Luka czer bernanah atau terbuka semula sememangnya mimpi ngeri bagi ibu bersalin secara pembedahan. Selain menyakitkan, ia juga boleh membawa risiko jangkitan serius.
Punca Luka Czer Bernanah
Berikut adalah punca-punca yang boleh menyebabkan luka pembedahan czer menjadi bernanah:
1. Kebersihan Luka Tidak Dijaga
Luka yang tidak dibersihkan dengan betul boleh menyebabkan bakteria mudah masuk dan menjangkiti kawasan luka.
Ia boleh berlaku jika ibu tidak mencuci luka mengikut arahan doktor atau menggunakan kain/tisu yang kotor.
2. Kelembapan dan Peluh Terkumpul
Bahagian perut mudah berpeluh, lebih-lebih lagi bagi ibu yang berbadan besar. Jika peluh terkumpul, luka akan sentiasa lembap dan ini menggalakkan pembiakan kuman.
3. Tangan Tidak Bersih
Ramai yang tak sedar mereka sentuh luka tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.
Ini boleh memindahkan bakteria dari tangan ke luka, terutamanya selepas ke tandas atau tukar lampin bayi.
4. Pakaian Tidak Sesuai
Pakaian yang ketat atau tidak serap peluh boleh menyebabkan kawasan luka jadi panas dan lembap yang akhirnya boleh mencetuskan jangkitan.
5. Masalah Kesihatan Seperti Diabetes
Ibu yang ada kencing manis lebih mudah terkena jangkitan kerana paras gula dalam darah tinggi boleh melemahkan daya ketahanan badan.
Bila Luka Czer Akan Sembuh?
Tempoh penyembuhan luka czer bergantung kepada kesihatan individu dan cara penjagaan. Secara umum:
- Lapisan kulit luar: 2 hingga 3 minggu untuk pulih sepenuhnya
- Lapisan dalaman rahim dan perut: 6 minggu atau lebih
Namun jika berlaku jangkitan seperti bernanah, luka boleh mengambil masa lebih lama untuk pulih dan memerlukan rawatan tambahan seperti antibiotik atau prosedur pembersihan luka oleh doktor.
Faktor Risiko Luka Czer Bernanah
Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko luka czer menjadi bernanah:
1. Berat Badan Berlebihan (Obesiti)
Lapisan lemak yang tebal di kawasan perut boleh menyebabkan luka lambat kering dan meningkatkan risiko jangkitan.
2. Diabetes atau Paras Gula Tidak Terkawal
Gula dalam darah yang tinggi boleh mengganggu proses penyembuhan dan melemahkan sistem imun.
3. Merokok
Rokok boleh menyempitkan salur darah dan mengurangkan aliran oksigen ke kawasan luka, menyebabkan luka lambat sembuh dan mudah dijangkiti.
4. Sistem Imun Lemah
Contohnya, ibu yang sedang menjalani rawatan tertentu atau ada penyakit kronik lebih terdedah kepada jangkitan.
5. Sejarah Luka Czer Bernanah
Jika ibu pernah mengalami luka czer bernanah dalam kelahiran sebelum ini, kemungkinan untuk berulang adalah lebih tinggi.
Gejala & Simptom Luka Czer Bernanah
Simptom-simptom berikut boleh menunjukkan luka czer telah dijangkiti dan bernanah:
1. Luka Merah, Bengkak dan Sakit
Luka yang sihat akan menjadi kering dan warna kulit sekitar luka akan pudar. Jika sebaliknya, luka menjadi merah terang, bengkak dan sakit bila disentuh, ia mungkin petanda awal jangkitan.
2. Nanah atau Cecair Keluar Dari Luka
Jika keluar cecair kekuningan atau kehijauan, ia tanda jangkitan serius. Cecair ini kadangkala berbau busuk.
3. Bau Kurang Menyenangkan Dari Kawasan Luka
Bau busuk menunjukkan luka mungkin telah dijangkiti bakteria dan mula merebak.
4. Demam Badan Menggigil
Sistem badan sedang melawan jangkitan. Jika suhu badan melebihi 38°C, segera dapatkan rawatan.
5. Luka Lambat Sembuh atau Semakin Teruk
Jika selepas 2-3 minggu luka masih nampak terbuka, sakit atau bertambah teruk, kemungkinan ada masalah serius pada bahagian dalam luka.
Apa Ibu Perlu Buat Jika Luka Czer Bernanah?
- Jangan picit luka atau cuba buang nanah sendiri.
- Segera ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan.
- Doktor mungkin akan beri antibiotik, ubat tahan sakit atau buat prosedur cuci luka.
- Jika jangkitan merebak terlalu dalam, prosedur tambahan mungkin diperlukan untuk buang tisu yang dijangkiti.
Cara Elak Luka Czer Bernanah
- Pastikan tangan bersih sebelum menyentuh kawasan luka. Ini untuk elak jangkitan kuman yang boleh menyebabkan luka bernanah.
- Ikut cara cuci luka seperti yang diarahkan oleh doktor atau jururawat sama ada guna antiseptik, salin dressing, atau hanya lap perlahan. Jangan pandai-pandai tukar cara rawatan sendiri.
- Pakaian ketat boleh geser luka dan melambatkan sembuh. Pilih kain kapas yang longgar dan serap peluh supaya kawasan luka sentiasa kering.
- Tangan kita mungkin tak bersih. Bila terlalu kerap sentuh atau korek luka, bakteria mudah masuk dan buatkan luka jadi bernanah.
- Elakkan aktiviti yang beri tekanan pada perut. Rehat bantu badan fokus pada proses penyembuhan. Angkat berat boleh buat luka terbuka semula.
- Jika ada kencing manis, pastikan paras gula terkawal. Gula tinggi lambatkan proses sembuh dan tingkat risiko jangkitan pada luka.
Luka czer bernanah bukan perkara biasa dan tidak boleh dipandang ringan. Penting untuk ibu tahu tanda-tanda awal dan bertindak cepat jika luka menunjukkan simptom jangkitan. Dengan penjagaan rapi dan pemerhatian harian, luka czer boleh sembuh dengan baik dan selamat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Beza Emergency Czer Dengan Elective Czer: Proses, Persediaan Dan Emosi Ibu Bersalin
Baca juga: 10 Cara Jaga Luka Jahitan Bersalin Czer Dengan Betul, Cepat Kering & Tidak Bernanah
Baca juga: Benarkah Bersalin Dengan Bantuan Forcep, Induce Atau Vakum Beri Kesan Sampingan Pada Bayi?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!