Bagi wanita hamil, rasa tidak selesa dan sakit-sakit pada anggota badan adalah perkara normal apatah lagi apabila perut semakin membesar. Jadi bagi mengurangkan rasa yang dialami, ada ibu mengambil inisiatif untuk melakukan urutan refleksologi.
Urutan refleksologi sememangnya boleh menenangkan dan melegakan sesiapa sahaja yang melakukannya. Bukan sahaja daripada segi fizikal semata-mata, namun juga kepada mentalnya. Namun, adakah ia selamat untuk ibu mengandung?
Untuk wanita hamil, mungkin ada beberapa tempoh serta bahagian anggota badan tertentu yang perlu dielakkan untuk melakukan urutan. Ini bagi mengelakkan berlakunya risiko berbahaya kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan. Jadi ibu, ketahui dengan lanjut mengenai urutan refleksologi terhadap wanita mengandung.
Apa itu Urutan Refleksologi?
Refleksologi adalah satu terapi pelengkap semula jadi yang percaya bahawa semua bahagian badan manusia mempunyai pautan utama ke kawasan tertentu di bahagian kaki dan tangan.
Ia dilakukan untuk merawat gejala di banyak bahagian badan manusia dengan menggunakan tekanan hujung jari pada kawasan tertentu, terutamanya kaki dan kadangkala pada tangan anda juga.
Untuk makluman, urutan refleksologi ini bukannya baru lagi malah telah wujud dalam beberapa bentuk selama beribu-ribu tahun dahulu.
Lazimnya, pakar refleksologi memberi tumpuan untuk menggunakan urutan dan memberi tekanan pada bahagian tertentu kaki dengan tujuan untuk menggalakkan kesejahteraan ke keseluruhan anggota badan.
Pakar refleksologi percaya bahawa ia boleh memberi kesan positif kepada organ di seluruh badan dengan hanya menggunakan sentuhan dan tekanan pada bahagian yang sepadan di kaki.
Tekanan lembut dan regangan juga menggalakkan penyingkiran toksin dan peredaran darah yang lebih baik.
Adakah Urutan Refleksologi Selamat untuk Ibu Hamil?
Apabila sudah semakin sarat, adalah normal jika ibu hamil mengalami rasa sakit belakang malah emosi juga tidak stabil. Rasa lenguh kaki ketika awal kehamilan juga sering berlaku.
Namun, adakah urutan refleksologi yang tujuannya untuk melegakan tekanan fizikal dan mental ini selamat dilakukan oleh anda?
Jawapan ringkasnya adalah ya, asalkan anda telah mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada doktor anda bagi mengurangkan risiko yang tidak diingini.
Pada dasarnya, refleksologi selamat semasa hamil bahkan mempunyai banyak manfaat. Biasanya, urutan refleksologi sering digunakan untuk meredakan ketidakselesaan dan sakit di belakang serta sendi anda yang berdenyut akibat daripada perut yang semakin membesar.
Dan beberapa kajian awal juga ada menunjukkan bahawa ia boleh mengurangkan sakit pinggang dan pelvis serta tekanan mental wanita mengandung.
Selain itu, teknik ini juga kononnya boleh melegakan beberapa gejala kehamilan termasuk morning sickness, pedih ulu hati, bengkak di kaki (jika bukan disebabkan oleh preeklampsia), sembelit, tekanan darah tinggi (selagi ia tidak berkaitan dengan preeklampsia), insomnia, masalah pundi kencing, kekejangan ringan dan buasir.
Bahkan, refleksologi malah didakwa boleh membantu masalah kemurungan dan kebimbangan yang biasanya dialami wanita hamil.
Tetapi kesan refleksologi pada mana-mana keadaan ini belum terbukti secara saintifik.
Walau bagaimanapun, adalah sangat penting untuk memahami bahawa urutan refleksologi tidak boleh menggantikan rawatan perubatan biasa yang sepatutnya anda terima.
Anda tetap perlu melakukan rawatan perubatan biasa yang telah disarankan oleh doktor anda sepanjang tempoh kehamilan ya.
Kebanyakan ahli terapi tidak akan melakukan urutan refleksologi kepada bakal ibu yang baru di trimester pertama kehamilan mereka. Ini kerana trimester ini adalah tempoh di mana risiko keguguran paling tinggi. Kebanyakan ahli terapi lebih suka menunggu sehingga kehamilan berada di zon yang lebih selamat iaitu di trimester kedua dan seterusnya.
