Peranakan jatuh atau uterine prolaps adalah masalah kesihatan biasa dihadapi oleh ramai wanita, terutamanya bagi mereka yang ada pengalaman melahirkan anak atau sudah lanjut usia.
Peranakan jatuh ini melibatkan penurunan rahim dari kedudukan normal dalam badan. Ia boleh membuatkan anda berasa sakit dan tidak selesa untuk melakukan aktiviti seharian.
Isi Kandungan
Apa Itu Peranakan Jatuh
Prolaps rahim atau peranakan jatuh adalah keadaan di mana rahim jatuh dari kedudukan normalnya di dalam badan. Ini berlaku apabila struktur sokongan semula jadi rahim, seperti otot dan ligamen menjadi lemah atau meregang.
Apabila ini berlaku, rahim boleh menekan vagina atau pun terkeluar dari vagina. Rahim jatuh boleh menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan, dan juga masalah lain seperti jangkitan saluran kencing.
Apakah Punca Yang Menyebabkan Rahim Jatuh?
Rahim jatuh atau peranakan jatuh boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor. Berikut beberapa punca yang menyebabkan anda mengalami rahim jatuh:
- Kehamilan dan Bersalin: Kehamilan dan bersalin adalah punca rahim jatuh yang utama. Ketika hamil, rahim mengalami perubahan ketara dalam peningkatan saiz. Manakala proses bersalin boleh menyebabkan regangan berlebihan otot pelvis dan ligamen. Ini menyebabkan sokongan semula jadi rahim menjadi lemah dan meningkatkan risiko rahim jatuh.
- Menopaus: Semasa menopaus, tahap estrogen dalam badan wanita berkurang dengan ketara. Kehilangan estrogen ini boleh menyebabkan penurunan keanjalan tisu di kawasan pelvis, yang sekaligus meningkatkan risiko rahim jatuh.
- Umur: Semakin meningkat usia wanita, semakin besar kemungkinan mereka mengalami prolaps rahim. Ini kerana otot pelvis dan ligamen cenderung melemah dengan usia, yang menjadikan sokongan semula jadi rahim lebih terdedah kepada kerosakan.
- Faktor Genetik: Sekiranya terdapat sejarah keluarga yang mengalami masalah rahim jatuh, anda berisiko tinggi mengalami masalah yang sama.
- Obesiti atau Berat Berlebihan: Obesiti atau berat badan berlebihan boleh meningkatkan tekanan pada pelvis dan rahim. Ini boleh mengakibatkan regangan otot dan ligamen pelvis secara berlebihan, serta melemahkan sokongan semula jadi rahim, yang akhirnya boleh menyebabkan rahim jatuh.
- Peregangan Otot Pelvik: Aktiviti yang melibatkan regangan berlebihan otot pelvis, seperti mengangkat berat, boleh menyebabkan kerosakan pada sokongan semula jadi rahim dan meningkatkan risiko prolaps.
- Masalah Kesihatan: Sesetengah masalah kesihatan seperti fibroid rahim, endometriosis, atau kehadiran jisim lain dalam pelvis, boleh mengganggu sokongan semula jadi rahim dan meningkatkan risiko prolaps.
Tanda Peranakan Jatuh
Apakah Simptom Atau Tanda Peranakan Wanita Jatuh?
- Tekanan di Kawasan Pelvis: Salah satu tanda peranakan jatuh adalah kehadiran sensasi berat atau tekanan di kawasan pelvis. Selalunya terasa seperti berat atau tekanan bawah pada vagina atau pelvis.
- Sakit atau Ketidakselesaan: Wanita yang mengalami rahim jatuh juga mungkin mengalami kesakitan atau ketidakselesaan di kawasan pelvis, bahagian bawah belakang, atau bahagian bawah abdomen. Kesakitan ini mungkin menjadi lebih teruk jika anda berdiri lama, berjalan, atau aktiviti fizikal.
- Perubahan dalam Fungsi Saluran Kencing: Rahim jatuh boleh menjejaskan fungsi saluran kencing, menyebabkan masalah seperti kerap membuang air kecil, inkontinensia (sukar menahan air kencing), atau rasa tidak puas selepas membuang air kecil.
- Masalah Seksual: Sesetengah wanita yang mengalami rahim jatuh juga mengalami masalah seksual, seperti sakit ketika seks atau penurunan libido. Prolaps rahim boleh mengganggu penembusan atau menyebabkan ketidakselesaan semasa aktiviti seksual.
