Dalam menilai tahap kesuburan wanita, ujian rizab ovari adalah aspek penting kerana ia dapat mengukur kuantiti dan kualiti telur yang tinggal.
Secara umumnya, rizab ovari perempuan menjadi asas keupayaan untuk hamil dan menjayakan sebuah kehamilan. Seiring peningkatan usia, rizab ovari wanita secara semula jadi berkurangan, menjejaskan peluang untuk hamil dan memiliki kehamilan yang sihat.
Apa itu rizab ovari
Rizab ovari adalah kumpulan folikel dan telur yang ada di dalam ovari perempuan. Istilah rizab ovari digunakan dalam menentukan keupayaan ovari menyediakan sel telur atau folikel yang mampu disenyawakan agar kehamilan berlaku dan memberi kejayaan pada teknik pembiakan berbantu seperti persenyawaan in vitro (IVF).
Ujian rizab telur wanita adalah salah satu ujian asas yang dilakukan oleh pakar kesuburan untuk memberi maklumat bagaimanakah kilang telur wanita itu memberi respon apabila ia dirangsang menggunakan hormon ketika menerima rawatan kesuburan.
Ujian ini akan dapat membantu doktor dalam membuat keputusan akan berapakah dos hormon perlu diberi bagi mendapatkan respon yang optimum.
Ini adalah penting agar rangsangan yang diberikan tidak begitu tinggi yang mana boleh mengakibatkan komplikasi berlaku, dan pada masa yang sama rangsangan yang diberikan tidak begitu rendah bagi memastikan terdapat jumlah bilangan folikel telur mencukupi bagi menjalani rawatan kesuburan.
Kilang telur wanita
Kilang telur wanita merujuk kepada ovarium, organ dalaman yang berfungsi menghasilkan telur (ovum) dan menghasilkan hormon-hormon penting yang terlibat dalam kitaran haid dan kesuburan wanita. Ovarium adalah salah satu komponen penting dalam sistem reproduktif wanita.
Menurut laman Myhealth, kebiasaanya, semasa lahir terdapat kira-kira satu hingga dua juta folikel (telur) di dalam ovari, dan jumlah itu berkurangan kepada sekitar 30000-500000 folikel semasa akil baligh.
Pada tahun-tahun reproduktif dalam kehidupan seseorang, bilangan folikel primordial akan berkurangan pada kadar 1000 folikel untuk setiap bulan.
Kebanyakan folikel pramatang merosot pada setiap peringkat perkembangan berbeza dan hanya kira-kira 400-500 folikel akan mengalami proses ovulasi pada masa ini.
Selepas umur seseorang mencapai usia 30 tahun, tahap kesuburan mereka akan mula berkurangan dan dianggarkan bilangan folikel boleh jatuh di bawah paras kritikal (kira-kira 25000 folikel) ketika umur mereka sekitar 37.5 tahun.
Berapa sel telur yang dihasilkan wanita tiap bulan
Wanita biasanya menghasilkan satu telur matang (ovum) dalam setiap kitaran haid. Proses ini dikenali sebagai ovulasi, dan ia berlaku sekitar pertengahan kitaran haid, biasanya kira-kira 14 hari sebelum haid seterusnya bermula.
Ovum yang dikeluarkan dari ovari akan bergerak ke dalam tiub fallopio untuk bertemu sperma bagi membolehkan persenyawaan berlaku.
Telur wanita bertahan berapa lama
Telur wanita, atau ovum, mempunyai jangka hayat terhad selepas ovulasi. Biasanya, ovum boleh bertahan selama 12 hingga 24 jam selepas dikeluarkan dari ovari.
Ini bermakna ovum yang dikeluarkan semasa ovulasi akan kekal hidup dalam tiub fallopio dalam tempoh tersebut, dan jika ia tidak disenyawakan oleh sperma dalam tempoh tersebut, ia akan terus mati.
