Bila anak tantrum dan asyik meragam mulalah ibu bapa pun jadi tak keruan. Lebih-lebih lagi sekarang ini dah boleh bawa anak keluar, buntu jadinya kadang-kadang untuk pujuk mereka bila tantrum depan orang ramai.
Jadi apa yang ibu bapa buat selalunya? Paling cepat tindakan adalah mesti kita marah anakkan? Sebab kita pun stres, marah sajalah yang selalunya paling selalu kita buat.
Apa cara lain yang anda sebagai ibu bapa boleh buat jika terjadi anak tantrum dan meragam tidak mahu berhenti terutama ketika berada di luar?
Anak tantrum? Kenapa ia terjadi?
Kredit: ruangmom
Kebanyakan ibu bapa pasti pernah menangani tantrum anak mereka, sama ada di rumah mahu pun di tempat awam. Ia pengalaman biasa bagi ibu bapa dan satu kelakuan normal dalam kalangan kanak-kanak.
Tantrum ialah tempoh singkat di mana berlakunya kemarahan secara tiba-tiba atau perlakuan tidak wajar seperti menangis, menjerit, memekik dan menunjukkan ketidakpuasan hati dengan tindakan menendang dan memukul.
Tantrum adalah perkara biasa dalam proses membesar apabila kanak-kanak mula belajar menjadi lebih berdikari dan mahu mengawal sendiri hidup mereka.
Kerap kali mereka kecewa apabila keperluan mereka tidak dipenuhi, serta tidak dapat menyuarakan perasaan akibat kemahiran bahasa yang terhad. Tantrum tercetus apabila seorang kanak-kanak berasa penat, lapar, tidak diendahkan, resah atau bimbang.
Bagi menghadapinya, ibu bapa harus memahami emosi anak mereka dan melakukan yang terbaik bagi mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan tantrum mereka.
Anak tantrum, meragam ini cara cepat alihkan perhatian mereka
Kredit: majalah pa&ma
Menurut Dr Ahmad Luqman Bukhari, kadang bila si kecil tu mula meragam, emosi kita pun jadi tak keruan. Lagi lagi bila benda tu terjadi kat luar rumah dan ada ramai orang lain di sekeliling.
Katanya, sebab itu mak ayah perlu belajar seni untuk mengalihkan fokus dan perhatian anak. Ini juga akan buat ibu bapa lebih tenang tanpa perlu marah-marah.
Menurut Dr Ahmad Luqman, ini 3 aktiviti yang boleh dilakukan untuk alihkan perhatian anak tantrum atau meragam daripada terus berterusan.
Apa yang penting, ibu bapa relaks saja ya. Anda perlu bertenang kerana pekikan dan jeritan anak anda mungkin membuatkan anda rasa marah, kecewa dan malu jika ia berlaku di hadapan orang lain.
Bagaimanapun, anda harus bertenang dan tidak susah hati. Ingat bahawa perkara ini juga berlaku kepada ibu bapa lain. Kemudian barulah anda boleh membuat keputusan rasional dalam menguruskan tantrumnya.
#1. Guna duit syiling
Keluarkan syiling daripada dompet dan sembunyikan pada salah satu tangan. Suruhlah si kecil tu teka syiling tu ada kat tangan yang mana.
Usaha untuk meneka akan membuatkan fokus anak teralih kepada tangan anda dan syiling itu sekaligus membuatkannya lupa kepada emosi marahnya tadi.
#2. Buat mimik muka
Kita buat buat mimik muka sedih, marah, gembira atau pun geram. Sambil tu minta anak teka gaya emosi apa yang kita tengah buat tu.
Cara ini akan buatkan anak anda teralih perhatian pada apa yang sedang anda buat dan dia fokus untuk meneka apa mimik muka yang sedang anda buat.
#3. Ajak main teka perkataan
Kredit:indometro.id
Ajak anak bermain teka perkataan. Kita sebutkan words yang mudah mudah tanpa bunyikan suara. Biar si kecil tu teka dengan cara perhatikan pergerakan bibir kita.
Anak akan fokus pada bibir anda, untuk teka apa yang sedang anda cuba bisikkan. Jadi sudah pastilah perhatian anak akan teralih daripada terus fokus kepada emosi mereka tadi.
Katanya, penting untuk ibu bapa kuasai seni alihkan fokus anak tantrum atau meragam kerana selagi mana perhatian anak fokus pada sesuatu yang lain, dia akan terlupa pada emosi dirinya dan perlahan lahan buatkan dia jadi kurang meragam atau tantrum.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Ahmad Luqman Bukhari, mypositiveparenting
Baca juga: Fahami Emosi Anak Ketika Mereka Tantrum, Ini 5 Tips Hadapi Tantrum Itu Dengan Tenang, Perkongsian Dari Pakar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!