Bayi senyum buat pertama kali merupakan saat yang paling comel dan menggembirakan. Bahkan, menurut saintis, ia merupakan salah satu perkembangan emosi dan sosial bayi baru lahir!
Apa yang lebih penting ialah bagaimana anda bertindak balas terhadap senyuman manis mereka itu kerana ia dapat membantu otak bayi1 untuk berinteraksi dengan orang sekelilingnya. Jika bayi senyum, janganlah anda buat tak tahu saja. Cubalah bersembang dengan mereka ya!
Dalam artikel ini, anda akan ketahui lebih lanjut tentang:
- Usia bayi mula senyum
- Maksud senyuman bayi
- Jenis-jenis senyuman bayi
Bayi senyum pada usia berapa bulan?
Kredit: Jason Sung/Unsplash
Kebanyakan bayi akan mula senyum apabila mereka berumur antara enam minggu dan lapan minggu (satu setengah hingga dua bulan).
Walau bagaimanapun, tidak semua bayi sama, jadi jangan risau jika si kecil anda mengambil masa lebih lama daripada ini. Khususnya, jika bayi anda dilahirkan pramatang, mereka mungkin memerlukan beberapa minggu tambahan untuk memahaminya.
Mungkin anda akan perasan ketika bayi anda tidur, dia kelihatan tersenyum. Tetapi itu sebenarnya hanyalah ekspresi muka atau refleks yang dibuat oleh bayi.
Bayi anda juga mempunyai senyuman refleks yang mungkin anda lihat pada minggu-minggu awal kelahiran bayi. Bayi mempunyai keupayaan untuk tersenyum di dalam rahim sebelum mereka dilahirkan.
Selepas kelahiran, anda mungkin menyaksikan sedikit senyuman semasa bayi anda tidur atau walaupun mereka bergoyang-goyang cuba mengeluarkan kentut.
Petunjuk senyuman bayi
Senyuman refleks tidak dianggap sebagai senyuman pertama yang sebenar kerana ia berlaku secara rawak, bukan kerana bayi anda berasa gembira atau cuba berhubung dengan anda.
Apabila bayi benar-benar senyum, ia dikenali sebagai ‘senyuman sosial’ yang mana ia memang menggambarkan pereasana mereka.
Terdapat beberapa petunjuk kecil sama ada ekspresi muka bayi anda adalah senyuman sebenar atau tidak. Pertama, adakah mereka memberi perhatian kepada dunia di sekeliling mereka? Jika ada sebab yang jelas mengapa mereka tersenyum contohnya, anda baru sahaja memberikan senyuman lebar kepada mereka sendiri itu mungkin senyuman sebenar.
Satu lagi cara untuk mengetahui sama ada ia senyuman atau sekadar ekspresi, adalah dengan melihat mata bayi anda. Jika mereka benar-benar tersenyum, kegembiraan jelas terpancar di mata mereka!
Jadi jika anak anda tersenyum cuba beri perhatian, jangan buat tak tahu saja ya.
Saintis dari Universiti of California pernah mencipta satu robot yang senyum pada sukarelawan dengan cara yang sama seperti bayi yang berumur empat bulan senyum. Dengan pengiraan matematik, penyelidik membuat kesimpulan, ketetapan senyuman bayi membuatkan ibu mereka juga turut tersenyum.
Sementara itu, ahli psikologi di Johnson State College di Amerika Syarikat pula menegaskan bayi tidak akan tersenyum jika ibu ayah mereka tidak ketawa bersama. Bahkan mereka juga menyatakan bayi berumur lima bulan akan tertawa dan tersenyum pada benda lucu seperti bermain ba cak. Walaupun perlakuan itu nampak biasa saja, namun bagi bayi ia melucukan.
Adakah bayi senyum tanda gembira?
Senyuman sosial menandakan bahawa bayi anda cuba untuk melibatkan diri dengan anda dan meniru ekspresi muka2 anda. Tahap perhubungan sosial ini mengambil masa untuk berkembang, itulah sebabnya ia mengambil sedikit masa sebelum bayi anda boleh tersenyum kepada anda.
Walaupun bayi anda tidak memberi anda senyuman sosial sejak awal, mereka masih belajar kemahiran sosial hasil interaksi anda dengan mereka. Ia juga salah satu cara mereka mengekspresikan perasaan gembiranya.
Anda mungkin perasan bayi anda bereksperimen dengan membuat muka kepada anda, cuba meniru apa yang anda lakukan. Malah, bayi yang baru lahir pun boleh meniru mimik muka seperti membuka mulut atau menjelirkan lidah.
Menjelang usia kira-kira 2 atau 3 bulan, anda akan perasan bayi anda sedang memerhati orang di sekelilingnya dan mungkin mula bercakap sambil tersenyum. Ini adalah cara bayi anda bercakap sedikit dengan anda.