- Perubahan Kedudukan atau Rupa Vagina: Dalam kes rahim jatuh yang lebih teruk, anda mungkin melihat atau merasakan perubahan pada kedudukan atau rupa vagina. Rahim yang terkeluar dari faraj atau kelihatan seperti bonjolan yang menonjol boleh menjadi tanda rahim jatuh yang jelas.
- Ketidakselesaan di Kawasan Pelvis: Wanita yang mengalami rahim jatuh juga mungkin berasa tidak puas hati atau tidak selesa di kawasan pelvis secara umum. Ini boleh menjadi sensasi biasa yang sukar untuk diterangkan dengan jelas, tetapi terasa seperti terdapat ketidakselesaan atau berat yang berterusan di pelvis.
Apakah Tahap Rahim Jatuh?
- Prolaps Ringan (Peringkat 1): Pada peringkat ini, prolaps rahim masih pada tahap ringan. Rahim hanya turun sedikit dari kedudukan normal dan masih berada di dalam vagina. Selalunya pada peringkat ini, gejala mungkin tidak begitu jelas atau mungkin tidak hadir sama sekali.
- Prolaps Sederhana (Peringkat 2): Pada peringkat ini, prolaps rahim menjadi lebih jelas. Rahim menonjol lebih jauh ke dalam faraj, walaupun belum sampai ke lubang vagina. Anda mungkin mula merasakan sensasi tidak selesa atau tekanan di kawasan pelvis.
- Prolaps Teruk (Peringkat 3): Pada peringkat ini, prolaps rahim menjadi lebih teruk. Rahim menonjol sehingga mencapai lubang vagina, dan gejala prolaps menjadi lebih jelas. Anda mungkin mengalami ketidakselesaan yang lebih besar, seperti sakit pelvis, kesukaran membuang air kecil atau masalah lain.
- Prolaps Lengkap (Peringkat 4): Ini adalah peringkat prolaps yang paling teruk. Pada peringkat ini, rahim terkeluar sepenuhnya dari faraj. Gejala prolaps boleh menjadi sangat mengganggu dan boleh memberi kesan ketara kepada kualiti hidup seseorang. Jangkitan dan masalah lain juga boleh timbul akibat keadaan ini.
Risiko Rahim Jatuh
Rahim prolaps boleh mengganggu aktiviti biasa dan menjadi tidak selesa. Kes yang sangat ringan mungkin tidak memerlukan rawatan atau menyebabkan sebarang ketidakselesaan.
Walau bagaimanapun, kes yang teruk mungkin menyukarkan untuk membuang air kecil atau membuang air besar yang normal.
Bagaimanakah Cara Merawat Masalah Prolaps Rahim?
- Terapi Senaman: Doktor mungkin mengesyorkan senaman khusus yang membantu menguatkan otot pelvis anda. Ia dapat melegakan simptom dan mengelakkan masalah daripada menjadi lebih teruk.
- Penggunaan Peranti Bantuan: Doktor juga mungkin mengesyorkan penggunaan alat bantuan kecil yang dipanggil pessary. Ia dapat membantu menyokong rahim dan mengelakkannya daripada terus jatuh. Walau bagaimanapun, peranti ini mesti dipasang dan diperiksa oleh doktor.
- Ubat-ubatan: Terdapat juga ubat-ubatan yang membantu, terutamanya bagi wanita menopause. Ubat ini biasanya mengandungi hormon estrogen, yang boleh melegakan ketidakselesaan dan membaiki tisu di sekitar pelvis.
- Perubahan Gaya Hidup: Kadangkala, mengubah gaya hidup dengan elakkan mengangkat berat, mengekalkan berat badan yang sihat dan mencegah sembelit. Semua ini boleh membantu mengurangkan tekanan pada pelvis.
- Pembedahan: Untuk kes yang teruk, doktor mungkin mencadangkan pembedahan. Ini dilakukan untuk mengembalikan rahim ke kedudukan asal dan mengurangkan gejala. Walau bagaimanapun, pembedahan hanya dilakukan jika rawatan lain tidak berkesan.
Adakah Saya Boleh Mencegah Rahim Jatuh?
- Senaman Kegel: Melakukan senaman Kegel dengan kerap boleh menguatkan otot pelvis, yang boleh membantu mengekalkan rahim kuat dan menghalangnya daripada jatuh dari kedudukan normal.
