Ramai ibu hamil akan mula berasa lega apabila kandungan mula memasuki trimester kedua kerana ia dikatakan fasa honeymoon kehamilan.
Namun begitu, terdapat juga beberapa komplikasi yang perlu anda waspada pada fasa kehamilan ini. Gejala muka, tangan dan kaki bengkak dengan tiba-tiba, sakit kepala atau muntah pada trimester kedua kehamilan dianggap biasa oleh sesetengah ibu hamil hingga ia tidak diberikan perhatian serius, namun ia sebenarnya mungkin menandakan gangguan lebih serius iaitu praeklampsia.
Mereka mungkin mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap normal akibat perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya ia adalah mungkin tanda awal praeklampsia. Praeklampsia ialah masalah yang dialami ketika hamil dan biasa berlaku pada trimester kedua kehamilan.
Isi Kandungan
Bila Fasa Trimester Kedua?
Ibu hamil akan memasuki fasa trimester kedua ketika usia kandungan memasuki minggu 13 hingga 26 minggu kehamilan. Pada fasa ini, anda sudah boleh mengetahui jantina bayi, merasakan gerakan janin, dan segala rasa loya dan muntah biasanya akan mula berkurangan.
Malah, pada trimester ini juga, janin akan berkembang dengan cepat dan merupakan titik perubahan untuk anda dan juga bayi dalam kandungan.
Kenapa Trimester Kedua Digelar Fasa ‘Honeymoon’ Kehamilan
Anda pasti berasa lega setelah berjaya mengharungi trimester pertama dan kini telah pun melangkah ke fasa trimester yang kedua.
Untuk mengharungi cabaran semasa trimester yang pertama bukannya perkara mudah, ada sesetengah ibu hamil yang mengalami mual atau morning sickness yang teruk, ada juga yang mengalami beberapa komplikasi di awal kehamilan sehingga hampir kehilangan bayi dalam kandungan dan ada juga ibu hamil yang langsung tidak mengalami sebarang masalah.
Namun kini, bagi ibu hamil yang pernah melalui ujian getir, semua itu semakin berkurangan dan harapan untuk memiliki cahaya mata semakin kian menyinar.
Fasa trimester kedua juga adalah fasa honeymoon buat ibu hamil semua. Kenapa digelar fasa ‘honeymoon‘? Sebenarnya pada waktu ini, gejala-gejala yang perlu anda lalui sebelum ini akan mula berkurangan dan hampir tiada langsung. Pada waktu ini juga ia adalah tempoh waktu untuk anda berehat daripada segi mental dan juga fizikal bagi menghadapi detik kelahiran nanti.
#1. Tiada lagi morning sickness
Segala rasa mual akan mula berkurangan apabila usia kandungan anda memasuki 13 minggu. Anda pasti berasa seronok kan? Tidak perlu lagi muntah-muntah di awal pagi. Malah, anda juga sudah boleh makan segala yang diidamkan selama ini. Jadi, dapatkan segala jenis makanan yang penuh dengan khasiat untuk anda dan juga bayi dalam kandungan.
#2. Melakukan hubungan seksual
Setelah sekian lama, memendam rasa dengan keadaan hormon yang tidak stabil, kini tiba masanya untuk anda kembali ghairah bersama suami tersayang.
Malah kali ini, keghairahan anda akan menjadi lebih luar biasa disebabkan oleh peningkatan aliran darah di seluruh kawasan pelvis menjadikan kelentit anda sangat sensitif. Hal ini menjadikan nafsu anda semakin meningkat dan lendiran faraj keluar lebih banyak.
#3. Merasai gerakan janin
Naluri keibuan anda akan semakin memuncak apabila dapat merasai ‘quickening’ atau gerakan bayi kali pertama ini. Anda akan dapat merasa bagaimana bayi anda menendang, bergerak, menumbuk malah anda juga dapat merasakan bayi anda tersedu.
Sangat ajaib kan? Tetapi jangan risau kalau anda masih belum merasai apa-apa gerakan kerana terdapat sesetengah bayi yang hanya akan mula bergerak apabila mereka memasuki usia 6 bulan.
#4. Lekuk tubuh yang baharu
Tubuh anda akan mula berubah, dan tiba masanya untuk anda peragakan baju baharu. Tukarkan segala pakaian dengan memakai baju mengandung yang sangat comel dan menarik sekali. Sifat keibuan anda akan semakin terserlah.
Pada waktu ini juga, anda akan mendapati sesetengah bahagian tubuh anda akan mengalami regangan atau selulit, tetapi jangan risau apa yang perlu anda buat adalah dengan menyapu minyak kelapa semulajadi dan ia akan kembali pulih. Anda boleh pilih minyak urut terbaik di sini.
