Apabila seorang bayi melakukan perkara-perkara yang biasa orang dewasa lakukan, walau sekecil-kecil perkara seperti menguap atau menggeliat, ia akan kelihatan comel! Lagi-lagi apabila si manja sedu. Mereka akan berbunyi seakan-akan anak patung. Tetapi, jika bayi anda terlalu kerap sedu, adakah ini perkara biasa dan adakah ia menyebabkan kesakitan pada si manja? Masakan kita yang tersedu-sedu pun boleh merasa sakit dada, apatah lagi kanak-kanak kecil yang tidak tahu menahu pun apa dan kenapa bayi sedu!
Oleh itu, mari kita kupaskan tentang punca-punca si manja sedu dan tanda-tanda mereka perlu berjumpa doktor serta cara untuk mengurangkan atau merawat sedu anak yang terlalu kerap.
Kenapa Bayi Sedu Terlalu Kerap! Apakah Puncanya?
Kredit: Dr Qaisrani
Sebelum itu, anda perlu ketahui bahawa sedu ini berlaku apabila diafragma kita (otot di bawah tulang rusuk) mula mengalami ketidakselesaan atau gangguan.
Otot tersebut akan mengecut dengan sendiri atau mengalami kekejangan lalu menyebabkan udara untuk diserap masuk ke dalam kerongkong. Dengan kemasukan udara tersebut, pita suara kita akan tertutup dengan pantas sebagai respons lalu menyebabkan kita mengeluarkan bunyi apabila sedu.
Tetapi, pakar kajian masih tidak pasti apakah punca-punca utama mengapa seorang bayi kerap mengalami sedu, tetapi ada yang berpendapat bahawa sedu membantu untuk mengeluarkan angin berlebihan yang berada pada perut si manja.
Tetapi, punca-punca lain yang berkemungkinan menyebabkan sedu termasuklah:
- Makan terlalu banyak (susu badan, susu formula atau makanan-makanan lain)
- Makan dengan terlalu laju
- Menelan terlalu banyak udara
Ya, sedu adalah normal di kalangan kanak-kanak kecil. Malah, ada sesetengah bayi yang sudah mula sedu seawal usia 21 minggu ketika masih berada di dalam rahim ibu!
Sedu juga tidaklah merbahaya kepada kesihatan atau tumbesaran cahaya mata anda. Kecuali jika mereka mengalami kesukaran untuk tidur atau bermain-main seperti biasa disebabkan sedu tersebut, maka anda tidak perlu pun membawa si manja berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa cara yang boleh anda ambil dan lakukan untuk mengurangkan serta mengawal permasalahan sedu bayi anda.
Bagaimana Saya Boleh Kurangkan Sedu Si Manja Saya?
Kredit: Flo Health
Walaupun tips-tips yang bakal kami kongsikan di bawah tidaklah terbukti secara saintifik, tetapi ia telah membantu ramai para ibu bapa untuk menghentikan dan mengawal tahap sedu cahaya mata mereka.
- Sendawakan si manja. Kurangkan kandungan udara yang si manja anda telah telan tanpa sengaja dengan menyendawakan mereka selepas menyusu. Ambil sedikit masa semasa menyusu untuk sendawakan bayi, kemudian sambunglah menyusu.
- Menggosok belakang atau perut bayi. Ketika menggosok badan bayi, aplikasikan sedikit tekanan terutamanya kepada bahagian perut bayi untuk membuat mereka melepaskan angin.
- Menggunakan puting. Memberi si manja menghisap puting boleh mengendurkan diafragma bayi anda setelah ia mengejang dan terganggu. Apabila diafrgama si manja anda mula tenang, maka sedu anak anda juga akan hilang.
- Perbetulkan posisi bayi semasa penyusuan. Jika anda menyusu bayi ketika mereka dalam posisi duduk, ia akan menyebabkan angin naik dengan lebih cepat lalu membuat si manja sendawa.
- Biarkan sahaja. Walaupun anda mungkin berasa kasihan terhadap si manja, tetapi ketahuilah bahawa sedu tidak menyakitkan si manja jadi anda boleh membiarkan mereka sedu dan berhenti sendiri. Sedu pada bayi akan mula hilang setelah beberapa minit.
Kini anda sudah ketahui apa yang perlu anda lakukan untuk menghentikan si manja dari terus sedu. Tetapi, anda juga perlu tahu ada beberapa perkara yang perlu anda elak lakukan untuk memberhentikan sedu si manja anda!
Kredit: University College London
- Jangan terkejutkan bayi. Walaupun di dalam filem kita sentiasa lihat mereka mengejutkan satu sama lain apabila seseorang mengalami sedu, ia sebenarnya tidak menjadi pun di dunia realiti.
- Jangan menahan nafas bayi. Bagi seorang bayi, jika anda menahan mereka dari bernafas untuk menghentikan sedu, ia adalah satu perbuatan yang terang-terangannya sangat bahaya.
- Menarik lidah mereka. Ramai yang berpendapat bahawa jika lidah bayi ditarik sambil menekan dahi mereka atau anterior fontanelle (bahagian lembut kepala bayi), ia akan membuat si manja berhenti sedu. Tetapi, cara ini hanya akan menyakitkan si manja anda jadi jangan sesekali melakukannya!
Haaa.. jadi terjawab sudah persoalan kenapa bayi sedu? Sekiranya anak anda sedu tanpa henti, cuba cara di atas . Namun jika masih tidak berhenti selepas 3 jam, bawa jumpa kepada pakar untuk penelitian lebih lanjut.
Selamat berjaya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: The Bump, Medical News Today
Baca juga: Bayi Anda Merengek Bila Ada Bersama Bayi Lain, Ini Penjelasannya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!