Sekiranya bayi baru lahir kerap bersin tetapi tidak memberi tanda-tanda selsema, maka anda tidak perlu risau malah anda sepatunya berasa lega kerana ia bermaksud bahawa sistem dalaman badan cahaya mata anda berfungsi dengan baik!
Walaupun begitu, kami faham bahawa sebagai ibu dan ayah, anda pasti tidak akan lari dari perasaan risau dan gusar sekiranya anak anda kerap bersin.
Oleh sebab itu, kami akan singkirkan segala kerisauan anda dengan menjelaskan mengapa bayi lebih kerap bersin berbanding orang dewasa dan bila sepatutnya anda mulai risau jika si manja bersin.
Bayi Baru Lahir Kerap Bersin Tanda-tanda Kesihatan Yang Bagus
Foto: TAP ID
Terdapat beberapa sebab mengapa bayi baru lahir kerap bersin. Dan setiap puncanya bukanlah sesuatu yang anda perlu bimbangkan melainkan ia hadir dengan tanda-tanda serius yang lain seperti demam.
Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa bersin adalah satu perkara yang bagus dan sihat yang dilakukan oleh cahaya mata anda. Ia bermakna sistem saraf mereka berfungsi dengan sepatutnya, kerana bersin ialah suatu refleks yang dikawal oleh sistem saraf seseorang individu.
Seperti jeluak bayi, sendawa, sedu dan sebagainya, bersin juga adalah salah satu tindakan semulajadi yang ada pada si kecil sejak hari kelahiran mereka lagi.
Setara dengan orang dewasa, tindakan bersin ini akan terjadi apabila saluran hidung mula mengalami gangguan seperti masuk habuk atau sebagainya. Tetapi, bagi bayi, terdapat beberapa punca normal mengapa mereka bersin dengan kerap.
- Untuk membersihkan kotoran di dalam hidung
Si manja akan secara semulajadi bernafas menggunakan hidung dan ia boleh memakan masa 3 ke 4 bulan sebelum mereka belajar bernafas melalui mulut juga. Bagi bayi, sukar bagi mereka untuk menukar dari pernafasan melalui hidung ke pernafasan melalui mulut. Jadi, cahaya mata anda perlu bersin dengan agak kerap untuk membersihkan hidung mereka supaya mereka boleh bernafas seperti biasa.
Hidung si manja yang kecil memang comel dan membuatkan kita geram! Tetapi, apabila saiz hidung mereka kecil, ia bermakna saluran hidung mereka juga akan bersaiz kecil. Ini akan memudahkan zarah-zarah habuk dari persekitaran untuk masuk ke dalam saluran hidung bayi lalu membuatkan mereka bersin.
- Untuk melegakan hidung tersumbat
Foto: Kanya.ID
Tahukah anda bahawa bayi seringkali berhadapan masalah hidung tersumbat? Terutamanya ketika waktu menyusu bayi dalam keadaan baring. Lubang hidung bayi yang kecil mungkin akan terpenyet ketika mereka sedang menekan muka mereka rapat ke dada anda ketika waktu menyusu, lalu menyebabkan hidung tersumbat yang dapat dilegakan melalui bersin sahaja.
Si manja anda mungkin mengalami alahan terhadap perkara-perkara yang berada di dalam rumah anda seperti semburan pewangi automatik, habuk-habuk atau bulu haiwan peliharaan yang boleh menyebabkan saluran hidung mereka terganggu lalu bersin. Walaupun agak sukar untuk mengelak si manja dari berhadapan dengan zarah habuk, anda boleh menggunakan anti-histamin untuk melegakan simptom si kecil.
Bilakah Saya Patut Membawa Si Manja Berjumpa Doktor?

Bersin pada bayi kecil, termasuklah bayi yang baru lahir adalah sangat normal. Tetapi, jika anda melihat perkara yang luar biasa ketika si manja bersin seperti yang akan disenaraikan di bawah, anda bolehlah membawa si kecil anda berjumpa dengan doktor untuk mendapat nasihat rawatan seterusnya.
- Bersin diikuti dengan batuk
- Kesukaran untuk bernafas (bernafas dengan laju atau kelihatan seperti sedang mengah)
- Tidak mahu menyusu atau makan dan kelihatan tidak aktif
- Pergerakan dada yang kelihatan seakan-akan dipaksa
- Tidur lebih lama dari 8 hingga ke 10 jam sehari tetapi masih kekurangan tenaga
- Demam-demam
Jika si manja menunjukkan simptom-simptom ini, tidak mustahil untuk anak anda menghidapi jangkitan pernafasan tetapi jika tidak, anda tidak perlulah terlalu risau kalau si manja kerap-kerap bersin kerana ia hanya bermakna si manja anda sihat dan membesar dengan baik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent MalaysiaSumber: Healthline, VeryWell Family
Baca juga: Risiko Tahan Bersin Sangat Bahaya, Boleh Pecah Tekak!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!