatas.
Justeru pastikan anda tidak melakukan pekerjaan berat serta tinggikan kedudukan kaki sewaktu tidur bagi mengelakkan kaki menjadi bengkak.
Minggu 31 hingga 34
Melalui trimester ketiga kehamilan mungkin menyebabkan keletihan. Anda juga berasa kurang selesa kerana ketika ini perut semakin membesar. Pastikan anda memperoleh rehat dengan secukupnya dan memaksa diri melakukan sebarang pekerjaan.
Sekiranya perlu, jangan malu untuk meminta bantuan daripada pasangan untuk melakukan kerja-kerja rumah yang berat.
Minggu 35 dan ke atas
Kini anda sedang menghampiri garisan penamat. Pastinya perasaan teruja dan lebih bersedia untuk melalui proses kelahiran kelak.
Anda juga mungkin berdepan dengan kontraksi palsu, kerap kencing, sukar untuk tidur dan merasai pergerakan bayi yang lebih aktif terutamanya pada waktu malam.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber:
- Mayo Clinic. (2019, August 15). What causes a blighted ovum? What symptoms can I expect? Mayo Clinic.www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pregnancy-loss-miscarriage/expert-answers/blighted-ovum/faq-20057783
- Khalid Chaudhry, Dawood Tafti & Marco A.Siccardi. (2021, August 11). Anembryonic Pregnancy.
-
Sehat Q. (2019, July 9). Hamil Kosong Tapi Tidak Pendarahan, Mengapa Bisa Terjadi? Sehat Q. www.sehatq.com/artikel/hamil-kosong-tapi-tidak-pendarahan-mengapa-bisa
-
Newborn Baby. (n.d.). Blighted Ovum. Newborn Baby. newbornbaby.com.au/pregnancy-category/pregnancy-complications/blighted-ovum/
-
Buka Review. (2018, Disember 21). Mengalami Kehamilan Kosong? Ini Bahaya yang Timbul Jika Didiamkan Begitu Saja. Buka Review. review.bukalapak.com/mom/mengalami-kehamilan-kosong-ini-bahaya-yang-timbul-jika-didiamkan-begitu-saja-88096
-
Miscarriage Association. (n.d.). Blighted Ovum (Anembryonic Pregnancy). Miscarriage Association. www.miscarriageassociation.org.uk/information/miscarriage/blighted-ovum-anembryonic-pregnancy/
-
Tommy’s Together, For Every Baby. (n.d.). Trying Again After A Miscarriage. Tommy’s Together, For Every Baby. www.tommys.org/baby-loss-support/miscarriage-information-and-support/trying-again-after-miscarriage
-
Mom Junction. (2021, June 8). What To Eat & Avoid After A Miscarriage? Mom Junction. www.momjunction.com/articles/what-to-eat-and-avoid-after-a-miscarriage_00349796/
-
Kompas.com. (2020, Mac 1). Blighted Ovum (Hamil Kosong): Gejala, Penyebab dan Cara Mengatasi. Kompas.com. health.kompas.com/read/2020/03/01/150200568/blighted-ovum-hamil-kosong-gejala-penyebab-dan-cara-mengatasi?page=all
-
Start Well Nestle. (2021, February 19). Tanda-Tanda Kehamilan Minggu ke Minggu: Minggu 1-12. Start Well Nestle. www.startwell.nestle.com.my/ms/tanda-tanda-kehamilan-minggu-ke-minggu-minggu-1-12
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: UPT Positif, Tetapi Bila Scan Kantung Kosong, Kenapa? 9 Tanda Kehamilan Kosong Anda Patut Tahu!
Baca juga: Kelainan Dalam Kehamilan Boleh Bahayakan Nyawa Ibu & Janin, Waspada 5 Perkara Ini!
Baca juga: Makanan Untuk Ibu Hamil Kekal Sihat & Cergas Sepanjang Kehamilan!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!