Pengambilan makanan sahur penting untuk orang berpuasa kerana mana tidaknya, kita tidak boleh makan dan minum pada waktu siang hari. Sedangkan kita memerlukan tenaga untuk mengharungi hari-hari bekerja. Pemilihan menu sahur juga penting untuk memastikan kita kenyang lama.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Senarai menu sahur kenyang lama dan berkhasiat untuk para ibu
Apabila mengambil makanan yang mengandungi khasiat mencukupi, tidaklah kita cepat lapar. Baru jam 9 pagi, perut sudah berbunyi kelaparan dan tidak bertenaga. Seharusnya, puasa bukan dijadikan alasan untuk tidak produktif sepanjang bekerja.
Senarai menu sahur kenyang lama dan berkhasiat untuk para ibu
Terdapat pelbagai jenis menu yang sesuai dijadikan makanan sahur. Di sini disertakan beberapa stok makanan sahur ringkas dan mengenyangkan untuk anda .
1- Oat
Oat antara makanan sihat yang popular dan sering diambil terutama pada waktu sarapan pagi. Oat juga mempunyai nutrisi seperti karbohidrat dalam bentuk kanji, serat larut, lipid, protein, vitamin dan mineral.
Dikatakan pengambilan oat juga berupaya mengurangkan paras kolesterol serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Ia juga mengandungi serat yang tinggi membantu kita untuk kenyang lebih lama.
Oat boleh dimakan dengan susu yang dicampur buah kegemaran anda atau ditambah madu, ikutlah selera anda. Jika tidak biasa, oat juga boleh dimasak dijadikan seperti bubur nasi serta ditambah sayuran di dalamnya.
2- Sayur-sayuran
‘Kalau nak kurus, makan banyak sayur’. Biasakan dengar nasihat begini. Banyak kebaikan dan khasiat yang terdapat di dalam sayur bahkan, ia juga membantu kita kenyang lebih lama jika anda sedang berpuasa.
Pengambilan sayuran hijau yang mempunyi rendah karbohidrat tetapi kaya dengan serat membuatkan proses penghadaman menjadi perlahan. Ia menjadikan anda berasa kenyang untuk tempoh yang lebih panjang.
Justeru jangan lupa mengambil sayuran dalam menu sahur anda.
3- Telur
Merupakan salah satu makanan mempunyai kandungan protein yang tinggi selain vitamin dan mineral. Jadi ia boleh membuatkan perut anda kenyang lebih lama.
Kajian yang dilakukan oleh International Journal of Food Sciences and Nutrition pada 2011 dengan memberi peserta makanan seperti telur dadar, kentang panggang dan sandwich ayam. Selepas 4 jam, peserta yang memilih telur dadar masih berasa kenyang.
4- Ikan
Ikan kaya dengan omega-3 iaitu lemak baik untuk manusia serta meningkatkan rasa kenyang. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara dan cukup menyelerakan.
Antara ikan yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia seperti ikan selayang, ikan kembung, ikan sardin, ikan tongkol serta pelbagai lagi.
5- Kentang rebus atau panggang
Kentang rebus atau yang dipanggang kaya dengan vitamin C serta beberapa nutrisi sihat yang lain. Kajian yang dilakukan Satiety Index juga memberikan skor tertinggi kepada makanan itu sebanyak 323.
Selain itu, kentang juga makanan efektif mengurangkan nafsu makan berbanding makanan lain serta lebih mengenyangkan. Jadi ia cukup sesuai dimakan ketika sahur.
6- Kekacang
Kekacang antara snek lazat dan sedap dimakan walaupun mempunyai lemak yang tinggi malah, ia memberi sumbangan kepada diet kita untuk lebih sihat dan seimbang. Antara kacang yang kaya dengan nutrisi seperti badam, hazelnut, pecan dan pistachio.
Kacang meningkatkan serat dalam diet sekali gus menyokong dalam mengawal fungsi pencernaan. Ia juga boleh dijadikan sebagai snek ringan dan mengurangkan rasa lapar. Jenis lemak dalam kacang juga baik untuk kesihatan jantung.
7- Beras perang
Menghidangkan beras perang ketika sahur dapat membuatkan anda rasa kenyang lebih lama kerana ia mempunyai kandungan serat yang tinggi. Walaupun anda makan kuantiti sama seperti nasi putih.
Bagi yang mahu kurus, beras perang juga dapat membantu mengawal nafsu makan disebabakan kandungan seratnya yang tinggi itu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Doa Ketika Sahur & Doa Buka Puasa, WAJIB Hafal & Tahu Maksudnya
Baca juga: Cara Buat Pati Kurma Segar Untuk Sahur, Energy Booster Ibu Mengandung & Menyusu
Baca juga: MENU SAHUR Ringkas Tapi Berkhasiat Untuk Ibu Menyusu, Kekal Bertenaga!