Kepentingan ujian rizab telur perempuan
Berikut beberapa kepentingan ujian rizab telur bagi golongan wanita:
- Meramalkan kesuburan: Ujian rizab ovari membantu meramalkan potensi kesuburan wanita. Dengan menilai bilangan dan kualiti telurnya yang tinggal, ia boleh memberikan gambaran tentang kemungkinan untuk hamil secara semula jadi.
- Membantu dalam merancang sebuah keluarga: Bagi wanita yang ingin menangguhkan kehamilan, memahami rizab telur boleh membantu mereka membuat keputusan tentang bila dapat memulakan keluarga atau mempertimbangkan pilihan penjagaan kesuburan.
- Perancangan pembiakan berbantu: Bagi individu atau pasangan yang mencari teknologi pembiakan berbantu seperti IVF, ujian rizab tekur boleh membimbing rawatan. Ia dapat membantu menentukan dos ubat kesuburan yang sesuai dan meramalkan potensi kejayaan IVF.
- Mengurus jangkaan: Ujian rizab telur boleh menguruskan jangkaan wanita yang mengambil berat tentang kesuburan. Ia boleh membantu anda memahami peluang hamil secara semula jadi atau memerlukan rawatan kesuburan.
Bagaimana rizab ovari dilakukan
Terdapat beberapa kaedah untuk menilai rizab ovari, masing-masing mempunyai kelebihan dan batasannya sendiri.
Beriku bagaimana rizab ovari yang biasa dilakukan:
#1. Ujian Follicle Stimulating Hormone (FSH)
- FSH adalah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari yang merangsang ovari untuk menghasilkan telur.
- Tahap FSH yang tinggi pada bahagian awal kitaran haid mungkin menunjukkan penurunan rizab ovari, kerana badan cuba mengimbangi kekurangan bekalan telur.
- Tahap FSH biasanya diukur pada hari ketiga kitaran haid.
#2. Ujian Anti-Müllerian Hormone (AMH)
Ujian AMH atau Antimullerian Hormone, adalah ujian darah yang digunakan untuk mengukur tahap hormon antimullerian dalam badan wanita.
Menurut Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr Eeson Sinthamoney melalui Harian Metro, ujian AMH ini bertujuan dalam mengenal pasti bilangan tahun kesuburan wanita dan membolehkan doktor memberikan nasihat terbaik dalam merancang kehamilan.
Hormon Anti-Mullerian dihasilkan oleh sel dalam folikel ovari dan kepekatannya berkurang seiring peningkatan usia sehingga ia tidak boleh dikesan dalam tempoh lima tahun sebelum menopaus.
Kata Dr Eeson, paras hormon Anti-Mullerian dalam darah digunakan sebagai penanda rizab ovari wanita dan mengenal pasti baki bekalan sel telur yang sedia ada untuk persenyawaan.
“Fungsi ujian darah AMH juga meramalkan tindak balas wanita terhadap rangsangan ovari dalam pengurusan masalah ketidaksuburan seperti persenyawaan in-vitro (IVF).
“Jika aras AMH berada dalam julat normal, ovari mungkin bertindak balas secara positif terhadap ubatan dan lebih banyak telur dijangkakan terhasil, seterusnya meningkatkan kadar kejayaan IVF,” jelasnya.
Ujian darah AMH jauh lebih mudah, hanya menerusi ujian darah pada bila-bila masa termasuk ketika haid.
Tahap AMH agak stabil sepanjang kitaran haid, menjadikannya penanda rizab ovari yang lebih dipercayai daripada FSH.
#3. Kiraan Folikel Antral (AFC)
Folikel antral adalah folikel kecil yang boleh dilihat menggunakan ultrasound transvaginal.
Kiraan folikel antral yang lebih tinggi menunjukkan rizab ovari yang lebih baik, manakala kiraan yang lebih rendah mungkin menunjukkan rizab berkurangan.
#4. Panel Rizab Ovari
Sesetengah klinik kesuburan menawarkan panel komprehensif yang merangkumi gabungan FSH, AMH, AFC dan ujian lain untuk memberikan penilaian rizab ovari yang lebih tepat.
