Tidak dinafikan musim hujan ini, banyak pula cendawan yang tumbuh melata di sekitar rumah. Tetapi, tidak semua cendawan yang kelihatan cantik, gebu dan besar adalah selamat dimakan, ya. Hati-hati, kemungkinan cendawan yang dipetik adalah cendawan beracun.
Baru-baru ini tular dengan berita seluruh ahli keluarganya mengalami muntah-muntah teruk dan jatuh sakit gara-gara termakan cendawan beracun. Menurut perkongsiannya di Tiktok, cendawan liar tersebut dipetik oleh suaminya di tepi kawasan rumah.
“Saya ambil cendawan itu, dan membersihkannya seperti biasa untuk dijadikan hidangan.
“Apabila diteliti, ia kelihatan sama seperti cendawan busut tetapi ada sedikit perbezaan pada teksturnya, apabila dimasak ia bertukar warna hijau” katanya.
Jenis cendawan beracun yang anda perlu tahu
Cendawan adalah bahan yang mudah untuk disediakan. Ia biasanya sedap dimasak tumis air atau dibuat sup cendawan. Ada banyak sebenarnya jenis cendawan yang boleh dimakan.
Antaranya, cendawan telinga kera, cendawan kukur, cendawan butang, cendawan Shitake, cendawan Enokitake, cendawan Bunashimeji, cendawan tiram dan tiram raja, tali dan cendawan busut.
Namun begitu, ketahui juga 6 jenis cendawan beracun supaya tidak keliru!
1. Amanita Bisporigera
Amanita bisporigera adalah cendawan beracun yang paling bahaya dalam keluarga Amanitaceae. Ia turut dikenali sebagai cendawan ‘Eastern North American Destroying Angel’ atau cendawan malaikat pemusnah.
Cendawan ini mempunyai payung putih halus dan mempunyai dua spora dalam satu induk.
2. Pholiotina Rugosa
Pholiotina rugosa adalah cendawan rumput biasa yang tumbuh secara meluas dan biasanya ditemui di Eropah, Asia dan Amerika Utara. Ia mengandungi mikotoksin yang boleh membawa maut.
3. Galerina Sulciceps
Cendawan ini hidup di wilayah tropika Indonesia dan India. Ia mengandungi lebih banyak toksin berbanding cendawan jenis deathcap menjadikan ia tidak boleh dimakan.
4. Sulfur Tuft
Antara cendawan beracun yang bahaya dimakan adalah cendawan jenis sulfur tuft. Ia adalah cendawan yang biasa ditemui di hutan dan tumbuh dalam gumpalan besar pada tunggul, akar mati dan batang pokok yang lebar. Rasanya pahit dan jika memakannya boleh menyebabkan muntah, cirit-birit dan sawan kerana mengandungi toksin steroid.
5. Galerina Marginata
Cendawan beracun ini mengandungi amatoksin sama seperti cendawan Amanita phalloides. Ia mempunyai insang berwarna coklat dan cetakan spora yang berkarat. Nak lebih mudah, perhatikan cincin membran yang terdapat pada batang cendawan ini.
Jika anda termakan jenis ini boleh mengakibatkan kerosakan hati yang teruk, muntah, cirit-birit, masalah hipotermia dan menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.
6. Chlorophyllum Molybdites
Adakalanya ada yang tersilap pandang kerana menyangka cendawan jenis ini adalah cendawan busut. Cendawan Chloropohyllum Mloybdites atau dikenali sebagai False Parasol adalah jenis cendawan beracun yang menyebabkan kes keracunan yang berlaku pada seluruh ahli keluarga baru-baru ini.
Ciri-ciri cendawan beracun
Semua cendawan menghasilkan toksin tetapi kadar dan kepekatan toksin yang tinggi boleh memberikan kesan kepada pemakannya. Berikut antara ciri-ciri yang terdapat pada cendawan beracun.
- Insang berwarna putih – Cendawan yang boleh dimakan biasanya mempunyai insang berwarna merah jambu.
- Topi berwarna merah terang – Cendawan bertopi merah terang mempunyai racun yang mengakibatkan kesan halusinasi.
- Cincin pada batang – Sesetengahnya mempunyai tisu berbentuk cincin pada batang cendawan yang melindunginya sebelum matang.
- Volva atau selaput putih pada pangkal batang – Perhatikan pangkal batang cendawan di dalam tanah jika mempunyai volva atau tidak kerana kesannya boleh membawa maut.
Untuk langkah berjaga-jaga, elakkan memetik dan makan cendawan yang tidak diketahui kerana khuatir boleh menjadi racun. Sebaiknya, beli di pasaraya atau pembekal komersial.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jenis Cendawan Yang BAHAYA Untuk Bayi Makan, Parents Sila Take Note!
Baca juga: 6 Jenis Ikan Tak Boleh Makan Ketika Hamil, Ibu-Ibu Sila Take Note!
Baca juga: Hiasan Daun Tanaman Mencantikkan Rumah Tapi Ada Pokok BERACUN!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!