Manfaat Refleksologi untuk Ibu Hamil
Antara beberapa manfaat urutan refleksologi terhadap wanita yang sedang mengandung termasuklah:
- Mencegah preeklampsia
- Mengurangkan beberapa gejala kehamilan termasuk morning sickness, pedih ulu hati, bengkak di kaki yang bukan disebabkan oleh preeklampsia, sembelit, tekanan darah tinggi yang tidak berkaitan dengan preeklampsia, insomnia, masalah pundi kencing, kekejangan ringan, buasir dan banyak lagi
- Melancarkan proses bersalin
- Membantu pemisahan plasenta (apabila plasenta berpisah dari dinding dalam rahim)
- Membantu mengurangkan rasa bimbang yang dialami ibu mengandung
- Mengurangkan keletihan dan menambah tenaga
- Mengurangkan stress dan kemurungan selepas bersalin
Urutan refleksologi juga merupakan salah satu cara hilangkan lenguh kaki ketika hamil. Ia mungkin lebih baik dan puas berbanding daripada anda menggunakan mesin urut kaki bagi mengurangkan rasa sakit.
Risiko Refleksologi
Jika anda merancang untuk melakukan urutan refleksologi tetapi tidak pasti tentang keselamatannya, kami kongsikan beberapa perkara yang perlu anda ketahui.
Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa kawasan tertentu pada kaki anda yang merangsang pengecutan rahim dan mencetuskan pembukaan serviks.
Selagi anda mengelakkan kawasan ini, anda boleh mendapatkan kelegaan yang anda dambakan menerusi urutan refleksologi.
Salah satu kebimbangan utama mengenai urutan ini adalah pembekuan darah di bahagian bawah kaki. Ramai wanita hamil mengalami bintik-bintik bengkak atau gejala trombosis urat dalam (DVT) pada bahagian bawah kaki mereka akibat perubahan aliran darah.
Jika anda melihat sebarang gejala sedemikian, anda harus segera menghubungi doktor anda kerana melakukan urutan kaki dalam keadaan ini boleh merosakkan bahagian bawah anda.
Berikut adalah titik acupressure yang anda tidak boleh sentuh kerana ia boleh menyebabkan kelahiran sebelum masanya:
- Limpa 6 (SP6) Titik acupressure
Ia adalah kawasan yang terletak selebar tiga jari di atas tulang buku lali dalam yang akan merangsang bahagian bawah perut anda jika diurut.
Ia adalah kawasan sekitar sudut jari kelingking anda yang mencetuskan pengecutan rahim dan meletakkan bayi anda dalam kedudukan untuk bersalin normal.
Ia adalah kawasan antara tulang buku lali utama dan tendon Achilles di bahagian luar kaki. Mengurutnya dengan lembut boleh menggalakkan kelahiran. Walau bagaimanapun, mengurut kawasan ini juga boleh melegakan kesakitan semasa bersalin.
Secara amnya, urutan refleksologi merupakan terapi alternatif yang selamat untuk dilakukan oleh wanita hamil. Anda mungkin tidak akan mengalami apa-apa kesan sampingan, namun elak daripada melakukan urutan di tiga kawasan yang dinyatakan tadi.
Namun diingatkan, meskipun anda melakukan rawatan ini, anda tetap boleh mengalami gejala kehamilan biasa iaitu letih, pening dan emosi yang kurang stabil. Apa pun, sila berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum ingin melakukannya ya!
Adakah Urutan Refleksologi Mendorong kepada Kelahiran?
Pada minggu-minggu terakhir kehamilan iaitu apabila tarikh bersalin anda semakin hampir (minggu ke-37 hingga 40 atau lebih), urutan refleksologi boleh membantu melepaskan tekanan dan kebimbangan sebagai persediaan untuk bersalin.
Ramai wanita hamil melakukan urutan refleksologi bagi mengelakkan induksi untuk bersalin atau menjalani pembedahan caesarean.
Biasanya doktor mengesyorkan urutan refleksologi untuk menggalakkan kelahiran secara normal dan untuk membantu ibu berehat sementara menunggu masa bayi dilahirkan.
Semoga info kali ini berguna untuk anda!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Urutan Perineum Ketika Trimester Ketiga, Bantu Kurangkan Risiko Terkoyak Ketika Bersalin
Baca juga: Tambah & Lancar Susu Badan Ibu Dengan Urutan Payudara Oketani, Ibu Menyusu Boleh Cuba Ya!
Baca juga: 5 Jenis Urutan Sesuai Lepas Bersalin, Elak Urutan ‘Sengkak’ Yang Menyiksa Badan!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!