Memasuki sahaja usia 6 bulan, ibu ayah pastinya berasa teruja kerana waktu inilah dikatakan bahawa si manja sudah bersedia menikmati makanan pejal. Bagi mendapatkan idea menu hidangan bayi, selebriti terkenal negara, Hanis Zalikha telah berkongsikan beberapa resepi bayi 6 bulan ke atas yang disediakan untuk puteri kecilnya, Alisa Aisyah.
Jika anda perasan, ketika si manja dalam usia ini dia mula menunjukkan minat terhadap makan di atas pinggan, memerhatikan dan mungkin berusaha untuk mendapatkannya.
Resepi bayi 6 bulan dan ke atas
Sebenarnya tidak susah mana pun untuk menyediakan menu makanan bayi. Diharapkan dengan perkongsian ini, ia sedikit sebanyak membantu anda lebih kreatif dalam menggunakan bahan-bahan di dapur dan memasaknya sendiri di rumah.
Air tangan ibu mempunyai keenakan tersendiri. Ia dibuat dengan kasih sayang dan penuh titipan doa agar anak menjadi seorang yang berjaya kelak. Justeru manfaatkanlah kelebihan yang diberikan oleh Allah untuk setiap ibu di dunia ini!
Berikut resepi makanan bayi 6 bulan yang dikongsikan oleh Hanis Zalikha:
#1. Bubur nasi kosong kisar lembut

Cara untuk masak menu ini adalah dengan masakkan terlebih dahulu nasi seperti biasa. Kemudian, apabila ia sudah masak anda perlu masukkan ke dalam mesin pengisar. Pastikan ibu mengisarnya sehingga hancur dan lembut macam bubur.
Nota: Mulakan dengan nasi kosong tawar untuk membolehkan bayi belajar merasai makanan selain susu. Kemudian apabila sudah ada rutin makan harian dan si manja sudah pandai rasa lapar nak makan, barulah perkenalkan dia dengan pelbagai sayuran. Seterusnya perkenalkan rasa lebih manis sedap iaitu buah-buahan.
#2. Nasi kisar bersama bayam
Cara nak masak nasi adalah seperti biasa. Kemudian ibu perlu cuci sayur bayam dengan bersih dan mencelurnya. Kemudian masukkan nasi dan sayur bayam ke dalam mesin pengisar sehingga ia hancur lumat.
#3. Bubur nasi hancur dan brokoli
Cara untuk sediakan pes sayur brokoli ini amat mudah. Ibu hendaklah membasuhnya terebih dahulu sebersih-bersihnya. Kemudian, steamkan ia dan masukkan ke dalam pengisar sehingga hancur menjadi pes. Kemudian, sedia untuk bayi nikmatinya!
#4. Buah avokado segar

Ibu hanya perlu mendapatkan buah avokado yang sudah masak ranum dan lembik untuk diberi makan kepada bayi. Ia tidak perlu dikukus kerana tekstur buah benar-benar masak adalah sudah lembut.
Resepi makanan bayi 9 bulan ke atas
#5. Nasi lembik dengan lobak merah & salmon
Cara penyediaan untuk hidangan ini adalah ibu perlu kukus terlebih dahulu lobak merah dan ikan salmon. Kemudian kisarkan ia bersama nasi.
''Alisa sudah suka pada makanan yang ada tekstur sebab pada usia ini giginya sudah tumbuh. Tapi dia selalu nak cuba makanan Abang Yusuf, jadi inilah dia menu istimewa nasi lembik, lobak merah dan salmon kukus,'' kongsi Hanis.
#6. Bubur nasi kisar bersama salmon

Untuk menyediakan hidangan ini pula, ibu perlu tumis bawang putih, bawang besar dan ikan salmon sehingga ia masak. Seterusnya, tambahkan nasi putih yang sudah masak, bahan tumisan tadi ke dalam mesin pengisar.
Akhir sekali, masukkan sedikit lobak merah dan batang saleri yang sudah siap dipotong dadu ke dalam mesin. Kisarkan semua bahan ini sehingga hancur dan sedia dinikmati!
#7. Pancake simple dan sedap
Cara untuk membuat pancake sedap ini adalah ibu perlu masukkan tepung gandum, sedikit susu, gula, garam dan serbuk penaik. Campurkan kesemuanya sehingga ia sebati. Kemudian, panaskan kuali jenis non stick dan masukkan bancuhan tadi menggunakan sudip.
Untuk lebih menarik, anda boleh hiaskannya dengan chocolate rice ataupun nutella.

Justeru, dengan pertambahan bulan usia si manja, ibu ayah hendaklah memberikan bayi merasai makanan berperisa masin agar dia tidak hanya menggemari rasa manis sahaja.
Jangan terlalu berharap bayi makan banyak pada satu masa. Perutnya masih kecil dan sistem pencernaannya belum matang. Apapun, ibu perlulah try and error dalam memikat selera si manja agar dia dapat melalui proses perkembangan yang sihat.
Sumber: Wanista
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Biskut Bayi Homemade Untuk 9 Bulan Ke Atas
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!