Ibu bapa mana yang tidak teruja melihat setiap perubahan dalam perkembangan kanak-kanak? Dari langkah pertama bertatih hingga kemahiran bercerita, usia 1 hingga 5 tahun adalah fasa penuh keajaiban dalam kehidupan si kecil.
Tetapi, adakah perkembangan anak anda selaras dengan tahap yang sepatutnya?
Pertumbuhan Dan Perkembangan Anak Normal
Untuk memastikan anak membesar dengan sihat, anda perlu tahu apa yang dianggap normal pada usia ini. Berikut adalah gambaran umum:
Perkembangan Fizikal
- 1-2 tahun: Anak mula berjalan dan memanjat. Berat badan biasanya bertambah 2-3 kg setiap tahun.
- 3-5 tahun: Kemahiran motor halus seperti memegang pensil semakin berkembang. Anak juga menjadi lebih aktif dengan aktiviti seperti melompat dan berlari.
Kognitif
Anak mula memahami konsep mudah seperti warna dan bentuk. Permainan imaginasi menjadi kegemaran mereka!
Sosial dan Emosi
Mereka belajar berkongsi, meniru kelakuan dan mula memahami perasaan orang lain.
Bahasa
- 1-3 tahun: Menyebut perkataan mudah seperti “mama” atau “nak”.
- 4-5 tahun: Boleh membentuk ayat lebih kompleks dan bercerita dengan lancar.
Bagaimana Cara Merangsang Perkembangan Kanak-Kanak 6 Tahun Ke Bawah?
Setiap tindakan kecil yang anda lakukan hari ini boleh memberi kesan yang besar terhadap perkembangan dan masa depan anak anda.
Oleh itu, penting untuk memberikan perhatian dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk tumbesaran mereka.
Berikut adalah beberapa cara praktikal yang boleh ibu ayah lakukan untuk membantu anak anda berkembang dalam pelbagai aspek:
1. Banyakkan Aktiviti Fizikal
Aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam menguatkan otot, meningkatkan koordinasi dan menyokong pertumbuhan anak.
- Galakkan bermain di luar. Contohnya, melompat, berlari, atau menendang bola, yang membantu perkembangan motor kasar mereka.
- Berikan mainan interaktif. Mainan seperti blok binaan, basikal kecil, atau trampolin kecil boleh melatih keseimbangan dan kemahiran motor halus.
2. Latih Perkembangan Kognitif
Rangsangan minda adalah kunci kepada perkembangan kognitif yang baik.
- Bacakan buku setiap hari. Ini bukan sahaja membantu anak membina imaginasi dan meningkatkan kosa kata, tetapi juga mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak.
- Puzzle, permainan mencocok warna atau permainan yang melibatkan nombor dapat meningkatkan daya pemikiran logik dan kreativiti mereka.
3. Sosial dan Emosi
Membantu anak membentuk hubungan dan emosi yang stabil adalah asas untuk membina keyakinan diri.
- Ajak bermain bersama rakan sebaya. Aktiviti ini melatih anak belajar berkongsi, bergilir-gilir, dan bekerjasama dalam kumpulan.
- Pujian dan dorongan positif. Ucapkan kata-kata seperti “Bagusnya lukisan ini!” atau “Mama bangga dengan kamu”, agar anak merasa dihargai dan lebih yakin dengan diri sendiri.
4. Ajak Anak Bercakap
Kemahiran bahasa yang baik membolehkan anak berkomunikasi dengan lebih lancar dan memahami dunia di sekeliling mereka.
- Berbual tentang aktiviti harian. Gunakan bahasa mudah tetapi terperinci, seperti “Tadi kita makan apa? Nasi dengan sup ayam, kan?”
- Gunakan lagu atau permainan Bahasa. Lagu-lagu kanak-kanak atau permainan seperti teka-teki perkataan dapat menjadikan pembelajaran bahasa lebih menyeronokkan.
5. Pemakanan Seimbang
Pemakanan yang baik memberi tenaga dan nutrien penting untuk menyokong pertumbuhan anak. Pastikan makanan harian anak mengandungi protein, karbohidrat, lemak sihat, buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.
Sediakan snek berkhasiat seperti yogurt, buah potong atau kekacang untuk memenuhi keperluan tenaga mereka.
6. Persekitaran Selamat
Anak memerlukan persekitaran yang kondusif untuk tumbuh dengan sihat.
- Pastikan rumah selamat. Elakkan benda tajam atau berbahaya di kawasan anak bermain.
- Sediakan ruang mesra kanak-kanak. Tempat khas untuk bermain dan belajar membantu mereka merasa bebas untuk meneroka dan berkembang.
7. Keperluan Tidur Cukup
Tidur yang cukup memastikan otak dan tubuh anak mendapat rehat secukupnya untuk proses perkembangan kanak-kanak.
- Umur 1–2 tahun: Memerlukan 11–14 jam tidur sehari, termasuk tidur siang.
- Umur 3–5 tahun: Cukup dengan 10–13 jam sehari, termasuk tidur siang.
8. Pengambilan Suplemen Tambahan
Masalah kesihatan boleh mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental anak. Pastikan anak mendapat pemeriksaan berkala dengan pakar pediatrik untuk memantau tahap tumbesaran.
Fahami bahawa bayi pramatang mungkin memerlukan perhatian tambahan kerana proses perkembangan mereka berbeza dengan bayi cukup bulan.
Pemantauan
Tidak pasti jika anak anda mencapai milestone tertentu? Pemantauan berkala amat penting.
Apa yang boleh anda lakukan?
- Rujuk carta perkembangan di klinik kesihatan.
- Ambil tahu maklum balas dari guru tadika atau pengasuh mereka.
- Jangan abaikan pemeriksaan kesihatan berkala untuk memastikan anak membesar dengan baik.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Jika anda perasan tanda-tanda ini, jangan berlengah untuk mendapatkan nasihat doktor:
- Anak masih tidak boleh berjalan pada usia 18 bulan.
- Tidak boleh menyebut perkataan mudah menjelang usia 2 tahun.
- Kurang minat berinteraksi dengan orang lain atau kelihatan sering marah tanpa sebab.
- Kerap jatuh sakit atau menunjukkan tanda kekurangan zat makanan.
Tugas membesarkan anak sememangnya mencabar tetapi jangan sesekali abaikan ketika anak berusia 1 hingga 5 tahun kerana ini adalah tempoh paling penting untuk merangsang potensi mereka menjadi anak yang bijak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Milestone Bayi Baru Lahir Dari Usia 0-12 Bulan Mengikut Jadual Perkembangan, Ini Apa Ibu Perlu Tahu!
Baca juga: Minuman Berkhasiat Untuk Kanak Kanak Mengikut Perkembangan Usia 6 Bulan Hingga Setahun
Baca juga: Fakta Anak Kedua: Suka Bersaing & Cenderung Memberontak, Sebab Itulah Dia Unik Dalam Keluarga!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!