Tahukah anda tentang khasiat dan kebaikan buah naga untuk ibu hamil? Jika sebelum ini kami di theAsianparent pernah menulis tentang manfaat buah naga untuk bayi enam bulan tapi kali ini kami ingin memberi fokus pula tentang buah berwarna ungu serta putih ini kepada wanita mengandung.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, jom kita lihat apakah manfaat dan kelebihan buah naga untuk ibu hamil dan bayi ini!
Kebaikan Buah Naga Untuk Ibu Hamil

Sebenarnya terdapat banyak kebaikan dan manfaat buah naga ini untuk kesihatan diri ibu mengandung, tetapi sebelum mengetahui dengan jelas apakah manfaat yang terkandung di dalam buah naga ini, jom kita kenali buah ini dengan lebih dekat lagi!
Bagi anda yang belum mengetahui, buah naga atau dragon fruit ini berasal daripada Selatan dan Amerika Tengah. Ia juga dikenali dengan buah kaktus yang popular di Asia. Buah naga ini memiliki kulit yang bersisik dan bertekstur di mana kulitnya tidak boleh dimakan.
Sementara di bahagian isinya pula berwarna putih dan ada juga merah dengan biji hitam yang boleh dimakan serta tidak berbahaya.
Apatah lagi, buah ini cukup menyegarkan dengan rasa masam-masam manis yang enak malah mengandungi nutrien seperti protein dan serat yang sangat bagus bagi wanita yang sedang sarat hamil.
Selain itu, buah naga turut mengandungi gula, karbohidrat, kalsium, serat makanan dan sodium yang dipercayai sihat bagi wanita hamil. Jadi, sekiranya anda mengambil buah naga ini dalam jumlah yang sepatutnya maka ia tentu sihat untuk anda.
Ini kerana, sebiji buah naga bersaiz sederhana memiliki anggaran berat antara 350 hingga 400 gram. Bagi wanita hamil, anda sebaikya mengambil sekurang-kurangnya 200 gram buah naga dalam satu hari. Jika ragu-ragu untuk mengambilnya, tanyakan dahulu kepada doktor dan ambil tahu jumlah yang disyorkan oleh perubatan.
Di bawah ini kami kongsikan beberapa manfaat buah naga atau dragon fruit untuk wanita hamil iaitu:

