Pernah rasa segan nak buka kasut sebab kulit kaki kering dan bersisik? Masalah ini biasanya berlaku apabila terlalu lama pakai kasut tertutup atau tidak menjaga kelembapan kulit dengan betul.
Kalau dibiarkan, bukan saja rasa tak selesa, malah boleh mengganggu keyakinan diri. Tapi jangan risau, ada cara mudah untuk atasinya.
Apa Itu Kulit Kaki Kering dan Bersisik
Menurut Medical News Today, kulit kering atau dalam istilah perubatannya, xerosis, boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh termasuk kaki.
Ia berlaku apabila lapisan kulit kehilangan kelembapan dan tidak dapat mengekalkan hidrasi yang mencukupi.
Kulit kaki lebih cenderung untuk menjadi kering kerana kawasan ini kurang kelenjar minyak berbanding bahagian lain seperti muka atau tangan.
Bila kulit kehilangan kelembapan, ia akan mula jadi kasar, merekah, menggelupas dan terasa gatal.
Punca Kulit Kaki Kering Dan Bersisik
Masalah kulit kaki kering dan bersisik mungkin nampak remeh, tapi jika dibiarkan boleh jadi lebih serius. Ia boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk:
1. Masalah Kulit Tertentu
Kondisi seperti ekzema, psoriasis, dermatitis, diabetes atau gangguan tiroid boleh menyebabkan kulit kaki menjadi sangat kering dan mudah teriritasi.
2. Produk Penjagaan Kulit Yang Tidak Sesuai
Sabun atau losyen yang mengandungi bahan kimia keras seperti alkohol atau pewangi boleh menyebabkan kulit mengering.
Pilih bahan semula jadi, elakkan pencetus iritasi dan beri perhatian pada tanda awal perubahan kulit.
3. Pakai Kasut Tertutup Terlalu Lama
Kasut jenis ini menjerat haba dan peluh. Bila kaki terlalu panas atau lembap, kulit mudah rosak dan kehilangan kelembapan.
4. Perubahan Cuaca Ekstrem
Suhu terlalu panas atau sejuk boleh mengganggu keseimbangan kelembapan semula jadi kulit, terutama di bahagian kaki.
5. Berat Badan Berlebihan
Tekanan berlebihan pada kaki akibat berat badan boleh menyebabkan kulit merekah dan mudah rosak.
6. Proses Penuaan
Semakin meningkat usia, kulit akan kehilangan keanjalan dan kelembapan secara semula jadi, menyebabkan kulit kaki menjadi kering dan kasar.
Kesan Bila Kulit Kaki Kering Tak Dirawat
Kalau dibiarkan, kulit kering akan menjadi semakin merekah dan terasa gatal. Anda mungkin kerap menggaru tanpa sedar dan ini boleh menyebabkan:
- Kulit luka dan berdarah
- Risiko jangkitan bakteria
- Iritasi berpanjangan
- Rasa pedih bila pakai kasut
Cara Merawat Kulit Kaki Kering Di Rumah
Untuk merawat dan mencegah masalah kulit kaki kering, kenal pasti puncanya dahulu. Jika simptom berpanjangan atau semakin teruk, dapatkan nasihat doktor atau pakar kulit. Namun, anda juga boleh mencuba beberapa langkah mudah ini di rumah:
1. Eksfoliasi (pengelupasan) Kulit Mati
Buang sel kulit mati dengan menggunakan skrub semula jadi seperti:
- Gula + madu
- Garam + minyak zaitun
- Skrub kaki komersial bebas bahan kimia
Lakukan 2-3 kali seminggu untuk bantu melembutkan kulit dan mengalakkan pertumbuhan kulit baharu.
2. Rendam Kaki Dalam Air Suam
Rendamkan kaki dalam air suam selama 10-15 minit untuk:
- Melembutkan kulit
- Melancarkan aliran darah
- Mengurangkan rasa tegang pada kaki
Anda juga boleh tambah sedikit garam Epsom atau minyak pati seperti lavender untuk kesan relaksasi.
3. Gunakan Pelembap Kaki Yang Sesuai
Pilih pelembap kaki yang:
- Bebas alkohol dan pewangi
- Mengandungi bahan semula jadi seperti aloe vera, shea butter atau minyak kelapa
Sapu selepas mandi dan sebelum tidur untuk hasil lebih berkesan.
4. Amalkan Pemakanan Yang Sihat Untuk Kulit
Nutrien seperti Vitamin B, C, D, E, zink dan biotin sangat penting untuk kesihatan kulit. Anda boleh dapatkannya daripada:
- Sayur-sayuran hijau
- Buah-buahan sitrus
- Telur, ikan, kekacang dan tenusu
Minum air secukupnya juga penting untuk kekalkan kelembapan kulit dari dalam.
5. Jaga Kebersihan Kuku Dan Bulu Kaki
Kuku kaki yang panjang boleh mengumpul kotoran dan menyebabkan iritasi. Pastikan anda:
- Potong kuku secara berkala
- Cukur atau bersihkan bulu kaki supaya tidak menjerat peluh yang boleh menyebabkan kulit gatal
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Sekiranya kulit kaki anda menjadi semakin merekah, luka berdarah, berbau atau mengeluarkan cecair itu mungkin tanda jangkitan. Segera berjumpa doktor atau pakar dermatologi untuk rawatan lanjut.
Masalah kulit kaki kering dan bersisik bukan saja menyebabkan rasa tak selesa, tapi boleh menjejaskan keyakinan diri bila kena buka kasut di tempat awam.
Dengan rawatan yang betul dan rutin penjagaan harian, anda boleh pulihkan semula kesihatan kulit kaki dengan mudah.
Mulakan dari sekarang, Jaga kulit kaki seperti mana kita jaga muka kerana semua anggota badan kita berhak untuk sihat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Eczema: Punca, Tips Penjagaan Terbaik Bagi Mengawal Gejala & Rawatan Yang Berkesan
Baca juga: Dibelenggu Masalah Kulit Kering dan Gatal? Sapukan Losyen Ini Untuk Kelegaan Serta Merta
Baca juga: Kulit Kepala Kering Dan Mengelupas Buat Rasa Tidak Selesa, Ini Tips & Cara Mengatasinya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!