#5. Kembali bertenaga
Setelah bergelut dengan ketidakstabilan emosi dan gangguan hormon, pada fasa ini anda akan kembali seperti sediakala semula. Oleh itu, manfaatkan waktu ini untuk merancang segalanya berkaitan dengan kehamilan anda. Anda sudah boleh mula shoping barangan bayi, menghias bilik bayi dan sebagainya. Jadi lakukan apa sahaja yang mampu membuatkan anda gembira.
Komplikasi Yang Mungkin Boleh Terjadi Pada Trimester Kedua Kehamilan
Terdapat beberapa gejala atau simptom dan komplikasi yang kemungkinan untuk berlaku ketika anda hamil trimester 2 berapa minggu sebelum memasuki trimester ketiga. Antaranya:
#1. Pendarahan
Walaupun risiko keguguran adalah lebih rendah pada trimester2 ini, tetapi masih terdapat kebarangkalian untuknya berlaku. Pendarahan vagina adalah gejala pertama yang menunjukkan anda bakal mengalami keguguran. Sekiranya anda mendapati mempunyai gejala ini, sila maklumkan kepada doktor anda.
#2. Gusi berdarah
Anda akan mengalami beberapa gejala seperti perubahan kulit (melasma), hidung tersumbat, pening kepala, kekejangan kaki, sakit kepala, keputihan dan perubahan hormon dalam badan.
Pada trimester 2 ini, anda juga akan mendapati gusi anda mudah berdarah. Penjagaan kebersihan perlu ditikberatkan untuk elakkan sebarang komplikasi. Penyakit periodontal juga boleh menyebabkan anda melahirkan bayi dengan berat lahir rendah atau kelahiran pramatang.
#3. PPROM (preterm premature rupture of the membranes)
Preterm premature rupture of the membranes adalah fenomena biasa dalam kehamilan. Pada trimester 2 ini, terdapat kebocoran cecair jernih atau kantung amniotik yang memegang bayi di dalam rahim sebelum tiba waktunya. Apabila ini berlaku, bayi anda akan terdedah kepada jangkitan dengan mudah dan menyebabkan kelahiran pramatang berlaku.
#4. Serviks kejang
Anda akan mengalami tekanan pada perut, paru-paru, buah pinggang dan pundi kencing yang menyebabkan sensasi regangan di pangkal paha yang membuatkan ligamen anda sakit dan ia adalah disebabkan oleh janin yang semakin membesar.
Tisu yang menghubungkan vagina dan rahim anda juga tidak mampu menahan tekanan dan ia akan membuka lebih awal iaitu sebelum 39 minggu di mana akan menyebabkan kelahiran awal. Pada minggu ke-20, janin anda masih lagi terlalu kecil dan kelahiran awal akan menyebabkan berlakunya kematian.
#5. Kelahiran pramatang
Ketika hamil trimester 2 ini juga anda mungkin akan alami Braxton Hicks yang tidak teratur dan tidak berasa sakit. Rasanya seperti anda sedang diramas atau dipulas-pulas. Tetapi jika kontraksi anda semakin kerap dan sakit anda perlu segera berjumpa doktor kerana ia menunjukkan anda mungkin akan mengalami kelahiran pramatang.
#6. Haemorrhoids
Anda juga akan mengalami masalah buasir iaitu urat varikos yang terdapat di sekitar dubur anda. Urat ini akan membengkak disebabkan oleh peningkatan aliran darah dalam badan semasa anda sedang mengandung.
Antara punca lain juga adalah disebabkan rahim yang semakin membesar telah memberi tekanan pada urat tersebut. Hal ini akan menyebabkan anda berasa sakit dan juga mengalami kegatalan.
#7. Kencing manis semasa mengandung
Hamil trimester 2, bayi akan menjadi semakin besar dan keperluan nutrisinya akan semakin meningkat seiring dengan tahap glukosa ibu. Menghidapi kencing manis akan meningkatkan kesukaran anda untuk bersalin.
Pada usia kandungan ini juga doktor akan membuat ujian pranatal untuk memeriksa diabetes semasa mengandung untuk elakkan sebarang komplikasi semasa bersalin nanti.
Fasa Kedua Kehamilan Praeklampsia Mungkin Menyerang
Praeklampsia bercirikan tekanan darah yang tinggi, bengkak (edema) yang berlaku secara tiba-tiba, kenaikan berat badan mendadak disebabkan pengumpulan air di dalam tubuh serta kehadiran protein dalam air kencing.
Kadangkala ia disalah ertikan dengan tekanan darah tinggi, namun ia tidak sama sebenarnya. Ia hanya bercirikan darah tinggi yang mana ibu hamil mungkin alami pening kepala dan muntah-muntah.
Praeklampsia tidak memiliki gejala khusus. Namun kebanyakan penderita praeklampsia memiliki ciri bertekanan darah tinggi dan terdapat protein pada air kencing. Biasanya ia bermula setelah usia kehamilan 20 minggu pada wanita yang tekanan darahnya normal.