#5. Biopsi ovari
Ini adalah prosedur yang kurang biasa dan lebih invasif di mana sekeping kecil tisu ovari dikeluarkan dan dianalisis di makmal untuk menilai rizab ovari.
Adakah ia menyakitkan?
IVF Center Hawaii mengatakan sesetengah wanita mungkin mendapati vagina ultrasound tidak selesa tetapi ia tidak sepatutnya menyakitkan.
Sila maklumkan kepada doktor tentang apa yang anda rasa ataupun kebimbangan semasa ujian.
Keputusan rizab ovari
Mentafsir keputusan ujian rizab ovari memerlukan pemahaman yang menyeluruh tentang setiap ujian dan implikasinya.
Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa tafsiran boleh berbeza-beza dari satu makmal atau klinik yang lain, jadi sebaiknya berunding dengan pakar endokrinologi pembiakan atau pakar kesuburan untuk penilaian yang komprehensif.
Berikut ialah gambaran umum tentang perkara yang mungkin ditunjukkan oleh pelbagai hasil:
#1. Rizab ovari biasa
- Tahap FSH normal (biasanya di bawah 10 mIU/mL) pada hari ketiga kitaran haid.
- Tahap AMH normal (biasanya antara 1-4 ng/mL) tanpa mengira fasa kitaran haid.
- Kiraan folikel antral yang sihat, biasanya antara 6 dan 15.
#2. Rizab ovari yang berkurangan
- Tahap FSH meningkat pada hari ke-3 kitaran haid, selalunya melebihi 10 mIU/mL.
- Tahap AMH rendah, biasanya di bawah 1 ng/mL.
- Bilangan folikel antral berkurangan, biasanya di bawah 6.
#3. Rizab ovari yang lemah
- Tahap FSH yang sangat tinggi, biasanya melebihi 20 mIU/mL.
- Tahap AMH yang sangat rendah, selalunya tidak dapat dikesan.
- Kiraan folikel antral yang minimum, kadangkala hanya 1 atau 2.
#4. Rizab ovari yang sangat baik
- Tahap FSH biasa hingga rendah.
- Tahap AMH yang tinggi.
- Kiraan folikel antral yang sihat.
Adalah penting untuk memahami bahawa keputusan ujian rizab ovari memberikan pandangan yang berharga, tetapi ia bukanlah peramal muktamad tentang keupayaan untuk hamil.
Ujian ini memberikan gambaran rizab ovari pada masa tertentu dan tidak mengambil kira faktor mempengaruhi kesuburan yang lain seperti kualiti telur, kehadiran sebarang keadaan perubatan atau kesihatan rahim.
Apakah tahap AMH yang baik untuk kesuburan?
Menurut laman Extend Fertility, tahap AMH dalam darah boleh membantu doktor menganggarkan bilangan folikel di dalam ovari atau kiraan telur wanita.
Tahap AMH biasa untuk wanita yang subur ialah 1.0–4.0 ng/ml; di bawah 1.0 ng/ml dianggap rendah dan menunjukkan rizab ovari yang berkurangan.
Siapa yang perlu buat rizab ovari
Ujian rizab ovari perempuan ini disarankan kepada beberapa kumpulan berikut:
- Perancangan keluarga: Wanita yang ingin menangguhkan melahirkan anak boleh menggunakan ujian rizab ovari untuk membuat keputusan termaklum tentang masa untuk memulakan keluarga. Maklumat ini boleh membantu mereka menentukan masa yang optimum untuk kehamilan.
- Menjaga kesuburan: Bagi wanita yang menghadapi rawatan perubatan yang mungkin menjejaskan kesuburan mereka, seperti kemoterapi, ujian rizab ovari boleh membantu memutuskan sama ada untuk meneruskan pilihan pemeliharaan kesuburan seperti pembekuan telur.