#1. Mengelakkan risiko anemia
Berdasarkan kajian yang dilakukan, minum jus buah naga merah mempunyai kesan yang signifikan ke tahap paras baik hemoglobin dan erythrocyte bagi wanita hamil.
#2. Melegakan masalah sembelit
Wanita hamil selalu mengadu sembelit sampai kadang-kadang mengalami setiap hari hingga perut dan rutin harian jadi tidak selesa.
Jadi dengan pengambilan buah naga ini dapat membantu meredakan sembelit pada tahap yang tertentu.
Ini kerana buah naga dapat membantu menghilangkan toksin dan mengekalkan kesihatan pencernaan secara keseluruhan.
#3. Lindungi dari radikal bebas
Satu kajian menunjukkan bahawa kesan antioksidan buah naga merah dapat mencegah kerosakan yang mungkin disebabkan oleh asap rokok pada bayi.
Ini kerana, wanita hamil yang terdedah dengan asap rokok boleh mempunyai risiko bayi dengan berat rendah.
Jadi dengan mengambil buah ini dapatlah mengekang dari masalah ini.
#4. Kebaikan buah naga dalam membantu mengawal kadar glukosa dalam darah
Menurut Yayasan Diabetes, benih buah naga dapat bantu mengatur kadar glukosa dalam darah dan berpotensi mencegah diabetes jenis 2.
Namun begitu, tiada bukti saintifik untuk menyokong teori ini sama ada dragon fruit ini baik atau berbahaya untuk pesakit diabetes gestational.
Sekiranya ragu-ragu untuk ambil buah naga, adalah lebih baik berbincang dengan doktor kehamilan anda terlebih dahulu.
Walaubagaimanapun, biasanya tiada kesan sampingan untuk makan buah naga semasa hamil tapi jika berlaku sebarang kesan alahan seperti bersin, ruam dan gatal-gatal sebaiknya henti dari mengambilnya.
Meskipun tiada alergi yang muncul, tapi anda disarankan mengambil dalam jumlah yang sepatutnya dan tidak berlebihan kerana apa saja yang diambil dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan hasil yang tidak baik.
#5. Mencegah kecacatan kelahiran
Manfaat buah naga seterusnya adalah kadar asid folik yang tinggi membuatkan buah ini menjadi kegemaran yang sangat sihat untuk ibu hamil. Asid folik melindungi bayi yang belum lahir daripada mendapat kecacatan kelahiran.
Buah ini juga memiliki beberapa nutrisi penting lain seperti vitamin B1, B2, B3, dan vitamin C.
Buah naga juga mengandungi nutrisi penting lainnya yang meningkatkan kesihatan janin, menjamin pertumbuhan dan perkembangan yang optimum.
#6. Kebaikan buah naga dalam membantu pertumbuhan tulang yang sihat
Buah ini juga membantu pertumbuhan tulang kerana ia mempunyai kalsium yang berperanan menguatkan tulang dan gigi.
Kalsium dan fosforus dalam buah naga dapat membantu pertumbuhan tulang pada janin.
Seperti yang ramai tahu, ketika hamil ibu akan kekurangan kalsium kerana ia banyak diserap oleh bayi yang dikandungkan, jadi disebabkan itu eloklah sekiranya ibu hamil mengambil buah naga dalam diet hariannya bagi memastikan mereka memiliki kadar kalsium yang cukup sepanjang berlakunya kehamilan.
Ibu hamil juga kadang kala mengalami sakit gigi yang disebabkan oleh kekurangan kalsium, jadi dengan pengambilan buah naga dalam diet harian mereka ia diharap dapat mengurangkan masalah gigi rapuh dalam kalangan ibu hamil.
#7. Meningkatkan hemoglobin (Hb)
Sering kali kita mendengar keluhan ibu hamil yang mempunyai masalah Hb rendah hingga ada yang takut untuk menghadap nurse katanya kerana takut nurse bising.
Jadi, kandungan zat besi dan vitamin C dalam buah naga membantu meningkatkan jumlah hemoglobin pada ibu hamil.
Jadi, buah naga membantu mengurangkan risiko anemia dan setiap kesan buruk yang disebabkan oleh kadar hemoglobin yang rendah.
Ibu hamil wajib menjaga hemoglobin mereka dan pastikan tidak terlalu rendah kerana ia merbahaya kepada bayi dalam kandungan dan juga ibu yang mengandung.
#8. Kebaikan buah naga dalam mengatasi masalah sembelit
Sembelit antara masalah popular yang sering menjadi keluhan rata-rata ibu hamil.
Serat tinggi dalam buah naga dapat mengelakkan sembelit. Selain itu, nutrisi dalam buah naga juga bertindak sebagai ejen untuk melawan banyak gangguan pencernaan yang lain yang akan menyebabkan ketidakselesaan kepada ibu hamil.
#9. Kebaikan buah naga yang mampu menjadikan kulit ibu hamil lebih cantik
Menjadi ibu hamil kadangkala perlu menerima hakikat yang kulit menjadi breakout terutama di sekitar kawasan muka. Pada masa itulah jerawat nak keluar.
Jika dulu tidak pernah berjerawat, tidak mustahil ketika hamil akan munculnya jerawat di pelbagai tempat termasuklah juga kawasan dahi dan sebagainya.
Jadi kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah ini akan melindungi kulit ibu hamil daripada menjadi terlalu kering atau berminyak.
Semasa kehamilan, mendapatkan Vitamin C yang cukup adalah penting untuk menyokong pertumbuhan gusi, gigi dan tulang pada janin.
Bukan hanya itu saja, vitamin C juga dapat menangkal radikal bebas yang dapat mencegah terjadinya penyakit.
#10. Kebaikan buah naga yang berfungsi sebagai sumber karbohidrat yang baik
100 gram buah naga memiliki sekitar 9 hingga 14 gram karbohidrat. Kadar karbohidrat yang disarankan untuk diambil ibu hamil adalah 135 gram setiap hari.
Karbohidrat menyediakan sumber tenaga utama ketika pertumbuhan janin dalam perut ibu.
Makan buah naga setiap hari dapat membantu menjaga tenaga dan stamina agar dapat menjalani masa kehamilan dengan baik.
#11. Mengawal gula dalam darah
Ada kalanya ibu hamil terlalu sensitif dengan gula. Makan gula sikit pun boleh buat kadar gula dalam darah naik. Jadi, amalkanlah buah naga jika anda teringin makanan manis.
Khasiat Buah Naga Merah & Putih

Untuk makluman anda, buah naga atau dragon fruit yang berwarna merah adalah lebih manis dan berair berbanding dengan buah naga yang berwarna putih. Seperti warnanya yang berbeza, khasiat untuk kedua-dua buah ini juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Kebaikan Buah Naga Merah
- Kelebihan buah naga merah adalah ia mengandungi serat yang tinggi
- Terdapat kandungan prebiotik di mana ia berfungsi untuk memberi makan kepada probiotik yang sihat di dalam usus
- Antara khasiat buah naga untuk ibu hamil juga adalah dapat meningkatkan sistem imun tubuh
- Berupaya untuk menstabilkan gula dalam darah
- Mempunyai magnesium yang tinggi
- Sangat kaya dengan fitonutrien yang berupaya membantu dalam pencegahan penyakit serta memastikan tubuh berfungsi dalam keadaan yang baik
- Mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi
- Mempunyai lebih banyak kandungan vitamin C
Kebaikan Buah Naga Putih
- Kandungan gula yang rendah di dalamnya sangat sesuai buat anda yang mempunyai diabetes
- Kandungan serat yang tinggi membantu melancarkan sistem pencernaan
- Kelebihan buah naga putih adalah kerana ia mengandungi antioksidan flavonoid serta betasianin yang berupaya melindungi sel badan daripada radikal bebas
- Buah naga putih juga mampu membantu serta menurunkan risiko penyakit jantung serta strok
- Sangat sesuai buat anda yang ingin menurunkan berat badan kerana buah naga putih mempunyai kandungan kalori dan lemak yang rendah
Cara Masukkan Buah Naga Dalam Diet Anda