Lebih banyak anda terlibat dengan percubaan ini, lebih banyak perkembangan otak bayi anda akan berkembang. Selain itu, “berbual” dengan anak kecil anda semasa mereka belajar cara berinteraksi dengan orang lain boleh dikatakan salah satu bahagian terbaik dalam beberapa bulan pertama bersama bayi anda.
Jenis-jenis senyuman bayi
Jika anda ingin menggalakkan bayi anda tersenyum dan berkomunikasi dengan anda, cari masa apabila mereka tenang, tetapi matanya cerah dan berjaga-jaga.
Jika mereka letih, lapar atau terlalu dirangsang, mereka mungkin tidak akan mahu tersenyum. Apabila bayi anda berehat dan melihat sekeliling dengan penuh minat, pegang dia bertentangan dengan anda, dengan mukanya dekat dengan muka anda (kira-kira 30cm jaraknya).
Beri mereka senyuman lebar, dan bercakap atau menyanyi kepada mereka. Tidak kira apa yang anda katakan, atau jika anda bisu anak kecil anda hanya suka melihat mimik muka anda dan mendengar suara anda.
Jadi cuba saja buat dia tersenyum ketika mood nya dalam keadaan baik. Jangan pula ketika dia bad mood. Langsung tidak jadi apa nanti malah dia mengamuk lebih teruk pula nanti.
#1. Bayi senyum secara spontan
- Ibu ayah menunggu dengan sabar bagi melihat senyuman si kecil yang baru lahir ini.
- Bagaimanapun senyuman ketika ini mungkin hanya senyuman refleks yang berlaku pada bayi
- Kadangkala bayi juga akan kelihatan tersenyum jika dia mahu membuang angin. Rasa kelakar bukan? Tetapi memang senyuman refleks boleh berlaku ketika baby membuang angin.
- Kebiasaan, senyuman jenis berlaku ketika bayi mengantuk atau semasa tidur. Ia dikenali sebagai senyuman spontan kerana tiada rangsangan daripada luar.
- Senyuman bayi baru lahir ini mungkin disebabkan bahagian primitif otak dan impuls yang disambungkan ke sistem kognitif dan emosi.
#2. Senyuman secara sosial
- Apabila bayi 1 bulan atau berusia enam hingga lapan minggu akan mula tersenyum dan bertindak balas kepada rangsangan luar seperti mendengar suara dan melihat wajah ibu ayahnya.
- Bayi akan tersenyum apabila melihat orang yang dia kenal terutama ibu dan ayahnya.
- Bayi berusia tiga bulan ke atas akan kecewa jika orang dewasa yang tengah tersenyum padanya tiba-tiba bertukar wajah masam.
- Pakar percaya ini menunjukkan ekspresi emosi dan sebagai langkah untuk berinteraksi.
#3. Senyuman tanda bertindak balas terhadap orang sekeliling
- Anda dapat melihat senyuman ini pada bayi berumur antara dua hingga enam bulan.
- Ciri-ciri senyuman ini adalah mengangkat pipi dan otot mata untuk beri respon pada senyuman ibu ayahnya.
#4. Senyuman sambil mulut terbuka atau senyuman suka bermain
- Bayi senyum dengan bibir dibesarkan dan mulut terbuka. Tanda dia terlalu suka!
- Ia dapat dilihat ketika anda sedang bermain dengan bayi yang berumur sekitar lapan bulan. Bahkan, ini merupakan langkah positif untuk melihat perkembangan bayi.
#5. Senyuman anticipatory
Kredit: story. motherhood.com
- Setelah berumur enam bulan, bayi mula menyukai bermain dengan permainan.
- Contohnya, ketika bermain dan membelek mainan si kecil akan tersenyum.
- Apabila bayi berumur lapan hingga 12 bulan bermain dengan mainan yang berbunyi. Mereka akan memberi reaksi seronok dan tersenyum dengan girang.
#6. Lucu dan tertawa
- Bayi akan mula tertawa lucu sekitar umur sembilan bulan ke atas.
- Manakala bayi berusia tujuh bulan akan mula ketawa dan kemudian berhenti jika orang sekelilingnya tidak turut serta bersamanya.
- Menurut pakar, walaupun masih kecil. Kanak-kanak usia ini sudah dapat menyesuaikan tindak balas dengan emosi orang lain.
Justeru ibu ayah perlu tahu maklumat bayi senyum ini supaya anda lebih peka terhadap emosi si kecil dan tidak terkejut sekiranya melihat bayi tersenyum dan ketawa girang.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jangan Terkejut Jika Bayi Senyum Ketika Tidur! Adakah Mereka Sudah Boleh Bermimpi?
Baca juga: Bayi Senyum Kerana Emosi Atau Buang Angin? Parents Wajib Tahu, Jangan Syok Sendiri
Baca juga: Alahai Comelnya Bayi Tersenyum Ketika Tidur, Tapi Apa Maksudnya? Betulkah Dia Mimpi Bermain Dengan Uri?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!