Pernah tak tiba-tiba rasa sakit belakang, terutamanya bila bangun pagi atau lepas buat kerja rumah yang banyak? Jadi, apa punca sakit belakang bagi wanita yang lebih berisiko mengalaminya berbanding dengan lelaki?
Punca Sakit Belakang Bagi Wanita
Salah satu punca sakit belakang bagi wanita adalah disebabkan usia semakin meningkat. Ia bukan sahaja mengganggu rutin harian, malah boleh menjejaskan kualiti hidup secara keseluruhan.
Antara punca sakit belakang bagi wanita yang ramai tak sedar adalah:
1. Disfungsi Sendi Sacroiliac
Sendi sacroiliac (SI) menghubungkan bahagian bawah tulang belakang ke pelvis. Pada wanita, saiz permukaan sendi ini lebih kecil berbanding lelaki menyebabkan tekanan lebih tinggi dan mudah terjejas.
Struktur tulang belakang wanita juga cenderung lebih lebar, kurang melengkung dan condong ke belakang menjadikannya lebih berisiko mengalami disfungsi sendi SI.
Antara gejala yang boleh berlaku:
- Sakit di bahagian pinggang bawah
- Rasa nyeri atau mencucuk di atas punggung
- Sakit menjalar ke paha bawah (tetapi tidak melepasi lutut)
- Bertambah sakit ketika duduk, tidur mengiring di sebelah terjejas, atau menaiki tangga
2. Sindrom Piriformis
Sindrom ini berlaku apabila otot piriformis (terletak jauh dalam punggung) mengecut atau kejang menyebabkan tekanan pada saraf sciatic.
Wanita lebih terdedah kepada masalah ini akibat perubahan hormon dan struktur pelvis ketika hamil.
Tanda-tanda yang biasa dialami:
- Sakit berpanjangan di bahagian punggung dan pinggul
- Rasa sakit yang bertambah bila menggerakkan pinggul atau bangun dari katil
- Sukar duduk lama
- Sakit menjalar ke belakang paha dan kaki
- Rasa lega bila baring terlentang
3. Osteoartritis Tulang Belakang
Osteoartritis berlaku apabila rawan pada sendi facet (yang menghubungkan vertebra) semakin haus dan hilang fungsi pelindung.
Bila ini berlaku, tulang bergesel dan menyebabkan sakit belakang yang mengganggu.
Gejala yang biasa dialami termasuk:
- Sakit di bahagian atas atau bawah belakang, punggung atau paha
- Rasa kebas dan sakit belakang terutama pada waktu pagi
- Sakit menjadi lebih teruk apabila badan mengalami tekanan
- Rasa lega sedikit bila membongkok ke depan
4. Spondylolisthesis Degeneratif
Masalah ini berlaku apabila salah satu tulang belakang tergelincir ke depan akibat kemerosotan cakera dan ligamen.
Ia lebih kerap terjadi pada wanita selepas menopaus kerana paras estrogen yang menurun.
Paras estrogen rendah boleh melemahkan struktur tulang belakang menyebabkan ketidakstabilan dan rasa sakit yang ketara.
Simptom yang mungkin timbul:
- Sakit belakang bawah dan rasa nyeri menjalar ke kaki
- Rasa sakit semasa berjalan, terutama jika saraf tunjang terhimpit
- Kesakitan berkurang apabila membongkok ke hadapan
5. Coccydynia
Tulang ekor terletak di hujung tulang belakang dan berfungsi menyokong tubuh semasa duduk. Kecederaan pada bahagian ini terutama selepas bersalin boleh menyebabkan sakit yang menyucuk.
Antara situasi yang mencetuskan kesakitan:
- Duduk lama atau di permukaan keras
- Menyandar belakang semasa duduk
- Bangun dari posisi duduk
- Rasa sakit berkurang apabila berdiri, dan kadangkala perlu duduk condong ke depan atau pada sebelah punggung untuk rasa lebih selesa
6. Retak Tulang Belakang Akibat Osteoporosis
Osteoporosis berlaku apabila tulang menjadi rapuh akibat kehilangan ketumpatan menjadikannya mudah retak walaupun hanya dari tekanan ringan.
Keretakan mampatan pada tulang belakang akibat osteoporosis sering berlaku tanpa disedari dan boleh menyebabkan sakit belakang yang berpanjangan.
Tanda-tanda yang mungkin menunjukkan masalah ini:
- Sakit belakang yang datang secara tiba-tiba
- Kehilangan ketinggian
- Bongkok di bahagian atas belakang (kyphosis)
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Jika anda mengalami punca sakit belakang bagi wanita yang tidak reda selepas beberapa minggu atau semakin teruk sehingga mengganggu rutin harian, sebaiknya berjumpa dengan doktor.
Pemeriksaan lanjut dapat membantu menentukan punca sebenar dan rawatan yang sesuai. Ingat ya, jangan abaikan sakit belakang. Walaupun nampak biasa, ia mungkin tanda awal kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sakit Tapak Kaki, Punca, Rawatan & Cara Berkesan Mengatasinya Dengan Senaman Yang Mudah
Baca juga: Rahim Jatuh Selepas Bersalin, Kenali Tanda, Punca Dan Cara Rawatan Untuk Rahim
Baca juga: Beza Selulit Dan Stretch Mark: Punca Dan 10 Cara Menanganinya Semasa Hamil Atau Selepas Bersalin
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!