1) Potong bahagian buah sama ada dalam bentuk kiub atau kepingan. Anda juga boleh campurkan buah naga dengan buah-buahan yang lain serta jadikannya seperti salad buah yang enak! Pasti nikmat dan terangkat selera.
2) Boleh juga buat smoothie dengan menggunakan buah naga. Ia cukup menyegarkan anak tekak!
3) Buah naga ini juga boleh dibuat jem dan nikmatinya bersama roti putih atau pankek. Memang enak!
Pesanan: Sekiranya anda tidak minat untuk makan buah naga ini, anda boleh juga makan buah-buahan yang lain bagi mendapatkan khasiatnya.
Buah Untuk Ibu Mengandung

Selain buah naga, terdapat beberapa lagi jenis buah yang sangat sesuai dan amat digalakkan ibu hamil untuk memakannya bagi membantu anda dan bayi sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik iaitu:
#1. Avokado
Bagi anda yang sering mengalami masalah kekejangan pada kaki semasa hamil, anda disyorkan untuk memakan buah avokado bagi melegakannya. Avokado juga berupaya untuk membina kulit dan tisu otak bayi.
#2. Epal
Buah epal mampu mengurangkan risiko bayi menghidap asma dan alahan serta membantu janin membesar dengan sihat.
#3. Pisang
Pisang mengandungi serat yang sangat tinggi di mana ia membantu menyelesaikan masalah sembelit di kalangan ibu hamil serta menghilangkan rasa loya dan muntah semasa mengandung.
#4. Oren
Kandungan folat dalam buah oren berupaya untuk mencegah kecacatan pada tiub neutral di mana ia mampu menyebabkan berlakunya keabnormalan pada otak serta saraf tunjang bayi.
#5. Aprikot
Aprikot mempunyai pelbagai nutrien penting untuk tubuh seperti kalsium, zat besi, potasium, beta karotena, fosforus, silikon serta vitamin A, C dan E. Semua nutrien ini sangat diperlukan bagi perkembangan dan pertumbuhan bayi anda serta mencegah masalah anemia ibu hamil.
#6. Mangga
Buah mangga sangat kaya dengan vitamin A dan C. Ia membantu meningkatkan tahap imun badan bayi terhadap jangkitan penyakit.
#7. Pear
Ibu hamil yang sering mengalami sembelit sangat digalakkan untuk makan buah pear kerana ia mengandungi serat yang tinggi. Selain itu, buah pear juga mempunyai kandungan potassium yang memberi manfaat kepada jantung serta merangsang pertumbuhan semula sel.
#8. Delima
Buah delima merupakan makanan sunnah dan memberi banyak manfaat kepada wanita hamil. Ia mengandungi vitamin K, kalsium, folat, zat besi, protein dan serat. Buah delima dapat membekalkan sumber tenaga serta mengurangkan risiko kecederaan pada plasenta.
Buah Yang Tidak Boleh Dimakan Ketika Mengandung

Walaupun diketahui bahawa kebanyakan buah-buahan banyak memberi manfaat kepada ibu hamil, tetapi anda tetap perlu waspada dengan beberapa jenis buah-buahan seperti berikut:
#1. Anggur
Ibu hamil dinasihatkan untuk elakkan pengambilan buah anggur ketika berada pada trimester terakhir kehamilan. Ini adalah kerana buah anggur mampu menaikkan suhu badan di mana ia tidak bagus untuk ibu serta bayi dalam kandungan.
#2. Nanas
Pengambilan buah nanas semasa mengandung boleh menyebabkan berlakunya kontraksi pramatang atau keguguran di mana buah ini mengandungi enzim yang boleh mengubah tekstur serviks. Selain itu, buah nanas juga boleh menyebabkan anda mengalami cirit-birit.
#3. Betik
Elakkan daripada memakan betik mentah atau separuh mentah kerana ia mengandungi lateks yang boleh menyebabkan pengecutan rahim, pendarahan, keguguran, kelahiran pramatang dan membahayakan bayi.
#4. Asam jawa
Walaupun terkenal kerana mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi, anda tidak digalakkan mengambilnya secara berlebihan ini adalah kerana ia mampu menyekat pengeluaran progesteron dalam tubuh. Pengeluaran progesteron yang rendah mampu membuatkan ibu hamil mengalami keguguran, kelahiran pramatang serta berlaku kerosakan pada sel janin.
Semoga perkongsian ini sangat bermanfaat buat anda semua!
-
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bagus Untuk Sembelit, Ini 10 Manfaat Makan Buah Nanas Untuk Ibu Mengandung Ramai Tidak Tahu!
Baca juga: Boleh Cegah Komplikasi Kehamilan, Ini 9 Khasiat Buah Delima Untuk Ibu Mengandung
Baca juga: Buah Kering Berkhasiat Untuk Ibu Hamil, 6 Pilihan Yang Boleh Anda Cuba
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!