Punca Terjadinya Praeklampsia
Masih tidak dapat dipastikan sebab terjadinya praeklampsia, tetapi ia mungkin berlaku akibat daripada plasenta yang tidak membesar dengan baik.
Jika anda mengalami praeklampsia, aliran darah melalui plasenta menjadi kurang. Ini akan menjejaskan bayi anda kerana dia tidak mendapat oksigen dan nutrien yang cukup. Kekurangan oksigen dan nutrien boleh menyekat tumbesaran bayi anda.
Golongan Berisiko Diserang Praeklampsia
Tiada ciri khusus mereka yang diserang praeklampsia tetapi terdapat kumpulan yang berisiko tinggi menghidapinya. Mereka ini termasuklah:
- Usia belasan tahun atau 40 tahun ke atas
- Mengandung kali pertama
- Pernah mengalami praeklampsia atau eklampsia dalam kandungan sebelumnya
- Mempunyai saudara, adik-beradik atau ibu yang pernah mengalami praeklampsia
- Mengalami obesiti dengan BMI lebih daripada 30
- Wanita yang sudah pun mengalami hipertensi dan kencing manis sebelum hamil
- Wanita yang mengalami kandungan kembar atau molar (uri besar).
Adakah Anda Mengalami Praeklampsia?
Jangan pandang ringan jika anda sedang hamil dan mengalami simptom-simptom tanda bahaya kehamilan trimester 2 ini kerana anda mungkin diserang praeklampsia. Eloklah rujuk doktor dengan segera supaya tidak timbul sebarang komplikasi lain yang boleh membahayakan nyawa anda dan bayi.
Segeralah ke hospital untuk membuat pemeriksaan sekiranya anda mengalami tanda berikut:
- Sakit kepala
- Pening
- Mata kabur
- Pandangan bercahaya/silau
- Sakit tengkuk
- Loya atau muntah-muntah
- Pedih ulu hati
- Rasa kurang sihat
- Bengkak di muka, kaki atau tangan secara mendadak
Bolehkah Praeklampsia Menyebabkan Komplikasi Lain?
Jika praeklampsia berlarutan dari ringan kepada teruk, ia mula menjejaskan sistem-sistem badan anda yang lain apabila ia semakin teruk.
Ini bermakna anda mungkin mendapat simptom-simptom yang lebih serius. Jika doktor anda tidak tahu anda menghidap praeklampsia, anda tidak akan mendapat penjagaan yang betul dan komplikasi yang membimbangkan boleh berlaku.
Antara komplikasi lain yang mungkin dihadapi adalah kegagalan hati dan buah pinggang, strok (pendarahan serebrum), cecair dalam paru-paru (edema pulmonari) dan hilang penglihatan.
Persediaan Hadapi Trimester 3
Memasuki usia kehamilan yang terakhir memang akan menggusarkan hati sesiapa sahaja. Pada fasa terakhir ini adalah waktu di mana anda akan melahirkan seorang bayi pada bila-bila masa sahaja. Apatah lagi, kalau ini adalah kehamilan yang pertama anda. Rasa takut, gembira, sedih, risau saling bercampur baur.
Walau macam mana sekalipun, anda perlu tetapkan fikiran yang positif dan kembali fokus kepada kehamilan anda. Fasa terakhir ini amat memerlukan penjagaan dan penelitian yang rapi daripada anda. Antara persediaan yang perlu anda lakukan adalah :
- Pantau pergerakan bayi dengan mencatit gerakannya. Jika pergerakannya kurang berbanding biasa segera jumpa doktor, begitu juga jika bayi anda bergerak terlalu aktif, rujuk juga kepada doktor anda.
- Kemaskan segala keperluan anda dan juga bayi di hospital nanti. Letakkan segala kelengkapan dan keperluan asas di dalam satu beg untuk memudahkan anda membawanya ke hospital.
- Ikuti kelas bersalin sebagai persediaan untuk anda bersalin nanti. Ia dapat membantu anda tentang apa yang perlu dilakukan dan tidak perlu ketika bersalin dan membuatkan anda berasa lebih tenang dan berkeadaan lebih bersedia.
- Rehat sebanyak yang mungkin dan elakkan daripada melakukan tugas yang membebankan fizikal dan emosi anda.
- Lakukan senaman ringan iaitu berjalan-jalan dengan tempoh yang singkat. Ia juga akan membuatkan anda berasa lebih lega sekiranya mengalami sembelit dan berjalan juga akan meningkatkan mood anda menjadi lebih segar dan bertenaga.
Semoga bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Risau Kaki Membengkak Semasa Hamil? Ibu Jangan Risau, Stokin Kesihatan Ini Dapat Atasi Masalah Tersebut
Baca juga: Kaki Bengkak Ketika Hamil, Ini Punca & Cara Mengatasinya
Baca juga: Kaki Bengkak Ketika Hamil Trimester Ke-3, Ini Cara Kurangkan Rasa Sakit