- Elak Mengangkat Beban Berat: Cuba elakkan mengangkat beban yang terlalu berat, kerana tekanan kuat pada pelvis boleh melemahkan otot dan ligamen yang menyokong rahim.
- Mengekalkan Berat Badan yang Sihat: Mengekalkan berat badan yang sihat adalah penting, kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan tekanan pada pelvis.
- Mengatasi Sembelit: Sembelit atau kesukaran membuang air besar boleh menyebabkan anda meneran dengan kuat, yang boleh memberi tekanan tambahan pada rahim dan pelvis. Ambil serat dan cecair yang mencukupi untuk mengelakkan sembelit.
- Penjagaan Ketika Mengandung dan Bersalin: Mendapatkan penjagaan ketika hamil dan bersalin yang baik boleh membantu mengelakkan rahim jatuh. Ikut nasihat doktor, lakukan senaman Kegel, dan elakkan meneran berlebihan semasa bersalin.
- Elakkan Merokok: Merokok boleh mengurangkan aliran darah ke otot pelvis, yang boleh menyebabkan kelemahan dan meningkatkan risiko terjatuh.
- Pemeriksaan Rutin: Lakukan pemeriksaan berkala dengan pakar obstetrik atau pakar sakit puan untuk memantau kesihatan rahim dan pelvis anda. Ini boleh mengesan masalah lebih awal dan mengambil langkah pencegahan yang sesuai.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Segera jumpa doktor jika anda mempunyai tanda-tanda rahim jatuh berikut:
- Anda rasa seperti ada sesuatu tersangkut atau keluar dari faraj anda.
- Rasa sakit ketika ingin kencing atau membuang air besar
- Anda mengalami sakit pinggang kronik atau tekanan pelvis yang tidak disebabkan oleh keadaan lain.
Cara Menaikkan Rahim Jatuh
#1. Amalan Bertangas
Amalan bertangas bukan sahaja membantu mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah kotor dari rahim, malah ia juga sangat membantu wanita yang mengalami masalah rahim jatuh.
Stim berrherba yang masuk ke dalam peranakan dapat membetulkan semula kedudukan rahim. Untuk kesan yang lebih optimum, anda digalakkan untuk bertungku selepas bertangas.
#2. Urutan Untuk Peranakan Turun
Berurut Sendiri
- Baring di atas katil, rapatkan diri ke dinding.
- Sapu minyak panas atau minyak aromaterapi ke perut.
- Angkat kaki dan sandarkan ke dinding secara perlahan-lahan. Sambil mengangkat kaki, tarik bahagian yang berbenjol di atas ari-ari ke arah pusat.
- Dengan lembut, urut dari perut dari bawah iaitu ari-ari dan bawa naik ke pusat.
- Kalau anda berasa sakit, berhenti dahulu. Berehat lebih kurang lima minit sebelum mula urut semula dengan lembut.
- Urut selama 30 minit.
- Ulang setiap hari sehingga rahim anda tidak terasa jatuh lagi.
Urutan Sengkak
Dalam perbidanan Melayu, urutan sengkak adalah sejenis urutan dalaman atau womb uplift massage yang dilakukan untuk mengemaskan tubuh badan, khususnya posisi rahim.
Urut sengkak ini dilakukan selama 3 hari selepas hari ke-44 berpantang, sebagai rawatan penutup bagi wanita yang bersalin normal. Sengkak pada awal minggu adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan kepada rahim yang masih bengkak.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa urutan sengkak hanya membantu menaikkan rahim yang jatuh buat sementara waktu, tetapi tidak menguatkan otot lantai pelvis yang lemah.
#3. Senaman Kegel
Senaman Kegel adalah senaman yang direka untuk menguatkan otot lantai pelvis. Ia membantu meningkatkan kekuatan otot yang menyokong rahim dan organ pelvis lain.
Kesimpulannya, peranakan jatuh atau uterine prolaps, adalah masalah yang sering dihadapi oleh wanita terutama mereka yang telah melahirkan anak atau meningkat usia.
Walaupun keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan, terdapat banyak pilihan rawatan tersedia untuk mengatasinya.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 10 cara jaga rahim agar sihat dan TAK ROSAK, mulakan ia sekarang!
Baca juga: Minuman Berais Boleh Menjadi Punca Rahim Kembang Selepas Bersalin? Ini Penjelasan Doktor
Baca juga: 1 Dalam 50 Juta, Wanita Dengan Dua Rahim Berjaya Hamil Kembar Dalam Rahim Berbeza