- Teknologi Pembiakan Berbantu (ART): Wanita yang menjalani IVF boleh mendapat manfaat daripada ujian rizab ovari. Hasilnya membantu doktor menyesuaikan pelan rawatan kesuburan, mengoptimumkan dos ubat, dan meramalkan potensi kejayaan kitaran IVF.
- Ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan: Dalam kes ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan, ujian rizab ovari boleh membantu mengenal pasti sebarang isu berkaitan dengan kuantiti dan kualiti telur.
Batasan dan pertimbangan
Walaupun rizab ovari menyediakan maklumat yang berharga, ia turut memiliki beberapa batasan dan pertimbangan:
- Kebolehubahan: Keputusan rizab ovari boleh berbeza mengikut kitaran dan kaedah ujian yang digunakan.
- Kualiti telur: Ujian ini bertujuan menilai kuantiti telur wanita, bukan kualitinya. Walaupun rizab ovari yang baik, kualiti telur boleh menurun dengan usia yang boleh menjejaskan peluang kehamilan yang sihat.
- Faktor umur dan gaya hidup: Umur adalah faktor penting dalam rizab ovari, dan ujian harus ditafsirkan dalam konteks umur wanita. Faktor gaya hidup, seperti merokok dan keadaan perubatan tertentu, juga boleh mempengaruhi kesuburan.
- Kebolehubahan individu: Setiap wanita adalah unik, dan rizab telur menyediakan penilaian umum. Sesetengah wanita mungkin mempunyai rizab telur yang rendah tetapi berjaya hamil secara semula jadi, manakala yang lain dengan rizab lebih baik mungkin menghadapi cabaran kesuburan.
Makanan untuk mematangkan sel telur wanita
Walaupun makanan tidak dapat mematangkan sel telur secara langsung, diet yang baik dan seimbang dapat membekalkan nutrien yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan serta kesuburan wanita.
Berikut adalah beberapa makanan yang boleh membantu menyokong kesihatan ovari dan kualiti telur:
- Sayur-sayuran yang kaya dengan antioksidan seperti brokoli, lobak merah dan sayur-sayuran hijau gelap boleh membantu melindungi sel telur daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
- Buah-buahan seperti beri, delima, aprikot, dan limau gedang mengandungi antioksidan yang boleh membantu melindungi kesihatan sel telur dan mengurangkan tekanan oksidatif.
- Sumber protein ikan, ayam, telur dan tumbuhan seperti kacang dan bijirin penuh adalah sumber protein berkualiti tinggi yang boleh menyokong kesihatan ovari.
- Ikan berlemak seperti salmon, makarel dan sardin mengandungi asid lemak omega-3, yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan menyokong kesihatan ovari.
- Bijirin penuh seperti gandum, beras perang dan bijirin penuh lain adalah sumber tenaga dan serat yang baik, dan boleh membantu mencegah peningkatan mendadak dalam gula darah.
- Kalsium (dari sumber seperti susu, yogurt, dan sayur-sayuran hijau) dan vitamin D adalah penting untuk kesihatan tulang, dan kesihatan tulang yang baik adalah penting untuk kesihatan ovari.
Kesimpulannya rizab ovari bermanfaat untuk wanita yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang status kesuburan, terutamanya jika mereka merancang untuk mempunyai anak pada masa hadapan.
Bagi wanita yang mempunyai kebimbangan tentang rizab ovari atau kesuburan mereka, berunding dengan pakar endokrinologi pembiakan atau pakar kesuburan adalah penting.
Mereka boleh memberikan bimbingan dan membantu andamembuat pilihan dalam meningkatkan kesihatan reproduktif dan perancangan keluarga.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 11 Risiko Hamil Lewat Di Usia 35 Tahun Ke Atas (Geriatric Pregnancy), Ibu Sila Waspada
Baca juga: Rawatan Kesuburan Untuk Hamil: Kaedah Rawatan Kesuburan, Jenis Ubat & Kos
Baca juga: Suplemen & Pil Kesuburan Agar Cepat Hamil: Panduan Lengkap Buat Pasangan TTC
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!